Thursday, February 16, 2012

Sudut Pandang

Assalamualaikum....

Setiap hari belajar perkara baru. Perkara baru itu akan menjadi satu ilmu yang akan membawa kita kepadaNya jika kita melihatnya dari sudut yang positif. Setiap perkara yang kita lihat, cakap dan dengar itu ada baik buruknya, dan akan membawa natijah tertentu bergantung kepada cara pengaplikasiannya.

Fasa praktikum ketigaku sudah masuk minggu ketiga dan bakal masuk minggu keempat beberapa hari lagi. Begitu cepat masa berlalu. Masa di akhir zaman memang cepat berlalu, Nabi pun ada bersabda tentang masa di akhir zaman (tapi tak ingat bunyi hadisnya, minta maaf)..dan terpulang pada kita untuk mengambil iktibar dari peringatan baginda itu.

Baru tadi, berlangsung mesyuarat untuk ahli jawatankuasa masjid. Beberapa sesi mesyuarat sebelum ini tidak sempat kuikuti atas sebab tertentu, dan kali ini, Alhamdulillah Allah permudahkan dan melapangkan urusan zahir dan batinku untuk sama-sama berada dalam mesyuarat tersebut.

Apabila kurang terlibat dengan gerak kerja JKM di ipg, aku merasa agak kekok dan ketinggalan berbanding dengan rakan-rakan junior yang lain. Tanggungjawab dan amanah sebagai guru pelatih yang sedang berpraktikum di fasa akhir sebelum latihan intership benar-benar mencabar diri. Pengurusan masa, disiplin diri, kekuatan jiwa, kesabaran dan sebagainya menjadi perkara tunjang dalam diri yang perlu dikuasai.

Berikutan permintaan adik-adik junior untuk mengetahui kisah-kisah sepanjang praktikum, aku ingin berkongsi beberapa peristiwa menarik, tapi bukan dalam entri kali inii. (terasa ayat semakin skema kebelakangan ini). Entri ini ku khususkan kepada para junior yang akan menerajui kepimpinan di ipg kelak. memandangkan mata-mata insan yang berada dalam mesyuarat tadi semakin kuyu, aku mengambil keputusan untuk bercakap melalui tarian jari. Semoga perkongsian ini memberi manfaat walau sedikit.

Perbincangan isu-isu dalam mesyuarat tadi merupakan perkara yang acap kali dibincangkan dalam mesyuarat awal tahun JKM. Cuma ada penambahbaikan pada beberapa aspek yang perlu. Isu dakwah dan tarbiyah para pelatih masih menjadi antara perkara utama yang dibincangkan. Pelbagai program dan aktiviti dirancang untuk menarik orang ke masjid dan usaha dakwah ini berlarutan sejak dahulu lagi. Memang tidak dapat kunafikan, usaha dakwah ini bukan perkara mudah, tapi ia juga bukan perkara sukar. Ianya menjadi sukar apabila istilah dakwah digunapakai hinggakan digelar orang masjid, orang agama, orang dakwah. Sehingga suatu saat, ia menjadi satu beban kepada si pemegang gelaran. Pesanku, selalulah muhasabah diri dan perbetulkan niat kita untuk bekerja kerana agama.

Aku tertarik dengan beberapa kata, antaranya, ‘pasangkan niat untuk berdakwah sebelum ke kelas setiap pagi,’. Ya, pasangkan niat. Pasangkan niat untuk membuat walau sekecil kuman kebaikan pada hari itu, dan tetapkan niat itu bukan untuk apa-apa mahupun sesiapa, tetapi cukuplah untuk menjadi hamba yang lebih baik dan lebih dekat dengan TuhanNya. Walau hanya dengan senyuman seikhlas hati kepada rakan pelatih lain.

Manusia yang melihat kita akan menilai kita dari sudut yang berbeza. Pemikiran setiap manusia ada bezanya. Itu satu rahmat dari Allah. Perbezaan yang ada membolehkan kita berkembang atas landasan yang bertunjangkan akidah yang satu. Sebagai pelatih yang membawa gelaran ‘muslim’, orang yang tidak senang dengan kita akan sentiasa mencari kesalahan kita.

Ayat kedua,’Kita bekerja bukan untuk mendapatkan ganjaran, tetapi untuk Allah.’ Aku tidak tahu bagaimana persepsi setiap orang yang berusaha membangunkan agama Allah. Cuma suka untukku bawakan kisah Rabiatul Adawiyah yang bermunajat dalam doanya, bahawa beliau beribadat bukan inginkan syurga atau takut masuk neraka,tetapi semata-mata kerana Allah. Cintanya pada Allah melebihi cintanya pada syurga, dan takutnya pada Allah melebihi takutnya pada neraka. Beliau hanya mahukan rahmat Allah. Jika ditanya pada diriku, adakah aku berusaha beribadah kerana untuk mendapat syurga Allah, adakah aku mahukan syurgaNya, sebolehnya aku tidak akan menjawab soalan itu secara verbal. Kerana aku belum pasti bagaimana pengakhiran hidupku. Aku takut kerana terlebih berangan-angan untuk masuk syurga, aku terlupa berusaha untuk menjauhi neraka.

Ayat seterusnya, ‘don’t judge a book by its cover. Jangan merasa diri cukup hebat, baik dan bagus untuk segalanya. Sedangkan pelacur pun masuk syurga kerana memberi seekor anjing minum,inikan pula manusia yang jauh dari dunia kepelacuran itu.’ Memang tidak dinafikan, hari ini ramai yang merasa dirinya hebat, atau mungkin terasa hebat, jadi terlepas pandang beberapa perkara yang mungkin dianggapnya remeh. Kita perlu sentiasa sedar, saat kita merasa diri lebih baik dari orang lain itu merupakan satu saat kita merendahkan orang lain dan titik sombong mula bertapak dihati. Kita mungkin ada lebihnya sedikit dari orang lain, tapi dalam masa yang sama, kita tidak sedar bahawa dia lebih banyak baik dari kita. Jadi, kajilah kurangnya pada diri sebelum merasakan kekurangan pada orang lain.

Berdakwah atau membawa orang pada kebaikan itu banyak caranya. Cuma terpulang untuk kita menggunakan cara yang bagaimana, yang sesuai dengan karakternya. Satu prinsip pengajaran dan pembelajaran sama ada dalam strategi pengajaran islam atau konvensional, kita belajar berdasarkan tahap kita. Kita juga mengajar berdasarkan tahap orang yang kita hendak ajar. Andai kata orang tersebut masih di tahap pengetahuan, maka ajarkanlah pada tahap itu supaya dia boleh naik ke tingkat yang seterusnya iaitu kefahaman. Analoginya, janganlah bayi yang baru hendak belajar berdiri disuruh berlari tanpa menguasai kemahiran berjalan terlebih dahulu.

Untuk memberi kesedaran pada orang lain, perlu bermula dengan diri kita sendiri. Diri kita tidak sempurna, tapi tunjukanlah bahawa kita senantiasa berusaha untuk memperbaiki kekurangan pada diri kita. Cara berhikmah dalam menyampaikan kebenaran dan kebaikan itu perlu disesuaikan dengan keadaan dan situasi semasa. Adakalanya, berhikmah itu memerlukan kelembutan, dan adakalanya ia memerlukan kekerasan.

Aku juga bukan sebaik mana, cuma ingin berkongsi buah fikiran kerana tidak berpeluang mengongsikan tenaga sepertimana kalian yang bergerak dengan lebih aktif, proaktif, inovatif (smua yang ‘tif-tif la) di ipg..apapun, harapanku, kita berusaha untuk menjadi model kepada setiap mata yang memandang kita. Apapun imej yang kita tonjolkan, bawalah Islam bersama seperti mana ikrar kita dalam doa iftitah yang dibaca dalam setiap solat fardhu. (Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku hanya kerana Allah Tuhan sekalian alam). Kita tidak sempurna, tapi berusaha untuk jadi yang terbaik. Berusaha untuk menjadi yang terbaik bukan kerana ingin mendapat gelaran pelajar terbaik, pelajar cemerlang atau yang sewaktu dengannya, tetapi kerana kita memang dituntut untuk menjadi yang terbaik, kerana kita memang dijadikan sebagai umat yang terbaik. InsyaAllah, sama-sama kita muhasabah diri, selalulah saling memperingatkan dan berusaha untuk memperbaiki diri, membersihkan hari dan memperkasakan rohani serta jati diri sebagai muslim sejati.