Tuesday, January 4, 2011

Ukhwah antara Kita

Bismillahirrahmanirrahim.

“Siapa orang pertama yang nak diberi kek ni?”

“Ni..Ani..” Aku tersentak. Tidak pernah menyangka namaku akan disebut. Aku hanya mampu tersenyum, meredakan keterujaan nama disebut sebentar tadi.

“Kenapa mesti Ani?” tanya ahli keluarganya lagi, dalam nada gurauan. Dia tersipu seketika. “ Sebab dia best friend saya..” Hadirin yang ada tertawa mendengar jawapannya. Aku pula masih tersenyum, namun dalam keadaan agak malu dan perasaan segan yang menebal dalam jiwa.

Kenangan tersebut sering berlegar di ingatanku saat hati mulai berbicara soal rakan, teman, kawan, sahabat dan yang seerti dengannya. Kenangan sewaktu menyambut hari lahir seorang rakan, seorang rakan rapatku ketika itu, yang akan sentiasa kusematkan sebagai antara kenangan manisku, insyaAllah.

Semester lepas, berlalu dengan kenangan dan memorinya yang tersendiri. Kata orang, untuk mencapai sesuatu, perlu ada sesuatu untuk dikorbankan. Dan kadangkala, apabila kita mendapat sesuatu yang tidak dirancang pun pasti ada sesuatu yang bakal ‘terkorban’ sama ada secara kita sedar atau tidak.

Lazimnya, kita tidak menyedari akan pentingnya sesuatu itu pada diri sehinggalah kita kehilangannya. Apatah lagi jika ianya amat bererti dan berharga buat diri. Dan sesuatu yang berharga itu tidak akan pernah dapat diganti dengan sesuatu yang lain, ia akan kekal sebagai sesuatu yang istimewa buat diri, meski ia telah diganti dengan sesuatu yang lebih baik.

“Pernah ada sahabat baik?” Aku hanya tersenyum bagi menjawab soalan itu. Sahabat baik itu diklasifikasikan dengan ciri yang bagaimana? Persoalan itu pula akan bertandang di mindaku. Sejurus itu, aku akan teringat kenangan tersebut dan apakah perasaan bila kehilangan semua itu.

Tidak perlu mempersoalkan kenapa perlu merasa suatu kehilangan seperti itu kerana sudah menjadi fitrah manusia yang sememangnya mempunyai perasaan, akan merasa dengan pelbagai tafsiran emosi. Semua kehilangan akan hadir bersama kesakitan dan kebaikannya dan ia akan menjadi sesuatu yang positif jika kita memandangnya secara positif dan begitulah sebaliknya. Allah menetapkan sesuatu untuk hambaNya adalah untuk kebaikan semata, itu yang perlu diyakini sepenuhnya. Cuma perlu membuka mata hati untuk mentafsir dan melihat hikmah disebaliknya. Biarpun pahit namun pasti ada manis yang terselit disebaliknya.

Seberapa beratpun rasa kehilangan anugerah duniawi seumpama itu, ia sebenarnya hanya secebis daripada anugerah dan nikmat terbesar dariNya untuk hambaNya yang sentiasa mencari sesuatu yang lebih jauh, lebih dalam, lebih manis dan lebih indah, yakni nikmat iman dan Islam. Untuk mendapatkannya juga bukan mudah, apatah lagi mempertahankannya dan menjaganya agar ia sentiasa lekat dan utuh dengan diri. Justeru itu,pengorbanan demi pengorbanan perlu dilakukan agar diri sentiasa menyedari betapa tinggi nilai itu berbanding apa juga pun.

Akhir kalam sebagai mukadimah di tahun baru Hijriah dan Masihi ini, bukalah dan sentiasalah buka mata hati kita untuk bermuhasabah diri setiap saat dan ketika.

Ingin kunyatakan dengan serendah dan seikhlas hati, aku bukanlah insan yang pandai berkata-kata untuk melahirkan madah bicara indah dalam menginterpretasikan penghargaanku pada semua yang bersama-samaku selama ini. Bagiku, kalian semua berharga buatku dan doaku, harapanku, semoga Allah sentiasa memelihara silaturahhim antara kita semua dengan naungan redha dan rahmatNya. InsyaAllah.