Sunday, March 6, 2016

Hikmah


Assalamualaikum..
Adakah ini entri pertamaku pada tahun ini? Alhamdulillah..dikuatkan Allah untuk berkongsi cerita kehidupan, yang mana kuharapkan meninggalkan sedikit rasa dalam hati insan yang membacanya.
Bukan mudah untuk membawa hati dan diri menaip bait kata-kata yang terbit dari hati. Bukan senang memaksa minda bekerja mencari ayat-ayat termudah bagi menyampaikan maksud cerita. Bukan mudah untuk menyampaikan mesej cerita agar ia memberi manfaat buat semua pembaca.

Apapun, moga semuanya baik-baik belaka. Moga semua pembaca sihat-sihat sahaja. Moga Allah melindungi dan menaungi kita dengan rahmat dn redhaNya..sentiasa. InsyaAllah…aminnn.

Setiap kejadian yang Allah tetapkan, pasti ada hikmahnya. Sedangkan malam ada siangnya, matahari ada bulannya, bumi ada langitnya, pasang ada surutnya, lapar ada kenyangnya, miskin ada kayanya, sempit ada lapangnya, jantan ada betinanya,kesusahan pasti ada kesenangan, dan kesedihan pasti ada kegembiraan. Yakin dengan Allah. Tiada kejadian yang sia-sia. Kalau kita tidak melihat hikmah terindah itu pada masa sekarang, mungkin pada masa akan datang. Moga Allah menguatkan kita untuk menantikan saat itu.

Alhamdulillah..kami tujuh beradik dapat berkumpul bersama pada cuti tahun baru cina yang lepas. Satu keadaan yang jarang-jarang berlaku, atas alasan bertebaran di bumi Allah mencari rezekiNya. Seketika kurasakan, begitu cepat masa berlalu. Seperti baru semalam aku menghantar adik bongsuku ke prasekolah, hari ini dia sudah besar panjang, remaja 17 tahun yang pastinya lebih tinggi dariku. Abang kakakku yang dulunya rakan bermain berlari, panjat memanjat, masak memasak kini punya anak masing-masing. Dan ibuku yang dahulunya gagah membawa diri naik turun sawah dan keluar masuk kebun getah, kini makin dimamah usia. Begitu cepat masa berlalu. Singkatnya masa itu. 

Seketika fikiranku terarah kepada satu-satunya adik perempuanku yang menginjak ke usia 20 tahun tahun ini. Banyak yang kami lalui bersama selama setahun dia menemani suka duka kehidupanku di Pulau Banggi. Tinggal berjauhan dari keluarga, membuatkan jiwa lebih kental, fikiran lebih matang..insyaAllah. itu pesanku pada adik-adikku. Kerana itu, aku mengajaknya ke pulau, merasai kehidupan di tempat orang. Ruang dan peluang itu membuatkan kami lebih saling mengenali, dan jujur aku katakan, memori kami di pulau tidak ternilai harganya. Membuatkanku mengenal dan merasa erti tanggungjawab apabila ada orang lain yang perlu dijaga…juga membuatkanku merasa secebis kepayahan ibu bapa menjaga anak yang meningkat dewasa.

Allah yang memiliki kesihatan, Allah yang berkuasa menariknya, Allah jua yang berkuasa menyembuhkannya. Tidak dapat dipastikan apakah puncanya, kebelakangan ini adikku seringkali sakit dada dan sesak nafas. Ianya bermula sejak hujung tahun lepas, dan kelihatannya bertambah teruk sejak akhir-akhir ini. Namun begitu, selera makannya tetap bertambah, terlewat makan pasti gastriknya datang mendadak. Keluar masuk hospital dan berjumpa pakar, disahkan sihat walafiat. Namun keadaanya merunsingkan. Aku tidak mahu mempamerkan kerisauanku, tapi rasa itu tetap ada merajai jiwa. Aku berpesan bermacam perkara pada adikku, ubah jadual harian sekarang termasuk waktu makan, mandi, tidur dan bangun tidur, dan paling penting solat kena jaga. Katanya, dia cuba solat tapi tidak dapat sebab dadanya sakit. Aku minta dia paksa diri,tidak dapat solat berdiri, solat secara duduk. Solat adalah ubat bagi kebanyakan penyakit, pesanku.

‘Penyakit’ tersebut nyata memberi kesan kepada adikku. Ditambah lagi dengan sikapnya yang suka bersendiri, semakin membuatkan ibuku buntu apabila sakit itu datang secara tiba-tiba. Beberapa kali aku mengambil cuti kecemasan untuk melawatnya dan membawanya bertemu orang tertentu sebagai ikhtiar perubatan. Walaupun keadaan tidak jauh berbeza, adikku kini sudah mampu melawan sakitnya untuk tetap menunaikan solat. Seakan menjadi kelainan dan perkara baru apabila pertanyaan ‘Sudah solat?’ menjadi kelaziman untuknya. Alhamdulillah, Allah jualah yang memiliki segala kekuatan di bumi dan langit dan apa yang ada di antara keduanya.

Ada hikmah di sebaliknya. Tiada kesakitan yang sia-sia. Di sebalik kesukaran dan kepayahan berpunca dari sakit adikku ini, ia turut menjadi asbab kepada pengukuhan hubungan antara kami 7 beradik. Sekian lama tidak melihat adik beradik lelakiku solat berjemaah, akhirnya dengan  wujudnya kesukaran akibat sakit itu, mereka berdiri dalam satu saf untuk solat berjemaah. Hanya Allah yang Maha tahu perasaanku ketika itu. Gembira, sebak, semuanya bersatu dalam rasa syukur yang menggunung atas kurnia itu.





..........................