Monday, May 31, 2010

Erti sebuah kasih sayang

Bismillahirrahmanirrahim..


Alhamdulillah, aku masih lagi diberi pluang untuk menarikan pena bagi berkongsi setakat apa yang ada untuk renungan bersama. InsyaAllah, kali ini aku ingin berkongsi sesuatu tentang kasih sayang. Namun, aku pohon kepada anda yang membaca agar tidak beranggapan perkongsian ini sebagai sesuatu yang 'jiwang karat'..Aku cuba sampaikan bicara penaku dengan se'umum' mungkin, tapi sarat dengan intipati tersirat yang kuharap dapat direnung dan difikir bersama.

Selepas isyak tadi, sedikit jamuan telah diadakan di masjid Jamek IPG Kamp Keningau dengan versi yang memaparkan sedikit kelainan, kerana sambil menjamu selera, kami disajikan dengan 'muvie' yang sangat menarik. Aku ingin menyentuh tentang 'muvie' kedua yang ditayangkan yang bertajuk 'Sang Murrabbi'. MUngkin ramai yang sudah menyaksikan kisah benar ini, dan mungkin juga masih ramai yang belum berpeluang menyaksikannya. Kepada sesiapa yang belum menyaksikannya, luangkanlah seketika masa anda untuk merenungi kisah sebenar seorang daie sehingga saat beliau dijemput oleh Allah. Kisah beliau meresap ke hatiku, mengingatkanku pada kisah perjuangan seorang hamba Allah di bumi Tambunan yang juga sudah dijemputNya tahun lalu. Pemergian hamba Allah itu juga cukup menggoncang hati kerasku. Benarlah, untuk merasai kasih sayang dan menyayangi seseorang atas nama agama khususnya,ia tidak semestinya memerlukan pertemuan secara langsung atau secara berdepan. Kerana kasih sayang yang Allah kurniakan dalam hati setiap hambaNya merupakan suatu fitrah. Demikian juga dengan Nabi SAW. Kita tidak berpeluang bertemu dengan baginda, namun hanya dengan mempelajari dan menghayati sirah junjungan besar ini, kita sudah jatuh cinta dengan baginda. Sudah merasai sayang pada baginda.

Kasih sayang itu melampaui batas masa dan zaman. Nabi sendiri sangat menyayangi ummatnya, sehingga saat malaikat Izrail menyapa sekalipun, baginda masih menyebut 'ummati..ummati..'.Kita pula, sebagai ummatnya yang sering diingati, apa yang telah kita lakukan untuk membalas kasih sayang baginda? Berapa kalikah kita berselawat pada baginda dalam sehari? Berapa banyakkah sunnah baginda yang kita telah turuti dan amalkan? Sedalam mana sirah baginda telah kita hayati untuk mengenali peribadi dan menelusuri suka duka baginda dalam menegakkan agama Allah?

Seperti juga bahagia, kasih sayang merupakan suatu perkara yang subjektif. Tidak mampu untuk dilafazkan dengan sebenarnya melalui bait-bait kata, tindakn fizikal atau apa juga. Kerana ia berkaitan sesuatu yang berada di dalam hati. Sedangkan hati kita hanya Allah yang tahu membaca dan menilainya.

Lazimny, dalam memahami erti sebuah kasih sayang, kita tersasar mentafsirkannya. Dlam menterjemah erti kasih sayang itu, kita tersilap tingkah dan kata. Dalam meluah erti kasih sayang itu, kita menyebabkan ada insan lain yang terluka. Tidak ada manusia yang sempurna. Tidak ada 'kesempurnaan' pada kamus suatu istilah bernama 'makhluk'. Dalam menjaga kasih sayang yang terbina, adakalanya kita kena mengorbankan sesuatu yang lain. Dan dalam menjaga sesuatu yang menjadi pegangan kita, adakalanya kita kena mengorbankan kasih sayang itu.

Justeru itu, apalah erti kasih sayang itu? Andai dalam mencari erti kasih sayang itu sendiri, kita semakin jauh dari yang menghadirkan rasa sayang itu? Kenapa agaknya manusia sering berdolak dalih dengan apa yang ditentukan buat mereka?

Kata seorang hamba Allah yang berbunyi lebh kurang seperti ini, "kasih dan sayang itu bukan sesuatu yang boleh dicampak bila tidak diperlukan dan dipungut bila diingini.." membuatkan hatiku berkata, tidak mudah mendapat kasih sayang yang sejati, dan sangat sukar mengekalkan kasih sayang itu...

Mencari jawapan kepada suatu yang subjektif, bukanlah satu perkara yang mudah. Kerana ia bergantung pada persepsi peribadi kita sendiri. Apatah lagi mencontohi dan belajar menjadi seperti baginda yang menyayangi semua ummatnya...

Walau apapun, kita semua tercipta dari kasih dan sayang Yang Maha Penyayang yang mengizinkan kita untuk bernafas di muka bumi ini melalui penyatuan kasih dan sayang ibu dan ayah. Sejak sebelum lahir hingga beranjak dewasa, kita sentiasa berada di dalam pengawasan kasih dan sayangNya...Kdangkala, kita terlupa akan hakikat itu hingga mendewakan kasih dan sayang sesama manusia. Fikir-fikirkanlah..

Kesimpulannya, aku cuba menghargai dan mensyukuri segala kasih dan sayangNya dengan menyayangi semua saudaraku, tidak kiralah saudara yang mempunyai pertalian darah atau saudara seakidah...Namun, aku bukan manusia sempurna yang dapat memenangi hati semua orang dalam menjaga hati setiap saudaraku. Justeru, maafkan aku andai tingkah dan kataku membuatkan kalian terasa hati, tersinggung rasa atau terusik jiwa. Sungguh, aku cuma hambaNya yang lemah dan tidak mempunyai apa-apa melainkan apa yang dikurniakanNya. Bersama-sama kita berusaha memperbaiki hati dan diri dalam langkah mendekatiNya Yang Maha Menyayangi..Semoga Allah menetapkan hati-hati kita untuk terus istiqamah dijalanNya..

Moga bermanfaat..

Assalamualaikum,..