Showing posts with label Renungan bersama. Show all posts
Showing posts with label Renungan bersama. Show all posts

Friday, June 29, 2012

Beginilah..

Takkan terdaya..mengungkapkan rasa..
Satu antara resah yang berjuta..
Hadirnya gerhana ketika terpancar pelangi yang indah…

Kehidupan ini ada suka dukanya. Iman itu ada pasang surutnya. Semangat itu ada turun naiknya. Demikianlah setiap sesuatu itu pasti ada pasangannya yang tersendiri. Atas dan bawah, depan dan belakang, sedih dan gembira, hidup dan mati, lelaki dan perempuan, ingat dan lupa, lambat dan perlahan…dan sebagainya..

Aku ingin berehat. Berehat? Selagi namanya masih hidup, istilah rehat tidak bermakna dalam ertinya yang tersirat. Berkali-kali aku memikirkannya. Fikiranku adakalanya menjadi sesak dengan perkara yang  tidak  mampu aku fahami. Aku cuba mengkoreksi semula, refleksi semula, muhasabah semula berkali-kali. Justeru, aku semakin jarang mengunjungi  dan melahirkan cetusan hati dan mindaku di ruangan mayaku. Aku juga semakin keliru dan tidak tahu hujung pangkal ceritaku. Bila berada di hadapan skrin, tanganku kaku dan fikiranku buntu, walhal banyak perkara boleh dikongsikan.

Pertemuan dan perbualan bersama seorang saudara sebelum aidil adha lepas membuatkanku berfikir semula. Juga berkali-kali. Terasa banyak sekali khilafku sebagai seorang manusia yang lemah dari segala aspek. 

Pertemuan dan perbualan itu juga mengundang memori  lain yang sering berputar dalam mindaku.
“Kau dah macam kurang ikut program luar. Ada apa-apa kah?” tanya seorang sahabat suatu ketika.  Aku memandangnya sekilas. “You spy on me?” tanyaku semula, dalam nada gurauan. Dia tersenyum, menggeleng seketika. “I’m just curious. Di mana sudah Ani yang aku kenal dulu..” katanya, masih dalam senyuman. Matanya lekat dihelaian buku yang diselak satu persatu. 

“Salahkah kalau aku tak ikut program-program luar?” tanyaku lagi. Pertanyaan yang ku kira kurang enak didengar.  Ia meluncur  begitu sahaja dari  peti suaraku. Sang sahabat diam. Masih menyelak helaian demi helaian buku. Kemudian, dia memandangku. “Setiap perkara berlaku ada sebabnya. Kau buat begitu pun mesti ada sebabnya kan?” Aku pula tersenyum. Tidak mengiya atau menafikannya. Aku membuang pandangan jauh ke hadapan. Sebelum ini, selalukah aku menyertai program luar? Hatiku bertanya sendiri.
“Ani..” dia menepuk lembut belakangku. “Banyak yang berlaku..” ayatku tersekat dikerongkong. Tidak dapat kuluahkan. Aku menghela nafas panjang lalu melepaskannya perlahan-lahan.  “Setiap yang berlaku ada sebabnya..pasti ada hikmahnya. Kadang-kadang kita tak nampak hikmah tu dengan mata kasar kita, pandangan kita terbatas..” Aku tak nafikan kata-katanya. Itu hakikat setiap kejadian. Cumanya sebagai manusia biasa, adakalanya kita terlepas pandang akan perkara itu. 

“Bila kita rasa perjalanan hidup kita cukup sukar, percayalah, ada yang lebih sukar..jauh lebih sukar dari apa yang dapat kita bayangkan..” sambungnya lagi. Aku tetap diam membisu. “Hati aku..aku tidak tahu..” bicaraku putus. Sang sahabat tersenyum. “Hati kita..milik Allah. Mohonlah pada Allah untuk menjaga hati kita. InsyaAllah..semua baik-baik aja.” Bicaranya menusuk lubuk hatiku. Hati kita milik Allah…aku pernah berkata begitu kepada seorang rakan yang lain suatu ketika dulu. Rakanku itu tidak puas hati kerana sering dipandang serong oleh saudaranya yang lain. Serta merta, terbit kerinduan pada saat itu. Bicara bersama rakan itu, walaupun sering saja diselangi dengan pergaduhan dan gelak tawa, pasti ada saja pengajarannya yang menyentuh hatiku. “Macamana kita boleh rapat?” tanya rakan itu dulu. Sememangnya personaliti interpersonal dan intrapersonal  yang sangat jauh berbeza, agak mustahil boleh seiringan berjalan. Aku menggeleng tidak tahu, namun padaku semua itu ketentuan Allah, kerana tidak ada yang mustahil bagiNya, dan pastinya ada hikmah dan pengajaran yang besar dari ketentuanNya itu. “Sebab kita selalu bergaduh kan?” jawabnya sendiri sambil ketawa lagi. Aku hanya tertawa kecil , sambil menggeleng lagi. 

Aku tersenyum. Begitu cantik perjalanan hidup kita walaupun laluannya ada kesukarannya yang tersendiri, bergantung kepada tahap dan kemampuan kita. Tapi kalau dinilai dari sudut positif, pasti semua yang kita nampak baik-baik belaka.

“Allah sentiasa ada untuk kita..yakinlah. Jaga agamaNya, hidupkan agamaNya dalam diri kita, insyaAllah..” Sang sahabat senyum lagi.

“Terima kasih..” ucapku perlahan. “Berterima kasih dengan manusia..jangan lupa bersyukur dengan Allah..” balasnya, seakan memetik kata-kata yang sering aku tuturkan suatu ketika dulu. Dia masih tersenyum. Senyuman itu satu sedekah. Senyuman yang ikhlas akan membuahkan suatu rasa yang berbeza dalam hati. Rasa dihargai. Rasa dihargai dalam hidup ini merupakan suatu fitrah sebagai seorang manusia. Bohonglah kiranya ada yang tidak mahu dihargai barang sedikitpun dalam hidup ini. Rasa menghargai dan dihargai itulah yang membuahkan kasih sayang antara sesama manusia sebenarnya.  Namun, pokok pangkalnya, kenapa perlu menghargai orang lain? Atas dasar apa kita menghargai orang lain? Tepuk dada, tanya diri masing-masing. 

Beginilah hidup....apapun, tetaplah berdoa moga Allah sentiasa memelihara hati-hati kita semua. Teringat suatu kata-kata,……jangan renung dan menyusahkan diri, tetapi renung dan muhasabahlah diri…

Sunday, May 20, 2012

Lagu hati

 KepadaMu Kekasih
Aku berserah
Kerana ku tahu Kau lebih mengerti
Apa yang terlukis di cermin wajahku ini
Apa yang tersirat di hati
Bersama amali

KepadaMu Kekasih
Aku bertanya
Apakah Kau akan menerimaku kembali
Atau harus menghitung lagi
Segala jasa dan bakti
Atau harus mencampakku ke sisi
Tanpa harga diri

Hanya padaMu Kekasih
Aku tinggalkan
Jawapan yang belum ku temukan
Yang bakal aku nantikan
Bila malam menjemputku lena beradu

KepadaMu Kekasih
Aku serahkan
Jiwa dan raga
Jua segalanya
Apakah Kau akan menerima penyerahan ini
Apakah Kau akan menerimaku
Dalam keadaan begini

Semalam..aku berkesempatan mendengar semula lagu ni yang dibawa oleh Hazama..aku bukanlah penonton setia tv, tapi sebab berada di rumah..ikut samalah tengok2 dengan family. Aku lebih tertarik dengan lirik lagu ni..harap2 yang menyanyi dan yang mendengar hayati dalam2 maksud lirik lagu ni..

Kertas periksaku tinggal satu(padahal ada dua saja sem ni..huhu)..dan aku semakin berdebar menanti hari exam itu (Khamis, 24 Mei)..Subjek untuk kertas terakhir ini sangat mencabar..moga2 Allah permudahkan..

Semester hadapan adalah semester terakhirku...Allah...cepat betul masa berlalu..5 tahun setengah macam sekelip mata ja berlalu...banyak perkara dalam perancanganku..moga2 Allah permudahkan..namun, jauh di sudut hati..perasaanku bercampur baur..sedih..gembira...teruja..sayang..

Sepanjang tempoh masa 5 tahun ini, apa yang sudah ku pelajari di ip? Berapa banyak ilmu dunia akhirat yang berjaya aku raih dan amal? Berapa banyak usaha sudah ku lakukan untuk memperbaiki diri supaya menjadi lebih baik dan baik? Berapa dalam sudah ku pelajari agamaku? Kerana hakikatnya..aku belajar mendalami agama setelah menjejakkan kaki d Bukit Langsat..

Persoalan demi persoalan tidak akan pernah habis..malah semakin bertambah...apapun..pokok pangkalnya..hargailah dan syukuri masa dan peluang yang ada sekarang...selepas ini, mungkin kita tidak bertemu secara zahir..tapi insyaAllah..doa sentiasa menjadi penghubung..

Semoga berjaya buat semua dalam menghadapi ujian dan peperiksaan d dunia dan akhirat...

p/s....teringat suatu soalan...'sejauh mana amalan peperiksaan menjamin penguasaan ilmu?' fikir-fikirkan...

Saturday, May 19, 2012

Soal Hati

Sekuat mana pun saya cuba menjadi, hakikatnya saya ini masih seorang manusia. Perasaan sedih dan kecewa, dan macam-macam lagi perasaan datang bersilih ganti di hati ini.

Sedangkan Rasulullah saw sendiri ada masanya baginda duduk mengasingkan dirinya daripada masyarakat, apa lagi saya manusia yang jauh dari sempurna, mustahil untuk saya terlepas daripada perasaan sedemikian. Tipulah kalau saya katakan, saya ini hamba Allah yang sentiasa gembira sepanjang masa.

Ada masa-masa tertentu, saya rasa sangat lemah. Ada sahabat berkata, "sepatutnya orang yang banyak bagi motivasi dekat orang lain, mereka adalah antara orang-orang yang bermotivasi." Benar, itu yang sepatutnya. Tapi dia mungkin lupa, saya ini bukan malaikat. Saya juga masih boleh tergelincir dari jalan sepatutnya.

Benarlah kata seorang hamba Allah dulu, soal hati ini susah untuk diperjelaskan. Kerana saya mungkin saja sedang bersenyum kepada orang ramai, tapi hakikatnya tiada seorang pun yang tahu apa yang berlaku dalam hati saya.

Hanya Allah yang lebih mengetahui...
 
Status 'facebook' seorang saudara. Aku amat setuju dengan pernyataannya..kerana aku juga merasakannya. Dan aku percaya begitu juga dengan anda di luar sana. Soal hati memang susah untuk dijelaskan.  Ia sesuatu yang abstrak. Kerana itu, berhati-hatilah dengan hati kita. Jagalah ia sebaiknya. 
Suatu senyuman belum tentu menzahirkan suatu kegembiraan...
Assalamualaikum..

Sunday, April 1, 2012

Kahwin

Assalamualaikum..

Apa khabar sahabat-sahabat mayaku? Lama sudah tidak ku update laman mayaku ini. Macam banyak sudah sarang labah-labah..astaghfirullah...minta maaf, sedikit kekangan melanda diri saban waktu..

Baiklah, tanpa membuang masa, kali ini aku mau cerita sikit pasal satu perkara, yang mungkin ceritaku ini bakal menjadi panjang...Ok, kali ini aku mau ubah sikit gaya bahasa, jadi ala-ala sabahan..supaya lebih santai untuk kalian semua..harap-harap ceritaku ini ada manfaatnya walau sedikit ya..yang bagus, yang baik, ambillah..yang tidak bagus pula..ambil juga tapi jangan ikut, ambil untuk kasi jadi pengajaran..we learn from mistakes, am i right?

Kahwin. Cakap pasal kahwin, semua orang semangat. Perkataan ‘kahwin’ itu ada aura yang tersendiri. Orang muda bila cerita pasal kahwin, dari malam sampai subuh pn takkan bosan. Semua yang indah-indah saja terbayang di ruang minda.

Tempoh hari, cerita pasal kahwin @ nikah diutarakan dalam rancangan Al-Kuliyyah kalau tak silap. Terus ramai orang buat status facebook pasal kahwin muda. (Ohya..aku sudah ada facebook atas alasan digesa kawan sekelas sebab dorang mau buat group kelas kunun, lagipun pensyarah kami terlampau moden mo berinteraksi guna facebook saja…. alasan saja ni, padahal sendiri pn teruja mo ada facebook bila sodara mara sahabat handai yang nun jauh bising cakap aku ni susa mo dikontek. Ada henpon pn jarang pigang, bila kena kol, susah mo angkat..). Sampai aku pun bingung2 baca status kawan2 fb..last2 log out. Tapi bagus juga bah bila kawan2 fb ni buka cerita pasal kahwin muda. Sekurang-kurangnya minda dorang tbuka sikit pasal budaya kapel yang makin menular. (orang kampung bilang malar sudah)

Okay, balik cerita pasal kahwin. Nikah dan kahwin tu perkara berbeza ya kawan2, tapi sekarang bila sebut pasal kahwin, automatik (otomatik orang kampung bilang) fikiran melayang ingatkan kehidupan lepas nikah. Walhal dua benda tu ada bezanya. Orang yang dah nikah memang dah kahwin, tapi orang dah kahwin tak semestinya dah nikah. Ada yang kahwin tanpa nikah. Macamana tu? em..fikirlah sendiri.

Bagi golongan sepertiku (20 ke atas) perkataan tu memang sinonimla. Kami tak cakap pun orang akan tanya. Pertanyaan demi pertanyaan akan berlanjutan rentetan dari perkataan kahwin, misalnya….

Hari ini, belum kahwin..orang akan tanya, “ Ko bila lagi?” Kalau aku..hanya senyuman menjawab pertanyaan itu. Kalau balik-balik kena tanya, senang saja jawapanku, “insyaAllah, tak lama lagi, doakan saja.” Ataupun , “ makcik lah (pakcik lah, kakaklah, cikgulah) tolong cari..”

Bila dah kahwin, soalan ni pula keluar, “Bila lagi nak berisi?” Mungkin pertanyaan ni pun aku akan jawab dalam senyuman seiring dengan lafaz, “insyaAllah..kalau ada rezeki awal, awal la..”

Bila dah ada anak satu, soalan lain lagi keluar, “ Bila lagi nak menambah?” mungkin aku juga cuma akan tersenyum.

Bila anak dah besar, kena tanya lagi, “Bila lagi nak bermenantu?” Lepas tu , “Bila lagi nak bercucu?”

Ya Allah, kalau nak hitung, takkan habis dipersoalkan isu kahwin ni. Satu hal lagi bila sebut pasal hantaran dan belanja kahwin (orang kampung bilang berian dan duit hangus). Bila mahal, kena cakap jual anak. Bila murah, orang bilang luki. Nahh..mana satu mo diikut. Bikin pening kepala bah cakap orang2 ni.

Memandangkan diri sedang berada di tahun akhir,memang patut perkara ni muncul diminda, tapi ianya bukanlah satu keutamaan. Ingat kawan-kawan tahun akhir, isu kahwin ni bukan satu keutamaan melainkan memang kalian semua tidak tahan mau kahwin sudah. Kalau sampai puasa pn tidak boleh jadi benteng, bah..kahwinla, yang penting sedia zahir dan batin, ilmu dunia akhirat pn dah cukup untuk jadi suami isteri. Soal rezeki jangan risau, sebab Allah sudah jamin rezeki bagi pasangan yang berkahwin. Mana tahu sekarang makan megi kosong, bila dah kahwin, dapat makan megi campur telur. Syukur Alhamdulillah, ada perubahan dan peningkatan. Susa-susa dulu, nanti bsenang sikit dikemudian hari.

Untuk yang masih belum ada calon, jangan risau. Banyak calon diluar sana, cuma tidak tahu siapa itu. (Ungkapan ni juga untuk diri penulis..heheh). Pernah naqibku bilang lebih kurang macam ni, “di fb tu penuh penipuan. Ada yang letak married to, ada yang in relationship with, ada yang is engaged to, ..buat apa mau tapuk2 status diri di fb tu..senang cerita,buatlah sedang mencari ka..” Aku mahu saja terlepas ketawa, tapi masih juga kontrol dalam senyuman. Yalah..betul juga cakap tok guru, kalau memang mau mencari, taru saja status sedang mencari, buat apa tapuk2 atau main buyuk. Ok, jadi aku mau tanya, apa status sebenar kalian semua sebenarnya? Heheh…


insyaAllah akan brsambung..(kan sudah ku bilang bakal jadi panjang..)

Thursday, February 16, 2012

Sudut Pandang

Assalamualaikum....

Setiap hari belajar perkara baru. Perkara baru itu akan menjadi satu ilmu yang akan membawa kita kepadaNya jika kita melihatnya dari sudut yang positif. Setiap perkara yang kita lihat, cakap dan dengar itu ada baik buruknya, dan akan membawa natijah tertentu bergantung kepada cara pengaplikasiannya.

Fasa praktikum ketigaku sudah masuk minggu ketiga dan bakal masuk minggu keempat beberapa hari lagi. Begitu cepat masa berlalu. Masa di akhir zaman memang cepat berlalu, Nabi pun ada bersabda tentang masa di akhir zaman (tapi tak ingat bunyi hadisnya, minta maaf)..dan terpulang pada kita untuk mengambil iktibar dari peringatan baginda itu.

Baru tadi, berlangsung mesyuarat untuk ahli jawatankuasa masjid. Beberapa sesi mesyuarat sebelum ini tidak sempat kuikuti atas sebab tertentu, dan kali ini, Alhamdulillah Allah permudahkan dan melapangkan urusan zahir dan batinku untuk sama-sama berada dalam mesyuarat tersebut.

Apabila kurang terlibat dengan gerak kerja JKM di ipg, aku merasa agak kekok dan ketinggalan berbanding dengan rakan-rakan junior yang lain. Tanggungjawab dan amanah sebagai guru pelatih yang sedang berpraktikum di fasa akhir sebelum latihan intership benar-benar mencabar diri. Pengurusan masa, disiplin diri, kekuatan jiwa, kesabaran dan sebagainya menjadi perkara tunjang dalam diri yang perlu dikuasai.

Berikutan permintaan adik-adik junior untuk mengetahui kisah-kisah sepanjang praktikum, aku ingin berkongsi beberapa peristiwa menarik, tapi bukan dalam entri kali inii. (terasa ayat semakin skema kebelakangan ini). Entri ini ku khususkan kepada para junior yang akan menerajui kepimpinan di ipg kelak. memandangkan mata-mata insan yang berada dalam mesyuarat tadi semakin kuyu, aku mengambil keputusan untuk bercakap melalui tarian jari. Semoga perkongsian ini memberi manfaat walau sedikit.

Perbincangan isu-isu dalam mesyuarat tadi merupakan perkara yang acap kali dibincangkan dalam mesyuarat awal tahun JKM. Cuma ada penambahbaikan pada beberapa aspek yang perlu. Isu dakwah dan tarbiyah para pelatih masih menjadi antara perkara utama yang dibincangkan. Pelbagai program dan aktiviti dirancang untuk menarik orang ke masjid dan usaha dakwah ini berlarutan sejak dahulu lagi. Memang tidak dapat kunafikan, usaha dakwah ini bukan perkara mudah, tapi ia juga bukan perkara sukar. Ianya menjadi sukar apabila istilah dakwah digunapakai hinggakan digelar orang masjid, orang agama, orang dakwah. Sehingga suatu saat, ia menjadi satu beban kepada si pemegang gelaran. Pesanku, selalulah muhasabah diri dan perbetulkan niat kita untuk bekerja kerana agama.

Aku tertarik dengan beberapa kata, antaranya, ‘pasangkan niat untuk berdakwah sebelum ke kelas setiap pagi,’. Ya, pasangkan niat. Pasangkan niat untuk membuat walau sekecil kuman kebaikan pada hari itu, dan tetapkan niat itu bukan untuk apa-apa mahupun sesiapa, tetapi cukuplah untuk menjadi hamba yang lebih baik dan lebih dekat dengan TuhanNya. Walau hanya dengan senyuman seikhlas hati kepada rakan pelatih lain.

Manusia yang melihat kita akan menilai kita dari sudut yang berbeza. Pemikiran setiap manusia ada bezanya. Itu satu rahmat dari Allah. Perbezaan yang ada membolehkan kita berkembang atas landasan yang bertunjangkan akidah yang satu. Sebagai pelatih yang membawa gelaran ‘muslim’, orang yang tidak senang dengan kita akan sentiasa mencari kesalahan kita.

Ayat kedua,’Kita bekerja bukan untuk mendapatkan ganjaran, tetapi untuk Allah.’ Aku tidak tahu bagaimana persepsi setiap orang yang berusaha membangunkan agama Allah. Cuma suka untukku bawakan kisah Rabiatul Adawiyah yang bermunajat dalam doanya, bahawa beliau beribadat bukan inginkan syurga atau takut masuk neraka,tetapi semata-mata kerana Allah. Cintanya pada Allah melebihi cintanya pada syurga, dan takutnya pada Allah melebihi takutnya pada neraka. Beliau hanya mahukan rahmat Allah. Jika ditanya pada diriku, adakah aku berusaha beribadah kerana untuk mendapat syurga Allah, adakah aku mahukan syurgaNya, sebolehnya aku tidak akan menjawab soalan itu secara verbal. Kerana aku belum pasti bagaimana pengakhiran hidupku. Aku takut kerana terlebih berangan-angan untuk masuk syurga, aku terlupa berusaha untuk menjauhi neraka.

Ayat seterusnya, ‘don’t judge a book by its cover. Jangan merasa diri cukup hebat, baik dan bagus untuk segalanya. Sedangkan pelacur pun masuk syurga kerana memberi seekor anjing minum,inikan pula manusia yang jauh dari dunia kepelacuran itu.’ Memang tidak dinafikan, hari ini ramai yang merasa dirinya hebat, atau mungkin terasa hebat, jadi terlepas pandang beberapa perkara yang mungkin dianggapnya remeh. Kita perlu sentiasa sedar, saat kita merasa diri lebih baik dari orang lain itu merupakan satu saat kita merendahkan orang lain dan titik sombong mula bertapak dihati. Kita mungkin ada lebihnya sedikit dari orang lain, tapi dalam masa yang sama, kita tidak sedar bahawa dia lebih banyak baik dari kita. Jadi, kajilah kurangnya pada diri sebelum merasakan kekurangan pada orang lain.

Berdakwah atau membawa orang pada kebaikan itu banyak caranya. Cuma terpulang untuk kita menggunakan cara yang bagaimana, yang sesuai dengan karakternya. Satu prinsip pengajaran dan pembelajaran sama ada dalam strategi pengajaran islam atau konvensional, kita belajar berdasarkan tahap kita. Kita juga mengajar berdasarkan tahap orang yang kita hendak ajar. Andai kata orang tersebut masih di tahap pengetahuan, maka ajarkanlah pada tahap itu supaya dia boleh naik ke tingkat yang seterusnya iaitu kefahaman. Analoginya, janganlah bayi yang baru hendak belajar berdiri disuruh berlari tanpa menguasai kemahiran berjalan terlebih dahulu.

Untuk memberi kesedaran pada orang lain, perlu bermula dengan diri kita sendiri. Diri kita tidak sempurna, tapi tunjukanlah bahawa kita senantiasa berusaha untuk memperbaiki kekurangan pada diri kita. Cara berhikmah dalam menyampaikan kebenaran dan kebaikan itu perlu disesuaikan dengan keadaan dan situasi semasa. Adakalanya, berhikmah itu memerlukan kelembutan, dan adakalanya ia memerlukan kekerasan.

Aku juga bukan sebaik mana, cuma ingin berkongsi buah fikiran kerana tidak berpeluang mengongsikan tenaga sepertimana kalian yang bergerak dengan lebih aktif, proaktif, inovatif (smua yang ‘tif-tif la) di ipg..apapun, harapanku, kita berusaha untuk menjadi model kepada setiap mata yang memandang kita. Apapun imej yang kita tonjolkan, bawalah Islam bersama seperti mana ikrar kita dalam doa iftitah yang dibaca dalam setiap solat fardhu. (Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku hanya kerana Allah Tuhan sekalian alam). Kita tidak sempurna, tapi berusaha untuk jadi yang terbaik. Berusaha untuk menjadi yang terbaik bukan kerana ingin mendapat gelaran pelajar terbaik, pelajar cemerlang atau yang sewaktu dengannya, tetapi kerana kita memang dituntut untuk menjadi yang terbaik, kerana kita memang dijadikan sebagai umat yang terbaik. InsyaAllah, sama-sama kita muhasabah diri, selalulah saling memperingatkan dan berusaha untuk memperbaiki diri, membersihkan hari dan memperkasakan rohani serta jati diri sebagai muslim sejati.

Sunday, January 15, 2012

Relasi Januari

Satu keluhan kecil terbit bersama helaan nafas yang panjang. Pandangan kuhamparkan jauh ke hadapan. Cuba mencari makna sebuah kehidupan dari gambaran pelbagai ragam manusia. Tidak tahu hendak ke mana. Lantas, stereng kereta kuputar, menuju ke suatu tempat. Tiba di muka pintu, salam ku ucap, namun tiada insan yang menyahut salamku secara zahir. Namun, alunan ayat-ayat suci al-Quran seakan menyambut salam dan kehadiranku. Usai duduk sebentar mendengar alunan merdu dari ruangan sebelah, aku berangkat, menuju ke destinasi berikutnya. Sememangnya al-Quran merupakan penawar terbaik yang dikurniakanNya kepada seluruh hambaNya. Meskipun tidak memahami apa yang dibaca dan dilagukan, ia memberi suatu perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Kadangkala, hanya dengan membaca sepotong ayat, membuatkan hati merasa sebak dan air mata keluar dengan sendirinya.

Kembali menyingkap sirah nabi di awal penyebaran Islam, al-Quran memainkan peranan penting dalam melembutkan hati para penentang kuat baginda semasa itu. Hati keras Al-Walid bin Al-Mughirah, Abu Sufyan, Abu Jahal dan Akhnas bin Syarik turut menjadi lembut bila mendengar alunan kalam Allah meskipun mereka menafikannya. Juga tercatat dalam sejarah bagaimana Abu Sufyan, Abu Jahal dan Akhnas mencuri-curi dengar baginda nabi membaca al-Quran dimalam hari walaunpun zahirnya mereka merupakan antara penentang hebat baginda. Ajaibnya mukjizat agung itu.

Tiba di destinasi berikutnya, aku mengambil tempat yang agak jauh dari orang ramai. Aku duduk dihujung padang sambil memerhati gelagat para manusia yang pelbagai. Ada yang beriadah bersama keluarga, ada yang membuat latihan sendiri, ada yang berjalan, dan ada juga kanak-kanak yang sibuk bermain pasir, membina istana pasir sambil berbicara sesuatu yang hanya difahami olehnya sendiri. Aku tersenyum sendiri. Gelagat kanak-kanak riang tersebut sedikit menghilangkan kerinduanku pada anak buahku.



Namun, satu perasaan yang sentiasa berbekas dihati, kembali merajai tapak sanubari tatkala langit yang membiru kupandang kosong. Aku menarik nafas panjang dan melepaskan perlahan. Teringat suatu ketika dahulu, ketika duduk disatu sudut padang kampus bersama senior. Senior dan senior. Duduk berbual soal kehidupan, dan soal ummat masa kini. Jauh disudut hati, aku merindui saat itu. Aku dan senior-seniorku. Rapatnya aku dan senior bermula di rumahNya, dan berpanjangan di padang kampus, walau jarang menghabiskan masa bersama. Walaupun kini dibatasi jarak, dan mereka berjuang dilapangan yang jauh lebih mencabar, doa yang dipanjatkan tidak akan pernah putus agar silaturahim yang terbina terus utuh dan teguh.

Kehilangan. Suatu kehilangan yang terasa di dalam hati mengajar kita untuk lebih menghargai dan mensyukuri apa yang dimiliki saat ini, itupun jika kita ingin memandang kehilangan itu dari sudut yang positif. Jika sebaliknya, mungkin saja kita akan menyalahkan takdir atas kehilangan itu. Suatu kehilangan itu merupakan didikan yang wajar dipertimbangkan dari pelbagai sudut yang berbeza.

Kita manusia yang diangkat darjatnya dengan kelebihan akal. Tanpa akal, kita boleh saja setaraf dengan binatang, bahkan dengan akal sekalipun, manusia lebih cenderung bersifat kebinatangan, apatah lagi tanpa akal yang mampu membantu kita menilai sesuatu. Dengan adanya akal, manusia perlu dididik, bukan saja diajar. Manusia lebih memerlukan didikan berbanding pelajaran, kerana itu para guru ditekankan untuk menjadi seorang pendidik, bukan hanya seorang pengajar.

Menelusuri erti sebuah persahabatan dalam nukilan Hilal Asyraf, ‘Relasi’, membuatkanku semakin tercari individu yang membawa gelaran ‘sahabat’ dalam hidupku selama ini. Kehilangan seseorang dalam hidup kita akan membuatkan kita merasa seakan sendirian. Namun, itulah tarbiyyahNya. Merasa sendirian itu bahaya kerana itu antara tanda awal bahawa kita semakin menjauhiNya, demikian antara konklusi salah satu watak yang dipamerkan oleh penulis muda itu.

“Kalimah sahabat, bukannya untuk orang yang rapat dengan kamu sahaja,” demikian antara petikan suatu dialog dalam novel tersebut. Aku tersenyum lagi. Namun dihati, terasa sebak. Air mataku mengalir perlahan. Aku tahu, aku sayangkan dia, dan mereka. Adakalanya perasaan sayang itu tidak perlu dizahirkan melalui kata-kata, tapi cukup dengan perbuatan. Namun begitu, adakalanya perbuatan itu disalahtafsirkan, kerana kita sebagai manusia, punya persepsi yang berbeza. “Ya Allah, izinkanku untuk menyayanginya , untuk menyayangi mereka semata-mata keranaMu..”hatiku berbisik perlahan.

Biarlah kalimah sahabat itu tersemat bersama rasa sayang yang terkunci di hati. Kerana apa yang penting bukanlah balasan dari mereka atas perasaan itu, tetapi keikhlasan dalam menjadikan perasaan itu sebagai langkah untuk sentiasa dekat denganNya.

Kadangkala,
Kita terpaku mencari jawapan kehidupan,
Berlari dan terus berlari,
Mengharapkan penghujung yang sejati,
Tercungap-cungap mencari nafas ketenangan hakiki,
Lantas kita berhenti sebentar,
Refleksi diri yang kian gentar,
Bertanya semula kepada kalbu yg keletihan,
Apa yang engkau lari-larikan?
Apabila hakikatnya,
Kebahagiaanmu tersuluh di depan mata,
Kemuliaanmu terpancar hatta di celah-celah kota,
Walau dunia penuh pancaroba,
Dirimu sentiasa menanti masa,
Mencari, dan terus mencari.

...Kerdipan Yang Hilang... (sumber : http://www.iluvislam.com/tazkirah/nasihat/1958-mencari-kerdipan-yang-hilang.html)

Sunday, October 16, 2011

Cerita tentang malam

Suasana malam di kampung dan di asrama memang ada bezanya. Aku suka keluar di beranda rumah sambil memerhatikan gugusan bintang yang berkelipan menghiasi dada malam. Kalau tidak pun, aku keluar dan berdiri di halaman rumah, huga memerhatikan perkara yang sama. Terasa suatu kelapangan, kedamaian dan kesyahduan melanda lubuk hati. Aku tidak tahu mengapa. Tapi aku sukakan perasaan itu. Bila sudah terlalu banyak perkara yang harus difikirkan bersarang di minda, berehat sebentar melihat keindahan ciptaan Allah merupakan antara terapi buatku. Justeru, kadangkala aku akan pergi ke mana-mana pada hujung minggu yang tertentu untuk melihat indahnya saat matahari terbenam.

Saat ini fikiranku bungkam. Bungkam memikirkan terlalu banyak perkara yang datang menyesak fikiran sekian lama.

"Wah..lawa buku ni..kau punya sendiri?" tanya Bell (Isabella) sewaktu datang bertandang di bilikku di asrama. Dia memegang sebuah buku. Aku memandangnya sekilas lalu mengangguk dalam senyuman. Dia kembali membelek-belek buku itu. Habis buku-buku di atas mejaku dibeleknya.

"Kau beli sendiri?" tanyanya lagi. "A'ah.." rngkas jawapanku. Wajahnya berubah tatkala membaca tajuk buku tersebut. 'Indahnya Kematian'. Bell seperti ingin tertawa, namun perasaan hairannya lebih menonjol pada wajahnya.

Aku hanya tersngih. "Bikin takut juga buku kau ni..." Aku tertawa kecil.
"Kau selalu ingat pasal mati sajakah?" Aku diam dalam senyuman. Aku sudah lama tidak membuka buku itu. Sememangnya tajuknya agak menakutkan, tapi itulah yang mnarik minatku untuk membelinya. Bukan kerana selalu ingat mati aku membeli buku itu, tapi sekurang-kurangnya ia menjadi sesuatu yang akan mengingatkanku pada kematian.

Sesudah puas membelek, akhirnya dia memilih bku 'AKU, ISABELLA DAN TOK KENALI' yang merupakan catatan penghijrahan Bob Lokman dari medan seni ke medan dakwahnya. Aku berasa lucu mengenangkan dia memilih buku itu kerana ada namanya tertera sebagai sebahagian dari tajuk buku itu. Sesaat aku juga hairan dengannya yang tiba-tiba suka membaca. Namun, aku juga sukakan perubahannya yang ketara itu, hinggakan menjadi peminjam buku di perpustakaan besar daerah Keningau.

Ingatkan mati. Kata Cikgu Isa (Pensyarah IP Kampus Islam)..tak perlu takut mati, tapi kena bersedia menghadapinya. Masalahnya ramai yang tak bersedia dan tak mahu menyediakan diri ke arah itu. Tapi takut pula untuk mati dan terlalu risau untuk meninggalkan dunia.

Aku menghela nafas. Memikirkan..sejauh manakah sudah persediaan untuk menghadapi saat itu. Saat yang pasti bagi setiap insan, bezanya cuma pada waktu dan tempat serta cara.

Sinaran sang bulan semakin kelam. Cahaya purnamanya semakin malap. Semalap hatiku. Perjalanan hidup ini semakin berat, aku tidak tahu ke mana sudah arahku berjalan dan berlari. Nafas ku hela sekali lagi. Dengan sisa hidup semakin singkat..hatiku berkata..'Memang dunia ini penuh dengan kepalsuan..aku tidak sabar bertemu dengan hakikat yang penuh kebenaran..tapi aku tidak tahu sama ada aku sudah cukup bersedia atau tidak..'

Apapun, diri perlu bangkit untuk menghadapi hari esok. Mungkin esok masih ada untuk kita..dan nyata hidup ini penuh dengan harapan baru. InsyaAllah..