Monday, June 21, 2010

Iman Kita

“ Apa cabaran terbesar selepas mula berjinak-jinak dengan agama?”

“Cabaran terbesar? Bagi saya, cabaran hawa nafsulah. Sifat-sifat negatif dalam diri sendiri, malas contohnya, hati yang ada iman sentiasa berlawan denga nafsu, bila iman lemah, nafsu jadi raja dalam diri, masa tu, banyak ilmu pun tak berguna..dan yang susah juga, nak pastikan kita amal ilmu tu sendiri, dan satu lagi, nak pastikan apa yang kita buat tu, semata-mata cari redha Allah, ini yang susah.”

“ Macamana kalau dalam usaha kita nak keluar dari suatu kemungkaran, tapi dalam masa yang sama, orang terdekat kita, orang yang rapat dengan kita melingkari kita dengan kemungkaran?”

“Beruzlah (bersendirian)..asingkan diri dari suasana tak baik tu..”

Iman. Satu perkataan yang amat mudah disebut, dieja, dan diperkatakan. Namun, ia memberi pengertian yang sangat mendalam bagi setiap yang bergelar muslim. Iman sangat penting dalam kehidupan kita yang bergelar manusia. Ia membataskan kita dengan segala perkara yang kita lakukan, sama ada boleh atau tidak, mahu atau tidak. Sesetengah perkara yang kita patut lakukan, malah diwajibkan, tapi kita berat hati untuk laksanakan. Misalnya solat. Ia tuntutan wajib yang secara rela atau paksa, kita kena lakukan. Tapi kadangkala, perasaan malas menguasai diri hinggakan kita lalai dalam menunaikan kewajipan tersebut.

Sementara itu, ada perkara yang kita ditegah untuk melakukannya, namun kita tetap melakukannya malah secara rela hati. Contohnya banyak sekali dan pastiya anda semua di luar sana lebih tahu apa contoh terbaik yang boleh diberi.

Mengapa demikian? Pernah terfikir mengapa berlaku sedemikian rupa?

Iman kita, seperti roda. Seperti lif. Seperti escalator. Boleh dan pandai naik turun. Ada pasang surutnya. Sekejap di atas, sekejap di bawah. Apabila iman kita berada pada tahap tinggi, dipuncak nafsu dan emosi, maka ketika itu, kita akan dapat melihat ibadah itu bukan suatu paksaan tetapi kerelaan yang membawa natijah ketenangan dan kepuasan. Sebaliknya, bila iman berada di bawah nafsu dan emosi serta akal, kita tidak akan mampu merasakan kemanisan dalam ibadah itu, mengapa ia perlu dilakukan bahkan kita mungkin tidak dapat berfikir secara waras. Kerana itu kita dapat melihat saudara-saudara kita sekejap timbul, sekejap tenggelam di persada kehidupan. Bila iman menguasai hati, kita boleh menjadi sangat rajin beribadah, sebaliknya, bila iman surut, kita akan menjadi insan yang ‘sakit’. Sakit dalam segala aspek. Kepala sakit, hati sakit, badan sakit dan emosi juga sakit.

Iman tak dapat diwarisi. Seorang anak ustaz ustazah belum tentu dapat menjadi seorang ustaz ustazah. Seorang anak kiai, pak haji, pak imam yang kaki surau, belum tentu menjadi kaki surau juga. Bahkan tidak mustahil menjadi kaki disko, kaki rempit dan sebagainya. Demikian juga pasangan hafiz hafizah belum tentu dapat melahirkan anak yang hafiz hafizah juga. Sementara itu, seorang anak kaki botol belum tentu menjadi kaki botol juga. Anak seorang kaki judi, kaki perempuan dan kaki maksiat belum tentu mewarisi gelaran segala ‘kaki’ orang tuanya. Ini adalah realiti kehidupan. Ini adalah adat kehidupan yang sangat signifikan dalam perjalanan setiap insan di dunia serba fana ini. Adakalanya anak seorang pemabuk, penjudi boleh menjadi ahli agama. Adakalanya, seorang ayah yang tidak pernah mengajar erti hidup bertuhan kepada anaknya, tetapi anaknya menjadi hamba yang sangat takut pada Tuhannya. Walau sehebat manapun generasi lalu kita, harta kekayaan kita dan keluasan pengaruh yang ada, belum tentu dapat mewarisi ketinggian iman turun temurun. Belum tentu tapi tidak mustahil. Kerana bila seseorang itu sedar hakikat pentingnya iman, ia pasti berusaha memastikan generasinya, anak-anaknya menjadi insan yang beriman, takutkan Tuhan dan ingatkan kehidupan selepas mati. Sejarah juga membuktikan akan perkara ini tatkala merungkai kisah Nabi Luth yang beriman, namun anaknya adalah sebaliknya sehingga termasuk dalam golongan yang dihancurkan pada masa itu. Demikian juga dengan Nabi Ibrahim yang mempunyai ayah yang kufur, sangat jauh berbeza dengan diri Nabi Ibrahim sendiri.

Iman kena diusahakan hari-hari. Oleh kerana kita merupakan hamba yang sangat lemah, iman seringkali kalah oleh nafsu, kita perlu berjuang, berusaha dan berjihad agar iman boleh menang. Perjuangan ini tidak pernah habis, tidak pernah padam dan tidak pernah berakhir selagi jasad masih bersatu dengan roh. Kita kena dengar, fikir, hayati, dan ucapkan keagungan dan kebesaran Allah. Dalam masa yang sama, kita kena selalu muhasabah diri, merenungkan siapakah sebenarnya kita di dunia ini. Mengapa kita dilahirkan? Mengapa kita disini? Mengapa berlaku itu dan ini pada kita? Kita perlu mencari hakikat sebenar sebagai seorang hamba yang menjadi peminjam terbanyak dalam urusan jual beli dengan Allah. Jika malas mengusahakan iman, tunggulah suatu saat bila Allah mencabut nilai iman dari dalam diri kita. Apakah kita masih mampu bergelar manusia? Nauzubillahminzalik.

Iman dicerminkan oleh akhlak. Jika peribadi, sahsiah dan akhlak yang ditunjukkan menyakitkan ramai orang, menyusahkan ramai orang, membebankan ramai orang, renungkan kembali di iman kita bersembunyi. Iman seorang muslim merupakan pantulan dari akhlak diri. Bila orang melihat kita berkata-kata, orang melihat dan berkata, “ Beginilah cara orang Islam..” Bila kita bekerja, orang berkata, “Beginilah orang islam bekerja..” Bila ramai anak muda Islam di luar sana yang terkontang kanting di tepi jalan, di bawah jambatan, di lorong-lorong sepi dengan jarum suntikan, pasangan bukan muhrim, orang ramai akan berkata, “Inilah kebanggaan umat Islam masa kini.”

Bila anak muda Islam kurang sopan, kurang beradab, kurang berakhlak, orang ramai melihatnya sebagai persepsi yang bertentangan dengan keindahan Islam itu sendiri. Bila orang bukan Islam yang berpakaian ala tak cukup kain, rambut berwarna warni seperti pelangi, pertuturan seperti tidak pernah belajar kesantunan bahasa, masyarakat tidak akan bising. Sebaliknya, bila orang Islam yang berkelakuan seperti itu, Islam akan dihentam habis-habisan. Bila orang bukan Islam berpacaran sehingga melahirkan generasi luar nikah, masyarakat tidak bising. Tapi sebaliknya akan berlaku jika yang berpacaran sehingga termelahirkan insan baru yang suci fitrahnya adalah orang Islam. Orang ramai tidak merasa pelik bila melihat orang yang tak bertudung berpakaian sendat, tetapi akan menjadi kejanggalan bila orang yang bertudung litup sekadar membalut aurat.

Sedar atau tidak, kita sendiri yang menjadi punca mengapa Islam dipandang serong, mengapa Islam sukar diterima kerana mereka melihat tidak ada bezanya kita dan mereka, apatah lagi dengan sikap dan tingkah laku yang jauh lebih teruk.

Mengapa semua masalah ini berlaku. Jawapannya mudah sahaja. Kerana iman tidak berbekas di hati. Iman tidak lekat di hati. Tetapi penulis yakin, setiap insan ada hati nuraninya. Sejahat mana pun, seteruk mana pun, sejahil mana pun seseorang, penulis yakin di hatinya masih terselit secebis iman yang membawanya berfikir dan merasa sedetik , bahawa dirinya adalah hamba Allah. Hanya terserah pada diri untuk mencari nilai iman tersebut dalam diri, atau terus menerus bergelumang dalam jalan yang salah selama nyawa masih dipinjamkan. Tidak ada manusia yang sempurna. Tidak ada manusia yang lengkap segala-galanya. Tidak ada manusia yang dapat lepas dari melakukan dosa. Tidak ada manusia yang dapat hidup sendiri tanpa rahmat Allah. JalanNya sudah dibentangkan luas di hadapan, terpulang pada kita untuk bergerak lurus dengan ranjau yang penuh liku tetapi hadiah besar menanti di hadapan, atau bergerak sendiri mengikut kata hati melalui jalan mudah yang membawa kita kepada kesakitan selamanya.

No comments: