Wednesday, August 3, 2011

Ceritaku

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum...

Apa khabar anda semua di luar sana? Terasa begitu lama sekali tidak menjengah dan mengemaskini laman mayaku ini. Mungkin sedikit dikekang masa. Ya..mungkin.

Masuk hari ini, sudah minggu kelima aku menjalani latihan praktikum untuk fasa kedua. Ada lebih kurang 3 minggu sahaja lagi. Kali ini, aku ditempatkan di Sk Menawo, Keningau. Satu suasana yang baru namun aku senang di sekolah ini. Syukur Alhamdulillah. Setakat ini, segalanya dipermudahkanNya. Walau ada saja perkara baru yang timbul, aku bersyukur, Allah masih melapangkan dadaku untuk menghadapinya.

Setiap hari, ada saja perkara baru yang menuntutku untuk lebih terbuka dalam menterjemah erti hidup ini. Kehidupan yang pernuh tanda tanya dan penuh misteri. Kita tidak pernah tahu apa masa depan kita, tapi ia akan tercorak dari sikap dan cara kita hari ini.

“Kita bukan saja jadi mengajar, tapi kita kena ingat kita sebagai orang Islam, kita ada fikrah..” itu pesan pensyarah pembimbingku acap kali bertemu dengannya. Syukur sekali lagi, kali ini aku mendapat pensyarah pembimbing yang sama seperti semester lepas. Semakin banyak teguran, nasihat dan kata-kata motivasi yang beliau sampaikan, membuatkan selalu terfikir, apakah selama ini, aku berjaya menjadi seorang pelajar yang berfikrah itu.

“Ada masalahkah?” tanya beberapa orang saudara. Namun dalam masa yang sama, ada yang berkata, “Saya nampak kau ni macam tak da masalah ja..rilek ja..apa rahsia?” Penilaian setiap orang berbeza kerana kita menilai dari sudut yang berbeza. Kata naqibku, kita hanya mampu menilai secara zahir. Hati manusia kita takkan tahu kerana hanya Allah sahaja yang dapat menilai hati kita. (Kebelakangan ini, aku sering ponteng kelas bahasa Arab beliau, dan aku rasa bersalah untuk itu. Terlalu banyak kekangan yang menghimpit sejak akhir-akhir ini, dan aku masih lagi dalam proses untuk belajar menghadapi semua itu..Untuk itu, minta maaf kepada semua yang berkenaan terutama kepada beliau..)

Iman kita ada pasang surutnya. Memang benar. Dan,kadangkala kita tidak sedar, di saat kita merasakan iman kita di tahap tinggi itulah sebenarnya ia berada pada paras terendah dan begitulah sebaliknya.

Bila ada yang bertanya padaku, macamana untuk menjadi orang yang tidak terlalu enjoi dengan segalanya di dunia ini, jawapanku mudah saja, “Muhasabah diri selalu..” Kena rajin merefleksi diri agar kita tidak lupa siapa kita yang tidak punya apa-apa ini.

Baiklah, setakat ini dulu. InsyaAllah, lain masa jika berkesempatan, kita berkongsi cerita lain pula.

Selamat menjalani ibadah puasa kepada semua..

Wassalam..