Friday, January 14, 2011

Yang Paling Jauh

Bismillahirrahmanirrahim..

“Saya rasa best kali ni. Seronok bila dapat cakap pasal agama di kelas sekarang. Bila ada support tu semua..bestlah..” luah seorang saudara yang juga merupakan juniorku semasa perjumpaan selepas Isyak tadi. Dia sangat teruja untuk berkongsi pengalaman tersebut. Kami yang lain, tersenyum mendengar ceritanya.

Beliau baru menjejak semester 1 tahun pertama pengajian ijazahnya. Salah satu subjek teras bagi pelatih semester 1 ialah Perkembangan Kanak-kanak. Ertinya, walaupun berada dalam opsyen mana sekalipun, sama ada Matematik, Sains, Bahasa Melayu atau Pemulihan, subjek ini akan dipelajari oleh semua.

Sementara itu, dalam subjek ini pula ada topik yang membincangkan kejadian manusia mengikut pandangan agama-agama utama dunia dan juga dari sudut sains.

Semasa mempelajari subjek ini dulu, semuanya berlalu bagai desiran bayu di cuping telinga. Hanya singgah sebentar untuk menyejukkan telinga dan menyedapkan hati lalu hilang bersama peredaran masa. Pensyarah yang mengajar kami adalah sama, Cuma aku tidak berpeluang menyampaikan pendapat dan pandanganku ketika itu, berbeza dengan juniorku ini. Ketika itu juga, aku masih di alam ‘kebaru-baruan’ kerana suasana pengajian selama setahun setengah semasa peringkat pra-ijazah, masih belum dapat kuadaptasi sepenuhnya.

Bila pensyarah melontarkan soalan, aku cuma diam dan berfikir ‘macamana mau jawab?” Dengan pengetahuan yang amat cetek berkenaan agama, aku risau memberi jawapan yang salah dan akhirnya aku pasrah apabila soalan itu melepas tatkala pensyarah menyebut nama rakanku. Ingin sekali menjawab dan menerangkan perkara tersebut, namun keterbatasan pengetahuan menyekatku.

Bila saudara ini bercerita pengalamannya, pelbagai perasaan terbit di dasar hati. Cemburu. Sedih. Gembira. Rugi. Menyesal. Dan macam-macam lagi.

Cemburu kerana saudara ini mampu menjawab soalan itu, berbanding diriku semasa di semester itu.

Sedih kerana tidak dapat dan tidak mampu membuka mata hati rakan-rakan dan pensyarahku itu tentang sempitnya ruang tanggapan mereka terhadap Islam dalam Sains ketika itu.

Gembira kerana ada juga saudaraku yang berjaya menyampaikan hujah untuk meluaskan pandangan mereka terhadap Islam.

Rugi dan kesal kerana masa itu berlalu begitu sahaja. Soalan dilontarkan begitu sahaja. Ada juga rakan-rakan Muslim yang lain menjawab, tetapi aku sendiri tidak puas hati dengan jawapan itu, kerana ku tahu jawpannya lebih dari itu, cuma aku tidak tahu bagaimana untuk menyampaikannya.

Tempoh untuk bergelar siswi hanya tinggal lebih kurang 2 tahun, jika diizinkan Allah. Masih terlalu banyak yang perlu digali. Dan suasana pembelajaran kini lebih mencabar dan menguji kesabaran fizikal dan mental serta kekuatan hati.

Justeru, pesanku kepada adik-adik junior (khasnya yang berada di semester 1) di luar sana, pintu pagar sudah terkuak. Cuma pintu rumah sahaja masih bertutup dan menunggu anda untuk memasukkan kuncinya lalu membuka pintu itu.

Anda baru memasuki fasa baru dalam dunia pengajian ijazah secara rasmi. Terlalu banyak lagi yang perlu dikorek. Usahakan lagi agar masa yang anda punyai kini, menjadi kenangan terbaik buat anda semua. Kalian masih muda, dan teruskan usaha untuk menjadi Muslim terbaik yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tapi juga kegiatan lain yang berfaedah.

Banyak antara kalian yang berpotensi, dan mempunyai kecerdasannya yang tersendiri, justeru gunakan ia sebaiknya untuk memartabatkan agama melalui pencapaian kita. Kepada yang memang berlatarbelakangkan pendidikan agama sebelum memasuki Ipg, janganlah kelebihan pengetahuan itu dibiarkan tanpa manfaatnya. Gunakan kelebihan itu untuk meningkatkan pembelajaran kerana ilmu agama itu hakikatnya merentasi kurikulum. Dalam subjek apa pun, pasti ada kaitannya.

Kalian punya waktu dan ruang yang cukup luas di IPG untuk mendalami agama dan menguasai ilmu tersebut dengan berusaha mengaitkannya dalam segala aspek pembelajaran dalam kehidupan kita. Oleh itu, jangan culas dan mengganggap 4 tahun pengajian itu adalah lama. Sesaat berlalu, semester akan bertukar dan ketika itu, sesaat yang telah pergi tidak akan kembali. Ia akan pergi sejauhnya dari kita dan tinggallah kita dalam penyesalan selepas itu.