Sunday, April 17, 2011

Catatan Praktikum : Rezeki (Bersyukur pada Allah, berterima kasih pada manusia)

Bismillahirrahmanirrahim

Ketika menjalani praktikum, adalah normal dan biasa bagi mana-mana guru pelatih menghadapi kekangan kewangan, apatah lagi yang berdiri atas kaki sendiri, mengharapkan sepenuhnya elaun dari pihak kerajaan.

Mungkin bagi yang masih disokong dan dibantu oleh keluarga dari sudut kewangan, tidak merasa kesukaran tersebut dan masih boleh bergerak dengan selesa. Untunglah bagi mereka yang demikian, dan bersyukurlah atas kemudahan itu.

Bagi yang berdiri atas kaki sendiri, orang kata, alah bisa tegal biasa. Mula-mula mungkin terasa sangat kepayahannya, namun apabila dilalui berkali-kali sepanjang waktu, ia menjadi suatu kebiasaan. Dan bersyukurlah juga kerana berpeluang merasai kesusahan itu. Tidak semua orang mempunyai peluang itu. Dan situasi itu pasti akan memberi kelebihan dalam masa-masa yang tidak kita jangka.

Kata naqibahku, rezeki orang yang belajar ilmu Allah, pasti ada. Tidak kira di mana. Khasnya pada bulan ramadhan. Tapi bulan ramadhan belum menjelma lagi. Namun begitu, aku pasti apa yang dikatakan oleh naqibahku itu memang benar. Tidak kiralah pada bulan ramadhan atau bulan apa sekalipun. Rezeki Allah ada di mana-mana.

Dalam menghadapi kesempitan hidup didunia, pasti ada kelapangan di sebaliknya yang kita akan dapat lihat dan rasai jika kesabaran dan kesyukuran masih bertapak di dasar hati.

Beberapa hari lalu, beberapa orang rakanku bertanya, “ Kau betul-betul tiada duitkah ani?” tanya salah seorang dari mereka. Aku tersentak seketika. Terhenti suapan makananku. Ketika itu, kami sedang makan bersama dibilik mereka. Aku tertawa kecil. “Kalau betul-betul tiada duit, ndala aku makan lagi..”jawabku, dalam hati.

Beberapa ketika selepas itu, salah seorang dari mereka ke bilikku dan bertanya lagi soalan yang sama. Wah..aku rasa sangat beruntung dan bertuah mereka ‘caring’ denganku. Dalam hati, aku memanjat kesyukuran kerana Allah mengurniakanku rakan-rakan yang prihatin dan mengambil berat.

Aku tersenyum simpul mendengar pertanyaan rakan itu. “Nak cakap banyak duit tu tidak, nak cakap betul-betul tiada duit pun tidak. Tapi syukur....duit untuk makan..masih ada juga..cuma macam biasa, kena jimat..” ujarku dalam nada berseloroh. Dia memandangku, meminta kepastian. Aku tersengih lagi.

“Pasal makan, aku tak risau. Rezeki Allah tu sentiasa ada. Bila rasa sempit ja, ada ja rezeki yang Allah bagi tanpa aku jangka. Ada kawan belanja makan, ada yang bagi duit..tak terfikir semua tu. tapi Allah bagi.” Kataku dalam senyuman. Dia turut tersenyum sambil mengangguk. “Syukur Alhamdulillah kalau macam tu” balasnya.

Ya..rezeki kita Allah yang tentukan. Sedangkan ulat di sebalik batu boleh hidup, inikan pula kita manusia di luar batu, yang ada empat kerat, ada akal dan keupayaan tenaga yang dikurniakanNya. Kadang-kadang tengah selak-selak buku, periksa pakaian yang nak dicuci, kemas loker, ada saja jumpa duit yang entah bila terselit dan tersimpan

Pengalaman yang pernah kulalui sendiri sepanjang hidup ini mengajarkanku banyak perkara tentang kebesaran kuasaNya dan keluasan rahmatNya. Seperti yang kukatakan tadi, soal rezeki, bukanlah soal utama yang perlu difikirkan. Ingatlah padaNya. Selagi kita tahu dan ingat untuk bersyukur padaNya dan berterima kasih pada manusia, insyaAllah, Dia akan sentiasa menjaga kita.

Cuma persoalannya, bagaimana untuk menginterpretasikan lafaz dan rasa syukur itu. Kalau dengan manusia, mungkin kita boleh ucap terima kasih, peluk kawan dan jabat tangannya. Tapi dengan Yang Maha Pemberi dan Maha Pengurnia? Macamana agaknya kita boleh zahirkan rasa syukur itu?

Masing-masing fikirkan…

Cuma pesanku, dalam keadaan sempit atau senang, jangan berat hati, jangan lokek untuk membantu orang lain yang lebih susah dari kita. Dan paling penting jangan sesekali lokek untuk menyumbang sesuatu dalam nilai kewangan untuk agama,meski hati berat kerana sebenarnya di saat paling berat dan sempit itulah nilai sumbangan itu menjadi paling besar untuk akaun kita di ‘sana’. Sumbangan itu, walau dalam nilai yang kecil, akan memberi pulangan yang besar untuk kita tanpa kita sedari

p/s Jangan takut sedekah kerana miskin, jangan takut miskin kerana sedekah.

Wassalam..:)