Wednesday, September 7, 2011

Cerita Rayaku

Bismillahirrahmanirrahim..

Raya..bila tiba hari raya, macam-macam versi cerita yang boleh kita dengar. Ada yang gembira, ada yang sedih, ada yang meriah dan ada juga yang suram.

Ini pula cerita raya versiku.

Perasaanku bercampur baur. Teruja, sebak, sayu dan segala macam rasa bersarang di hati. Ramadhan bakal berlalu. Terlalu singkat rasanya ramadhan kali ini. Dengan sesi praktikum, dan setiap hujung minggu balik ke rumah, tidak terasa ianya berlalu begitu pantas. Risau, bimbang andainya tidak berpeluang berada dalam ramadhan yang seterusnya.

Ada sesuatu yang istimewa tentang ramadhan. Berlalunya ramdhan, maksudnya berlalu sudah keistimewaan itu. Sayang sungguh semua masa yang berlalu begitu saja tanpa terisi dengan perkara yang bermanfaat. Terasa kerdil sungguh diri. Seringkali alpa degan nikmat yang ada. Aku menghitung ramadhan yang tersisa sambil berdoa agar diberi kesempatan untuk merayakan ramadhan seterusnya bersama insan-insan yang ku sayang.

Dua hari sebelum raya, pakcikku dari Labuan sekeluarga tiba. Kakakku pula berangkat pulang ke kampung suaminya di Limbang, Sarawak.

Sebelum tiba syawal lagi biasanya kemeriahan akan terasa. Tapi secara peribadinya, aku tidak merasakan syawal kali ini bertambah indah atau ceria, walaupun agak meriah suasana di rumah. Adikku yang berada di Utara Semenanjung tidak balik, atas alasan kewangan dan juga cuti cuma seminggu. Katanya, tidak apa sebab hujung bulan September juga dia akan balik ke tanah Sabah. Kakakku juga kali ini beraya pertama kali dengan keluarga suaminya. Kurang sudah 2 orang ahli dalam keluarga. Walaupun ramai orang di rumah, namun kekurangan tetap ada terasa. Pada syawal yang lepas, aku masih ingat, adik lelaki sulungku adalah yang terakhir sampai di rumah (semua di perantauan) pada hari terakhir puasa. Malam raya begitu ceria rasanya walaupun cuma kami-kami saja di rumah (keluarga pakcik tidak balik tahun lepas). Kakakku juga ketika itu belum bergelar isteri dan dialah yang lazimnya sibuk membuat persiapan untuk juadah syawal. Dengan kehadiran sepupu-sepupu, sedikit sebanyak suasana sunyi tenggelam dek kemeriahan yang ada. Syawal kali ini juga berbeza dengan kehadiran kakak ipar(isteri abang) dan buah hati mereka (Abd Muizz).

“Solat raya besok?” tanya pakcikku. “InsyaAllah..” jawabku dalam senyuman. “ Kita sekalilah..satu kereta..”pelawanya. “Boleh..insyaAllah..”balasku semula. Dalam fikiranku menerawang..naik kereta baru. Mitsubishi Pajero Sport..bila lagi mau merasa kereta Labuan. Aku tertawa dalam hati. Salah niat. Aku menggeleng sendiri.

Raya pertama, awal pagi lagi sudah bising di rumah. Semua bergegas bersiap untuk solat sunat hari raya. Bilik mandi cuma satu, penggunanya melebihi sepuluh orang. Sepupuku dari pekan juga tiba awal di rumah untuk solat sunat di kampung. Lazimnya, para sepupuku yang menetap di bandar dan jarang balik kampung, akan ikut sama solat sunat di kampung walaupun masjid pekan lebih dekat. Itulah meriahnya raya di rumah. Tumpuan para sepupu sepapat.

Biasanya, raya pertama adalah hari untuk kaum kerabat. Untuk raya pertama, usai solat sunat dan menziarah kubur, pakcik mengajak untuk beraya di Keningau. Tunggu punya tunggu, akhirnya kami berkonvoi dengan para sepupu sepapat yang lain. Sebelum ke Keningau, kami singgah dulu di Kg Mandalom dan Kg Kalang (adik beradik bapa dan pakcikku). Tidak juga ramai, dalam lima kenderaan sahaja. Aku tetap setia dengan Viva, tetapi bukan Vivaku..Viva putihku kuserahkan pada abang dan aku beralih kepada viva sepupuku..


Bakal bersambung..insyaAllah...