Tuesday, July 27, 2010

Cukup baik?

Bismillahirrahmanirrahiim..

“Kau ingat kau sudah jadi cukup baiklah?”

“Tak semua yang kau nampak jahat tu jahat”

“Tak semua yang kau rasa baik tu sebenarnya baik”

“Tengok diri sendiri sebelum nak betulkan orang lain!”

Sakit. Memang sakit hati bila dilemparkan dengan kata-kata sedemikian rupa. Andai kata ‘sabar’ itu tidak bertakhta di hati, pasti kata-kata itu akan dibalas dengan perkataan yang lebih kejam dan menyakitkan. Tidak mustahil, akan tertinggallah cop lima jari atau lebam kesan buku lima di wajah nan indah.

Hidup dengan suasana seperti itu tidak mudah. Kesabaran yang tinggi amat dituntut. Hati yang lapang, jiwa yang tenang, dan hati yang terbuka perlu sentiasa menghiasi diri.

Adakah untuk menegur seseorang, kita perlukan seseorang yang benar-benar baik 100%? Yang benar-benar bersih dari dosa 100%? Yang benar-benar suci 100%?

Atau apakah kita mengharap orang yang menegur itu akan selamanya baik? Tidak akan melakukan kesilapan dan kesalahan hingga apabila suatu kesalahan dilakukannya, maka dia akan dihentam sehabisnya.

“ Tegur orang tapi diri sendiri pun dua kali lima!”

Atau adakah kita melihat seseorang itu baik dari penampilan luarannya? Kalau inilah pandangan yang dipegang, maka apabila seorang yang berkopiah, berjubah dan bertudung labuh melakukan kesilapan, habislah semua yang segolongan seperti itu merasa tempias semburan kata-kata berbaur hirisan pedang.

Tidak ada manusia yang sempurna. Jangan sesekali beranggapan diri sudah cukup baik bila orang memandang kita baik. Adakalanya kita lebih teruk dari itu. Justeru apa yang penting sejauh mana kita mahu mengakui ‘keterukan’ itu dan berusaha memperbaikinya. Muhasabah diri selalu. Luangkanlah masa walau hanya beberapa minit khasnya sebelum tidur agar kita dapat membayangkan mungkin itulah tidur kita yang terakhir dan terbit perasaan bersalah dalam hati serta ingin segera bertaubat.

Kuakui, untuk berkata-kata memang mudah namun untuk melaksanakannya amat sukar dan payah sekali. Kerana manusia memang diciptakan dengan nafsunya bersama. Musuh utama dalam diri. Kerana itu ramai yang mengatakan jihad melawan nafsu adalah jihad yang paling sukar.

Kepada semua yang diluar sana, maafkan jika aku tidak menjadi yang cukup baik untuk menjadi ‘penegur’, maafkan aku andai tidak menjadi cukup baik untuk berada dalam kalangan orang yang baik dan tidak cukup baik untuk memenuhi kriteria sebagai ‘orang baik’ pda tafsiran anda semua.

Semoga Allah memelihara hati-hati kita dari sifat-sifat mazmumah dan menghiasi kita dengan sifat –sfat mahmudah.

”Wahai anak Adam! Sesungguhnya Kami menurunkan kepada kamu (bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan; dan pakaian berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya.” (Surah al-A’raaf, ayat 26).

“Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya), sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah al-Hujurat, ayat 13).

Renung-renungkan. Assalamualaikum.