Wednesday, June 30, 2010

pesan nenek

“Cu..mari sini dulu..” panggil si nenek sambil terbatuk-batuk seketika. Sang cucu pun bergerak merapati si nenek lalu menggosok-gosok perlahan belakang neneknya.

“ Kenapa nek?” tanya si cucu, penuh dengan rasa ingin tahu. Hatinya dibelenggu perasaan risau berikutan sikap neneknya yang semakin suka menyendiri di biliknya kebelakangan ini. Entah apa yang dibuatnya di bilik, ingin benar dia mengetahuinya. Selalunya, si nenek tidak betah duduk berlama-lama di bilik. “ Lagi penat duduk berkurung..” itulah kata nenek bila disuruh berehat di bilik daripada menghabiskan masa mengerjakan kebun di belakang rumah pusaka peninggalan datuk itu.

“Tahu tak, nenek sebenarnya ada kebun lain lagi..” ujar si nenek membuka cerita. Si cucu mendengar penuh minat. “ Kebun lain? Atuk banyak tanah ya nek?” soal si cucu yang sememang tidak pernah mengetahui akan hal tersebut. Si nenek menggeleng. Si cucu mengerutkan muka. Hairan. Hairan kerana nenek menggeleng.

“ Jadi, kebun di mana lagi nek?”

Si nenek mendehem beberapa kali. “ Pergi ambil kertas dan pen dulu..” pintanya. Si cucu pantas bangkit dan bergerak mendapatkan apa yang dipinta. Mungkin nenek hendak aku menulis alamat tanah kebunnya. Tak pun lukis pelan..bisik hati kecil si cucu, berteka teki dengan persoalan di mindanya.

Setelah beberapa minit, si cucu kembali dengan sehelai kertas dan sebatang pen. Si cucu merapati si nenek semula. “ Nek mahu saya tulis apa ya?” si cucu bertanya tenang. Si nenek memandangnya sayu. Si cucu terasa sebak. Kenapa nenek berlagak aneh?

Seketika kemudian, si nenek bersuara semula. “ Nanti tolong tengok-tengokkan kebun nenek ya. Kalau dah ada hasilnya, kutiplah. Jangan sampai di curi orang. Penat nenek jaga selama ni..” ucap si nenek lirih, penuh harap. Si cucu mengangguk.

“ Nenek ingat alamat tempat tu?” si cucu bertanya semula. Si nenek menarik nafas panjang seketika lalu melepaskannya perlahan. “ Hm..salinlah emel dan password nenek ni..” Si cucu terkejut penuh kehairanan. Emel? Password?

“ Untuk apa nek?” si cucu meminta penjelasan. Si nenek mengenggam tangannya. “ Guna password tu, tolong nenek jaga kebun di facebook nenek.”

Si cucu tergamam. “ Facebook?” lidahnya kelu, kehilangan kata.

(Jangan salah faham. Watak dalam cerita ini tidak bertujuan mengeksploitasi golongan tertentu, ia hanya sekadar watak untuk menghidupkan cerita dalam suasana yang sederhana dan santai )

Kali ini, kita bercerita tentang facebook. Topik yang agak lapuk tapi masih relevan kerana ia sentiasa berlegar dalam kehidupan seharian masyarakat kita.

Hari ini, boleh dihitung berapa ramai yang tidak memiliki 'facebook'. Rata-rata memilikinya. Semuanya mempunyai alasan yang tertentu mengapa ingin bergiat dalam jaringan sosial yang amat popular masa kini. Ia mempunyai kebaikan dan keburukannya yang tersendiri. Jika tahu batas dan etika dalam menggunakannya, maka baiklah jadinya dan demikianlah sebaliknya.

Facebook bukan sahaja memikat hati anak-anak muda, belia dan remaja, malahan kanak-kanak sekalipun sudah berjinak-jinak dengannya. Demikian jugalah halnya dengan golongan separuh abad dan ke atas. Itu adalah hakikat. Facebook diminati majoriti masyarakat moden.

Ramai juga yang bertanya mengapa aku tidak ingin turut sama menjadi ahli kaki facebook, dan ramai rakan-rakan memintaku untuk membuka akaunku sendiri atas alasan ia memudahkan perhubungan. Aku berfikir berkali-kali. Pandanganku begini.

Facebook adalah sama seperti jaringan sosial lain yang mempunyai kebaikan dan keburukannya yang tersendiri. Jadi, ia bergantung kepada tindakan pengguna facebook itu sendiri. Melihat kepada keasyikan teman-teman, bagaimana besarnya pengaruh fb pada diri mereka, pelajaran mereka, tindak tanduk, pergaulan dan sebagainya, hatiku tawar meskipun pernah terbit niat untuk turut sama menggunakannya.

Memang ada pengguna yang menggunakannya dengan cara yang baik, dan aku sangat menyokong tindakan itu, apatah lagi jika ia digunakan untuk kemaslahatan dan kepentingan Islam. Aku kagum bagaimana mereka mengaplikasi segala teknologi yang ada untuk menegakkan agama Allah. Memang itulah yang sepatutnya dilakukan.

Tapi majoriti yang kukenali dan temui, facebook dijadikan sebagai medan umpatan, luahan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu atau seseorang, dan cerita yang tidak ada faedahnya. Malah gambar-gambar yang agak keterlaluan turut dimasukkan, tambahan pula dengan adanya aplikasi 'tag' gambar. Setiap gambar yang dipaparkan boleh dikongsikan. Secara tidak langsung, ia melebarkan lagi ruang untuk melihat apa yang tidak sepatutnya dilihat. Betapa sayangnya kemudahan yang ada disalahguna seperti itu.

Dan yang utama ialah niat kita untuk menggunakan facebook. Soal niat, sudah tentu anda sendiri tahu isi hati masing-masing. Ingatlah, setiap perbuatan kita dinilai berdasarkan niat namun begitu, niat tidak sesekali menghalalkan cara. dan Allah tidak pernah terlepas satu saat pun melihat kita.

Aku ingin kongsikan beberapa tip kepada pengguna facebook khasnya kepada pengguna tegar jaringan ini. Tip ini dirujuk dalam penulisan Ustaz Zaharuddin Abd Rahman dalam tajuk artikelnya, 'Hukum Berkenaan Facebook' .Semoga ada manfaatnya..

a. Manipulasi fb untuk manfaat Islam melebihi kepentingan peribadi.

b. Tidak memasukkan perincian peribadi yang sensitif seperti akaun bank dan taraf kesihatan.

c. Tidak berkongsi terlalu banyak gambar peribadi khasnya bagi wanita tanpa had. Tanpa kawalan ia akan membawa mudharat.

d. Jaga aurat dan pandangan mata. Janganlah memuat turun gambar yanng tidak lengkap tertutup auratnya.

e. Elakkan ghibbah

f. Hadkan dan kurangkan perbincangan soal remeh temeh yang membuang masa

g. Elakkan drpada permainan dan aplikasi yang bercanggah dengan Islam seperti kuiz ramalan nasib.

h. Tidak mempercayai aplikasi tilik moden seperti rahsia tarikh lahir.

i. Menyedari bahawa maklumat kita di fb boleh menjadi database pihak luar untuk memantau kehidupan dan informasi peribadi jika tidak terkawal. Maklumat begini amat bernilai dan biasanya digunakan untuk tujuan tertentu.