Wednesday, July 22, 2009

Terima Kasih yaa ' Abdullah'...

Alhamdulillah,masih bernafas lagi aku hari ini. Walaupun kurang sihat ( diserang demam ), aku bersyukur kerana masih boleh berdiri dan berjalan seperti biasa. Sejak semester lalu, kesihatanku agak merosot, entah kenapa..kerapkali diserang demam. Banyak perkara luar jangkaan yang berlaku kebelakangan ini.Mungkin dosa dah bertimbun, sehingga Allah menegurku dengan cara ini. Syukur alhamdulillah...Semua yang dikurniakan dariNya merupakan yang terbaik buat kita jika kita melihatnya dari sudut yang positif.
Baru seketika tadi, aku membuka blog seorang sahabat yang lama dah tak kutemui. Perkenalan dengannya walau hanya setakat lebih kurang 2 minggu, namun memberi kesan yang amat mendalam buatku kerana daripadanya, aku belajar banyak perkara baru mengenai gerakan Islam khususnya.
Aku mengenalinya semasa ku berada dalam semester kedua dalam pengajian Pra Pismp tahun 2008 semasa ku menyertai suatu program BPG diluar institut. Terus terang ku katakan, aku sangat kagum dengannya kerana sifat kepimpinan Islam begitu jelas dalam dirinya. Setiap tutur katanya jelas menampakkan impiannya yang tinggi untuk melihat Islam kembali bertapak kukuh di bumi ini. Sahabat ini gemar menganalisa politik sehingga dia diserang oleh teman-temannya dan para pensyarahnya kerana kelantangannya bersuara menegakkan pendiriannya.
Aku sendiri mengatakan padanya bahawa aku tidak minat pada politik, namun dia berkata politik Islam itu bersih, hanya manusia yang mengotorkannya. Dan kerana itu, kni aku sudah mula berjinak-jinak mengenali dan menganalisa politik. Walau tidak sehebat beliau, sekurang-kurangnya aku telah mempelajari benda baru daripadanya. Hamba Allah itu juga yang menyarankan kepadaku agar melibatkan diri dengan usrah dan pergerakan Islam lain jika ingin belajar lebih banyak mengenai Islam.
'Usrah'? Sejujurnya, itulah pertama kali aku disarankan dengan usrah. 'Apa itu usrah'? tanyaku. Perbincangan dengannya yang hanya berlangsung bbrapa minit hari itu menyuntik semangatku untuk belajar lebih banyak mengenai Islam. Begitu cantik takdir yang Allah tentukan buatku. Dari seorang yang kosong, Dia pertemukanku dengan seorang hambaNya yang berjiwa besar agar ku tahu bahawa Dia sentiasa menyediakan yang terbaik buat hambaNya yang benar-benar gersang mencari kebenaran.
Dari perawakannya, kudapat rasakan betapa dalamnya tarbiyyah Islam yang ditanamkan dalam dirinya oleh kedua ibubapanya. Perkongsiannya dalam salah satu penulisannya mengenai ibunya amat menyentuh hatiku. Baginya, ibunya adalah kawan, sahabat, ibu dan kekasih. Secara tidak langsung, timbul rasa kagum dihatiku terhadap insan solehah yang diceritakan oleh sahabatku itu. Membesar dalam suasana tidak Islamik, namun beliau dapat mendidik anak dalam suasana tarbiyyah Islam dengan cukup baik. Subhanallah..Terbit persoalan dari dasar hatiku, apakah aku mampu menjadi seperti ibu sahabatku itu? Lahir dan membesar dalam suasana yang tidak Islamik namun berjaya membentuk keluarga yang terdidik dengan suasana Islam? Apakah umurku sampai ke tahap itu? Apakah aku akan terus kuat untuk memperjuangkan semua yang telah ku usahakan selama ini?
Bagiku, segala ketetapan Allah cukup cantik buatku. Mengapa aku ditakdirkan menjadi pelatih di IPGM ini? Mengapa aku ditakdirkan menjadi guru? Suatu kerjaya yang tidak pernah kubayangkan dahulu.Mengapa tidak dalam bidang sains atau perubatan khususnya..yang amat ku minati sebelum ini? Mengapa antara semua adik beradikku, aku seringkali dikatakan harapan keluarga? Padahal aku tidak memiliki apa-apa kelebihan berbanding yang lain. Aku sendiri tidak mampu menjawabnya. Apa yang ku pasti, Allah lebih tahu mengenainya. Saat aku masih di awang-awangan dan merasakan 'kekosongan' itu, Dia memberiku jalan untuk mendapatkan 'penawar' bagi 'kekosongan' itu. Dia mempertemukanku dengan hamba-hambaNya yang terpilih untuk menyuntik semangat dan motivasi diriku agar tidak mudah menyerah dan terus istiqamah, selain yakin dengan ketentuanNya.
Kadangkala aku juga terasa seperti ingin tersungkur dalam hidup ini, kerana semakin banyak yang dipelajari dan diketahui, semakin banyak yang perlu dilakukan. Semakin besar tanggungjawab, semakin banyak ruang untuk melakukan dosa akibat ketidakmampuan melaksanakan sebaiknya semua tanggungjwab itu. Dan tidak kurang juga terasa semakin jahil diri ini. Sudahlah kurang ilmu, kurang pengalaman, amalan lagilah kurang.
Betapa sakitnya dan sedihnya hati bila melihat keluarga sendiri mengabaikan nilai Islam, cara hidup Islam. Adakalanya terasa diri ini hipokrit, dilantik menjadi timbalan unit dakwah dan tarbiyyah dalam biro , tapi dalam masa yang sama, orang terdekat yakni keluarga sendiri, tidak mampu untuk ditarbiyyah, dididik dan didakwah sebaiknya. Terasa diri ini benar-benar kosong.
Namun, seperti kata sahabatku, aku tidak boleh berhenti setakat disini. Ujian itu tarbiyyah dariNya untukku. Agar aku lebih mengerti hakikat kehidupan..Kerana kehidupan didunia umpama penjara bagi orang mukmin, sebaliknya ia umpama nikmat yang penuh keindahan bagi orang yang lalai. Terima kasih saudaraku, jazakallah...Moga redha Allah sentiasa mengiringimu, dan semoga engkau tetap istiqamah dalam perjuanganmu memartabatkan Islam dalam hati setiap insan.InsyaAllah.