Thursday, August 2, 2012

Cerita kami

Diam-diam aku tenung dalam kekalutan manusia yang mungkin tidak punya masa memikirkan tentang sesuatu secara mendalam. Aku mencari di mana posisi diri. Hanya tiga langkah ke hadapan, entah kenapa tiba-tiba terasa sesat.

 Ada dua cahaya di hadapan, satu malap, satu lagi terang benderang. Aku mahukan yang terang itu tetapi diri tersedar,  jalan yang  samar-samar kemalapan itu sudah awal-awal lagi aku tempah.  Dahulunya, yang malap itu bersinar-sinar. Pernah aku berjanji pada diri bahawa pasti itu yang akan aku pegang dan teguhkan dalam jiwa. Tapi tidak terlintas pula di sukuan jalan, sinar itu kian menghilang.

Dari dulunya aku mampu berlari, terpaksa aku berjalan dan kini merangkak. Kontra dengan anak kecil yang mulanya belajar merangkak, berjalan dan girang berlari. Bukannya aku jadi begitu kerana dimamah usia tapi kerana semakin hilangnya sudah cahaya. Jelas, aku semakin kepenatan bergerak mengikut kata hati.

Aku sangkakan mudah sahaja untuk aku menuju ke destinasi nan satu itu namun semakin samar dan kelam. Semakin sukar untuk aku ramal apa yang ada di depan dan sepanjang jalan kelam itu.

Sudah beratus-ratus perutusan jiwa aku hantar pada angin. Beribu-ribu doa aku kirimkan pada Tuhan. Berjuta-juta kali aku memerli diri sendiri tentang apa yang terbentang luas didepan mata.

Ironinya, aku nampak, tetapi aku lakukan yang sebaliknya. Jangan beri aku terlalu banyak pilihan, kelak tak mampu aku klasifikasikan dengan baik. Aku cuba kira berapa banyak kemalangan perasaan yang aku lakukan pada diri sendiri. Entah kenapa aku selalu menghukum diri. Mungkin bodoh tetapi ada yang menganggap ia menarik.

Seharusnya aku ambil satu atau dua langkah sahaja lagi untuk ke destinasi itu, cuma.....

Entahlah.

Haruskah aku berpatah  ke belakang dan pilih jalan yang satu lagi itu?

Ya, itu soalan untuk diri sendiri. Kalaulah ada hospital merawat jiwa, kalaulah ada tempat membuang kesakitan. Aku agak tumor dalam jiwa semakin parah. Tapi di peringkat mana itu belum aku pastikan.

Namun yang jelas, sudah ada satu hirisan besar sedang berlaku di situ. Hanya menanti masa ia akan terawat sendiri.

"Anggap sahaja aku mimpi-mimpi yang tak pernah dan tak mungkin jadi realiti. Indah, seronok, bahagia,  tapi tiada pernah berlaku senyatanya. Yang semalam hanya sekali. Takkan ada lagi..."

Aku tenung dalam-dalam maksud ini pula.

Risau.

Aku tak mahu keliru lagi!

~Fizzle~
by Fza Ibrahim ( Vol1: I FALL I RISE : THE CHRONOLOGIES)




Hidup adalah suatu perjalanan, pengembaraan, pengalaman....

Hidup juga adalah pilihan..kita perlu sentiasa memilih untuk mendapatkan yang terbaik....

Andai terjatuh, berusahalah untuk bangkit sendiri terlebih dahulu sebelum mengharapkan ada insan lain yang menghulurkan tangan membantu kita untuk berdiri semula..

Kesamaran itu adakalanya baik kerana cahaya yang terang benderang akan menyilaukan mata hingga membuatkan kita tak mampu melihat sama sekali..

Bulatkan hati dalam membuat pilihan, yakin akan ketentuanNya..berbaik sangka kepadaNya..

~Aku juga sepertimu, tapi aku masih ada Dia sebagai tempat pergantunganku..~
by..myself