Friday, May 14, 2010

Pelayaran (Part II)

Angin petang berhembus perlahan. Sambil memerhatikan ragam manusia dihadapan, fikiranku menerawang jauh merentasi sempadan pemandangan. Mengimbas kembali saat-saat bersama insan yang sentiasa dekat di hati sememangnya satu perasaan yang tidak dapat digambar dengan kata-kata.

Memori indah yang dilalui bersama insan-insan tersayang kusemat dengan kukuh di hati. Biarpun kini tidak bersua lagi, doaku tetap mengiringi mereka. Mereka yang pernah mengajarkanku erti persahabatan, persaudaraan dan kehidupan.

“ Petang ni kita ‘jog’..nak?” tanya Nadhirah. Itulah soalan yang lazim diutarakannya tatkala melihat aku sering sahaja tertidur di kelas. Kurang stamina, katanya. Badan tidak cergas. Badan culas dan malas. Aku hanya memandangnya kosong. Hanya mata yang memandang, tapi fikiranku entah ke mana. Aku sedang membayangkan diriku berada di tempat yang lain. Tempat yang aku sendiri kurang pasti di mana.

‘Pak..’ Terasa bahuku ditepuk. Aku tersentak. Lantas mendongak. Nadhirah bercekak pinggang. Aku mengalih pandangan. Sekali lagi dia menepuk bahuku. Aku hanya tersengih.

“Asyik mengelamun saja. Apalah yang penting sangat sampai tiap saat nak berkhayal. Orang cakap pun buat ‘dek’ ja..” Nadhirah mula mengeluarkan panahan kata-kata yang sememangnya membuat rasa kantukku makin kuat menyelubungi diri.

“ Jangan tidur..dengar dulu..!” Dia menarik tanganku dengan kuat. Aku tersentak sekali lagi. Pandangan terasa samar. Aku membetulkan kaca mataku. Bayangan Nadhirah hilang bersama tiupan bayu yang menampar pipiku.

Seorang ‘junior’ tercegat dihadapanku. “ Assalamualaikum..kak” sapanya dengan senyuman yang terukir di bibir. Aku membalas senyumnya. Namun, hatiku masih mencari kelibat Nadhirah. Aku melihat kiri dan kanan, depan dan belakangku. Nadhirah hilang begitu sahaja.

“ Kak cari siapa?” aju Amira, juniorku itu. Cari siapa? Soalan itu bermain di mindaku. Aku mencari siapa? Nadhirah? Seakan baru kembali ke alam realiti, aku terpana seketika. Kenapa sering sahaja aku terbayang akan Nadhirah? Sudah bertahun aku tidak bertemu dengannya. Tidak berhubung dengannya. Meski dalam keadaan hari ini yang dilengkap dengan serba serbi kemudahan, aku langsung tidak pernah berhubung dengannya sejak hampir 7 tahun lalu.

“ Tak cari siapa-siapa..” jawabku lalu tersenyum semula. “ Maaflah, terlambat sikit. Kak dah lama di sini?” aju Amira.
“ Tak juga lama. Jom..” aku bingkas berdiri seraya menepuk seluarku untuk menghilangkan bekas rumput kering dan debu yang melekat. “ Jom..”balas Amira. Kami berjalan bergandingan menuju trek larian di padang kampus. Bayangan Nadhirah masih melekat di kotak mindaku. Apa agaknya khabar gadis manis itu. Ke manakah dia menghilang. Aku ingin sekali bertemu dengannya, berkongsi pengalaman dan segala yang telah dilalui selama hampir 7 tahun kami terpisah.