Monday, July 5, 2010

Lakaran sejarah dan pengajaran dalam sebuah filem : Ip Man

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah, hari ini, aku berkesempatan lagi mencoret perkongsian di ruangan yang tak seberapa namun sangat bermakna buatku ini.

Kali ini, aku ingin berkongsi mengenai sebuah filem. Aku tidak ingin mengehadkan perkongsian dan pemikiran hanya dalam sempadan suatu topik tertentu, sebaliknya aku ingin mengajak anda semua berfikir dalam ruang konteks yang lebih luas. Dan rasanya tidak ada salahnya berkongsi info mengenai sebuah filem.

Tapi sebelum itu, ingin kunyatakan, aku bukanlah kaki wayang, dan menonton 'muvie' hanyalah hobi yang jarang kulakukan kecuali dalam masa tertentu. Pernah aku bertanya pada seorang rakan, sama ada beliau mempunyai 'muvie' terbaru, dan beliau bertanya, " Ko suka muvie yang ganas kan?"..Aku terkedu. Sejak bila aku menyatakan yang aku suka 'muvie' ganas? Mungkin ada sedikit salah faham. Istilah 'ganas' yang dikatakannya mungkin kerana aku tidak menggemari 'muvie' bertemakan cinta anak muda masa kini.

Tidak kunafikan, filem bercorak islamik sangat kurang dihasilkan dalam negara kita. Adapun filem seperti 'Mualaf' padaku belum dapat mencapai tahap yang memuaskan, namun baik untuk diketengahkan bagi memperlihatkan keadaan masyarakat Islam hari ini. Cuma, apabila meneliti pandangan beberapa pihak, aku setuju filem 'Mualaf' kurang sesuai untuk golongan yang tidak gemar berfikiran jauh dan mendalam. Beberapa babak dalam filem ini juga menjadi kontroversi, dan ia menjawab mengapa filem ini ditapis dan dibuang banyak babak selain tidak dibenarkan untuk ditayangkan kepada umum. Sukar untuk menangkap mesej disebalik filem ini, dan dengan menontonnya, mungkin cuma akan mencetuskan kontroversi peribadi dalam diri penonton.

Berbalik kepada filem yang ingin kukongsikan, filem ini merupakan filem aksi yang dihasilkan bagi memperingati seorang tokoh seni bela diri 'Wing Chun' yang bernama Yip Man. Filem ini bertajuk 'Ip Man'. Sudah lama filem ini ditayangkan, dan dalam masa terdekat, sebuah filem baru bertajuk 'The Legend is Born : Ip Man' yang juga merupakan kesinambungan filem 'Ip Man 1 & 2' akan ditayangkan.

Antara semua filem aksi yang pernah kusaksikan, filem ini adalah yang terbaik. Dengan penceritaan yang sederhana, dan latar masyarakat era Perang China-Jepun kedua dan penjajahan British membuktikan filem ini dihasilkan melalui kajian sejarah yang cukup baik. Melihat watak utama yang dimainkan, iaitu 'Yip Man' selaku tokoh seni bela diri yang cukup rendah hati dan tidak suka menunjuk-nunjuk menjadikannya cukup disenangi masyarakat tempatan meskipun beliau merupakan orang berada. Kesabarannya dalam menangani cabaran kehidupan semasa perang China -Jepun dan sikapnya dalam berhadapan dengan masyarakat membuatkan hatiku berbisik, ' Beginilah sepatutnya sikap orang Islam'.

Antara faktor lain yang menarik hatiku ialah semua aksi bela diri, yakni seni 'Wing Chun' yang ditonjolkan adalah seni yang sememangnya wujud. Ia merupakan asas kepada seni bela diri masyarakat China di Kota Foshan. Wushu tradisional inilah yang memperkenalkan 'Bruce Lee' ke era seni pertahanan diri suatu ketika dahulu dan jika menurut sejarah, Bruce Lee adalah salah seorang murid kepada Yip Man. Berbanding dengan filem lain yang lebih banyak aksi tak logik seperti terbang di angkasa, aksi dalam filem ini lebih logik dan boleh diterima akal.

Banyak pengajaran yang boleh kita ambil dari filem ini. Ia cukup sesuai untuk semua, hanya terpulang pada kita bagaimana untuk menginterpretasikan filem ini mengikut pandangan peribadi. Jika kita menontonnya untuk mendapat sesuatu yang positif, insyaAllah positiflah yang anda akan dapat. Jika sebaliknya, anda akan dapat menurut apa yang anda harapkan.


Kesimpulannya, banyak ruang dan cara untuk kita menimba ilmu, pengajaran dan pengalaman dalam hidup ini. Ia tidak terbatas dalam suatu ruang lingkup sahaja, sebaliknya, setiap yang ada disekeliling kita adalah medan yang baik untuk mengajar kita. Bukakan minda dan hati untuk belajar, kerana Islam tidak menghalang kita meraikan fitrah untuk berhibur, asalkan sentiasa dalam batas yang ditetapkan, dan itupun bertujuan untuk menjaga fitrah itu sendiri.

Semoga ada manfaatnya...assalamualaikum..

No comments: