Saturday, July 24, 2010

Pelayaran

Segala-galanya tidak sama seperti dahulu. Banyak perubahan yang berlaku. Banyak penambahan fasiliti yang baru sehingga aku sendiri tidak dapat mengecam lokasi bangunan asal. Aku berjalan perlahan-lahan sambil mata melilau di sekitar memerhatikan perubahan yang begitu mendadak di sekolah lamaku ini. Meski kawasan sekolah ini tidak seluas mana, ia masih boleh bertanding sehingga peringkat negeri untuk kategori sekolah terbaik dalam aspek kebersihan. Hatiku mengiyakan pendapat mindaku yang mengatakan sekolahku bukan calang-calang tempat.

Langkahku terhenti seketika. Aku tersenyum sendiri tatkala terpandang satu bangunan yang tersembunyi antara dirian dua bangunan baru yang lebih tinggi dan besar. Bangunan lama itu agak usang tetapi masih ceria dan ia penuh dengan nostalgia yang meninggalkan banyak kenangan indah buatku bersama rakan-rakan sekolah dahulu.

Kuteruskan langkahku menuju kearah bangunan tersebut. Satu persatu wajah-wajah rakan sekolah menerpa ke dalam kotak ingatanku. Aku berhenti sekali lagi sambil menghadap ke arah sebuah kelas dalam bangunan tersebut.

“Buatlah sendiri. Masing-masing buatlah. Sendiri punya kerja!” aku berpaling lalu beredar. Iqbal mengekoriku. “ Dania, tolonglah..aku tak tahu nak buat. Kau kan pakar kimia..” rayu Iqbal yang masih berada dibelakangku. Aku mengeluh berat. Malas melayan kehendaknya. Bukan sekali aku terpaksa menyiapkan kerja rumahnya, malah sejak di awal tahun. Aku berpaling semula menghadapnya.

“Okay, ini kali terakhir aku tolong. Lepas ni, jangan nak merayu-rayu lagi. Belajarlah buat sendiri. Kalau tak belajar, bila kau nak faham apa yang cikgu ajar? Jangan layan rasa malas tu!” Kuteruskan langkahku menuju ke mejaku.

“ Ish..tak malu. Asyik nak minta perempuan buatkan kerja dia!” Lydia bersuara sambil mencebikkan muka kepada Iqbal.
“ Suka hati akulah. Bukan aku minta kau yang buat!” Iqbal mencekak pinggangnya sambil memandang Lydia. Ryan yang berdiri sedari tadi di muka pintu kelas hanya memandang adegan percakaran itu dengan wajah selamba. Sudah lali. Aku memandanganya seketika lalu kembali meneruskan 'kerjaku'. Entah sejak bila dia berdiri di situ, aku sendiri tidak pasti. “Dania, sudah makan? Mari ke kantin” dia muncul pula dihadapanku. Aku menggeleng sambil terus menyiapkan kerja rumah Iqbal. “ Apa ni?” ajunya. “Kerja rumah.” Jawabku singkat. “ Ini bukan buku kau. Siapa punya ni?”

“ Tu hah, Encik Muhamad Iqbal Shah. Asyik nak minta orang buatkan kerja dia.” Lapor Lydia. Air muka Ryan berubah. Dia bergerak menuju Iqbal. Iqbal tersengih. “Berapa kali aku kena ingatkan, jangan buli siapa-siapa lagi, terutamanya Dania. Kau nampak ni?” Ryan mengacukan penumbuknya ke wajah Iqbal. Wajah Iqbal merah padam. “ Aku bukan buli. Minta tolong saja pun..” jawab Iqbal dengan nada mendatar. Ryan mencengkam kolar baju Iqbal.

“ Em..dah lah tu. Dah siap pun. Nah, Encik Muhamad Iqbal Shah, ini yang terakhir aku tolong buatkan kerja rumah kau. Lepas ni, sila belajar buat sendiri. “ aku meletakkan buku latihan Kimia tersebut ke mejanya. Ryan melepaskan cengkamannya. “Behave yourself!” ujar Ryan perlahan, namun dalam nada keras.

Aku tersenyum lagi. Kenangan bersama rakan-rakan di alam persekolahan sememangnya manis untuk dikenang. Biarpun penuh dengan memori sebagai mangsa ‘buli’, ia tetap memberi sesuatu yang berharga pada diriku. Di sinilah proses kematangan bermula dengan cukup drastik . Di sini jugalah pembelajaran tentang hidup bersahabat bermula. Dan di sini jugalah segala yang pahit benar-benar terasa.

“ Assalamualaikum..” Lamunanku terhenti serta merta. Aku menoleh ke belakang. “Lydia…waalaikumussalam..” Lydia menguntum senyuman mekar seraya memelukku. “Apa khabar? Rindunya aku dengan kau…” ujarnya dalam nada ceria. Pandangannya berkaca. Seperti yang kuduga, titisan air mata jatuh dipipinya. ‘Ah, Lydia, kau tak berubah’ bisik hatiku. “ Sihat Alhamdulillah..kau?”

Aku menyeka air matanya. “ Macam nilah..” balasnya. “Aku ingat kau tak jadi datang tadi.”

“Ish, takkanlah. Bukan selalu aku balik sini. Jepun bukan dekat. Dah ada peluang nak jumpa kawan lama, mestilah datang.” Dia tertawa kecil sambil memeluk lenganku. “Jum aku belanja makan soto” tukasnya dalam tawa yang masih bersisa. Aku tersengih. Soto. Menu utama kami apabila keluar bersama suatu ketika dulu. “Soto ayam ‘special’ “ ujarku. Dia mengangguk. Aku tertawa. “ Okay, lets go”.