Thursday, August 5, 2010

Imam muda- mencetuskan gelombang program realiti bercorak agama

Bismillahirrahmanirrahim..


Dewasa ini, teknologi dan hiburan begitu sinonim dengan dunia masyarakat. Sehinggakan mana-mana pihak yang tidak mengikuti perkembangan dunia hiburan dianggap ketinggalan. Wajarkah? Dunia hiburan inilah yang menerobos masuk ke minda para belia dan remaja, malahan kanak-kanak dan dijadikan santapan intelek dan rohani saban hari.

Kehadiran banyak program reality di media bak cendawan tumbuh selepas hujan. Akademi fantasia, Malaysian idol, One In a million, keynote, sehati berdansa, jangan lupa lirik dan banyak lagi. Semuanya menurut jejak langkah hiburan dunia barat. Padaku, ia lebih kepada penjajahan minda dan budaya dan bakal merosakkan generasi hadapan.

Syukur Alhamdulillah, dalam banyak-banyak program reality yang muncul, wujud satu program bercorak keagamaan yang mampu menarik perhatian ramai. Imam muda. Kemunculan program ini mencetuskan gelombang baru dalam dunia program reality di kaca televisyen. Ia meneruskan legasi program agama lain seperti akademi al-Quran.

Ramai anak muda kita mampu jadi imam, jadi pemimpin. Tapi kita tidak nampak di mana mereka selama ini. Buktinya, untuk menghadiri sesi uji bakat bagi program ini, terdapt beribu orang peserta mencuba nasib. Sambutan orang ramai terhadap program seperti ini menunjukkan masyarakat kehausan hiburan bercorak agama dan sentiasa menanti akan wujudnya sesuatu yang mampu memberi nilai tambah dalam jiwa rohani mereka.

Nak cakap pemuda-pemuda kita tidak ada didikan agama, ramai pula yang berjaya mencuba nasib. Jadi, di mana dan apa masalahnya hingga anak muda menjadi golongan minoriti di kebanyakan rumah Allah masa kini?

Sejujurnya, aku menyokong program Imam muda. Ia tidak memerlukan khidmat sokongan melalui sms, tidak perlu menyanyi lagu yang lebih memuja manusia, tidak perlu menari di atas pentas dengan peserta bukan muhrim dan sebagainya. Ia membawa para peserta terus ke kancah masyarakat yang sakit dan parah dengan pelbagai penyakit dunia. Ia terus mendedahkan peserta terhadap tanggungjawab sebenar seseorang yang bergelar imam. Ia menjadi medium pendidikan bagi melahirkan seorang imam, pemimpin yang memiliki wibawa, memegang agama dengan utuh dan dalam masa yang sama, tetap mengamalkan gaya hidup sosial secara positif. Inilah yang masyarakat kita perlukan. Seseorang yang mampu bersosial dengan semua peringkat khasnya golongan muda remaja untuk membwa mereka dekat dengan agama.

Harapanku, program ini dapat menjadi perintis dan nafas baru kepada perubahan masyarakat Malaysia amnya dan seluruh ummat Islam khasnya. Biarlah segala teknologi yang ada dimanfaatkan sepenuhnya untuk membangunkan agama Allah.