Friday, July 23, 2010

Sikap dan Budaya Siswa Siswi Zaman Moden

Bismillahirrahmanirrahim

Hatiku tergerak untuk berkongsi pandangan berkenaan hal ini setelah sekian lama terbelenggu dalam persekitaran ‘pelajar moden’ yang ‘berfikiran sempit’.

Dewasa ini, jumlah siswa siswi yang terdapat di ipt seluruh negara mencecah angka ribuan, malah mungkin jutaan orang. Dalam jumlah yang ramai seperti itu, adakah negara kita benar-benar telah berjaya melahirkan pelajar yang benar-benar memenuhi aspirasi negara? Yang seimbang intelek dan rohaninya? Tepuk dada, tanya diri, tanya hati, tanya iman masing-masing.

Aku sendiri masih bergelar pelajar. Melihat kepada situasi pembelajaran masa kini yang lebih kepada berpusatkan murid, namun adakalanya banyak ruang dan peluang yang ada tidak digunakan sebaiknya, aku mula merasakan pembelajaran cara tradisional yang diamalkan golongan konservatif ada kelebihannya. Aku juga sering terbabas dalam menggunakan setiap ruang dan peluang yang ada yang mana sepatutnya digunakan untuk mempertingkatkan kefahaman tentang sesuatu bidang ilmu. Justeru, aku juga sedar bukan mudah untuk mengisi setiap masa dengan perkara yang sepatutnya jika tidak disertakan dengan keazaman yang tinggi.

Budaya pelajar hari ini, dan tentunya apa yang berlaku dipersekitaranku, pelajar hanya mahu belajar menurut silibus, selain melaksanakan tugasan benar-benar mengikut skop dan tidak ingin meluaskan skop penelitian tentang sesuatu isu. Jika diberi tugasan luar daripada silibus yang diberi, akan timbullah suara dibelakang tabir yang memprotes tindakan tersebut. Jika pensyarah meminta mengkaji sesuatu aspek dalam satu artikel, maka satu sajalah artikel yang dicari. Bila ada rakan yang memperbanyakkan penelitian terhadap beberapa artikel lain, hairanlah rakan yang lain. Mengapa hairan? Sebab rakan yang satu ini menjalankan amanah gurunya dengan merujuk ‘beberapa’ artikel yang berbeza.

Dan contoh paling mudah lagi ialah melaksanakan semua tugasan ‘last minute’. Ini semua kerana pembelajaran kendiri yang lebih ditekankan. Namun begitu, bukanlah aku bermaksud untuk menyatakan sistem pembelajaran negara ini bermasalah, kerana semuanya terpulang pada diri masing-masing.

Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir pernah menggalakkan kita mencontohi kesungguhan masyarakat Jepun dengan ‘Dasar Pandang ke Timur’. Hari ini, kita berlumba-lumba mengejar kemodenan Barat, dan ia memberi impak yang sangat besar bukan sahaja kepada pembangunan fasiliti negara, malah pembangunan anak muda yang bakal menerajui negara kelak. Kita melihat yang meniru itu lebih teruk dari yang ditiru dalam banyak aspek. Dimanakah puncanya? Sama-sama kita fikirkan.

Dan dalam masa yang sama, Iran terus maju selangkah demi selangkah dalam memajukan teknologinya, meskipun dituduh pelbagai tohmahan dan disekat dari pelbagai sudut oleh pihak yang kita agungkan. Mengapa Iran boleh tetap teguh malah tidak mustahil dalam beberapa ketika lagi, Iran akan muncul sebagai antara negara termaju di dunia dengan segala kepakaran yang mereka miliki saat ini, adalah kerana kekuatan jati diri pemuda pemudi mereka yang ingin bangkit dalam tekanan yang semakin menghimpit. Sebaliknya, pelajar diMalaysia terlalu selesa dengan segalanya. Mengapa tidak kita renungkan sejenak dan mengambil iktibar dari kesungguhan mereka, untuk meningkatkan jati diri, sebagai seorang Islam dibumi Malaysia yang 'aman' dan 'selesa' ini.

Untuk maju dan mengembalikan kegemilangan tamadun yang dahulunya kita banggakan adalah dengan ilmu yang didasari jati diri sebagai seorang Muslim dan bertunjangkan kalimah tauhid. Jika selamanya kita ‘sempit’ dalam ruang yang ‘bebas’, maka selama itulah kita akan tersepit dengan alunan gelombang kemajuan. Hasilnya, umat Islam akan menjadi yang terpinggir, tertindas dan tertinggal dalam apa juga bidang.

Sahabatku, saudaraku, ilmu Allah itu luas. Sekalipun kita hidup seribu tahun dan menuntut ilmu selama itu, tidak akan habis ilmuNya kita terokai. Untuk mencari hakikat diri sekalipun memerlukan ilmu, apatah lagi untuk mengangkat diri sebagai pemacu generasi hadapan. Sama-sama kita perbaiki diri dan membersihkan hati dalam usaha menjadi pelajar yang berjaya di dunia di akhirat.

Sabda Nabi SAW, “Jika kamu berkehendak kepada dunia, maka hendaklah dengan ilmu, jika kamu berkehendak kepada akhirat, maka hendaklah dengan ilmu dan jika kamu berkehendakkan kedua-duanya maka hendaklah dengan ilmu”.

Sama-sama kita renungkan. Moga ada manfaatnya perkongsian ini. Assalamualaikum.