Showing posts with label Perkongsian. Show all posts
Showing posts with label Perkongsian. Show all posts

Friday, June 29, 2012

Beginilah..

Takkan terdaya..mengungkapkan rasa..
Satu antara resah yang berjuta..
Hadirnya gerhana ketika terpancar pelangi yang indah…

Kehidupan ini ada suka dukanya. Iman itu ada pasang surutnya. Semangat itu ada turun naiknya. Demikianlah setiap sesuatu itu pasti ada pasangannya yang tersendiri. Atas dan bawah, depan dan belakang, sedih dan gembira, hidup dan mati, lelaki dan perempuan, ingat dan lupa, lambat dan perlahan…dan sebagainya..

Aku ingin berehat. Berehat? Selagi namanya masih hidup, istilah rehat tidak bermakna dalam ertinya yang tersirat. Berkali-kali aku memikirkannya. Fikiranku adakalanya menjadi sesak dengan perkara yang  tidak  mampu aku fahami. Aku cuba mengkoreksi semula, refleksi semula, muhasabah semula berkali-kali. Justeru, aku semakin jarang mengunjungi  dan melahirkan cetusan hati dan mindaku di ruangan mayaku. Aku juga semakin keliru dan tidak tahu hujung pangkal ceritaku. Bila berada di hadapan skrin, tanganku kaku dan fikiranku buntu, walhal banyak perkara boleh dikongsikan.

Pertemuan dan perbualan bersama seorang saudara sebelum aidil adha lepas membuatkanku berfikir semula. Juga berkali-kali. Terasa banyak sekali khilafku sebagai seorang manusia yang lemah dari segala aspek. 

Pertemuan dan perbualan itu juga mengundang memori  lain yang sering berputar dalam mindaku.
“Kau dah macam kurang ikut program luar. Ada apa-apa kah?” tanya seorang sahabat suatu ketika.  Aku memandangnya sekilas. “You spy on me?” tanyaku semula, dalam nada gurauan. Dia tersenyum, menggeleng seketika. “I’m just curious. Di mana sudah Ani yang aku kenal dulu..” katanya, masih dalam senyuman. Matanya lekat dihelaian buku yang diselak satu persatu. 

“Salahkah kalau aku tak ikut program-program luar?” tanyaku lagi. Pertanyaan yang ku kira kurang enak didengar.  Ia meluncur  begitu sahaja dari  peti suaraku. Sang sahabat diam. Masih menyelak helaian demi helaian buku. Kemudian, dia memandangku. “Setiap perkara berlaku ada sebabnya. Kau buat begitu pun mesti ada sebabnya kan?” Aku pula tersenyum. Tidak mengiya atau menafikannya. Aku membuang pandangan jauh ke hadapan. Sebelum ini, selalukah aku menyertai program luar? Hatiku bertanya sendiri.
“Ani..” dia menepuk lembut belakangku. “Banyak yang berlaku..” ayatku tersekat dikerongkong. Tidak dapat kuluahkan. Aku menghela nafas panjang lalu melepaskannya perlahan-lahan.  “Setiap yang berlaku ada sebabnya..pasti ada hikmahnya. Kadang-kadang kita tak nampak hikmah tu dengan mata kasar kita, pandangan kita terbatas..” Aku tak nafikan kata-katanya. Itu hakikat setiap kejadian. Cumanya sebagai manusia biasa, adakalanya kita terlepas pandang akan perkara itu. 

“Bila kita rasa perjalanan hidup kita cukup sukar, percayalah, ada yang lebih sukar..jauh lebih sukar dari apa yang dapat kita bayangkan..” sambungnya lagi. Aku tetap diam membisu. “Hati aku..aku tidak tahu..” bicaraku putus. Sang sahabat tersenyum. “Hati kita..milik Allah. Mohonlah pada Allah untuk menjaga hati kita. InsyaAllah..semua baik-baik aja.” Bicaranya menusuk lubuk hatiku. Hati kita milik Allah…aku pernah berkata begitu kepada seorang rakan yang lain suatu ketika dulu. Rakanku itu tidak puas hati kerana sering dipandang serong oleh saudaranya yang lain. Serta merta, terbit kerinduan pada saat itu. Bicara bersama rakan itu, walaupun sering saja diselangi dengan pergaduhan dan gelak tawa, pasti ada saja pengajarannya yang menyentuh hatiku. “Macamana kita boleh rapat?” tanya rakan itu dulu. Sememangnya personaliti interpersonal dan intrapersonal  yang sangat jauh berbeza, agak mustahil boleh seiringan berjalan. Aku menggeleng tidak tahu, namun padaku semua itu ketentuan Allah, kerana tidak ada yang mustahil bagiNya, dan pastinya ada hikmah dan pengajaran yang besar dari ketentuanNya itu. “Sebab kita selalu bergaduh kan?” jawabnya sendiri sambil ketawa lagi. Aku hanya tertawa kecil , sambil menggeleng lagi. 

Aku tersenyum. Begitu cantik perjalanan hidup kita walaupun laluannya ada kesukarannya yang tersendiri, bergantung kepada tahap dan kemampuan kita. Tapi kalau dinilai dari sudut positif, pasti semua yang kita nampak baik-baik belaka.

“Allah sentiasa ada untuk kita..yakinlah. Jaga agamaNya, hidupkan agamaNya dalam diri kita, insyaAllah..” Sang sahabat senyum lagi.

“Terima kasih..” ucapku perlahan. “Berterima kasih dengan manusia..jangan lupa bersyukur dengan Allah..” balasnya, seakan memetik kata-kata yang sering aku tuturkan suatu ketika dulu. Dia masih tersenyum. Senyuman itu satu sedekah. Senyuman yang ikhlas akan membuahkan suatu rasa yang berbeza dalam hati. Rasa dihargai. Rasa dihargai dalam hidup ini merupakan suatu fitrah sebagai seorang manusia. Bohonglah kiranya ada yang tidak mahu dihargai barang sedikitpun dalam hidup ini. Rasa menghargai dan dihargai itulah yang membuahkan kasih sayang antara sesama manusia sebenarnya.  Namun, pokok pangkalnya, kenapa perlu menghargai orang lain? Atas dasar apa kita menghargai orang lain? Tepuk dada, tanya diri masing-masing. 

Beginilah hidup....apapun, tetaplah berdoa moga Allah sentiasa memelihara hati-hati kita semua. Teringat suatu kata-kata,……jangan renung dan menyusahkan diri, tetapi renung dan muhasabahlah diri…

Sunday, May 20, 2012

Lagu hati

 KepadaMu Kekasih
Aku berserah
Kerana ku tahu Kau lebih mengerti
Apa yang terlukis di cermin wajahku ini
Apa yang tersirat di hati
Bersama amali

KepadaMu Kekasih
Aku bertanya
Apakah Kau akan menerimaku kembali
Atau harus menghitung lagi
Segala jasa dan bakti
Atau harus mencampakku ke sisi
Tanpa harga diri

Hanya padaMu Kekasih
Aku tinggalkan
Jawapan yang belum ku temukan
Yang bakal aku nantikan
Bila malam menjemputku lena beradu

KepadaMu Kekasih
Aku serahkan
Jiwa dan raga
Jua segalanya
Apakah Kau akan menerima penyerahan ini
Apakah Kau akan menerimaku
Dalam keadaan begini

Semalam..aku berkesempatan mendengar semula lagu ni yang dibawa oleh Hazama..aku bukanlah penonton setia tv, tapi sebab berada di rumah..ikut samalah tengok2 dengan family. Aku lebih tertarik dengan lirik lagu ni..harap2 yang menyanyi dan yang mendengar hayati dalam2 maksud lirik lagu ni..

Kertas periksaku tinggal satu(padahal ada dua saja sem ni..huhu)..dan aku semakin berdebar menanti hari exam itu (Khamis, 24 Mei)..Subjek untuk kertas terakhir ini sangat mencabar..moga2 Allah permudahkan..

Semester hadapan adalah semester terakhirku...Allah...cepat betul masa berlalu..5 tahun setengah macam sekelip mata ja berlalu...banyak perkara dalam perancanganku..moga2 Allah permudahkan..namun, jauh di sudut hati..perasaanku bercampur baur..sedih..gembira...teruja..sayang..

Sepanjang tempoh masa 5 tahun ini, apa yang sudah ku pelajari di ip? Berapa banyak ilmu dunia akhirat yang berjaya aku raih dan amal? Berapa banyak usaha sudah ku lakukan untuk memperbaiki diri supaya menjadi lebih baik dan baik? Berapa dalam sudah ku pelajari agamaku? Kerana hakikatnya..aku belajar mendalami agama setelah menjejakkan kaki d Bukit Langsat..

Persoalan demi persoalan tidak akan pernah habis..malah semakin bertambah...apapun..pokok pangkalnya..hargailah dan syukuri masa dan peluang yang ada sekarang...selepas ini, mungkin kita tidak bertemu secara zahir..tapi insyaAllah..doa sentiasa menjadi penghubung..

Semoga berjaya buat semua dalam menghadapi ujian dan peperiksaan d dunia dan akhirat...

p/s....teringat suatu soalan...'sejauh mana amalan peperiksaan menjamin penguasaan ilmu?' fikir-fikirkan...

Saturday, May 19, 2012

Soal Hati

Sekuat mana pun saya cuba menjadi, hakikatnya saya ini masih seorang manusia. Perasaan sedih dan kecewa, dan macam-macam lagi perasaan datang bersilih ganti di hati ini.

Sedangkan Rasulullah saw sendiri ada masanya baginda duduk mengasingkan dirinya daripada masyarakat, apa lagi saya manusia yang jauh dari sempurna, mustahil untuk saya terlepas daripada perasaan sedemikian. Tipulah kalau saya katakan, saya ini hamba Allah yang sentiasa gembira sepanjang masa.

Ada masa-masa tertentu, saya rasa sangat lemah. Ada sahabat berkata, "sepatutnya orang yang banyak bagi motivasi dekat orang lain, mereka adalah antara orang-orang yang bermotivasi." Benar, itu yang sepatutnya. Tapi dia mungkin lupa, saya ini bukan malaikat. Saya juga masih boleh tergelincir dari jalan sepatutnya.

Benarlah kata seorang hamba Allah dulu, soal hati ini susah untuk diperjelaskan. Kerana saya mungkin saja sedang bersenyum kepada orang ramai, tapi hakikatnya tiada seorang pun yang tahu apa yang berlaku dalam hati saya.

Hanya Allah yang lebih mengetahui...
 
Status 'facebook' seorang saudara. Aku amat setuju dengan pernyataannya..kerana aku juga merasakannya. Dan aku percaya begitu juga dengan anda di luar sana. Soal hati memang susah untuk dijelaskan.  Ia sesuatu yang abstrak. Kerana itu, berhati-hatilah dengan hati kita. Jagalah ia sebaiknya. 
Suatu senyuman belum tentu menzahirkan suatu kegembiraan...
Assalamualaikum..

Saturday, May 12, 2012

10.5.2012

Assalamualaikum...

Salam sejahtera buat semua..selamat pagi..moga-moga hari ini memberikan sinar harapan yang baru buat kita semua dalam melayari kehidupan yang sentiasa dilanda ombak..Kesedihan, kegembiraan dan bermacam rasa lagi yang wujud dalam hati adalah suatu anugerah. Kita sebagai manusia, dianugerahkan perasaan yang pelbagai bersama-sama dengan akal, agar dapat menimbang segala perasaan dengan logik, supaya dapat mengawal perasaan yang terbit di hati..supaya kita dapat berfikir baik buruk tindakan yang mungkin terzahir akibat emosi yang tidak menentu...Inilah kehidupan..tidak dijanjikan kemanisan selamanya, demikian juga tidak dijanjikan kepahitan selamanya..disebalik kesedihan, ada kegembiraan, disebalik kesusahan, ada kesenangan..yakinlah denganNya..:)

10.5.2012. Satu tarikh yang menyimpan memorinya yang tersndiri. Hari itu, aku bersiap awal dan sampai ke kelas lebih awal dari biasa. Tungu punya tunggu..cikgu lambat masuk. Beberapa orang rakan belum sampai ke kelas. Antaranya Bell (Isabella) dan Siti. Aku mengambil tempat di sudut belakang kelas untuk bersarapan bersama rakan-rakan lain. Masih menunggu cikgu dan rakan-rakan yang lain. Apabila semua rakan-rakan lain sudah ada, Bell dan Siti belum jua kelihatan. Aku mula berasa tidak sedap hati. Perasaan tidak sedap hati semakin mencengkam bila salah seorang rakan (Tracy) bertanya padaku tentang Bell. "Ani, kenapa dengan Bell?" Aku mengerutkan kening. "Kenapa?" aku bertanya semula. Tracy tersengih. "Saya tidak tau. Sebab tu saya tanya kau.." Aku bertambah hairan. "Kenapa ah? Saya tidak tau juga. Saya tiada jumpa dia dari pagi tadi.." jujur aku menjawab. Ya, memang aku tidak melihatnya sejak pagi, sebab aku bergegas ke kelas lebih awal.

Tidak lama kemudian, cikgu pun masuk (En Mokhtar). Beliau mengedarkan kertas soalan yang baru, dan ketidaksedapan hatiku mulai kurang bila melihat soalan baru. Seketika kemudian, pintu kelas diketuk. En Bujang muncul dimuka pintu. "Isabel sudah jalan?" tanyanya. En Mokhtar memandang kami sekelas, lalu menjawab, "Ya, sudah jalan mungkin. Dia tidak ada di kelas." En Bujang mengangguk sambil tersenyum kepada kami semua. Semua rakan mulai berbisik-bisik, ingin tahu cerita sebenar. Perasaan tidak sedap kembali merajai hatiku. Aku lantas mencapai handphone dan keluar dari kelas buat seketika. Aku cuba menghubungi Bell beberapa kali, namun tidak berjawab. Nombor Siti pula kuhubungi. Lambat aku menunggu respon dan akhirnya Siti menjawab panggilanku. "Assalamualaikum..ti, kenapa dengn Bell?" laju aku bertanya. "Waalaikumussalam. Ada hal sikit. Nanti saya cerita ah, saya p kelas juga ni.."katanya. Aku tidak puas hati. Setelah mematikan talian, aku kembali ke kelas. Rakan disebelahku sedang menaip sms. Aku perasan nama yang ditaipnya ialah nama Bell. "Mama Bell masuk hospital..Bell balik KK"ujar rakanku. Jantungku berdegup kencang. Segala yang diperkatakan oleh En Mokhtar berlalu bagaikan angin dihadapanku. Satu pun tidak masuk. Ya Allah, ampuni hambaMu ini..aku beristighfar beberapa kali. Aku tidak dapat menangkap satu pun yang disampaikan oleh En Mokhtar. Fokusku sudah terbang entah ke mana.

Mujur beliau menamatkan kelas lebih awal dari biasa. Aku tidak tahu, adakah beliau perasan dengan riak wajah kami semua, terutamanya diriku yang berada paling hadapan, yang mempamerkan riak kerisauan. Sebaik beliau berkata boleh bersurai, aku pantas berdiri dan meminta izin keluar lebih awal. Aku keluar dari kelas dan berlari menuju JHEP. Dari jauh aku melihat Siti dan Bell juga menuju ke JHEP.

Alhamdulillah aku selamat tiba di JHEP walaupun nyaris terjatuh di depan pintu JHEP kerana tersadung besi pagar pintu (grail). Bell sempat mentertawakanku. Aku termengah-mengah tapi sempat melihat sisa air mata diwajahnya. Aku menumbuk tangan Bell. "Janganlah ditumbuk kawan tu, kan tengah sedih.."tegur Pak Ya, salah seorang pensyarah JHEP. Aku tersedar. "Sorry sorry..Bell,napa tak gitau?" Aku meredakan keadaan lalu bertanya perlahan. Bell hanya tersenyum. Aku menggosok lengannya. Dia melangkah menuju bangku yang tersedia lalu duduk. "Bell.." aku tahu dia  sedang meredakan perasaannya. Matanya kembali berkaca. Aku menggosok dan memeluk bahunya. Dalam hati cuba berlagak 'cool'. Aku menyeka air matanya yang mulai melimpah dari takungan kelopak mata. Bell hanya berdiam. Aku tidak suka keadaan ini. Aku selalu melihatnya ketawa, dan kami memang sedaya upaya tidak akan menangis di hadapan sesama sendiri. Kami selalu menunjukkan emosi yang stabil dan tidak mudah menangis. Tapi hari ini, aku nampak dia menangis di depan mataku. Kestabilan dan kekuatan emosiku mula terganggu. Dia menyeka air mata yang jatuh membasahi pipi. Matanya merah sudah akibat banyak menangis. Air mataku turut tumpah. Benteng 'cool' sudah pecah.  "Bell...jangan begini.."ujarku lalu menyeka air matanya sekali lagi. Aku menekap mataku, membiarkan air mata meresap ke hujung lengan bajuku. Aku tidak kisah walaupun adegan air mata kami diperhatikan staf JHEP termasuk Pak Ya dan beberapa orang junior yang turut berada dalam pejabat tersebut.

"Napa tak bagitau saya awal-awal?" tanyaku lagi dalam nada tangis yang bersisa. "Saya baru tau tadi pagi Ani..Colin mesej saya.." Dia cuba meredakan perasaan. "Saya call, kau tidak angkat.."
"Saya tidak mampu mau bercakap lagi..." Aku terdiam. Hatiku terusik. "Saya call mummy, dia cakap lepas ni kalau orang cakap pa pun, jangan lawan..diam saja.."sambungnya lagi, nadanya beransur tenang tapi air mata masih mengalir.  Air mataku jatuh lagi. Aku tidak tahu mahu berkata apa. Suasana sepi seketika. Aku sempat membuat lawak. "Bell, baju saya terbalik.." ujarku sambil menunjukkan lengan bajuku. Dia tertawa lagi, kuat seperti biasa. Aku turut tertawa. Sekurang-kurangnya dia tertawa. "Ani, jangan buat lawak.." katanya sambil menyeka lagi sisa air mata. Aku tersenyum. Aku dan Siti menemaninya sehinggalah dia menaiki kereta Pak Ya dan hilang dari pandangan. Pak Ya hanya dapat menghantarnya ke stesen teksi dan dia terpaksa bergerak ke hospital sendiri. Sebelum itu, aku sempat memeluk erat Bell.  "Jangan menangis depan mummy..kena tunjukkan kau kuat.."bisikku padanya. Air matanya tumpah lagi. "Kalau mau nangis, nangis ja Bell, tapi jangan di depan mummy.." pesanku lagi. Berat hatiku melepaskan dia pergi seorang diri..tapi aku tahu Bell seorang yang kuat dan boleh berdikari. Dalam masa yang sama, aku mendapat berita salah seorang rakan sekelas kami, Santa juga turut mendapat pelepasan keluar kerana sepupunya maut dalam kemalangan di Kalabakan malam semalam. Dia bergegas ke hospital Keningau untuk pengecaman mayat. Aku hanya dapat menghubunginya melalui sms, mengucapkan takziah dan memintanya terus kuatkan hati, apatah lagi dalam tempoh menghitung hari menuju hari majlis perkahwinannya kira-kira dua minggu sahaja lagi.

Sejurus selepas itu, aku dan Siti bergerak menuju ke kelas. Siti menceritakan saat Bell menerima sms dari sepupunya berkenaan ibunya. Air mataku jatuh sepanjang perjalanan menuju ke kelas. "Nut..jangan nangis..kita mesti kuat, baru Bell kuat". Siti memaut bahuku. Namun air mataku seakan tidak mahu berhenti. Mahu saja aku menyusul Bell..Air mataku murah sekali. Selama ini, aku berusaha tidak menangis di depan Bell, walaupun kisahnya mngusik hatiku. Semasa Bell menjmputku dirumah selepas aku kemalangan tempoh hari, aku juga menahan air mataku di depannya. Walaupun matanya juga berkaca, air matanya tidak jatuh di depanku. Kami sama-sama menunjuk kami kuat dan tidak mudah menangis.

Sampai sahaja di kelas, aku duduk sendiri di tempatku manakal Siti sudah berkumpul dengan rakan-rakan lain, mngkhabarkan tentang Bell. Salah seorang rakan, Farhana, muncul dan duduk di sebelahku.Dia bertnya tentang Bell. Dia juga baru lepas menangis. "Baru dengar sikit, saya sudah nangis..pa cerita Bell tu nut..?" dia bertanya. Aku baru saja reda, dan bila dia bertanya semula, air mataku jatuh lagi. Ah..memang hari ni, hari menangis kot.

Cerita demi cerita..akhirnya..kami sepakat menyusul Bell hari itu juga. Kebetulan hari Rabu, hari 'outing'. Kami merancang untuk 'outing' tapi 'outing' sampai KK. Selepas zuhur, kami berlima (aku, Ibah, Farhana, Siti dan Fatin) memulakan perjalanan dan singgah sebentar di Apin-Apin untuk menemui ibu Farhana. Aku bermohon padaNya, supaya perjalanan kami dilindungi..(kami melanggar peraturan ip..kami sedar, aku sedar..aku hanya mampu berserah pada Allah supaya melindungi kami dari sebarang perkara yang tidak dikehendaki)

Kami tiba di Hospital Likas kira-kira 5 lebih. Bell tidak mengetahui langsung perancangan kami..Semasa di bawah bangunan Hospital dan menunggu Farhana yang singgah membeli majalah di Kiosk hospital, aku menerima mesej dari Bell. 'Doktor cakap masa mummy tidak lama lagi...' Gulp..aku menelan liur..aku terdiam seketika. 'Jangan cakap begitu Bel..'balasku. Dalam masa yang sama, dia turut memaklumkan Siti tentang perkara yang sama. Kami bergerak pantas ke tingkat atas, mencari wad mummy. 'Bukan saya yang cakap, tapi doktor..'balas Bell lagi. 'Doktor bukan Tuhan..'kata hatiku. 

"Ingat..jangan menangis depan mummy.." kami sepakat. Tapi kesepakatan kami lebur begitu sahaja sebaik tiba di Bilik 7. Siti meluru kepada Bell dan mereka berpelukan. Air mata kami sudah mulai mengalir. Aku pandang wajah mummy yang lemah. Aku senyum pada mummy, mummy senyum padaku. "Mummy..."aku menyalami dan memeluk mummy.  "Ani.." tutur mummy. Aku tidak tertahan lagi. Aku berpaling ke belakang memberi laluan kepada rakan-rakan lain untuk bersalam dengan mummy. Air mataku deras mengalir. Rakan-rakan lain juga begitu. "Mummy masih ingat saya?" tanya Farhana. "Ingat la..datin kan.." Kami tertawa bersama. Mummy menggelarnya datin sebab cara pemakaiannya yang ala-ala datin. Aku melirik Bell. Wajahnya kelihatan begitu letih, tambahan lagi dengan matanya yang bengkak dan merah. Aku menghubungi adikku, Ijan dan memberitahu tentang mummy. Dia akan datang sebelah malam, katanya. Namun, dia datang lebih awal selepas kerja setelah aku memaklumkan mummy akan keluar wad hari itu juga.  Doktor bagitau, mummy tiada pantang makan lagi. Apa yang mummy mau makan, bagi saja, make her happy..rawatan yang ada cuma untuk membantunya lebih kuat bertahan. Sakitnya sudah merebak ke paru-paru. 'Bell, kau kena kuat..'bisik hatiku. Dalam hati, aku berdoa semoga Allah menguatkan hatinya untuk berdepan segala kemungkinan. Seberapa banyak sekalipun air mata dan kesedihan kami berlima, tidak akan dapat menandingi kesedihan hati Bell seorang. Berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Mummy ceria bercerita dengan kami. Seolah-olah beliau sihat. Walhal..hanya Allah yang tahu betapa peritnya beliau menanggung kesakitan itu. Pada saat kritikal itu, mummy sempat berkata beliau mesti sihat dan kuat untuk tunggu Bell tamat pengajian. Ya..tidak lama lagi, satu semester saja lagi...

 "Nanti ikut saya masa konvo mi..kita p semenanjung.." kata Bell. Mummy mengangguk  "Ya..mesti.." sahutnya. Mummy mahu tengok Bell kahwin, mau tengok cucunya, kata mummy. Aku tahu Bell berperang dengan perasaan saat itu. Dia menyeka air matanya berkali-kali. InsyaAllah..moga Allah panjangkan umur mummy sampai ke saat itu..bisik hatiku, memanjatkan doa pengharapan kepada Sang Pemilik Jiwa. Air mataku masih mengalir dan aku tidak mampu menangis depan mummy. Acapkali aku berpaling kebelakang apabila terasa air mataku sudah tidak tertahan lagi.

Petang itu, kami tidak dapat lama duduk bercerita bersama mummy dan Bell. Sebaik segala urusan berkaitan dokumen dan ubat selesai diuruskan Bell, kami menghantar mereka ke lobi utama. Sepupu Bell datang menjemput mereka. Sesudah itu, suasana hening semula. Kami mengambil haluan menuju ke Tamparuli, ke rumah Siti. Kami bermalam di sana sebelum bertolak balik ke Keningau keesokan harinya. Sepanjang perjalanan, perasaanku masih terusik. Tanpa kusedari, air mata mengalir tanpa ku pinta. Terkenang saat pertama kali berkenalan dan bersua muka dengan mummy, ketika bermalam di rumah mereka suatu ketika dulu. Selepas itu, kebanyakan masa apabila ke KK, aku akan bermalam di rumah mereka. Sudah seperti rumah sendiri, keluarga sendiri. Dari saat mummy sihat hinggalah kini. "Kaki saya sakit-sakit saja ba Ani..kenapa tu ah.." aku teringat kata-kata mummy suatu ketika dulu, selepas pembedahannya yang pertama dan melalui beberapa sesi kemoterapi. "Banyak angin mungkin mi..mo rajin urut tu mi.." sahutku. "Iya kan..banyak angin mengkali.." mummy mengiyakan.
"Kalau malam, pakai stokin mi..jangan mandi lambat..mandi pakai air panas.." pesanku. "Iyala..saya mandi awal juga..saya tidur pun pakai stokin.." balas mummy. 
"Tidak apa mi..nanti saya belajar mengurut..kalau sudah pandai, saya urut kaki mumy.."ujarku lagi lalu ketawa kecil. Mummy juga ketawa kecil. Aku juga teringat, suatu hari, Bell menanyakan mummy di mana seluar jeansnya. Tapi mummy tidak dengar pertanyaan Bell sebab mummy sibuk bercerita denganku. 
"Yala..kalau bercerita sama si Ani, tidak peduli sudah sama saya..bah..biarlaa.." kata Bell sambil memandang kami berdua. "Ish...kau ni ..carilah sendiri.."balas mummy. Aku tertawa. Aku tahu Bell cuma bergurau..dia memang suka menyakat. Suka menimbulkan amarahku. 

Aku menghela nafas panjang. Pandangan ku buang jauh ke hadapan. Lampu-lampu neon di sepanjang perjalanan kuperhatikan kosong. Doktor bukan Tuhan..ya..doktor juga manusia. Allah yang menentukan ajal maut setiap manusia. Kalaupun doktor cakap kita masa kita untuk hidup hanya tinggal sehari, hakikatnya itu cuma jangkaan berdasarkan keadaan semasa. Kesihatan itu satu nikmat dariNya. Nikmat yang Dia boleh beri dan ambil bila-bila masa yang dikehendakiNya. Sebagai manusia, kita hanya mampu merancang, berusaha, berdoa dan bertawakal. Penentuan untuk setiap sesuatu berada dalam genggamanNya, kuasaNya. Boleh jadi kita yang sihat walafiat ini pergi lebih awal berbanding yang sakit terlantar sekian lamanya.

Simpati dan doa. Itu saja yang mampu ku berikan untuk Bell. Aku terbiasa melihatnya ketawa, dan amat tidak biasa melihatnya menangis. Jauh disudut hati, aku ingin berkata..'Bel..lapangkan dada, bersedialah  untuk segala ketentuanNya..kita tidak boleh menahan sesuatu yang sudah ditetapkanNya. Tabahkan hati, kuatkan semangat..Apapun yang akan terjadi, ingatlah kehidupan perlu diteruskan...impian mummy mesti kau laksanakan..'

Orang boleh berkata apa saja, tapi jangan biarkan mereka menjatuhkan semangat kita. Setiap antara kita punya ujian masing-masing. Aku teringat tempoh hari, Bel pernah berkata, "Ani..bagi saya kaunseling.." beberapa hari lalu, Bell mengadu dia berasa sedih tiba-tiba. Tidak ku sangka, inilah jawapan bagi kesedihannya yang tetiba menjengah itu. Jwabku, "Kau kuat Bel, sebab tu kau dapat ujian macam ni. Setiap antara kita diuji mengikut kemampuan. Kau mampu hadapi semua ni..kalau orang lain, belum tentu dapat.."ujarku. Ketika itu, kami sama-sama sedang mengemaskini fail EDU3107.

"Jangan lupa kasi doa saya sama mummy kio.." pesanan Bel acapkali melihat aku ingin solat atau bergerak menuju ke masjid. Aku hanya senyum.

Bel..Biarpun apa yang akan terjadi, redha dan pasrahkan hati. Lapangkan dada..kau tidak berseorangan..Sabar itu perlu dalam hidup kita..kau pernah cakap, sampai bila mau sabar, dan jawapanku tetap sama..sampai bila-bila. Sabarlah selagi terdaya. Kesabaran itu besar hikmahnya. Kalau Tuhan sayangkan hambaNya, Dia akan menguji dengan lebih berat dan berat sampailah kita menemui hikmahnya suatu hari nanti..insyaAllah..doa kami sentiasa mengirimu...doaku sentiasa mengiringimu...

p/s :   Kasih dan sayang akan hadir dalam sebuah persahabatan yang ikhlas tanpa mengira bangsa atau agama..
(sejujurnya..saat ini aku harap aku dapat bersama-sama dengannya..aku rindu tawanya yang kuat..aku rindu gelagatnya yang suka menyakat..dan aku rindu dirinya yang riang seperti dulu kala..)

Moga Allah menguatkan hatimu Bel...dan moga kau dapat menemui hikmah disebalik semua ujian ini...insyaAllah.

Tuesday, April 17, 2012

Kembara

Bismillahirrahmanirrahiim..

Orang kata, kalau mau timba banyak pengalaman, rajinlah berjalan ke tempat orang lain. Mengembara ke sekitar bumi ciptaan Allah untuk melihat kebesaranNya.


Ilmuan dan cendikiawan Islam terulung zaman dulu kala pun memang sentiasa mengembara untuk mencari dan menyampaikan ilmu. Ada yang melalui jalan darat, ada yang melalui jalan laut, ada yang melalui sungai, lembah, gurun, bukit dan gunung semata-mata untuk menimba ilmuNya. Betapa besar semangat juang mereka untuk merealisasikan Islam di mata dunia. Ilmuan zaman dulu, makan pun ala kadar, pakaian pun cukup-cukup. Pendek kata, keperluan asasi dari sudut fizikal jatuh nombor 2. Hidup selesa jauh sekali. Hasilnya, bangunlah tamadun Islam yang digeruni dan disanjungi serata dunia.

Hari ini, kita terlalu selesa. Bila manusia terlalu selesa, akan mudah lupa akan segalanya. Lupa bersyukur, lupa bersabar, lupa semuanya. Itulah sifat manusia. Diciptakan dengan sifat alpa, lalai, pelupa, kikir, gopoh, namun diangkat darjat atas kelebihan akal yang tidak dimiliki mana-mana makhluk ciptaanNya yang lain.

Kita hari ini ramai yang tidak suka belajar sejarah, dan ambil pengajaran dari sejarah. Sejarah subjek membosankan. Buat orang mengantuk. Terangguk-angguk mendengar bebelan cikgu di depan, tapi hakikatnya semua yang disampaikan bergentayangan di awangan. Bagai disapa bayu sepoi-sepoi bahasa, ia mendesir pergi mengikut langkah cikgu keluar dari kelas.

Sejarah dan kembara amat berkait rapat untuk kita benar-benar menghayati istimewanya sesuatu kejadian itu, betapa besarnya ibrah dari setiap kejadian, sama ada musibah atau anugerah gembira. Jeleknya sesuatu musibah pada pandangan kita mungkin saja tinggi nilainya pada pandangan Allah untuk kebaikan kita, dan begitulah sebaliknya.

Belajar dari sejarah, belajar dari kembara..akan membuatkan kita merasa sangat bertuah untuk berada dalam zon selesa seperti sekarang. Adakalanya kita perlu keluar dari zon selesa itu untuk merasai keperitan insan lain, agar kita tahu erti hidup sebenar. Keselesaan yang bermaharajalela akan membuat kita cepat melatah menghadapi resam hidup yang berbeza. Jadi belajarlah, dari sejarah dan kembara. InsyaAllah, ada sesuatu yang berharga menanti kita dari setiap pembelajaran itu. Sama-sama kita berusaha. Aku juga sedang berusaha untuk belajar dari sejarah dan kembara hidup ini. InsyaAllah akan dipermudahkan. InsyaAllah.

Siapa kenal Laksamana Sunan? Lelaki berduka dari Tanah Rencong (Acheh)?. Drama bersiri Kitab Cinta dan filem Hafalan Shalat Dellisa juga berlatarkan Acheh. (Aku tidak tahu persepsi yang lain, tapi bagi yang sensitif dan belum menonton filem ini, disarankan menyediakan tisu banyak-banyak). Acheh memang sinonim dengan Islam di nusantara. Tempat yang sungguh istimewa. Pernahkah terbit keinginan untuk ke sana?

Sejujurnya, aku amat teringin untuk menjejak kaki ke tanah penuh sejarah itu. Apabila menonton drama tersebut dulu, aku terus berkata kepada mak, “ Mak, saya mau pergi Acheh”. Mak langsung terdiam. Terkebil memandangku. Kata ibu memang makbul. Sejak kecil, aku tidak berpeluang ke tempat yang jauh. Aku tidak dibenarkan walau tinggal di asrama sekolah sekali pun. Kata mak, nanti bila dah besar, pergi mana –mana pun boleh, akan ada banyak peluang. Alhamdulillah, Allah perkenankan..dan memang aku antara anaknya yang asyik berjalan dan merantaukan diri. Dan perjalanan itulah yang mengajarkanku banyak perkara tentang hidup. Ibrah dari kehidupan.

Acheh. Nama tempat itu menyimpan seribu satu makna yang terselindung. Apabila membaca catatan kembara para penggerak gerakan amal yang berada di Acheh, hatiku terusik. Menggamit perasaan untuk berkunjung ke sana. InsyaAllah, suatu hari nanti…InsyaAllah..ada sesiapa yang ingin mengembara bersamaku?

p/s : InsyaAllah..banyak lagi tempat di bumi Allah menanti untuk dijelajahi..(sementelah belajar sejarah tentang Zulqarnain yang disebut namanya di dalam Quran, aku terfikir..mungkinkah Raja Khurush @ Cyrus the Great adalah Zulqarnain?)

Merantau tu merantau juga, yang penting tetapkan niat yang betul dan paling penting..tempat paling utama untuk dikunjungi ialah bumi kelahiran Nabi SAW..:) insyaAllah....


Sunday, April 1, 2012

Kahwin

Assalamualaikum..

Apa khabar sahabat-sahabat mayaku? Lama sudah tidak ku update laman mayaku ini. Macam banyak sudah sarang labah-labah..astaghfirullah...minta maaf, sedikit kekangan melanda diri saban waktu..

Baiklah, tanpa membuang masa, kali ini aku mau cerita sikit pasal satu perkara, yang mungkin ceritaku ini bakal menjadi panjang...Ok, kali ini aku mau ubah sikit gaya bahasa, jadi ala-ala sabahan..supaya lebih santai untuk kalian semua..harap-harap ceritaku ini ada manfaatnya walau sedikit ya..yang bagus, yang baik, ambillah..yang tidak bagus pula..ambil juga tapi jangan ikut, ambil untuk kasi jadi pengajaran..we learn from mistakes, am i right?

Kahwin. Cakap pasal kahwin, semua orang semangat. Perkataan ‘kahwin’ itu ada aura yang tersendiri. Orang muda bila cerita pasal kahwin, dari malam sampai subuh pn takkan bosan. Semua yang indah-indah saja terbayang di ruang minda.

Tempoh hari, cerita pasal kahwin @ nikah diutarakan dalam rancangan Al-Kuliyyah kalau tak silap. Terus ramai orang buat status facebook pasal kahwin muda. (Ohya..aku sudah ada facebook atas alasan digesa kawan sekelas sebab dorang mau buat group kelas kunun, lagipun pensyarah kami terlampau moden mo berinteraksi guna facebook saja…. alasan saja ni, padahal sendiri pn teruja mo ada facebook bila sodara mara sahabat handai yang nun jauh bising cakap aku ni susa mo dikontek. Ada henpon pn jarang pigang, bila kena kol, susah mo angkat..). Sampai aku pun bingung2 baca status kawan2 fb..last2 log out. Tapi bagus juga bah bila kawan2 fb ni buka cerita pasal kahwin muda. Sekurang-kurangnya minda dorang tbuka sikit pasal budaya kapel yang makin menular. (orang kampung bilang malar sudah)

Okay, balik cerita pasal kahwin. Nikah dan kahwin tu perkara berbeza ya kawan2, tapi sekarang bila sebut pasal kahwin, automatik (otomatik orang kampung bilang) fikiran melayang ingatkan kehidupan lepas nikah. Walhal dua benda tu ada bezanya. Orang yang dah nikah memang dah kahwin, tapi orang dah kahwin tak semestinya dah nikah. Ada yang kahwin tanpa nikah. Macamana tu? em..fikirlah sendiri.

Bagi golongan sepertiku (20 ke atas) perkataan tu memang sinonimla. Kami tak cakap pun orang akan tanya. Pertanyaan demi pertanyaan akan berlanjutan rentetan dari perkataan kahwin, misalnya….

Hari ini, belum kahwin..orang akan tanya, “ Ko bila lagi?” Kalau aku..hanya senyuman menjawab pertanyaan itu. Kalau balik-balik kena tanya, senang saja jawapanku, “insyaAllah, tak lama lagi, doakan saja.” Ataupun , “ makcik lah (pakcik lah, kakaklah, cikgulah) tolong cari..”

Bila dah kahwin, soalan ni pula keluar, “Bila lagi nak berisi?” Mungkin pertanyaan ni pun aku akan jawab dalam senyuman seiring dengan lafaz, “insyaAllah..kalau ada rezeki awal, awal la..”

Bila dah ada anak satu, soalan lain lagi keluar, “ Bila lagi nak menambah?” mungkin aku juga cuma akan tersenyum.

Bila anak dah besar, kena tanya lagi, “Bila lagi nak bermenantu?” Lepas tu , “Bila lagi nak bercucu?”

Ya Allah, kalau nak hitung, takkan habis dipersoalkan isu kahwin ni. Satu hal lagi bila sebut pasal hantaran dan belanja kahwin (orang kampung bilang berian dan duit hangus). Bila mahal, kena cakap jual anak. Bila murah, orang bilang luki. Nahh..mana satu mo diikut. Bikin pening kepala bah cakap orang2 ni.

Memandangkan diri sedang berada di tahun akhir,memang patut perkara ni muncul diminda, tapi ianya bukanlah satu keutamaan. Ingat kawan-kawan tahun akhir, isu kahwin ni bukan satu keutamaan melainkan memang kalian semua tidak tahan mau kahwin sudah. Kalau sampai puasa pn tidak boleh jadi benteng, bah..kahwinla, yang penting sedia zahir dan batin, ilmu dunia akhirat pn dah cukup untuk jadi suami isteri. Soal rezeki jangan risau, sebab Allah sudah jamin rezeki bagi pasangan yang berkahwin. Mana tahu sekarang makan megi kosong, bila dah kahwin, dapat makan megi campur telur. Syukur Alhamdulillah, ada perubahan dan peningkatan. Susa-susa dulu, nanti bsenang sikit dikemudian hari.

Untuk yang masih belum ada calon, jangan risau. Banyak calon diluar sana, cuma tidak tahu siapa itu. (Ungkapan ni juga untuk diri penulis..heheh). Pernah naqibku bilang lebih kurang macam ni, “di fb tu penuh penipuan. Ada yang letak married to, ada yang in relationship with, ada yang is engaged to, ..buat apa mau tapuk2 status diri di fb tu..senang cerita,buatlah sedang mencari ka..” Aku mahu saja terlepas ketawa, tapi masih juga kontrol dalam senyuman. Yalah..betul juga cakap tok guru, kalau memang mau mencari, taru saja status sedang mencari, buat apa tapuk2 atau main buyuk. Ok, jadi aku mau tanya, apa status sebenar kalian semua sebenarnya? Heheh…


insyaAllah akan brsambung..(kan sudah ku bilang bakal jadi panjang..)

Sunday, January 15, 2012

Relasi Januari

Satu keluhan kecil terbit bersama helaan nafas yang panjang. Pandangan kuhamparkan jauh ke hadapan. Cuba mencari makna sebuah kehidupan dari gambaran pelbagai ragam manusia. Tidak tahu hendak ke mana. Lantas, stereng kereta kuputar, menuju ke suatu tempat. Tiba di muka pintu, salam ku ucap, namun tiada insan yang menyahut salamku secara zahir. Namun, alunan ayat-ayat suci al-Quran seakan menyambut salam dan kehadiranku. Usai duduk sebentar mendengar alunan merdu dari ruangan sebelah, aku berangkat, menuju ke destinasi berikutnya. Sememangnya al-Quran merupakan penawar terbaik yang dikurniakanNya kepada seluruh hambaNya. Meskipun tidak memahami apa yang dibaca dan dilagukan, ia memberi suatu perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Kadangkala, hanya dengan membaca sepotong ayat, membuatkan hati merasa sebak dan air mata keluar dengan sendirinya.

Kembali menyingkap sirah nabi di awal penyebaran Islam, al-Quran memainkan peranan penting dalam melembutkan hati para penentang kuat baginda semasa itu. Hati keras Al-Walid bin Al-Mughirah, Abu Sufyan, Abu Jahal dan Akhnas bin Syarik turut menjadi lembut bila mendengar alunan kalam Allah meskipun mereka menafikannya. Juga tercatat dalam sejarah bagaimana Abu Sufyan, Abu Jahal dan Akhnas mencuri-curi dengar baginda nabi membaca al-Quran dimalam hari walaunpun zahirnya mereka merupakan antara penentang hebat baginda. Ajaibnya mukjizat agung itu.

Tiba di destinasi berikutnya, aku mengambil tempat yang agak jauh dari orang ramai. Aku duduk dihujung padang sambil memerhati gelagat para manusia yang pelbagai. Ada yang beriadah bersama keluarga, ada yang membuat latihan sendiri, ada yang berjalan, dan ada juga kanak-kanak yang sibuk bermain pasir, membina istana pasir sambil berbicara sesuatu yang hanya difahami olehnya sendiri. Aku tersenyum sendiri. Gelagat kanak-kanak riang tersebut sedikit menghilangkan kerinduanku pada anak buahku.



Namun, satu perasaan yang sentiasa berbekas dihati, kembali merajai tapak sanubari tatkala langit yang membiru kupandang kosong. Aku menarik nafas panjang dan melepaskan perlahan. Teringat suatu ketika dahulu, ketika duduk disatu sudut padang kampus bersama senior. Senior dan senior. Duduk berbual soal kehidupan, dan soal ummat masa kini. Jauh disudut hati, aku merindui saat itu. Aku dan senior-seniorku. Rapatnya aku dan senior bermula di rumahNya, dan berpanjangan di padang kampus, walau jarang menghabiskan masa bersama. Walaupun kini dibatasi jarak, dan mereka berjuang dilapangan yang jauh lebih mencabar, doa yang dipanjatkan tidak akan pernah putus agar silaturahim yang terbina terus utuh dan teguh.

Kehilangan. Suatu kehilangan yang terasa di dalam hati mengajar kita untuk lebih menghargai dan mensyukuri apa yang dimiliki saat ini, itupun jika kita ingin memandang kehilangan itu dari sudut yang positif. Jika sebaliknya, mungkin saja kita akan menyalahkan takdir atas kehilangan itu. Suatu kehilangan itu merupakan didikan yang wajar dipertimbangkan dari pelbagai sudut yang berbeza.

Kita manusia yang diangkat darjatnya dengan kelebihan akal. Tanpa akal, kita boleh saja setaraf dengan binatang, bahkan dengan akal sekalipun, manusia lebih cenderung bersifat kebinatangan, apatah lagi tanpa akal yang mampu membantu kita menilai sesuatu. Dengan adanya akal, manusia perlu dididik, bukan saja diajar. Manusia lebih memerlukan didikan berbanding pelajaran, kerana itu para guru ditekankan untuk menjadi seorang pendidik, bukan hanya seorang pengajar.

Menelusuri erti sebuah persahabatan dalam nukilan Hilal Asyraf, ‘Relasi’, membuatkanku semakin tercari individu yang membawa gelaran ‘sahabat’ dalam hidupku selama ini. Kehilangan seseorang dalam hidup kita akan membuatkan kita merasa seakan sendirian. Namun, itulah tarbiyyahNya. Merasa sendirian itu bahaya kerana itu antara tanda awal bahawa kita semakin menjauhiNya, demikian antara konklusi salah satu watak yang dipamerkan oleh penulis muda itu.

“Kalimah sahabat, bukannya untuk orang yang rapat dengan kamu sahaja,” demikian antara petikan suatu dialog dalam novel tersebut. Aku tersenyum lagi. Namun dihati, terasa sebak. Air mataku mengalir perlahan. Aku tahu, aku sayangkan dia, dan mereka. Adakalanya perasaan sayang itu tidak perlu dizahirkan melalui kata-kata, tapi cukup dengan perbuatan. Namun begitu, adakalanya perbuatan itu disalahtafsirkan, kerana kita sebagai manusia, punya persepsi yang berbeza. “Ya Allah, izinkanku untuk menyayanginya , untuk menyayangi mereka semata-mata keranaMu..”hatiku berbisik perlahan.

Biarlah kalimah sahabat itu tersemat bersama rasa sayang yang terkunci di hati. Kerana apa yang penting bukanlah balasan dari mereka atas perasaan itu, tetapi keikhlasan dalam menjadikan perasaan itu sebagai langkah untuk sentiasa dekat denganNya.

Kadangkala,
Kita terpaku mencari jawapan kehidupan,
Berlari dan terus berlari,
Mengharapkan penghujung yang sejati,
Tercungap-cungap mencari nafas ketenangan hakiki,
Lantas kita berhenti sebentar,
Refleksi diri yang kian gentar,
Bertanya semula kepada kalbu yg keletihan,
Apa yang engkau lari-larikan?
Apabila hakikatnya,
Kebahagiaanmu tersuluh di depan mata,
Kemuliaanmu terpancar hatta di celah-celah kota,
Walau dunia penuh pancaroba,
Dirimu sentiasa menanti masa,
Mencari, dan terus mencari.

...Kerdipan Yang Hilang... (sumber : http://www.iluvislam.com/tazkirah/nasihat/1958-mencari-kerdipan-yang-hilang.html)

Friday, December 30, 2011

Nilai sebuah doa

Petang itu memang menghibakan saya. Asalnya, saya menyampaikan kuliah berkaitan konsep berdoa kepada para banduan juvana di sebuah pusat tahanan. pada hujung majlis ilmu itu, saya meminta mereka membuat permohonan kepada Allah. Ia lebih kepada latihan amali dalam berdoa.

"Cuba berdoa kepada Allah perkara yang paling kamu kehendaki," pinta saya untuk menguji kefahaman mereka terhadap isi kuliah.

Seorang demi seorang berdoa dengan nada suara yang sederhana meminta perkara yang paling mereka mahukan saat itu. Bermotivasikan daripada hadis, tawassul dengan amalan soleh sebagaimana yang diceritakan dalam kuliah sebelumnya, mereka meminta hajat mereka. Beberapa adab berdoa diperingatkan apabila ada antara mereka yang meninggalkannya.

Ada yang meminta keadilan diberikan kepadanya. Ada yang meminta isteri di kampung sabar menantinya. Ada yang berdoa agar anaknyamenjadi anak yang soleh dan tidak menjejak langkah yang sama sepertinya. Tidak lupa juga ada yang mahu kaya. Tetapi, rata-rata mahu keluar segera dari penjara. Ada yang berdoa pendek dan ada yang tidak tahu mahu meminta apa.

Tetapi nafas saya seakan terhenti apabila mendengar doa seorang juvana. Dia memulakan dengan pujian kepada Allah dengan pelbagai pujian yang selayaknya untuk Allah. Dia menyeru Allah dengan pelbagai asma'-Nya yang mulia. Selawat indah dikarang secara natural dari lidahnya. Dia meminta keampunan untuk ibu bapanya dan dirinya dengan sebaik-baik bahasa. Kemudian,doanya panjang untuk keselamatan akhirat, kekuatan iman dan kesempurnaan akhlak. Semuanya hanya berkaitan dengan perkara akhirat dan tidak sarat dengan permintaan keduniaan.

Doanya mengesankan! Tanpa disedari, air mata kami turut mengalir ketika itu. Itu doa spontan yang memang lahir dari hatinya. Masya-Allah, mungkin doa-doa itu sudah lama menjadi amalannya.

Sudah beberapa tahun saya berkhidmat dan berdakwah kepada kelompok juvana di pusat tahanan, tidak pernah saya bertemu dengan anak muda seperti ini. Hati saya menjadi hiba. Seandainya mereka banyak berdoa sebelum terjebak ke lembah jenayah, doa-doa itu mungkin boleh menjadi perisai daripada panahan iblis yang merosakkan usia muda mereka.

Anekdot ini membawa kita kepada satu persoalan. Setiap kali kita berdoa, apakah prioriti atau keutamaan kita? Permintaan apa yang akan kita minta dahulu dan yang kita tekankan dibaca berulang kali dan tanpa jemu dipinta? Bertanyalah pada diri kerana jarang sekali kita bermuhasabah menilai isi kandungan doa yang kita panjatkan. Adakah kita lebih banyak meminta perkara yang berkaitan kehidupan dunia, berbanding kehidupan akhirat?
(Kisah di atas merupakan antara petikan dalam ruangan 'Analisis' Majalah Solusi Isu 38(ms 95) nukilan Mohd Al-Adib Samuri)


Bagaimana dengan doa kita sehari-hari hingga ke hari ini? Pernahkan kita bermuhasabah semula untuk menilai doa kita? Atau kita selama ini hanya berdoa bila merasa perlu?

Bila dekat nak 'exam' baru mencari tikar sejadah (kira bersyukur bagi yang ada kesedaran bila nak exam daripada yang tak sedar langsung) , baru terasa untuk menadah tangan, baru teringat untuk berdoa..dan isi doa pula hanya berkaitan untuk lulus dalam exam..tapi pernah atau tidak kita meminta untuk diberikan yang terbaik untuk diri kita, agama kita dan hidup kita di dunia dan akhirat? Meminta dan memhon agar segala ilmu yang dipelajari menjadi sesuatu yang bermanfaat buat diri, dan seluruh ummat Islam?

Bila dapat musibah, seringkali keluhan yang terbit dahulu daripada kesyukuran berupa doa. Kita pasti meminta untuk dipermudahkan semuanya, tapi pernah atau tidak kita meminta agar musibah itu menjadi suatu kebaikan yang akan mendekatkan diri kita kepadaNya?

Kita ini manusia. Sehebat dan seangkuh mana pun seseorang itu, jika dicampakkan ke tengah lautan atau ke tengah hutan belantara keseorangan, pasti dihatinya timbul rasa untuk bergantung pada sesuatu yang lebih berkuasa, yang Maha Berkuasa agar menyelamatkannya. Ketika itulah, kita akan merasa betapa tingginya nilai sebuah doa apabila tidak mampu melakukan apa-apa lagi selain menyatakan pergantungan padaNya.

Justeru renung-renungkanlah doa kita selama ini..dan kita juga perlu menyedari, kadangkala perkara yang kita sangka baik itu sebenarnya tidak baik untuk kita dan begitulah sebaliknya. Oleh itu, janganlah patah hati atau kecewa jika doa tidak dimakbulkan seperti yang dipinta kerana Allah lebih tahu apa yang kita perlukan, dan kadangkala apa yang kita pinta bukanlah satu keperluan yang terbaik buat kita saat itu..