Monday, July 29, 2013

Apabila di 'interim'kan dan di 'posting'kan..



“Kak..macam manalah sudah posting?” 

“Kak, apa cerita orang pulau?”

“Ok ka di sana? Best ka?”

Antara soalan-soalan yang lazim ku terima apabila bertemu dengan rakan-rakan mahupun adik-adik  junior. Biasanya aku cuma tersenyum. “Macam biasa..ok juga..” jawabku.

“Kak..kongsi ba cerita posting di pulau..”. Permintaan yang juga lazim. Cerita yang bagaimana ya…terlalu banyak yang hendak kukongsikan sebenarnya, tapi tidak tahu nak mula dari mana. Banyak perkara baru yang kupelajari bila berada di tempat baru,ada pro dan kontranya, ada yang menyenangkan..ada juga yang sebaliknya. Adakalanya perkara dan keadaan yang dilalui benar-benar menguji hati dan diri,namun setelah bermuhasabah diri, keadaan dan perkara tersebut berlalu begitu sahaja..umpama angin yang menampar keras pipi, kemudiannya beralih ke arah yang lain pula.

“ Sesungguhnya orang mukmin itu adalah orang yang luar biasa, seluruh perkara dalam hidupnya adalah baik baginya. Ketika mendapat kemudahan ia bersyukur.Itu adalah baik baginya dan apabila ia ditimpa kesulitan maka dia bersabar dan itupun juga adalah baik baginya"

Hadis tersebut terngiang-ngiang di telinga dan kotak fikiranku. Bukan mahu MENGAKU diri sebagai mukmin sejati, tidak sekali-kali... tapi kerana mahu MENJADI salah seorang daripada mukmin yang dimaksudkan dalam hadis tersebut..maka secara automatiknya, hati memujuk diri dan fikiran tatkala berdepan dengan apa juga kesusahan, khususnya apabila menjadi orang baru di tempat yang baru.

“Terbuang ke mana sekalipun, kalau ada agama, insyaAllah semua ok..” Lebih kurang begitulah kata-kata seorang hamba Allah suatu ketika dulu..sewaktu diri masih terlibat dengan program-program beliau. Sebut tentang program..hati sangat ingin untuk berada dalam suasana dan lingkungan insan-insan seperti beliau. ‘Kalau ada agama..’ maksudnya cukup dalam. Bukan bermaksud setakat nama agama yang terpapar pada kad pengenalan atau sijil lahir, tapi pegangan diri terhadap agama. Bukan setakat pegangan ala kadar,tapi bagaimana kita menjadikan agama sebagai pendirian, prinsip dan perisai diri untuk berdepan dengan apa juga keadaan. Seindah manapun suasana yang dihadapi, ia tidak melalaikan diri..dan sebaliknya, seburuk, seteruk atau sesusah manapun keadaan yang dihadapi, ia tidak menjatuhkan diri..kerana diri berpegang dengan agama. Agama menjadikan kita manusia yang rasional dan professional mendepani cabaran kehidupan.

Itu yang sering aku fikir dan cuba tanam sedalam-dalamnya dalam diri selama ini. Justeru, tatkala menerima keputusan penempatan sejak lantikan interim dan penempatan tetap (sekolah yang sama), aku serahkan semuanya pada Allah. Hanya berdoa memohon kekuatan dan kemudahan dari Allah dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Kakak tinggal di manalah di pulau 2? Ada air? Makan minum macamana?”

Soalan ini juga lazim diajukan padaku. Bukan saja dari sanak saudara, bahkan rakan-rakan dan junior-junior yang begitu teruja ingin tahu kehidupan guru baru di Pulau Banggi. Aku tinggal di rumah guru yang lama, yang juga lama ditinggalkan tanpa penghuni..dan aku berseorangan. Hanya ada 3 orang guru perempuan di sekolahku dan keduanya sudah berkahwin serta tinggal bersama suami dan keluarga masing-masing. Jadi aku terpaksa tinggal seorang diri di rumah guru lama tersebut. Guru-guru yang lain semuanya lelaki dan mereka tinggal di rumah guru baru, semuanya sudah berkahwin dan seorang antara mereka tinggal bersama isteri dan anaknya di rumah guru baru tersebut (ada dua buah rumah guru baru). Air terpaksa bergantung dengan air hujan, dan menggunakan solar hybrid untuk sumber kuasa. Kali pertama aku tiba di rumah tersebut, lampu hanya bertahan sehingga lebih kurang jam 10-11 malam..itupun hanya lampu diruang tamu yang masih ada dan berfungsi..kemudian, tidak lama selepas  itu, ianya hanya mampu bertahan selama 5-10 minit..jadi malamku hanya disinari cahaya lilin selepas itu. Oleh kerana kasihan dengan murid yang selalu datang belajar di rumah pada waktu malam (juga kasihan dengan diri sendiri)..aku mengambil inisiatif sendiri membeli wayar dan segalanya yang perlu untuk menyambung tenaga solar dari sekolah. Alhamdulillah…guru-guru lelaki membantu dengan cukup pantas dan dalam beberapa jam saja, lampu dirumahku kembali menyala. Malah mereka turut menyambungkan lampu di dapur menjadikan rumahku terang benderang di malam hari…Alhamdulillah….

Tidak lama selepas itu, setelah hati gembira dengan adanya cahaya lampu di rumah…ujian datang lagi apabila air di dalam tangki tiba-tiba habis dan kebetulan waktu itu bukanlah musim hujan..ketika itu, aku teringat zaman dulu-dulu semasa masih bergelar pelatih ip. Juga zaman kanak-kanakku…masalah air sudah menjadi lumrah. Mandi di sumur, sungai, perigi, mata air, parit..kolam ikan..sudah sebati dalam dunia kanak-kanakku. Adakalanya sebaldi (bekas tin cat yang kecil) sudah cukup untuk memandikan adikku dulu. Di ip pula..setengah baldi pun sudah cukup bagus(bila tiba musim krisis air)..syukur Alhamdulillah..keadaan itu sudah menjadi kebiasaan, sudah menjadi salah satu pengalaman hidup yang berharga..justeru bila berhadapan dengan krisis air di tempat baru..aku tidak mudah melatah walaupun diri sedikit payah memujuk hati. Walau sudah biasa melalui keadaan itu, ada bezanya bila berada di tempat baru..kerana diri sendirian tanpa keluarga dan teman-teman. Jika dulu, mandi di parit pun tidak kisah sebab dengan adik beradik..hanya mampu cuci mata dan muka di ip pun tidak kisah, sebab rakan-rakan lain pun sama..tapi kini..perlu sendirian. Alternatifnya..terpaksa mengunjung bangunan prasekola untuk mandi dan membasuh baju..dan kini Alhamdulillah..atas ehsan orang kampung..aku dipinjamkan sebuah tangki kecil dan dimasukkan ke dalam dapur rumahku lalu membeli air dari mereka..

“Orang-orang kampung ok juga ka sana?”

Emm…untuk menjawab soalan ini, mungkin pada kisah yang akan datang…insyaAllah..