Friday, December 30, 2011

Nilai sebuah doa

Petang itu memang menghibakan saya. Asalnya, saya menyampaikan kuliah berkaitan konsep berdoa kepada para banduan juvana di sebuah pusat tahanan. pada hujung majlis ilmu itu, saya meminta mereka membuat permohonan kepada Allah. Ia lebih kepada latihan amali dalam berdoa.

"Cuba berdoa kepada Allah perkara yang paling kamu kehendaki," pinta saya untuk menguji kefahaman mereka terhadap isi kuliah.

Seorang demi seorang berdoa dengan nada suara yang sederhana meminta perkara yang paling mereka mahukan saat itu. Bermotivasikan daripada hadis, tawassul dengan amalan soleh sebagaimana yang diceritakan dalam kuliah sebelumnya, mereka meminta hajat mereka. Beberapa adab berdoa diperingatkan apabila ada antara mereka yang meninggalkannya.

Ada yang meminta keadilan diberikan kepadanya. Ada yang meminta isteri di kampung sabar menantinya. Ada yang berdoa agar anaknyamenjadi anak yang soleh dan tidak menjejak langkah yang sama sepertinya. Tidak lupa juga ada yang mahu kaya. Tetapi, rata-rata mahu keluar segera dari penjara. Ada yang berdoa pendek dan ada yang tidak tahu mahu meminta apa.

Tetapi nafas saya seakan terhenti apabila mendengar doa seorang juvana. Dia memulakan dengan pujian kepada Allah dengan pelbagai pujian yang selayaknya untuk Allah. Dia menyeru Allah dengan pelbagai asma'-Nya yang mulia. Selawat indah dikarang secara natural dari lidahnya. Dia meminta keampunan untuk ibu bapanya dan dirinya dengan sebaik-baik bahasa. Kemudian,doanya panjang untuk keselamatan akhirat, kekuatan iman dan kesempurnaan akhlak. Semuanya hanya berkaitan dengan perkara akhirat dan tidak sarat dengan permintaan keduniaan.

Doanya mengesankan! Tanpa disedari, air mata kami turut mengalir ketika itu. Itu doa spontan yang memang lahir dari hatinya. Masya-Allah, mungkin doa-doa itu sudah lama menjadi amalannya.

Sudah beberapa tahun saya berkhidmat dan berdakwah kepada kelompok juvana di pusat tahanan, tidak pernah saya bertemu dengan anak muda seperti ini. Hati saya menjadi hiba. Seandainya mereka banyak berdoa sebelum terjebak ke lembah jenayah, doa-doa itu mungkin boleh menjadi perisai daripada panahan iblis yang merosakkan usia muda mereka.

Anekdot ini membawa kita kepada satu persoalan. Setiap kali kita berdoa, apakah prioriti atau keutamaan kita? Permintaan apa yang akan kita minta dahulu dan yang kita tekankan dibaca berulang kali dan tanpa jemu dipinta? Bertanyalah pada diri kerana jarang sekali kita bermuhasabah menilai isi kandungan doa yang kita panjatkan. Adakah kita lebih banyak meminta perkara yang berkaitan kehidupan dunia, berbanding kehidupan akhirat?
(Kisah di atas merupakan antara petikan dalam ruangan 'Analisis' Majalah Solusi Isu 38(ms 95) nukilan Mohd Al-Adib Samuri)


Bagaimana dengan doa kita sehari-hari hingga ke hari ini? Pernahkan kita bermuhasabah semula untuk menilai doa kita? Atau kita selama ini hanya berdoa bila merasa perlu?

Bila dekat nak 'exam' baru mencari tikar sejadah (kira bersyukur bagi yang ada kesedaran bila nak exam daripada yang tak sedar langsung) , baru terasa untuk menadah tangan, baru teringat untuk berdoa..dan isi doa pula hanya berkaitan untuk lulus dalam exam..tapi pernah atau tidak kita meminta untuk diberikan yang terbaik untuk diri kita, agama kita dan hidup kita di dunia dan akhirat? Meminta dan memhon agar segala ilmu yang dipelajari menjadi sesuatu yang bermanfaat buat diri, dan seluruh ummat Islam?

Bila dapat musibah, seringkali keluhan yang terbit dahulu daripada kesyukuran berupa doa. Kita pasti meminta untuk dipermudahkan semuanya, tapi pernah atau tidak kita meminta agar musibah itu menjadi suatu kebaikan yang akan mendekatkan diri kita kepadaNya?

Kita ini manusia. Sehebat dan seangkuh mana pun seseorang itu, jika dicampakkan ke tengah lautan atau ke tengah hutan belantara keseorangan, pasti dihatinya timbul rasa untuk bergantung pada sesuatu yang lebih berkuasa, yang Maha Berkuasa agar menyelamatkannya. Ketika itulah, kita akan merasa betapa tingginya nilai sebuah doa apabila tidak mampu melakukan apa-apa lagi selain menyatakan pergantungan padaNya.

Justeru renung-renungkanlah doa kita selama ini..dan kita juga perlu menyedari, kadangkala perkara yang kita sangka baik itu sebenarnya tidak baik untuk kita dan begitulah sebaliknya. Oleh itu, janganlah patah hati atau kecewa jika doa tidak dimakbulkan seperti yang dipinta kerana Allah lebih tahu apa yang kita perlukan, dan kadangkala apa yang kita pinta bukanlah satu keperluan yang terbaik buat kita saat itu..



Friday, December 16, 2011

Tarian Pena di musim cuti

Bagaimana terhasilnya batu-batu permata yang berkilau indah itu? Terhasilnya ia akibat proses himpitan, tekanan, dan mengambil suatu tempoh yang cukup lama.Kemudain di bentuk pula, di asah untuk memperelokkan rupanya. Sehinggalah menjadi satu batu permata yang sangat indah dan amat mahal harganya. Begitu juga dengan satu cawan yang cantik. Sebelum nak jadi cawan, kene di lebur, di ketuk, dibentuk, dipanaskan, di gilap. I asatu proses yang "menyakitkan". Lumrah, untuk mendapatkan sesuatu yang cantik terhasil, maka memerlukan satu proses yang menyakitkan, pengorbanan waktu juga. (utk bacaan seterusnya, klik sini)

Cuti panjang akhir setiap semster memang agak membosankan jika kita tidak tahu apa yang harus dilakukan.
Setiap hari aku berfikir apa yang akan kulakukan hari esok..setiap hari aku menghitung dan mengingat semula apa yang sudah kulakukan sepanjang hari ini? Menghitung satu persatu cuti memang membuatkan cuti bgtu lama..tapi kalau setiap saat cuti itu terisi dengan baik, ia pasti cepat berlalu..

Aku teringat kata-kata seorang hamba Allah, kerana tidak mahu masa yang ada tersia begitu sahaja, apa juga kerja termasuk mengelap piring astro dilakukan asalkan ianya berfaedah..

Betapa pentingnya masa itu untuk diperguna sebaiknya, tapi yang kita lihat hari ini adalah sebaliknya..ramai anak muda yang tidak menghargai masa..Mungkin kerana belum menyedari erti masa itu dalam kehidupan. Sebagai seorang manusia biasa, untuk mengakui bahawa aku berjaya menggunakan 24jam masaku untuk kebaikan adalah mustahil, kerana pasti ada pincangnya walau sesaat. Nmun itulah cabaran yang harus dihadapi oleh setiap manusia. Masa adalah anugerah yang tidak mungkin dapay kita tebus semula. Kerana itu, selalu diingatkan, masa yang sudah berlalu itulah yang paling jauh dari hidup kita. Dan sering juga diutarakan bahawa masa adalah kehidupan dan kehidupan kita adalah masa yang dianugerahkan.

Kerana masa itu sentiasa bergerak dan beralih, kita tidak boleh statik. Hidup ini berkait dengan perubahan pada setiap masa, yang erlu kekal teguh, tetap dan statik adalah jati diri dan dalaman kita yang berkaitan dengan pendirian rohani, atau dalam erti kata yang ringkas, akidah. Kehidupan kita berkait langsung dengan bermcam perundangan yang memerlukan kita bersikap terbuka namun tetap berpaksi pada landasan yang dibenarkan. Kerana itulah Islam sesuai pada setiap zaman, dengan kemudahannya untuk para muslim dalam pelbagai keadaan yang berbeza. Kerana itu wujudnya pandangan yang berbeza pada setiap tempat, atau pada tempat yang sama namun berbeza masa dan ketika. Dan kerana itu juga hukum fiqah itu adakalanya berbeza pengamalannya kerana ianya disesuaikan mengikut waqi', tetapi tidak aqidah. Aqidah Islam adalah tetap dan jitu walau dalam keadaan apa dan pada masa bila sekalipun.

Bila ada saudara yang bertanya kenapa proses kematangan itu bertahap, padaku, jawapannya sudah ada pada soalan itu sendiri. Kerana ianya suatu proses. Suatu proses memerlukan masa, bererti ia memerlukan sebahagian dari hidup kita untuk menerima proses itu. Kehidupan kita sendiri berkembang dalam suatu proses yang sangat rumit untk dihuraikan, menunjukkan betapa besar kuasa Allah yang menciptakan manusia selaku makhluk paling mulia darjatnya dari sekalian makhluk yang lain. Hatta malaikat sekalipun. Tapi kita selaku manusia selalu lupa akan perihal itu. Manusia selalu bersikap temberang kerana merasa dirinya hebat, tapi tidak pernah merasai dan menghayati kehebatan Sang Pencipta yang mencipta dirinya.

Adakah kematangan berkadar langsung dengan usia? Pada pandanganku..mungkin tidak kerana ada juga kanak-kanak yang bersikap matang tidak padan dengan usianya, demikian juga orang dewasa yang beruban, yang tidak menunjukkan kematangan serupa dengan matangnya uban di kepala.

Hidup ini cukup kompleks sebenarnya kalau mahu difahami sedalamnya, tapi ianya juga mudah kalau kita menerima seadanya apa yang sudah dtentukan olehNya dengan lapang dada, penuh kesabaran dan ksyukuran selaku hamba yang sentiasa memerlukanNya..Justeru, terimalah seadanya, bersederhana dengan segala kurniaanNya..

Bagaimana untuk menjadi matang...cara yang paling mudah...kembalilah kepada fitrah..kita boleh lihat ramai generasi hari ini,khususnya belia muslim di Malaysia yang terjebak dengan itu ini, kerana tidak tahu berfikir secara matang dan rasional tentang apa yang mereka pilih, apa yang mereka lakukan. Kenapa ianya berlaku, kerana minda dan hati tidak dibuka untuk menilai sesuatu yang berlandaskan hukum syariatullah dan sunatullah. Cara hidup juga tidak dipandu dengan dua hukum tersebut.

Renunglah sejarah kebangkitan Islam..bagaimana ia bermula..dengan para belia yang muda remaja, yang terdidik peribadi dan rohani dengan keindahan dan keunggulan Islam. Ringkasnya, kematangan itu akan hadir sesuai dengan suasana yang alami, namun dengan cara fikir yang betul berteraskan hukum-hukumNya. Ada juga yang matang, befikir dengn nilai dan etika moral yang betul namun sebagai manusia yang bergelar muslim, ada titik bezanya antara hidup berTuhan dan hidup berduniawi semata.

Justeru kepada semua di luar sana, belajarlah tentang hidup dari apa juga yang diberikanNya..tidak pernah Dia memberikan kita sesuatu yang sia-sia, pasti ada manfaat, hikmah dan kebaikan yang tersembunyi.

Selamat menyambung cuti buat semua yang bercuti. InsyaAllah petang ini aku akan terlibat sebagai pengapit seorang saudara dalam majlis pernikahannya yang akan diadakan selepas maghrib. Doakan semua berjalan lancar dan semoga masjid yang dibina akan berkekalan hingga ke syurga. Majl resepsi akan diadakan pada petang esok dan kepada yang berkesmpatan, aku mewakili beliau untuk menjemput kalian semua hadir ke majlis tersebut.

p/s -> Bila ada yang tanya, siapakah antara pengaruhku dalam mempelajari politik? Agak ramai dan salah satunya, Dr Ridhuan Tee Abdullah.

Tuesday, November 29, 2011

Salam Maal Hijrah..

Salam Maal Hijrah...

Tahun bru hijrah bermula lagi. Apakah cita-cita kita pada tahun lepas sudah tercapai?
Acapkali bila tiba tahun baru, pasti kita ditanya tentang azam baru..tiap tahun azam silih berganti tapi tidak pasti apa ia benar sudah menjadi realiti atau masih sekadar angan-angan dan ilusi diri, masih berlegar sebagai fantasi..

Semasa kecil dulu..pasti kita pernah ditanya tentang cita-cita apabila dewasa..Aku masih ingat, dulu..kalau ditanya apa cita-cita..yang berlegar difikiran hanyalah peguam dan doktor..Dulu juga, aku sering terbayang wajah diriku pada zaman dewasa yang berkerjaya sebagai seorang peguam..Kemudian apabila beralih ke zaman remaja awal, aku mula meminati alam perubatan, dan ia membuatkanku merubah cita-cita kepada menjadi seorang doktor..Sejak itu, aku mula berusaha untuk dapat masuk kelas aliran sains dan alhamdulillah, aku berjaya..Aku sangat meminati bidang sains dan perubatan walaupun hakikatnya, subjek fizik dan kimia payah untuk kukuasai..

Tapi takdir Allah menentukan aku akhirnya menyambung pengajian dalam bidang pendidikan, untuk menjadi seorang guru..Menjadi seorang guru..langsung tidak pernah tertulis dalam senarai cita-citaku sebelum ini..Tapi..itulah yang dikatakan perancangan Allah adalah yang terbaik, dan kita tidak dapat menolak rencanaNya..Setiap perkara yang berlaku adalah bersebab, dan aku sangat percaya ada banyak hikmah dan kebaikan yang tersembunyi dalam setiap perancangan Allah, cuma terpulang pada diri kita untuk menilai semuanya..bersabar dan bersyukur adalah kunci untuk menerima dan menghadapi dengan baik segala takdirNya.

Aku mungkin tidak dapat menjadi seorang peguam, dan juga tidak berjaya menjadi seorang doktor perubatan yang kuimpikan selama ini, tapi daripada semua ketidakberjayaan itu, aku berjaya menemui dan mendapat sesuatu yang lebih bernilai dari semua itu..aku juga percaya ramai di luar sana yang tidak berjaya menjadi seperti apa yang dicitakan..tapi percayalah..cita-cita itu hanyalah sekadar kata nama,,dan ada banyak cara dan peluang sebenarnya untuk mencapai cita-cita itu, walaupun dalam bentuk kata nama yang lain....insyaAllah..Ianya tidak mudah tapi bukan mustahil..

Pokoknya..setiap antara kita mempunyai cita-cita..cuma terpulang pada kita bagaimana untuk mrealisasikannya menurut landasan yang sudah ditetapkan olehNya..

Dan kini..bla ditanya apakah cita-citaku..hm...cukuplah untuk menjadi seorang hamba Allah yang benar-benar berjiwa hamba kepadaNya..tidak kiralah apa kerjayaku..walaupun insyaAllah bakal menjadi guru, tapi peranannya mungkin lebih dari itu..

Saban hari, ujian dan cabaran semakin kuat dan getir,dan ianya pasti menuntut kekuatan yang bukan sedikit..Justeru, raihlah kekuatan dengan memperkasa rohani kita..insyaAllah..sama-samalah kita berusaha dengan sebaik mungkin..

Salam Muharam buat semua..dan selamat meneruskan cuti..

p/s-> bila lapang..rindu masa sibuk..bila sibuk..rindu masa lapang..sibuk atau lapang..keduanya adalah nikmat Allah..justeru hargailah keduanya..

Tuesday, November 22, 2011

Ulang Tahun vs Sukan SEA



Bismillahirrahmirrahiim..

Alhamdulillah..setelah sekian lama menyepi, aku cuba meraih sedikit kekuatan untuk kembali mengemas laman mayaku yang rasanya sudah mula dipenuhi habuk dan sesawang..

Hari ulang tahun kelahiran..apa makna sebenar hari tersebut pada diri anda..padaku sama saja seperti hari yang lain, cuma bezanya mungkin pada hari tersebut, ramai yang mengucapkan selamat ulang tahun, happy bday..slmt hai lahir..slmt hari jadi dan sebagainya..

Tanggal hari ini, 22 November, aku menganjakkan kaki ke usia 24 tahun, satu angka yang masih kecil tapi cukup banyak yang sudah dilalui. Walaupun begitu, ianya masih tidak cukup untuk dijadikan bekal untuk menempuh perjalanan seterusnya. Semakin angka itu meningkat, maka semakin singkat masa yang ada di perjalanan yang sementara ini sebenarnya..

Terima kasih kepada yang mengingati tarikh kelahiranku ke dunia penuh pancaroba ini..terima kasih atas ucpaan dan kata-kata sokongan kalian untukku terus bergerak maju ke depan..terima kasih juga untuk doa-doa kalian..Semoga Allah memelihara hati-hati kita dan mengukuhkan silaturrahim antara kita semua..semoga Dia sentiasa melimpahkan rahmatNya kepada kita semua..insyaAllah..

Beralih seketika kpd Sukan SEA 2011, aku memang antara peminat sukan, tapi bukanlah peminat fanatik..kebetulan skg tgh cuti semester, semalam aku berpeluang menyaksikan perlawanan akhir bola sepak antara Malaysia dan Indonesia (Harimau Muda vs Garuda Muda) bersama-sama keluarga..Aku tumpang gembira dengan kejayaan pasukan Harimau Muda kita..Walaupun pada pandanganku, pemain no 28 Indonesia (Abd Rahman) sedikit kasar ketika bermain, namun apabila berjaya menjaringkan gol semasa tendangan penalti, hatiku sejuk melihat beliau terus sujud syukur..(sujud di tengah padang bukanlah perkara baru, tapi bila nampak ada insan yang sujud ketika yang lain melompat kegembiraan, ia tetap menghadirkan suatu perasaan yang berbeza..)


Dan pada malam semalam juga barulah aku mengenali kapten pasukan Malaysia (Badrol Bakhtiar)..padaku (sekali lagi pandangan orang yang tidak tahu menahu tentang bola)..padaku, beliau menjalankan tugas sebagai kapten dengan cukup baik sekali...

Tapi sampai sekarang..aku masih berfikir..kenapa mereka bermain bola menggunakan seluar pendek? (Bukan saja mereka, tapi kebanyakan atlit sukan lain, bukan saja yang pro, tetapi juga pemain amatur..) Tidak boleh berlarikah kalau guna seluar panjang? Tidak laju larikah? susa mau gelecek bola? Alangkah eloknya, kalau sudah cemerlang bermain begitu, ditambah lagi cemerlangnya etika berpakaian sesuai dengan imej sebagai pemain muslim. Baju dah ok pun..cuma seluar ja tak cukup panjang..Tak pakai seluar panjang pun, aku percaya ada banyak alternatif untuk mengatasi perkara tersebut..

Islam tidak menghalang kita untuk bersukan, tetapi didalamnya terkandung panduan dan syarat yang perlu dipatuhi..Justeru, sebagai antara penggiat dan peminat sukan, aku ingin menyeru diri sendiri dan saudara saudari di luar sana, marilah kita sama-sama dan sentiasa membawa imej Islam dalam diri walau dalam apa jua yang kita lakukan (bersukan atau dalam cara apa sekalipun, akademik, sahsiah, sosial dan pergaulan dan sebagainya..) dan berbanggalah kita menjadi umat Islam yang cemerlang bukan sahaja dari aspek jasmani, tetapi juga rohani dan mental..insyaAllah..

Maafkan diri ini andai ada bicara yang menyinggung jiwa dan hati..sama-sama kita perbaiki diri dan peribadi serta memperkasa rohani..

Renungi dua baris ayat ini ..

'Islam itu tinggi, dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya.." (ini merupakan hadis, tetapi maaf kerana tidak menyertakan rujukan..)

'Kita adalah ummat yang telah Allah berikan kemuliaan dengan Islam, dan barangsiapa yang mencari kemuliaan selain daripdanya, maka Allah akan memberi kehinaan kepada kita..'(kata-kata khalifah Umar al-Khattab, apabila tiba di Tanah Palestin hari ini untuk mengambil kunci Baitul Maqdis suatu ketika dulu..)

Sekian dahulu...salam percutian dariku buat semua...

Assalamualaikum..

Sunday, October 16, 2011

Cerita tentang malam

Suasana malam di kampung dan di asrama memang ada bezanya. Aku suka keluar di beranda rumah sambil memerhatikan gugusan bintang yang berkelipan menghiasi dada malam. Kalau tidak pun, aku keluar dan berdiri di halaman rumah, huga memerhatikan perkara yang sama. Terasa suatu kelapangan, kedamaian dan kesyahduan melanda lubuk hati. Aku tidak tahu mengapa. Tapi aku sukakan perasaan itu. Bila sudah terlalu banyak perkara yang harus difikirkan bersarang di minda, berehat sebentar melihat keindahan ciptaan Allah merupakan antara terapi buatku. Justeru, kadangkala aku akan pergi ke mana-mana pada hujung minggu yang tertentu untuk melihat indahnya saat matahari terbenam.

Saat ini fikiranku bungkam. Bungkam memikirkan terlalu banyak perkara yang datang menyesak fikiran sekian lama.

"Wah..lawa buku ni..kau punya sendiri?" tanya Bell (Isabella) sewaktu datang bertandang di bilikku di asrama. Dia memegang sebuah buku. Aku memandangnya sekilas lalu mengangguk dalam senyuman. Dia kembali membelek-belek buku itu. Habis buku-buku di atas mejaku dibeleknya.

"Kau beli sendiri?" tanyanya lagi. "A'ah.." rngkas jawapanku. Wajahnya berubah tatkala membaca tajuk buku tersebut. 'Indahnya Kematian'. Bell seperti ingin tertawa, namun perasaan hairannya lebih menonjol pada wajahnya.

Aku hanya tersngih. "Bikin takut juga buku kau ni..." Aku tertawa kecil.
"Kau selalu ingat pasal mati sajakah?" Aku diam dalam senyuman. Aku sudah lama tidak membuka buku itu. Sememangnya tajuknya agak menakutkan, tapi itulah yang mnarik minatku untuk membelinya. Bukan kerana selalu ingat mati aku membeli buku itu, tapi sekurang-kurangnya ia menjadi sesuatu yang akan mengingatkanku pada kematian.

Sesudah puas membelek, akhirnya dia memilih bku 'AKU, ISABELLA DAN TOK KENALI' yang merupakan catatan penghijrahan Bob Lokman dari medan seni ke medan dakwahnya. Aku berasa lucu mengenangkan dia memilih buku itu kerana ada namanya tertera sebagai sebahagian dari tajuk buku itu. Sesaat aku juga hairan dengannya yang tiba-tiba suka membaca. Namun, aku juga sukakan perubahannya yang ketara itu, hinggakan menjadi peminjam buku di perpustakaan besar daerah Keningau.

Ingatkan mati. Kata Cikgu Isa (Pensyarah IP Kampus Islam)..tak perlu takut mati, tapi kena bersedia menghadapinya. Masalahnya ramai yang tak bersedia dan tak mahu menyediakan diri ke arah itu. Tapi takut pula untuk mati dan terlalu risau untuk meninggalkan dunia.

Aku menghela nafas. Memikirkan..sejauh manakah sudah persediaan untuk menghadapi saat itu. Saat yang pasti bagi setiap insan, bezanya cuma pada waktu dan tempat serta cara.

Sinaran sang bulan semakin kelam. Cahaya purnamanya semakin malap. Semalap hatiku. Perjalanan hidup ini semakin berat, aku tidak tahu ke mana sudah arahku berjalan dan berlari. Nafas ku hela sekali lagi. Dengan sisa hidup semakin singkat..hatiku berkata..'Memang dunia ini penuh dengan kepalsuan..aku tidak sabar bertemu dengan hakikat yang penuh kebenaran..tapi aku tidak tahu sama ada aku sudah cukup bersedia atau tidak..'

Apapun, diri perlu bangkit untuk menghadapi hari esok. Mungkin esok masih ada untuk kita..dan nyata hidup ini penuh dengan harapan baru. InsyaAllah..

Wednesday, September 7, 2011

Cerita Rayaku

Bismillahirrahmanirrahim..

Raya..bila tiba hari raya, macam-macam versi cerita yang boleh kita dengar. Ada yang gembira, ada yang sedih, ada yang meriah dan ada juga yang suram.

Ini pula cerita raya versiku.

Perasaanku bercampur baur. Teruja, sebak, sayu dan segala macam rasa bersarang di hati. Ramadhan bakal berlalu. Terlalu singkat rasanya ramadhan kali ini. Dengan sesi praktikum, dan setiap hujung minggu balik ke rumah, tidak terasa ianya berlalu begitu pantas. Risau, bimbang andainya tidak berpeluang berada dalam ramadhan yang seterusnya.

Ada sesuatu yang istimewa tentang ramadhan. Berlalunya ramdhan, maksudnya berlalu sudah keistimewaan itu. Sayang sungguh semua masa yang berlalu begitu saja tanpa terisi dengan perkara yang bermanfaat. Terasa kerdil sungguh diri. Seringkali alpa degan nikmat yang ada. Aku menghitung ramadhan yang tersisa sambil berdoa agar diberi kesempatan untuk merayakan ramadhan seterusnya bersama insan-insan yang ku sayang.

Dua hari sebelum raya, pakcikku dari Labuan sekeluarga tiba. Kakakku pula berangkat pulang ke kampung suaminya di Limbang, Sarawak.

Sebelum tiba syawal lagi biasanya kemeriahan akan terasa. Tapi secara peribadinya, aku tidak merasakan syawal kali ini bertambah indah atau ceria, walaupun agak meriah suasana di rumah. Adikku yang berada di Utara Semenanjung tidak balik, atas alasan kewangan dan juga cuti cuma seminggu. Katanya, tidak apa sebab hujung bulan September juga dia akan balik ke tanah Sabah. Kakakku juga kali ini beraya pertama kali dengan keluarga suaminya. Kurang sudah 2 orang ahli dalam keluarga. Walaupun ramai orang di rumah, namun kekurangan tetap ada terasa. Pada syawal yang lepas, aku masih ingat, adik lelaki sulungku adalah yang terakhir sampai di rumah (semua di perantauan) pada hari terakhir puasa. Malam raya begitu ceria rasanya walaupun cuma kami-kami saja di rumah (keluarga pakcik tidak balik tahun lepas). Kakakku juga ketika itu belum bergelar isteri dan dialah yang lazimnya sibuk membuat persiapan untuk juadah syawal. Dengan kehadiran sepupu-sepupu, sedikit sebanyak suasana sunyi tenggelam dek kemeriahan yang ada. Syawal kali ini juga berbeza dengan kehadiran kakak ipar(isteri abang) dan buah hati mereka (Abd Muizz).

“Solat raya besok?” tanya pakcikku. “InsyaAllah..” jawabku dalam senyuman. “ Kita sekalilah..satu kereta..”pelawanya. “Boleh..insyaAllah..”balasku semula. Dalam fikiranku menerawang..naik kereta baru. Mitsubishi Pajero Sport..bila lagi mau merasa kereta Labuan. Aku tertawa dalam hati. Salah niat. Aku menggeleng sendiri.

Raya pertama, awal pagi lagi sudah bising di rumah. Semua bergegas bersiap untuk solat sunat hari raya. Bilik mandi cuma satu, penggunanya melebihi sepuluh orang. Sepupuku dari pekan juga tiba awal di rumah untuk solat sunat di kampung. Lazimnya, para sepupuku yang menetap di bandar dan jarang balik kampung, akan ikut sama solat sunat di kampung walaupun masjid pekan lebih dekat. Itulah meriahnya raya di rumah. Tumpuan para sepupu sepapat.

Biasanya, raya pertama adalah hari untuk kaum kerabat. Untuk raya pertama, usai solat sunat dan menziarah kubur, pakcik mengajak untuk beraya di Keningau. Tunggu punya tunggu, akhirnya kami berkonvoi dengan para sepupu sepapat yang lain. Sebelum ke Keningau, kami singgah dulu di Kg Mandalom dan Kg Kalang (adik beradik bapa dan pakcikku). Tidak juga ramai, dalam lima kenderaan sahaja. Aku tetap setia dengan Viva, tetapi bukan Vivaku..Viva putihku kuserahkan pada abang dan aku beralih kepada viva sepupuku..


Bakal bersambung..insyaAllah...

Wednesday, August 3, 2011

Ceritaku

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum...

Apa khabar anda semua di luar sana? Terasa begitu lama sekali tidak menjengah dan mengemaskini laman mayaku ini. Mungkin sedikit dikekang masa. Ya..mungkin.

Masuk hari ini, sudah minggu kelima aku menjalani latihan praktikum untuk fasa kedua. Ada lebih kurang 3 minggu sahaja lagi. Kali ini, aku ditempatkan di Sk Menawo, Keningau. Satu suasana yang baru namun aku senang di sekolah ini. Syukur Alhamdulillah. Setakat ini, segalanya dipermudahkanNya. Walau ada saja perkara baru yang timbul, aku bersyukur, Allah masih melapangkan dadaku untuk menghadapinya.

Setiap hari, ada saja perkara baru yang menuntutku untuk lebih terbuka dalam menterjemah erti hidup ini. Kehidupan yang pernuh tanda tanya dan penuh misteri. Kita tidak pernah tahu apa masa depan kita, tapi ia akan tercorak dari sikap dan cara kita hari ini.

“Kita bukan saja jadi mengajar, tapi kita kena ingat kita sebagai orang Islam, kita ada fikrah..” itu pesan pensyarah pembimbingku acap kali bertemu dengannya. Syukur sekali lagi, kali ini aku mendapat pensyarah pembimbing yang sama seperti semester lepas. Semakin banyak teguran, nasihat dan kata-kata motivasi yang beliau sampaikan, membuatkan selalu terfikir, apakah selama ini, aku berjaya menjadi seorang pelajar yang berfikrah itu.

“Ada masalahkah?” tanya beberapa orang saudara. Namun dalam masa yang sama, ada yang berkata, “Saya nampak kau ni macam tak da masalah ja..rilek ja..apa rahsia?” Penilaian setiap orang berbeza kerana kita menilai dari sudut yang berbeza. Kata naqibku, kita hanya mampu menilai secara zahir. Hati manusia kita takkan tahu kerana hanya Allah sahaja yang dapat menilai hati kita. (Kebelakangan ini, aku sering ponteng kelas bahasa Arab beliau, dan aku rasa bersalah untuk itu. Terlalu banyak kekangan yang menghimpit sejak akhir-akhir ini, dan aku masih lagi dalam proses untuk belajar menghadapi semua itu..Untuk itu, minta maaf kepada semua yang berkenaan terutama kepada beliau..)

Iman kita ada pasang surutnya. Memang benar. Dan,kadangkala kita tidak sedar, di saat kita merasakan iman kita di tahap tinggi itulah sebenarnya ia berada pada paras terendah dan begitulah sebaliknya.

Bila ada yang bertanya padaku, macamana untuk menjadi orang yang tidak terlalu enjoi dengan segalanya di dunia ini, jawapanku mudah saja, “Muhasabah diri selalu..” Kena rajin merefleksi diri agar kita tidak lupa siapa kita yang tidak punya apa-apa ini.

Baiklah, setakat ini dulu. InsyaAllah, lain masa jika berkesempatan, kita berkongsi cerita lain pula.

Selamat menjalani ibadah puasa kepada semua..

Wassalam..

Saturday, June 11, 2011

Menghargai dan dihargai

Bismillahirrahmanirrahim..

Dalam hidup ini, kita perlukan sesuatu dalam istilah menerima dan memberi. Timbal balik daripada sesuatu yang diterima dan diberi melahirkan suatu perasaan menghargai antara satu sama lain. Perasaan dalam menghargai sesuatu atau seseorang tidak semestinya dinyatakan dalam bentuk tutur kata. Jika ada kefahaman antara satu sama lain, dan kesediaan untuk menerima kekurangan dan kelebihan sesama sendiri, tanpa perlu diucapkan melalui tutur kata sekalipun, kita sudah pasti dapat merasakan penghargaan tersebut.

Alhamdulillah, kali ini aku berkesempatan lagi untuk berkongsi buah fikiran dalam ruangan maya ini. Seperti yang kukatakan dalam entri-entri sebelum ini, banyak yang ingin dikongsi agar dapat kita fikirkan bersama, namun,seringkali ada kekangan yang menjengah.

Sepanjang cuti semester ini, aku mengambil peluang untuk merehatkan fikiran dari alam kuliah, dan cuba melangkah ke dalam dimensi baru hidupku secara peribadi. Cuba merungkai persoalan-persoalan yang bermain di benak fikiran sekian lama, cuba berfikir lebih dalam dan lebih jauh tentang erti kehidupan di dunia yang sementara ini.

Beberapa hari lalu, seorang saudara bertanya apakah dirinya belum matang. Soalan itu kuterima saat kami berbual di ‘chatbox’. Aku tersenyum. Agak geli hati.

Walhal, secara peribadi, aku merasakan dirinya jauh lebih matang dari diriku sendiri. Dalam banyak perkara, kukira tindakannya diluar jangkaanku sendiri.

Apabila kematangan itu wujud dalam diri, kita lazimnya bertindak atas sesuatu yang kita sudah fikirkan akan sebab dan akibatnya. Apabila kematangan itu sudah ada dalam diri, kita melakukan sesuatu atas landasan yang jelas, yang kita fahami isi tersurat dan tersiratnya. Namun, padaku, sifat kematangan itu adalah suatu fitrah bagi manusia. Maknanya, kematangan itu memang lahir bersama kita, namun kecenderungannya untuk muncul dan kita rasai adalah berbeza antara satu sama lain.

Sama seperti sifat marah dan sikap panas baran. Setiap orang mempunyai sifat dan sikap tersebut, namun tindakan yang dizahirkan adalah berbeza berdasarkan kemampuan kita untuk mengawal sikap dan sifat tersebut. (Kepada pakar-pakar psikologi, maafkan aku sekiranya pandangan ini silap dengan teori yang telah dikaji kesahihannya).

Mengimbas semula perjalanan hidup yang dilalui sebelum ini,membuatkanku rasa sangat bersyukur kerana semuanya menjadi pengalaman yang sangat berharga buatku. Aku yang dahulu, adalah aku yang sekarang juga. Diri yang sama, cuma mungkin berbeza cara fikir dulu dan kini. Ramai yang menyedari dan menegur perubahan itu, dan seperti yang pernah kunyatakan sebelum ini, ku akui perubahan itu tidak semuanya baik. Tapi sebagai seorang manusia biasa, aku juga mengakui kelemahanku, aku tahu aku juga tidak sempurna, dan perlu memperbaiki diri tiap saat dan ketika. Terima kasih atas teguran anda semua. Aku hargai teguran itu, kerana dari kalian semua jugalah aku belajar menghargai hidup kurniaanNya ini.

Hargai hidup ini, hargai setiap saat yang kita miliki, kerana ia tidak akan berulang semula. Bukankah yang paling jauh dari kita itu ialah masa yang telah berlalu? Dan yang paling dekat itu ialah maut?

Apabila mengenangkan semua itu, aku akan menarik nafas perlahan-lahan lalu memejamkan mata seketika. Kemudian aku tersenyum dalam mata yang terpejam. Senyum yang penuh rasa syukur. Tika itu, namaNya kusebut di dalam hati. Aku bersyukur kerana diberi peluang untuk hidup hingga saat ini. aku tidak tahu bilakah peluang dan kesempatan ini akan tamat. Aku tidak tahu jangka masa kontrak hidupku yang tersurat dalam ketetapanNya.

Justeru, aku berusaha untuk menghargai semuanya yang ada didepan mataku saat ini. Diri sendiri, keluarga, sahabat handai, rakan taulan, saudara mara dan semuanya. Merasa diri dihargai adalah nikmat hidup yang tidak mampu diluahkan dengan cuma berkata-kata, hanya mampu bersyukur padaNya. Bagaimana untuk bersyukur padaNya? Persoalan itu terlalu besar untuk dikecilkan sempadan jawapannya.

Apa yang dapat kukatakan, berusahalah untuk menjadi hamba yang terbaik mengikut kemampuan diri. Berusaha untuk menjaga dan menghargai nikmat iman dan Islam yang dikurniakanNya. Bersihkan hati sentiasa, perbaiki peribadi, mantapkan amal dan ibadah, dan lapangkan dada untuk segala ketetapanNya. Percaya dan yakinlah, semua ketetapanNya untuk diri kita, tidak pernah sia-sia. Pasti ada hikmah dan pengajaranNya.

Selamat meneruskan perjuangan hidup buat anda semua di luar sana..:)

Wasalam.

Wednesday, May 18, 2011

Muhasabah Seketika

Pandangan kuhamparkan jauh ke hadapan. Mataku memerhatikan gerak geri para manusia yang lalu lalang di hadapanku. “Bila sudah bertambah usia, makin susah nak belajar, kan” ujarku, dalam pandangan yang tidak tertoleh.

“Hm..tapi sebenarnya bukan sebab kita main tua, tapi sebab macam-macam yang sudah kita tengok..” sambut rakanku. Aku tersenyum. Itulah maksud sebenarku. “Itulah yang tersiratnya..”balasku semula, masih dalam senyuman.

Rakan ini tertawa kecil. “Kita ni,makin hari… tengok itu ini, dengar macam-macam..lama-lama susah mo terima ilmu..”sambungnya. “Banyak dosa..”kataku, perlahan.

‘Hati sudah gelap, macam mana ilmu nak masuk..’bisik hatiku pula. Aku mengeluh dalam diam. Makin hari, terasa makin banyak dosa yang dilakukan. Yang segaja sudah tak terkira, apatah lagi yang tidak sengaja. Sedih, sayu dan kerdil rasanya kerana tidak menjalankan amanahNya sebaik mungkin. Dilahirkan sebagai manusia, yang diangkat menjadi khalifah bumiNya, namun lebih banyak melakukan kemungkaran dibumiNya. Tidak semua begitu, tapi kebanyakannya seperti itu.

Banyak perkara berlaku kebelakangan ini. Semuanya menguji diri. Membuatkanku merenung kembali, sampai ke mana sudah perjalananku selama ini. Sejauh mana sudahku berjalan dan berlari dalam pelayaran hidup di dunia ini. Apa yang sudah kulakukan sepanjang tempoh kehidupan ini.

“Walau apapun yang kita buat, jangan sampai menjadi fitnah buat diri, dan terutamanya buat agama. Kita orang agama, bawa agama. Orang tengok kita sehari-hari..” pesan itu terngiang-ngiang di kotak ingatanku. Orang agama? ‘Layakkah kau digelar orang agama?’ sinis soalan itu bertandang di sanubari, berkali-kali. Namun padaku, orang agama atau tidak, selagi beragama, memang akan membawa agama ke mana sahaja.

Mungkin aku bukan orang agama yang menepati kriteria yang ditetapkan untuk menjadi orang agama yang sebenarnya, tapi aku akui, sebagai seorang yang berpegang kepada kalimah Lailahilallah muhammadarrasulullah, agama Allah akan sentiasa kubawa walau ke mana juga aku berada dibumiNya ini. Tanpa status ‘orang agama’ itu sekalipun, aku juga sama mendapat amanah itu, membawa dan menegakkan agamaNya selagi masih bernafas.

Bila segalanya dipermudahkanNya, aku berasa malu padaNya. Malu untuk meminta-minta, kerana Dia sering memberikan apa yang kuperlu, tanpa sempat kutadahkan tangan memohon padaNya. Sungguh, Dia Maha Mengetahui segala isi hati hambaNya. Malu dan kerdil juga terasa bila diri sering melakukan tegahanNya, namun Dia masih mengurniakan kasih dan sayangNya. Nikmat yang dikurniakanNya tidak pernah berhenti , tapi diri masih kerap lalai, leka dan alpa. Berat rasanya mengenangkan semua itu.

“Banyakkan istighfar,jangan lupa doa..” pesan rakanku lagi. Aku tersentuh. Meskipun rakan ini, kalau dilihat dari luaran, mungkin orang berfikir beberapa kali sebelum menerima nasihatnya. Jangan menilai orang sebelah mata. Paling penting, jangan suka menilai orang dari luaran. Siapalah kita untuk menilai sesama manusia. Apakah diri sendiri bersih dari dosa, hingga boleh menilai orang itu layak atau tidak bercakap soal nasihat? Apakah diri sendiri sahaja yang betul dan tahu soal dosa pahala, syurga dan neraka?

Semakin hari, semakin berat rasanya perjalanan ini. Kehidupan adalah ujian. Ujian adalah kehidupan. Hanya padaNya tempat kubergantung untuk segalanya. Tanpa izinNya, tidak mungkin aku sampai ke sini hari ini.

Lafaz istighfar kuucap dalam hati. Perasaan sebak bertandang di sanubari.

‘Ampunkan hambaMu ini ya Allah, kerana tidak melaksanakan amanahMu sebaik mungkin. Janganlah Engkau biarkan setiap apa yang kulakukan menjadi fitnah buat diriku, dan agamaMu. Peliharalah agamaMu ya Allah. Pimpinlah hambaMu ini dengan petunjukMu, permudahkan segala urusanku, dan tetapkanlah diriku dalam ketaatan padaMu.

Ya Allah, hidupkan dan matikan kami dalam iman dan Islam. Hidupkan dan matikan jua kami dalam ketaatan padaMu…’

Minggu peperiksaan akhir semester sudah tiba. Peperiksaan bakal bermula Khamis ini. Isu peperiksaan, isu yang lebih besar dari tsunami, buat sesiapa yang bergelar pelajar, kata salah seorang pensyarah. Ya..memang isu yang sangat besar. Buat semua di luar sana, selamat menduduki peperiksaan. Semoga berjaya melalui peperiksaan dengan sebaiknya.