Sunday, November 14, 2010

Hati dan Diri

Hujan renyai-renyai yang turun sedari tadi semakin lebat membasahi bumi. Deruan angin sesekali menyapa keras gegendang telinga. Panahan petir sabung menyabung menyentap hatinya yang terasa kerdil dengan segala kejadian alam. Sang makhluk makin mengganas, menuruti perintah Sang Pencipta untuk menjentik hati para hamba bergelar manusia yang semakin tenggelam dan parah dengan penyakit wahan.

Segalanya merupakan tarbiyyah. Dia mengiyakan. Itu kata-kata orang yang jauh lebih baik, jauh lebih tahu darinya.

Seringkali hati terlalai, dan teguranNya sampai tanpa bertangguh. Jiwa bergelodak. Antara tuntutan hati dan fitrah yang berkelahi.

‘Rasanya, makin hari, kau makin baik atau makin jahat?’ hatinya bertanya pada diri. Dia mencongak-congak fikirannya. Cuba mencari jawapan. ‘Entahlah..’jawab diri.

“Buat apa?” tanya sang rakan ketika bertemu di bilik air tadi. Memang menjadi kebiasaan, bila bertemu, akan bertanya soalan yang kadangkala remeh. Sekadar berbasa basi. Dia tersenyum. “Ambil wudhuk” jawabnya jujur.

‘Kau tak takut riak ka jawab macam tu?’ tanya hatinya lagi. ‘Takut juga. Tapi riak tu akan hilang kalau apa yang kita buat tu memang amalan kita. Riak akan hilang kalau istiqamah itu ada’ jawab diri lagi.

“Oh…Nak solatkah?” tanya sang rakan lagi. Solat? Dia merasakan detik masa seakan berhenti seketika. “Taklah..” jawabnya lagi. Juga jujur. Memang dia tidak memasang niat untuk solat, meski hati penuh kuat menegaskan dirinya supaya menyucikan diri sebentar tadi. Soalan itu mengingatkannya pada sesuatu. Usai mengambil wudhuk, kaki diatur menuju ke bilik. Dia diam seketika di hujung katil. Solat. Perkataan itu berlegar di mindanya. Teringat suatu ketika dulu akan kebiasaannya. Sebelum tidur, akan menghadap Sang Pencipta terlebih dahulu. Walau hanya untuk seketika. Agar lenanya lebih damai dan tenang. Agar bangunnya esok pagi lebih segar dan bahagia. Apa sudah jadi? Sibukkah aku? Dia bertanya pada sang hati. Sang hati tidak menjawab.

“ Lewat hari ni. Puasa?” Dia tersentak dengan soalan itu. Lantas kepala digeleng dalam senyuman. Memang dia agak lewat hari itu untuk membeli makanan malamnya. Tidak seperti selalu. Duit bertukar tangan. Teguran berbentuk soalan dari sang penjaga kaunter itu juga bermain di mindanya. Dia menghitung hari. Tersedar bahawa sudah agak lama dirinya tidak mengikat nafsu perut itu. Tidak seperti dahulu. Beratkah pekerjaanku kebelakangan ini? Diri bertanya lagi. Hatinya kembali merindui detik-detik ketenangan ketika menjamah juadah berbuka yang tidak seberapa suatu ketika dulu. Sayup-sayup azan berkumandang, dia akan segera menikmati rezeki yang ada.

Dia tersedar dari lamunnya. Wajah yang masih basah diraup perlahan. ‘Allah..’ hatinya sayu tiba-tiba. Apakah aku makin jauh dariMu? Hatinya dirundung kekesalan. Sejadah yang terhampar di atas katil diperhatikan. Sibukkah aku?Diri bertanya lagi. Sang hati masih tidak mahu menjawab.

“Wah..pandai sudah kau cakap begitu. Siapa pengaruh kau ni?” usik rakan-rakan saat bicaranya terlepas. Tersasar dari landasan yang selama ini diikutinya. Mereka tertawa. Dia juga turut tertawa, namun jauh di lubuk hati, sesuatu sedang berlaku. Kecamuk. Rasa bersalah. Seakan runtuh tembok kendirinya. Tidak sepatutnya itu berlaku. Apa sudah berlaku? ‘Ya Allah..ampunkan hambaMu ini. Janganlah biarkan segala yang telah kulakukan menjadi satu fitnah buatku atau agamaMu. Peliharalah agamaMu dari pandangan serong mereka, peliharalah hatiku…’ Sesak dadanya. Sesak dengan keterlanjuran katanya sebentar tadi.

Dia termenung lagi. Segalanya perlu dijaga. Dari pandangan, pendengaran, pertuturan dan perbuatan. Benarlah, jika hubungan dengan Allah terjaga, hubungan dengan manusia akan turut terjaga.

“Amalan sunat tu akan menampung kekurangan amalan wajib. Umpamanya, yang wajib tu rumah. Hanya rumah, dan yang sunat itu, boleh diibaratkan perabot, cat rumah, hiasan-hiasan lain yang akan memperindahkan lagi rumah kita yang kosong sebelum ini.” kata-kata itu kembali di ingatannya.

‘Kalau yang wajib pun tak cukup sempurna, yang sunat pula makin jauh, macam mana nak berkesan pada diri?’ Sang hati bersuara tiba-tiba. Dia terdiam.

Teguran dariNya datang tanpa cara yang diduga. Hatinya semakin sayu. ‘Allah tegur sebab rindu nak dengar rintihan dari kita. Dia nak selamatkan kita dari kelalaian. Mungkin hari ni, mungkin sekarang, kita makin mengabaikan tuntutan sunatnya, satu hari nanti, dapatkah kita jamin kita tidak mengabaikan tuntutan wajibnya pula? Dapatkah kita menjaga hidayahNya tanpa rahmat dariNya? Allah sayangkan kita, sebab itu Dia tegur kita awal-awal.’ Hatinya berbicara kepada diri.

Ramai yang beranggapan, bila yang wajib dah selesai, sudahlah. Kalau ada masa, barulah buat yang sunat. Kalau ada masa? Walhal masa itu kepunyaanNya. Dapatkah kita menjamin dalam 24 jam yang diberikan, semua yang dilakukan adalah ibadah padaNya? ‘Allah..’ ucap hatinya, lirih.

Betapa manusia itu sombong dengan nikmat Allah. Betapa manusia itu terlalu mengagungkan sang makhluk sampai tak nampak pada Sang Pencipta. Betapa selama ini, manusia mengagungkan cinta dan sayang sesama makhluk, sampai tak nampak kasih, cinta dan sayang Yang Maha Penyayang, Maha Pengasih. Bila ditegur olehNya, buat-buat tak nampak, buat-buat tak tahu. Sungguh banyak pengajaran yang diperlihatkanNya, kerana ingin menegur hambaNya yang semakin lalai, agar kembali kepadaNya, sentiasa dalam ketaatan padaNya, namun hamba bergelar manusia masih membelakangkanNya. Nauzubillahminzalik. Jangan sampai kita tergolong dalam golongan itu…jangan..aku tidak rela, pinta hatinya. Apapun yang jadi, biar kita sentiasa dalam usaha untuk mentaatiNya, sedaya mungkin..pinta hatinya lagi.

‘Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku, kuserahkan hanya kepada Allah, Rabb sekalian alam’