Thursday, May 12, 2011

Kesinambungan Harun Yahya Conference (2)

Bismillahirrahmanirrahim..

Bila ada yang bertanya, apa itu Islam, ramai yang menjawab dengan jawapan panjang lebar. Dan adakalanya jawapan itu cukup menakutkan mereka yang berminat dengan Islam. Walhal, tanpa perlu menjawab dengan ayat yang panjang lebar, cukup dengan menunjukkan Islam dalam diri, mereka akan mudah memahami. Masalahnya, berapa ramai yang dapat menzahirkan Islam itu pada dirinya? Mungkin boleh dihitung dengan jari. Kerana itu umat Islam diseru untuk mencontohi Rasulullah. Peribadi baginda cukup menunjukkan apa dan bagaimana sebenarnya Islam. Didikan baginda melahirkan generasi unggul yang tidak lagi wujud hari ini. Generasi didikan baginda digeruni, dihormati dan disegani seluruh pelusuk dunia, berbeza dengan umat Islam hari ini, yang kebanyakannya menjadi boneka bagi individu berkepentingan peribadi.

Kita buat sesuatu, mesti tahu akan sesuatu itu. Demikian halnya bila kita bawa Islam, kita kena tahu apa itu Islam. “Ani tahu apa itu Islam?” tanya seorang saudara tempoh hari. Mahu mencari ayat yang paling sesuai untuk menjawab soalan ini bukan mudah. Pemahaman setiap individu adalah berbeza. Penerangan yang ini mungkin tidak sesuai dengan individu ini, tetapi sesuai dengan individu itu. Demikian sebaliknya.

Islam itu tidak terpisah dari setiap aspek kehidupan kita. Dari seremeh-remeh perkara hingga yang terpenting dan paling mustahak dalam hidup, Islam pasti turut serta kerana ia cara hidup kita. Seorang Islam itu pasti berbeza dengan yang lain, yang bukan Islam. Kerana Islam menjadikannya luar biasa. Tapi luar biasa itu hanya akan tertonjol jika Islam itu diamalkan. Bukan sekadar penghias pada MyKad semata-mata.

Hari ini, tidak keterlaluan rasanya untuk mengatakan orang takut untuk mendekati Islam kerana sikap penganut Islam itu sendiri. Ada juga yang takut dan risau mendekati Islam, kerana tidak memahami Islam, walhal mereka minat untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang Islam.

Agama menjadi isu sensitif dalam kalangan kita hari ini. Tidak boleh tersilap sentuh sikit, pasti akan melenting. Hati setiap orang perlu dijaga. Hal ini menjadi seperti api dalam sekam. Bergerak secara perlahan dan tersembunyi. Menjadi barah dalam hati setiap penganut agama yang berbeza. Hingga tiba masanya, ia akan meletup, dan itulah yang dikhuatiri berlaku di Malaysia amnya dan khususnya di institut-institut pengajian tinggi tertentu. Sedangkan di luar sana banyak pergolakan berlaku, namun tidak kelihatan kerana kita disini bernafas dengan selesa, tidak ambil peduli.

Belajar perbandingan agama. Pelajari agama-agama lain. Nasihatku kepada semua termasuk buat diriku sendiri. Tidak salah mempelajari agama-agama lain, supaya lebih memahami mereka. Namun, apa yang lebih penting, kita kena belajar dan mendalami agama sendiri terlebih dahulu. Tanpa kefahaman yang baik dalam agama sendiri, bagaimana untuk memahamkan saudara-saudara lain dan mereka yang tidak sealiran dengan kita tentang Islam?

Takut untuk mempelajari agama lain. Itu salah satu penyebab ramai antara kita tidak berani mempelajari agama lain. Jangan takut jika berada di pihak yang benar. InsyaAllah, Allah akan buka jalan untuk kita, dan memudahkan bagi kita untuk mempelajari ilmuNya. Justeru, tetapkan niat anda. Untuk melakukan sesuatu, kita perlu menetapkan niat. Begitu juga dalam menuntut ilmu. Perbandingan agama merupakan salah satu cabang ilmuNya. Jika niat kita adalah untuk mendalami dan membantu agamaNya, insyaAllah akan dipermudahkan segalanya. Dan jika niat kita adalah untuk mencari hakikat kebenaran dalam agama, pasti akan ada jalan yang ditunjukanNya untuk mencapai matlamat niat tersebut.

Bagi yang berminat untuk mengenali Islam, jangan berhenti setakat pada minat dan keingingan namun tidak memulakan langkah untuk mempelajarinya.

“Islam susah oh..banyak peraturan. Tidak bebas.” .

Rakan-rakan, suatu kebenaran itu tidak berpaksi pada kemudahan semata-mata. Kebenaran adalah sesuatu yang amat berharga, yang tidak semestinya penuh dengan kemanisan sahaja. Yang amat berharga itu pastinya sukar diperoleh, melainkan kalau kita benar-benar ikhlas untuk mengakui kebenaran itu, meski pahitnya yang terpaksa ditanggung tidak mampu terucap sepanjang mendidik diri dalam kebenaran itu.


Bakal bersambung (insyaAllah)