Friday, June 29, 2012

Beginilah..

Takkan terdaya..mengungkapkan rasa..
Satu antara resah yang berjuta..
Hadirnya gerhana ketika terpancar pelangi yang indah…

Kehidupan ini ada suka dukanya. Iman itu ada pasang surutnya. Semangat itu ada turun naiknya. Demikianlah setiap sesuatu itu pasti ada pasangannya yang tersendiri. Atas dan bawah, depan dan belakang, sedih dan gembira, hidup dan mati, lelaki dan perempuan, ingat dan lupa, lambat dan perlahan…dan sebagainya..

Aku ingin berehat. Berehat? Selagi namanya masih hidup, istilah rehat tidak bermakna dalam ertinya yang tersirat. Berkali-kali aku memikirkannya. Fikiranku adakalanya menjadi sesak dengan perkara yang  tidak  mampu aku fahami. Aku cuba mengkoreksi semula, refleksi semula, muhasabah semula berkali-kali. Justeru, aku semakin jarang mengunjungi  dan melahirkan cetusan hati dan mindaku di ruangan mayaku. Aku juga semakin keliru dan tidak tahu hujung pangkal ceritaku. Bila berada di hadapan skrin, tanganku kaku dan fikiranku buntu, walhal banyak perkara boleh dikongsikan.

Pertemuan dan perbualan bersama seorang saudara sebelum aidil adha lepas membuatkanku berfikir semula. Juga berkali-kali. Terasa banyak sekali khilafku sebagai seorang manusia yang lemah dari segala aspek. 

Pertemuan dan perbualan itu juga mengundang memori  lain yang sering berputar dalam mindaku.
“Kau dah macam kurang ikut program luar. Ada apa-apa kah?” tanya seorang sahabat suatu ketika.  Aku memandangnya sekilas. “You spy on me?” tanyaku semula, dalam nada gurauan. Dia tersenyum, menggeleng seketika. “I’m just curious. Di mana sudah Ani yang aku kenal dulu..” katanya, masih dalam senyuman. Matanya lekat dihelaian buku yang diselak satu persatu. 

“Salahkah kalau aku tak ikut program-program luar?” tanyaku lagi. Pertanyaan yang ku kira kurang enak didengar.  Ia meluncur  begitu sahaja dari  peti suaraku. Sang sahabat diam. Masih menyelak helaian demi helaian buku. Kemudian, dia memandangku. “Setiap perkara berlaku ada sebabnya. Kau buat begitu pun mesti ada sebabnya kan?” Aku pula tersenyum. Tidak mengiya atau menafikannya. Aku membuang pandangan jauh ke hadapan. Sebelum ini, selalukah aku menyertai program luar? Hatiku bertanya sendiri.
“Ani..” dia menepuk lembut belakangku. “Banyak yang berlaku..” ayatku tersekat dikerongkong. Tidak dapat kuluahkan. Aku menghela nafas panjang lalu melepaskannya perlahan-lahan.  “Setiap yang berlaku ada sebabnya..pasti ada hikmahnya. Kadang-kadang kita tak nampak hikmah tu dengan mata kasar kita, pandangan kita terbatas..” Aku tak nafikan kata-katanya. Itu hakikat setiap kejadian. Cumanya sebagai manusia biasa, adakalanya kita terlepas pandang akan perkara itu. 

“Bila kita rasa perjalanan hidup kita cukup sukar, percayalah, ada yang lebih sukar..jauh lebih sukar dari apa yang dapat kita bayangkan..” sambungnya lagi. Aku tetap diam membisu. “Hati aku..aku tidak tahu..” bicaraku putus. Sang sahabat tersenyum. “Hati kita..milik Allah. Mohonlah pada Allah untuk menjaga hati kita. InsyaAllah..semua baik-baik aja.” Bicaranya menusuk lubuk hatiku. Hati kita milik Allah…aku pernah berkata begitu kepada seorang rakan yang lain suatu ketika dulu. Rakanku itu tidak puas hati kerana sering dipandang serong oleh saudaranya yang lain. Serta merta, terbit kerinduan pada saat itu. Bicara bersama rakan itu, walaupun sering saja diselangi dengan pergaduhan dan gelak tawa, pasti ada saja pengajarannya yang menyentuh hatiku. “Macamana kita boleh rapat?” tanya rakan itu dulu. Sememangnya personaliti interpersonal dan intrapersonal  yang sangat jauh berbeza, agak mustahil boleh seiringan berjalan. Aku menggeleng tidak tahu, namun padaku semua itu ketentuan Allah, kerana tidak ada yang mustahil bagiNya, dan pastinya ada hikmah dan pengajaran yang besar dari ketentuanNya itu. “Sebab kita selalu bergaduh kan?” jawabnya sendiri sambil ketawa lagi. Aku hanya tertawa kecil , sambil menggeleng lagi. 

Aku tersenyum. Begitu cantik perjalanan hidup kita walaupun laluannya ada kesukarannya yang tersendiri, bergantung kepada tahap dan kemampuan kita. Tapi kalau dinilai dari sudut positif, pasti semua yang kita nampak baik-baik belaka.

“Allah sentiasa ada untuk kita..yakinlah. Jaga agamaNya, hidupkan agamaNya dalam diri kita, insyaAllah..” Sang sahabat senyum lagi.

“Terima kasih..” ucapku perlahan. “Berterima kasih dengan manusia..jangan lupa bersyukur dengan Allah..” balasnya, seakan memetik kata-kata yang sering aku tuturkan suatu ketika dulu. Dia masih tersenyum. Senyuman itu satu sedekah. Senyuman yang ikhlas akan membuahkan suatu rasa yang berbeza dalam hati. Rasa dihargai. Rasa dihargai dalam hidup ini merupakan suatu fitrah sebagai seorang manusia. Bohonglah kiranya ada yang tidak mahu dihargai barang sedikitpun dalam hidup ini. Rasa menghargai dan dihargai itulah yang membuahkan kasih sayang antara sesama manusia sebenarnya.  Namun, pokok pangkalnya, kenapa perlu menghargai orang lain? Atas dasar apa kita menghargai orang lain? Tepuk dada, tanya diri masing-masing. 

Beginilah hidup....apapun, tetaplah berdoa moga Allah sentiasa memelihara hati-hati kita semua. Teringat suatu kata-kata,……jangan renung dan menyusahkan diri, tetapi renung dan muhasabahlah diri…