Tuesday, September 21, 2010

Suatu hari..kisah sebagai pelatih

Bismillahirrahmanirrahiim..

Semester 3 lalu.....(keadaan yang lazim berlaku sepanjang bergelar pelatih)

Kemalasan menguasai diri. Terasa tidak bersemangat untuk melaksanakan tugasan amali iaitu menyediakan rph dan sesi pengajaran dikelas dan juga di prasekolah. Bila rakan bertanya tentang tugasan, aku tidak tahu berkata apa. Hanya menjawab belum siap dan belum buat. Hilang arah tentang apa yang harus dibuat.


Semasa pensyarah menerangkan serba sedikit tentang amali, aku mengambil tempat disebelah seorang rakan yang banyak berkongsi perkara yang lain daripada yang lain denganku sebelum ini. Aku ingin bertanya sesuatu dengannya. “ Dah siap? “ tanyanya. Aku tersenyum sambil menggeleng. Keluhan kecil kulepaskan. “ Terasa malas ni nak buat” jawabku jujur. Dia pula tersenyum.

Kami berpandangan seketika. “Kenapa ah saya rasa malas ni nak buat. Takda hati..” Aku berhenti seketika lalu memandang pensyarah sejenak. Menangkap sedikit kata-kata yang disampaikan, dan mengalihkan pandangan semula ke wajah rakan tadi. Dia masih memandangku.

“Saya rasa lebih semangat ni nak belajar HE, PJ..padahal itu subjek minor..” Aku ingin mengatakan minatku lebih kepada subjek minor, walhal subjek major lebih utama dan sepatutnya itu yang mesti ku kuasai. Dia tersenyum lagi. “Ani, kau tau tak, saya rasa kau ni cenderung pada politik dan yang macam tu lah..”
Aku tertawa. Jawapannya tidak menjawab persoalan yang bermain di mindaku. Ia jauh sekali dari apa yang kumaksudkan dalam soalan yang kuajukan. “Politik?”

Dia mengangguk. “Kau sesuai di kementerian…boleh bercakap dan menerang. Cuma perlukan keberanian dan ketegasan dalam menegakkan pendirian.” Aku berfikir, apa kaitannya? Aku menyambung, “Saya rasa tak seronok buat kerja amali ni. Kenapa ya?”

“Sebab idea untuk buat amali kumpulan bukan datang dari kau. Sebab tu takda feel. Masa cikgu terangkan hari tu pun, kau sibuk dgn assignment lain, tak kosentret pa cikgu bagitau, kan? So, macam tak tahu pa2..bila kena suh buat amali, idea pula org lain cdg n kau blur..betul?” aku mengerutkan kening. Cuba berfikir. Mencari ayat seterusnya yang boleh diutarakan bagi melegakan hati sendiri, kerana apa yang dikatakannya seakan-akan benar.

“Dapat tak? Macam kami, idea datang dari saya, sya tak suka tangguh benda ni jadi terus buat. So, rasa rasa semangat nak abiskan. Malas nak lambat2..” terangnya sambil membuat ekspresi wajah ceria. Aku tersenyum lalu mengangguk perlahan.

Betul juga apa yang dikatakannya. Kadang-kadang kepadatan masa membuatkan kita terlupa tentang keperluan memikirkan benda lain. Walhal itu lebih utama. Sikap menangguhkan tugas, memang sukar diubah. ‘Nantilah tu, esok nak hantar yang satu ni dulu, so siapkan yang ni dulu..’ biasanya begitulah ragam sebagai pelajar, termasuk aku sendiri. Aku berfikir seketika. Banyak benda perlu diperbaiki. Banyak perkara perlu diubah. Dan ia sememangnya menuntut pengorbanan yang bukan sedikit. Itulah amanah yang perlu ditunaikan setelah menerima tawaran memasuki alam insititut perguruan.


Pada sebelah petangnya, pensyarah subjek itu memanggilku. Ada tugasan baru untukku laksanakan dan sepanjang lebih kurang sejam bersama beliau, dia sempat bertanya, “Kamu nak jadi professorkah ani?” aku lantas tertawa. “Punyalah jauh tu cikgu..” jawabku. “Tapi insyaAllah, kalau ada rezeki dan umur panjang..” sambungku perlahan.

"Takkan kamu mau jadi guru prasekolah seumur hidup. Belajar lagi, jadi pensyarah ka.." demikianlah kata-kata beliau setiap kali memasuki kelas kami. Sentiasa menaikkan semangat untuk terus belajar dan belajar ke peringkat yang lebih tinggi, agar tidak terus berada di takuk lama, di zon yang selesa. Kami hanya tersenyum, tersengih dan tertawa kecil tatkala beliau mula berbicara dengan gaya seorang motivator seperti di kaca tv.

Terima kasih cikgu kerana tidak henti-henti menaikkan semangat kami untuk menjadi seperti cikgu..:)

Kini, disemester 4...akhir semester 4..Kesibukan makin menjerat diri. Tugasan dan assignment semakin menghampiri tarikh akhir. Segalanya bermain dalam hati. Malas, risau, keliru, gementar, teruja dan sebagainya. Terlalu banyak ruang dan lubang yang perlu ditutup, diperbaiki dalam tempoh yang sedikit. Aku tidak tahu sejauh mana kemampuanku. Aku hanya dapat berserah dan memohon agar terus diberi kekuatan untuk menunaikan amanah ini. Aku perlu belajar. Kita semua perlu belajar. Ia bukan pilihan, tapi kewajipan. Kerana belajar itu bukan semata-mata mengeja a, b, c atau mengira angka dan nombor, sebaliknya ia jauh lebih dalam, lebih luas. Kata sarjana, pembelajaran itu berlaku bila ada perubahan tingkah laku.

Persoalannya, adakah pembelajaran telah berlaku dalam kalangan kita selama ini? Khasnya yang bergelar bakal pengajar? Bakal penyampai ilmu pembelajaran?

Masing-masing kita fikirkan. Selamat menyiapkan assignment rakan-rakan pelatih sekalian..
Moga Allah mudahkan segala urusan kita dalam menuntut ilmuMya..sama-sama kita berdoa..

"Ya Allah..ajarkanlah kami bahawa belajar ini bukan untuk sesiapa tapi hanya keranaMu..
belajar ini bukan untuk diri,bahkan untuk seluruh ummat rasulMu..
belajar ini bukan untuk saat ini, bahkan untuk sepanjang zamanMu..
Ya Allah..ajarkanlah kami apa-apa yang kami tidak tahu tentang ilmuMu..
ingatkanlah kami apa-apa yang kami lupa tentangMu..
redhailah setiap langkah kami kerana hanya kepadaMu-lah kami akan kembali..."


Assalamualaikum..




Sunday, September 19, 2010

Bicara Pengembara


Suram. Kosong. Kelam. Bingung. Keliru. Gelisah. ….

Itulah serba sedikit perasaan yang seringkali hadir dalam hati makhluk bergelar manusia. Hakikatnya, manusia itu sentiasa bergelut dengan perasaan sendiri. Sentiasa berlawan dengan kata hati sendiri. Sentiasa keliru dengan persoalan-persoalan yang melingkari dirinya. Sentiasa keliru dengan perintah hati dan logik akalnya. Sentiasa cuba mencari siapa dirinya, meski sudah ditetapkan sejak azali, fitrahnya mengakui bahawa ia adalah hamba kepada Tuhan Yang Maha Esa.

Kadangkala, kita akan hairan dengan pelbagai peristiwa yang berlaku di sekitar kita. Kita dikelilingi banyak perkara yang kita tidak faham, yang sukar untuk dimengerti. Adakalanya kita berhabisan menidakkan sesuatu, namun yang berlaku adalah sebaliknya. Adakalanya pula kita mengharap akan sesuatu, namun yang diperolehi adalah sebaliknya.

Sewajarnya, kita sedar akan siapa diri kita. Makhluk kerdil lagi hina yang tidak mempunyai apa-apa, melainkan dengan apa yang Allah kurniakan pada kita. Ingin meninggi diri, menyombong diri pada siapa? Walhal diri tidak mempunyai apa-apa. Tidak memiliki satu pun. Semuanya pinjaman semata. Bila-bila boleh ditarik balik. Sudahlah meminjam banyak, meminta banyak, tapi seringkali menjadi kacang lupakan kulit.

Istimewanya manusia, ia boleh mendapat darjat yang lebih mulia dan lebih tinggi dari para malaikat, jika ia menjadi hamba yang sebenar-benar patuh pada Penciptanya. Dan dalam masa yang sama, darjat seorang manusia itu akan menjadi lebih rendah dan lebih teruk dari seekor binatang jika malu dan imannya tercabut dari jiwa.

Berpijaklah dibumi yang nyata. Kita hanya hamba, asal dari tanah dan akan kembali ke sana tidak lama lagi. Kita hanya berasal dari sesuatu yang kita sendiri pijak hari-hari. Kembalilah ke fitrah kita. Carilah titik mula yang sudah semakin jauh kita tinggalkan. Sudah jauh kita berjalan dan berlari serta mendaki, semakin dekat kita ke puncak, namun semakin jauh kita menyimpang dari fitrah asal kita. Jangan biarkan segala keindahan di depan mata mengaburi hati kerana hakikatnya dunia ini serba indah namun ianya palsu semata. Sementara semata. Carilah harta sebanyak mungkin, cintailah sesiapa sedalam mungkin, sayangilah keluarga sepenuh hati, namun bila saatnya tiba, semuanya akan ditinggalkan. Kita tetap akan berada sendirian disuatu rumah yang gelap dan sempit, tidak ada sesiapa pun yang menemani melainkan amal diri sendiri.

Jiwa yang kosong akan mudah dikelabui dengan hasutan dan bisikan romantis dari musuh nyata manusia. Justeru itu, jangan biarkan hati kita kosong. Carilah. Carilah asal dan tujuan hidup kita. Hidupkan hati kita dengan kembali mengingatiNya. Suburkan hati kita yang lemah dan layu. Kembali kepada fitrah sebagai hamba Allah. Selangkah kita menuju padaNya, seribu langkah Dia menuju untuk menerima kita.Setinggi gunung dan sedalam lautan dosa kita, akan diampunkanNya jika kita bertaubat dan berdoa padaNya.

Dikala hati ingin menangisi perjalan hidup, segalanya akan terasa hambar dan hilang serinya. Tika itu, datanglah bisikan lembut yang menyapa,

‘Semakin kuat ujian dariNya, itu tandanya semakin sayang Allah pada kita. Tidak inginkah menjadi hamba yang disayangiNya lebih dari yang lain? Bersabarlah..ingat Allah, kerana Dia tidak pernah melupakan hambaNya..yakinlah pada janjiNya..”

Kita tidak layak untuk masuk ke syurgaNya, tetapi kita tidak akan sekali-kali sanggup untuk masuk ke nerakaNya. Justeru itu…hadirkanlah hati kita, sepenuhnya..untukNya. Kerana hanya kepadaNya, kita akan kembali.

Pesanan ini bukan untuk anda di luar sana sahaja, namun ia ditujukan khusus buat diri yang menulis agar sentiasa ingat siapa diri, dari mana asal usul dan kemana hala tuju kelak.