Thursday, May 27, 2010

Pelayaran (Part III)

Pagi yang ceria. Tidak suram. Tidak terang. Sangat mendamaikan. Hujung minggu kembali menjengah dengan membawa ketenangan yang sekian lama ingin dirasai. Teman sebilikku masih lena dibuai mimpi. Usai solat subuh, dia kembali meneruskan pengembaraannya ke alam buana yang masih bersisa akibat terlebih ‘bertarung’ dengan ‘muvie’ Koreanya malam semalam.

Triit..triitt’ Telefon bimbitku berbunyi menandakan ada mesej baru masuk ke dalam rangkaian nomborku.

‘ Salam..hve a gud day..:) Any plan today?’ Mesej dari Amira. Aku tersenyum. Ada sahaja rancangannya tiap minggu.

‘ Tak ada. Tengah tunggu sesiapa yang nak mengajak.’

Aku saja berbasa basi dengannya. Aku tahu dia ingin mengajakku ke suatu destinasi. Sambil menanti balasan mesej dari Amira, aku menekan punat komputerku untuk menghidupkannya. Teringin untuk menghabiskan sisa-sisa cerita yang belum sempat kusiapkan sejak dua minggu lalu. Kehidupan di kampus sangat padat dengan aktiviti, jika kita ingin menyertai mana-mana aktiviti yang bersesuaian dengan minat. Aku sedaya upaya memenuhkan jadualku dengan menyertai aktiviti yang bermanfaat. Program kemasyarakatan antara pilihanku. Dalam keseronokan rakan lain balik ke kampung, aku menyertai kumpulan lain masuk ke perkampungan orang asli atau nun jauh di pedalaman. Berjalan kaki di laluan lori balak, menaiki bot menyusuri sungai dan hutan.

‘Triit..Triitt..’ Aku lantas mencapai telefon bimbit. “ Hee..Siapalah insan yang ditunggu tu? Hm..kalo kak tak da plan, Mira nak ajak p tengok tilawah saudara baru..’

Hatiku berbunga. Majlis tilawah saudara baru. Pasti banyak yang boleh dipelajari. Malu rasanya dengan mereka. Aku sendiri tidak tahu bertaranum dengan baik, bayangkan sahaja mereka yang bergelar muallaf. Menyertai pertandingan pula.

“ Ok..insyaAllah..jam berapa?’ Sementara menanti jawapan balas, aku membuka pula peti masuk emelku. Hampir dua minggu juga aku tidak membuka emelku. Biasanya para pensyarah dan teman yang berada di luar negara lebih gemar menghubungiku melalui emel. Nampaknya semua sibuk dengan ‘assignment’ masing-masing.

Getaran telefon sekali lagi mengejutkanku. ‘ Dalam masa setengah jam lagi Mira sampai. Get ready ..’‘ K, insyaAllah..’. Setengah jam? Aku mengerling jam di meja seketika. Jam 8. 15 pagi.

Setelah menghantar jawapan balas, aku lantas bangkit dan mencapai tuala di dalam almari. Langkah kuatur ke bilik air.

Monday, May 17, 2010

Sedikit bicara


Bismillahirrahmanirrahim..

Dalam kesibukan rakan-rakan pelatih lain mengulangkaji pelajaran, aku masih sempat menulis entri baru. Nak cakap dah ready pun tak juga..sejujurnya, aku tak pernah bersedia dalam menghadapi mana-mana ujian ataupun peperiksaan sebelum ini...

Sebentar tadi, tengah membelek-belek nota subjek EDU, aku terbaca satu pernyataan yang amat menarik..walaupun topik ni dah belajar beberapa kali dalam kelas, tapi tak perasan pula ada pernyataan yang menarik ni. Pernyataan ni adalah salah satu prinsip dalam Teori Terapi Glasser dalam tajuk Pengurusan Disiplin Bilik Darjah. Prinsip ni berbunyi " setiap individu bertanggungjawab atas tingkah laku masing-masing. Tingkah laku tidak boleh dianggap sebagai hasil masyarakat, warisan atau masa lampau seseorang "..

Dalam makna ayat ni tau. Bukan dalam konteks masalah disiplin ja prinsip ni digunakan, tapi dalam kehidupan seharian, dlam setiap aspek kehidupan manusia umumnya...Kalau nak hurai, memerlukan masa yang panjang, jadi aku tinggalkan persoalan mengapa pernyataan prinsip ni sangat bermakna seperti yang aku katakan tadi..sama-samalah kita fikirkan.

Aku juga telah membaca sebuah buku yang bertajuk 'Travelog Seorang Daie' yang dihasilkan oleh Ust Abd Rahman, tokoh agama Singapura. Beliau memang menerima banyak kritikan, halangan dan tentangan selama ni, dan apabila membaca kisah beliau dari kecil, ia memberi satu pandangan baru dalam mindaku. Bagaimana beliau bersusah payah menuntut ilmu dalam keadaan yang lebih berusia berbanding rakan sekelasnya, bagaimana kesusahan masa kecilnya membantu membentuk peribadi masa dewasa dan macam-macam lagi. Beliau ada berkata, beliau tahu doa itu senjata bagi orang mukmin, jadi bagaimana dia harus mendapatkan doa orang ramai supaya membantunya berjaya dalam kehidupan, kuncinya ialah 'salam'. Sesiapa sahaja yang ditemuinya akan diberi salam agar apabila orang tersebut membalas salamnya, dia mendapat doa secara tidak langsung dalam ucapan salam tersebut.


Apabila membaca buku ini, anda diluar sana juga akan mendapat versi yang pelbagai tentang pandangan masyarakat terhadap beliau, apatah lagi apabila menelusuri segala tohmahan, dakwaan dan pandangan daripada segenap pihak, walaupun dari pihak orang atau jabatan agama sekalipun. Justeru, aku pinta jika anda berkesempatan membaca buku ini, jangan sempitkan fikiran, tapi bacalah dengan hati dan minda yang terbuka...

Dikesempatan ini juga, aku ingin memohon maaf andai ada hati yang terguris, tercalar atau terluka tak kira disebabkan oleh perbuatan, tingkah laku atau tutur kataku. Aku hanya insan yang lemah, cuma seorang hamba Allah yang lemah, tidak mempunyai apa-apa melainkan apa yang dikurniakanNya..mencari kesempurnaan dalam kamus sesuatu yang bernama 'makhluk' atau 'ciptaan' adalah mustahil kerana kesempurnaan itu hak milik sang Pencipta..

Untuk sesiapa yang singgah diruanganku ini, sama ada mengenali atau tdak mengenaliku, aku pohon doa kalian dalam menghadapi ujian akhir semester yang akan bermula rabu ini (19 Mei 2010)..doakan agar aku dan rakan-rakan, saudara-saudara lain dapat menghadapi exam dengan baik, dapat menjawab setiap soalan dengan baik dan mendapat keputusan yang terbaik untuk kami..Doakan kami ya....Sesungguhnya doa sesama saudara itu amat bernilai..

Dan selamat hari guru buat semua yang bergelar guru dan bakal bergelar guru.....:)

Assalamualaikum...

Friday, May 14, 2010

Pelayaran (Part II)

Angin petang berhembus perlahan. Sambil memerhatikan ragam manusia dihadapan, fikiranku menerawang jauh merentasi sempadan pemandangan. Mengimbas kembali saat-saat bersama insan yang sentiasa dekat di hati sememangnya satu perasaan yang tidak dapat digambar dengan kata-kata.

Memori indah yang dilalui bersama insan-insan tersayang kusemat dengan kukuh di hati. Biarpun kini tidak bersua lagi, doaku tetap mengiringi mereka. Mereka yang pernah mengajarkanku erti persahabatan, persaudaraan dan kehidupan.

“ Petang ni kita ‘jog’..nak?” tanya Nadhirah. Itulah soalan yang lazim diutarakannya tatkala melihat aku sering sahaja tertidur di kelas. Kurang stamina, katanya. Badan tidak cergas. Badan culas dan malas. Aku hanya memandangnya kosong. Hanya mata yang memandang, tapi fikiranku entah ke mana. Aku sedang membayangkan diriku berada di tempat yang lain. Tempat yang aku sendiri kurang pasti di mana.

‘Pak..’ Terasa bahuku ditepuk. Aku tersentak. Lantas mendongak. Nadhirah bercekak pinggang. Aku mengalih pandangan. Sekali lagi dia menepuk bahuku. Aku hanya tersengih.

“Asyik mengelamun saja. Apalah yang penting sangat sampai tiap saat nak berkhayal. Orang cakap pun buat ‘dek’ ja..” Nadhirah mula mengeluarkan panahan kata-kata yang sememangnya membuat rasa kantukku makin kuat menyelubungi diri.

“ Jangan tidur..dengar dulu..!” Dia menarik tanganku dengan kuat. Aku tersentak sekali lagi. Pandangan terasa samar. Aku membetulkan kaca mataku. Bayangan Nadhirah hilang bersama tiupan bayu yang menampar pipiku.

Seorang ‘junior’ tercegat dihadapanku. “ Assalamualaikum..kak” sapanya dengan senyuman yang terukir di bibir. Aku membalas senyumnya. Namun, hatiku masih mencari kelibat Nadhirah. Aku melihat kiri dan kanan, depan dan belakangku. Nadhirah hilang begitu sahaja.

“ Kak cari siapa?” aju Amira, juniorku itu. Cari siapa? Soalan itu bermain di mindaku. Aku mencari siapa? Nadhirah? Seakan baru kembali ke alam realiti, aku terpana seketika. Kenapa sering sahaja aku terbayang akan Nadhirah? Sudah bertahun aku tidak bertemu dengannya. Tidak berhubung dengannya. Meski dalam keadaan hari ini yang dilengkap dengan serba serbi kemudahan, aku langsung tidak pernah berhubung dengannya sejak hampir 7 tahun lalu.

“ Tak cari siapa-siapa..” jawabku lalu tersenyum semula. “ Maaflah, terlambat sikit. Kak dah lama di sini?” aju Amira.
“ Tak juga lama. Jom..” aku bingkas berdiri seraya menepuk seluarku untuk menghilangkan bekas rumput kering dan debu yang melekat. “ Jom..”balas Amira. Kami berjalan bergandingan menuju trek larian di padang kampus. Bayangan Nadhirah masih melekat di kotak mindaku. Apa agaknya khabar gadis manis itu. Ke manakah dia menghilang. Aku ingin sekali bertemu dengannya, berkongsi pengalaman dan segala yang telah dilalui selama hampir 7 tahun kami terpisah.