Showing posts with label Pengalaman. Show all posts
Showing posts with label Pengalaman. Show all posts

Tuesday, April 17, 2012

Kembara

Bismillahirrahmanirrahiim..

Orang kata, kalau mau timba banyak pengalaman, rajinlah berjalan ke tempat orang lain. Mengembara ke sekitar bumi ciptaan Allah untuk melihat kebesaranNya.


Ilmuan dan cendikiawan Islam terulung zaman dulu kala pun memang sentiasa mengembara untuk mencari dan menyampaikan ilmu. Ada yang melalui jalan darat, ada yang melalui jalan laut, ada yang melalui sungai, lembah, gurun, bukit dan gunung semata-mata untuk menimba ilmuNya. Betapa besar semangat juang mereka untuk merealisasikan Islam di mata dunia. Ilmuan zaman dulu, makan pun ala kadar, pakaian pun cukup-cukup. Pendek kata, keperluan asasi dari sudut fizikal jatuh nombor 2. Hidup selesa jauh sekali. Hasilnya, bangunlah tamadun Islam yang digeruni dan disanjungi serata dunia.

Hari ini, kita terlalu selesa. Bila manusia terlalu selesa, akan mudah lupa akan segalanya. Lupa bersyukur, lupa bersabar, lupa semuanya. Itulah sifat manusia. Diciptakan dengan sifat alpa, lalai, pelupa, kikir, gopoh, namun diangkat darjat atas kelebihan akal yang tidak dimiliki mana-mana makhluk ciptaanNya yang lain.

Kita hari ini ramai yang tidak suka belajar sejarah, dan ambil pengajaran dari sejarah. Sejarah subjek membosankan. Buat orang mengantuk. Terangguk-angguk mendengar bebelan cikgu di depan, tapi hakikatnya semua yang disampaikan bergentayangan di awangan. Bagai disapa bayu sepoi-sepoi bahasa, ia mendesir pergi mengikut langkah cikgu keluar dari kelas.

Sejarah dan kembara amat berkait rapat untuk kita benar-benar menghayati istimewanya sesuatu kejadian itu, betapa besarnya ibrah dari setiap kejadian, sama ada musibah atau anugerah gembira. Jeleknya sesuatu musibah pada pandangan kita mungkin saja tinggi nilainya pada pandangan Allah untuk kebaikan kita, dan begitulah sebaliknya.

Belajar dari sejarah, belajar dari kembara..akan membuatkan kita merasa sangat bertuah untuk berada dalam zon selesa seperti sekarang. Adakalanya kita perlu keluar dari zon selesa itu untuk merasai keperitan insan lain, agar kita tahu erti hidup sebenar. Keselesaan yang bermaharajalela akan membuat kita cepat melatah menghadapi resam hidup yang berbeza. Jadi belajarlah, dari sejarah dan kembara. InsyaAllah, ada sesuatu yang berharga menanti kita dari setiap pembelajaran itu. Sama-sama kita berusaha. Aku juga sedang berusaha untuk belajar dari sejarah dan kembara hidup ini. InsyaAllah akan dipermudahkan. InsyaAllah.

Siapa kenal Laksamana Sunan? Lelaki berduka dari Tanah Rencong (Acheh)?. Drama bersiri Kitab Cinta dan filem Hafalan Shalat Dellisa juga berlatarkan Acheh. (Aku tidak tahu persepsi yang lain, tapi bagi yang sensitif dan belum menonton filem ini, disarankan menyediakan tisu banyak-banyak). Acheh memang sinonim dengan Islam di nusantara. Tempat yang sungguh istimewa. Pernahkah terbit keinginan untuk ke sana?

Sejujurnya, aku amat teringin untuk menjejak kaki ke tanah penuh sejarah itu. Apabila menonton drama tersebut dulu, aku terus berkata kepada mak, “ Mak, saya mau pergi Acheh”. Mak langsung terdiam. Terkebil memandangku. Kata ibu memang makbul. Sejak kecil, aku tidak berpeluang ke tempat yang jauh. Aku tidak dibenarkan walau tinggal di asrama sekolah sekali pun. Kata mak, nanti bila dah besar, pergi mana –mana pun boleh, akan ada banyak peluang. Alhamdulillah, Allah perkenankan..dan memang aku antara anaknya yang asyik berjalan dan merantaukan diri. Dan perjalanan itulah yang mengajarkanku banyak perkara tentang hidup. Ibrah dari kehidupan.

Acheh. Nama tempat itu menyimpan seribu satu makna yang terselindung. Apabila membaca catatan kembara para penggerak gerakan amal yang berada di Acheh, hatiku terusik. Menggamit perasaan untuk berkunjung ke sana. InsyaAllah, suatu hari nanti…InsyaAllah..ada sesiapa yang ingin mengembara bersamaku?

p/s : InsyaAllah..banyak lagi tempat di bumi Allah menanti untuk dijelajahi..(sementelah belajar sejarah tentang Zulqarnain yang disebut namanya di dalam Quran, aku terfikir..mungkinkah Raja Khurush @ Cyrus the Great adalah Zulqarnain?)

Merantau tu merantau juga, yang penting tetapkan niat yang betul dan paling penting..tempat paling utama untuk dikunjungi ialah bumi kelahiran Nabi SAW..:) insyaAllah....


Sunday, January 15, 2012

Relasi Januari

Satu keluhan kecil terbit bersama helaan nafas yang panjang. Pandangan kuhamparkan jauh ke hadapan. Cuba mencari makna sebuah kehidupan dari gambaran pelbagai ragam manusia. Tidak tahu hendak ke mana. Lantas, stereng kereta kuputar, menuju ke suatu tempat. Tiba di muka pintu, salam ku ucap, namun tiada insan yang menyahut salamku secara zahir. Namun, alunan ayat-ayat suci al-Quran seakan menyambut salam dan kehadiranku. Usai duduk sebentar mendengar alunan merdu dari ruangan sebelah, aku berangkat, menuju ke destinasi berikutnya. Sememangnya al-Quran merupakan penawar terbaik yang dikurniakanNya kepada seluruh hambaNya. Meskipun tidak memahami apa yang dibaca dan dilagukan, ia memberi suatu perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Kadangkala, hanya dengan membaca sepotong ayat, membuatkan hati merasa sebak dan air mata keluar dengan sendirinya.

Kembali menyingkap sirah nabi di awal penyebaran Islam, al-Quran memainkan peranan penting dalam melembutkan hati para penentang kuat baginda semasa itu. Hati keras Al-Walid bin Al-Mughirah, Abu Sufyan, Abu Jahal dan Akhnas bin Syarik turut menjadi lembut bila mendengar alunan kalam Allah meskipun mereka menafikannya. Juga tercatat dalam sejarah bagaimana Abu Sufyan, Abu Jahal dan Akhnas mencuri-curi dengar baginda nabi membaca al-Quran dimalam hari walaunpun zahirnya mereka merupakan antara penentang hebat baginda. Ajaibnya mukjizat agung itu.

Tiba di destinasi berikutnya, aku mengambil tempat yang agak jauh dari orang ramai. Aku duduk dihujung padang sambil memerhati gelagat para manusia yang pelbagai. Ada yang beriadah bersama keluarga, ada yang membuat latihan sendiri, ada yang berjalan, dan ada juga kanak-kanak yang sibuk bermain pasir, membina istana pasir sambil berbicara sesuatu yang hanya difahami olehnya sendiri. Aku tersenyum sendiri. Gelagat kanak-kanak riang tersebut sedikit menghilangkan kerinduanku pada anak buahku.



Namun, satu perasaan yang sentiasa berbekas dihati, kembali merajai tapak sanubari tatkala langit yang membiru kupandang kosong. Aku menarik nafas panjang dan melepaskan perlahan. Teringat suatu ketika dahulu, ketika duduk disatu sudut padang kampus bersama senior. Senior dan senior. Duduk berbual soal kehidupan, dan soal ummat masa kini. Jauh disudut hati, aku merindui saat itu. Aku dan senior-seniorku. Rapatnya aku dan senior bermula di rumahNya, dan berpanjangan di padang kampus, walau jarang menghabiskan masa bersama. Walaupun kini dibatasi jarak, dan mereka berjuang dilapangan yang jauh lebih mencabar, doa yang dipanjatkan tidak akan pernah putus agar silaturahim yang terbina terus utuh dan teguh.

Kehilangan. Suatu kehilangan yang terasa di dalam hati mengajar kita untuk lebih menghargai dan mensyukuri apa yang dimiliki saat ini, itupun jika kita ingin memandang kehilangan itu dari sudut yang positif. Jika sebaliknya, mungkin saja kita akan menyalahkan takdir atas kehilangan itu. Suatu kehilangan itu merupakan didikan yang wajar dipertimbangkan dari pelbagai sudut yang berbeza.

Kita manusia yang diangkat darjatnya dengan kelebihan akal. Tanpa akal, kita boleh saja setaraf dengan binatang, bahkan dengan akal sekalipun, manusia lebih cenderung bersifat kebinatangan, apatah lagi tanpa akal yang mampu membantu kita menilai sesuatu. Dengan adanya akal, manusia perlu dididik, bukan saja diajar. Manusia lebih memerlukan didikan berbanding pelajaran, kerana itu para guru ditekankan untuk menjadi seorang pendidik, bukan hanya seorang pengajar.

Menelusuri erti sebuah persahabatan dalam nukilan Hilal Asyraf, ‘Relasi’, membuatkanku semakin tercari individu yang membawa gelaran ‘sahabat’ dalam hidupku selama ini. Kehilangan seseorang dalam hidup kita akan membuatkan kita merasa seakan sendirian. Namun, itulah tarbiyyahNya. Merasa sendirian itu bahaya kerana itu antara tanda awal bahawa kita semakin menjauhiNya, demikian antara konklusi salah satu watak yang dipamerkan oleh penulis muda itu.

“Kalimah sahabat, bukannya untuk orang yang rapat dengan kamu sahaja,” demikian antara petikan suatu dialog dalam novel tersebut. Aku tersenyum lagi. Namun dihati, terasa sebak. Air mataku mengalir perlahan. Aku tahu, aku sayangkan dia, dan mereka. Adakalanya perasaan sayang itu tidak perlu dizahirkan melalui kata-kata, tapi cukup dengan perbuatan. Namun begitu, adakalanya perbuatan itu disalahtafsirkan, kerana kita sebagai manusia, punya persepsi yang berbeza. “Ya Allah, izinkanku untuk menyayanginya , untuk menyayangi mereka semata-mata keranaMu..”hatiku berbisik perlahan.

Biarlah kalimah sahabat itu tersemat bersama rasa sayang yang terkunci di hati. Kerana apa yang penting bukanlah balasan dari mereka atas perasaan itu, tetapi keikhlasan dalam menjadikan perasaan itu sebagai langkah untuk sentiasa dekat denganNya.

Kadangkala,
Kita terpaku mencari jawapan kehidupan,
Berlari dan terus berlari,
Mengharapkan penghujung yang sejati,
Tercungap-cungap mencari nafas ketenangan hakiki,
Lantas kita berhenti sebentar,
Refleksi diri yang kian gentar,
Bertanya semula kepada kalbu yg keletihan,
Apa yang engkau lari-larikan?
Apabila hakikatnya,
Kebahagiaanmu tersuluh di depan mata,
Kemuliaanmu terpancar hatta di celah-celah kota,
Walau dunia penuh pancaroba,
Dirimu sentiasa menanti masa,
Mencari, dan terus mencari.

...Kerdipan Yang Hilang... (sumber : http://www.iluvislam.com/tazkirah/nasihat/1958-mencari-kerdipan-yang-hilang.html)

Tuesday, November 22, 2011

Ulang Tahun vs Sukan SEA



Bismillahirrahmirrahiim..

Alhamdulillah..setelah sekian lama menyepi, aku cuba meraih sedikit kekuatan untuk kembali mengemas laman mayaku yang rasanya sudah mula dipenuhi habuk dan sesawang..

Hari ulang tahun kelahiran..apa makna sebenar hari tersebut pada diri anda..padaku sama saja seperti hari yang lain, cuma bezanya mungkin pada hari tersebut, ramai yang mengucapkan selamat ulang tahun, happy bday..slmt hai lahir..slmt hari jadi dan sebagainya..

Tanggal hari ini, 22 November, aku menganjakkan kaki ke usia 24 tahun, satu angka yang masih kecil tapi cukup banyak yang sudah dilalui. Walaupun begitu, ianya masih tidak cukup untuk dijadikan bekal untuk menempuh perjalanan seterusnya. Semakin angka itu meningkat, maka semakin singkat masa yang ada di perjalanan yang sementara ini sebenarnya..

Terima kasih kepada yang mengingati tarikh kelahiranku ke dunia penuh pancaroba ini..terima kasih atas ucpaan dan kata-kata sokongan kalian untukku terus bergerak maju ke depan..terima kasih juga untuk doa-doa kalian..Semoga Allah memelihara hati-hati kita dan mengukuhkan silaturrahim antara kita semua..semoga Dia sentiasa melimpahkan rahmatNya kepada kita semua..insyaAllah..

Beralih seketika kpd Sukan SEA 2011, aku memang antara peminat sukan, tapi bukanlah peminat fanatik..kebetulan skg tgh cuti semester, semalam aku berpeluang menyaksikan perlawanan akhir bola sepak antara Malaysia dan Indonesia (Harimau Muda vs Garuda Muda) bersama-sama keluarga..Aku tumpang gembira dengan kejayaan pasukan Harimau Muda kita..Walaupun pada pandanganku, pemain no 28 Indonesia (Abd Rahman) sedikit kasar ketika bermain, namun apabila berjaya menjaringkan gol semasa tendangan penalti, hatiku sejuk melihat beliau terus sujud syukur..(sujud di tengah padang bukanlah perkara baru, tapi bila nampak ada insan yang sujud ketika yang lain melompat kegembiraan, ia tetap menghadirkan suatu perasaan yang berbeza..)


Dan pada malam semalam juga barulah aku mengenali kapten pasukan Malaysia (Badrol Bakhtiar)..padaku (sekali lagi pandangan orang yang tidak tahu menahu tentang bola)..padaku, beliau menjalankan tugas sebagai kapten dengan cukup baik sekali...

Tapi sampai sekarang..aku masih berfikir..kenapa mereka bermain bola menggunakan seluar pendek? (Bukan saja mereka, tapi kebanyakan atlit sukan lain, bukan saja yang pro, tetapi juga pemain amatur..) Tidak boleh berlarikah kalau guna seluar panjang? Tidak laju larikah? susa mau gelecek bola? Alangkah eloknya, kalau sudah cemerlang bermain begitu, ditambah lagi cemerlangnya etika berpakaian sesuai dengan imej sebagai pemain muslim. Baju dah ok pun..cuma seluar ja tak cukup panjang..Tak pakai seluar panjang pun, aku percaya ada banyak alternatif untuk mengatasi perkara tersebut..

Islam tidak menghalang kita untuk bersukan, tetapi didalamnya terkandung panduan dan syarat yang perlu dipatuhi..Justeru, sebagai antara penggiat dan peminat sukan, aku ingin menyeru diri sendiri dan saudara saudari di luar sana, marilah kita sama-sama dan sentiasa membawa imej Islam dalam diri walau dalam apa jua yang kita lakukan (bersukan atau dalam cara apa sekalipun, akademik, sahsiah, sosial dan pergaulan dan sebagainya..) dan berbanggalah kita menjadi umat Islam yang cemerlang bukan sahaja dari aspek jasmani, tetapi juga rohani dan mental..insyaAllah..

Maafkan diri ini andai ada bicara yang menyinggung jiwa dan hati..sama-sama kita perbaiki diri dan peribadi serta memperkasa rohani..

Renungi dua baris ayat ini ..

'Islam itu tinggi, dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya.." (ini merupakan hadis, tetapi maaf kerana tidak menyertakan rujukan..)

'Kita adalah ummat yang telah Allah berikan kemuliaan dengan Islam, dan barangsiapa yang mencari kemuliaan selain daripdanya, maka Allah akan memberi kehinaan kepada kita..'(kata-kata khalifah Umar al-Khattab, apabila tiba di Tanah Palestin hari ini untuk mengambil kunci Baitul Maqdis suatu ketika dulu..)

Sekian dahulu...salam percutian dariku buat semua...

Assalamualaikum..

Wednesday, September 7, 2011

Cerita Rayaku

Bismillahirrahmanirrahim..

Raya..bila tiba hari raya, macam-macam versi cerita yang boleh kita dengar. Ada yang gembira, ada yang sedih, ada yang meriah dan ada juga yang suram.

Ini pula cerita raya versiku.

Perasaanku bercampur baur. Teruja, sebak, sayu dan segala macam rasa bersarang di hati. Ramadhan bakal berlalu. Terlalu singkat rasanya ramadhan kali ini. Dengan sesi praktikum, dan setiap hujung minggu balik ke rumah, tidak terasa ianya berlalu begitu pantas. Risau, bimbang andainya tidak berpeluang berada dalam ramadhan yang seterusnya.

Ada sesuatu yang istimewa tentang ramadhan. Berlalunya ramdhan, maksudnya berlalu sudah keistimewaan itu. Sayang sungguh semua masa yang berlalu begitu saja tanpa terisi dengan perkara yang bermanfaat. Terasa kerdil sungguh diri. Seringkali alpa degan nikmat yang ada. Aku menghitung ramadhan yang tersisa sambil berdoa agar diberi kesempatan untuk merayakan ramadhan seterusnya bersama insan-insan yang ku sayang.

Dua hari sebelum raya, pakcikku dari Labuan sekeluarga tiba. Kakakku pula berangkat pulang ke kampung suaminya di Limbang, Sarawak.

Sebelum tiba syawal lagi biasanya kemeriahan akan terasa. Tapi secara peribadinya, aku tidak merasakan syawal kali ini bertambah indah atau ceria, walaupun agak meriah suasana di rumah. Adikku yang berada di Utara Semenanjung tidak balik, atas alasan kewangan dan juga cuti cuma seminggu. Katanya, tidak apa sebab hujung bulan September juga dia akan balik ke tanah Sabah. Kakakku juga kali ini beraya pertama kali dengan keluarga suaminya. Kurang sudah 2 orang ahli dalam keluarga. Walaupun ramai orang di rumah, namun kekurangan tetap ada terasa. Pada syawal yang lepas, aku masih ingat, adik lelaki sulungku adalah yang terakhir sampai di rumah (semua di perantauan) pada hari terakhir puasa. Malam raya begitu ceria rasanya walaupun cuma kami-kami saja di rumah (keluarga pakcik tidak balik tahun lepas). Kakakku juga ketika itu belum bergelar isteri dan dialah yang lazimnya sibuk membuat persiapan untuk juadah syawal. Dengan kehadiran sepupu-sepupu, sedikit sebanyak suasana sunyi tenggelam dek kemeriahan yang ada. Syawal kali ini juga berbeza dengan kehadiran kakak ipar(isteri abang) dan buah hati mereka (Abd Muizz).

“Solat raya besok?” tanya pakcikku. “InsyaAllah..” jawabku dalam senyuman. “ Kita sekalilah..satu kereta..”pelawanya. “Boleh..insyaAllah..”balasku semula. Dalam fikiranku menerawang..naik kereta baru. Mitsubishi Pajero Sport..bila lagi mau merasa kereta Labuan. Aku tertawa dalam hati. Salah niat. Aku menggeleng sendiri.

Raya pertama, awal pagi lagi sudah bising di rumah. Semua bergegas bersiap untuk solat sunat hari raya. Bilik mandi cuma satu, penggunanya melebihi sepuluh orang. Sepupuku dari pekan juga tiba awal di rumah untuk solat sunat di kampung. Lazimnya, para sepupuku yang menetap di bandar dan jarang balik kampung, akan ikut sama solat sunat di kampung walaupun masjid pekan lebih dekat. Itulah meriahnya raya di rumah. Tumpuan para sepupu sepapat.

Biasanya, raya pertama adalah hari untuk kaum kerabat. Untuk raya pertama, usai solat sunat dan menziarah kubur, pakcik mengajak untuk beraya di Keningau. Tunggu punya tunggu, akhirnya kami berkonvoi dengan para sepupu sepapat yang lain. Sebelum ke Keningau, kami singgah dulu di Kg Mandalom dan Kg Kalang (adik beradik bapa dan pakcikku). Tidak juga ramai, dalam lima kenderaan sahaja. Aku tetap setia dengan Viva, tetapi bukan Vivaku..Viva putihku kuserahkan pada abang dan aku beralih kepada viva sepupuku..


Bakal bersambung..insyaAllah...

Wednesday, August 3, 2011

Ceritaku

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum...

Apa khabar anda semua di luar sana? Terasa begitu lama sekali tidak menjengah dan mengemaskini laman mayaku ini. Mungkin sedikit dikekang masa. Ya..mungkin.

Masuk hari ini, sudah minggu kelima aku menjalani latihan praktikum untuk fasa kedua. Ada lebih kurang 3 minggu sahaja lagi. Kali ini, aku ditempatkan di Sk Menawo, Keningau. Satu suasana yang baru namun aku senang di sekolah ini. Syukur Alhamdulillah. Setakat ini, segalanya dipermudahkanNya. Walau ada saja perkara baru yang timbul, aku bersyukur, Allah masih melapangkan dadaku untuk menghadapinya.

Setiap hari, ada saja perkara baru yang menuntutku untuk lebih terbuka dalam menterjemah erti hidup ini. Kehidupan yang pernuh tanda tanya dan penuh misteri. Kita tidak pernah tahu apa masa depan kita, tapi ia akan tercorak dari sikap dan cara kita hari ini.

“Kita bukan saja jadi mengajar, tapi kita kena ingat kita sebagai orang Islam, kita ada fikrah..” itu pesan pensyarah pembimbingku acap kali bertemu dengannya. Syukur sekali lagi, kali ini aku mendapat pensyarah pembimbing yang sama seperti semester lepas. Semakin banyak teguran, nasihat dan kata-kata motivasi yang beliau sampaikan, membuatkan selalu terfikir, apakah selama ini, aku berjaya menjadi seorang pelajar yang berfikrah itu.

“Ada masalahkah?” tanya beberapa orang saudara. Namun dalam masa yang sama, ada yang berkata, “Saya nampak kau ni macam tak da masalah ja..rilek ja..apa rahsia?” Penilaian setiap orang berbeza kerana kita menilai dari sudut yang berbeza. Kata naqibku, kita hanya mampu menilai secara zahir. Hati manusia kita takkan tahu kerana hanya Allah sahaja yang dapat menilai hati kita. (Kebelakangan ini, aku sering ponteng kelas bahasa Arab beliau, dan aku rasa bersalah untuk itu. Terlalu banyak kekangan yang menghimpit sejak akhir-akhir ini, dan aku masih lagi dalam proses untuk belajar menghadapi semua itu..Untuk itu, minta maaf kepada semua yang berkenaan terutama kepada beliau..)

Iman kita ada pasang surutnya. Memang benar. Dan,kadangkala kita tidak sedar, di saat kita merasakan iman kita di tahap tinggi itulah sebenarnya ia berada pada paras terendah dan begitulah sebaliknya.

Bila ada yang bertanya padaku, macamana untuk menjadi orang yang tidak terlalu enjoi dengan segalanya di dunia ini, jawapanku mudah saja, “Muhasabah diri selalu..” Kena rajin merefleksi diri agar kita tidak lupa siapa kita yang tidak punya apa-apa ini.

Baiklah, setakat ini dulu. InsyaAllah, lain masa jika berkesempatan, kita berkongsi cerita lain pula.

Selamat menjalani ibadah puasa kepada semua..

Wassalam..

Wednesday, May 18, 2011

Muhasabah Seketika

Pandangan kuhamparkan jauh ke hadapan. Mataku memerhatikan gerak geri para manusia yang lalu lalang di hadapanku. “Bila sudah bertambah usia, makin susah nak belajar, kan” ujarku, dalam pandangan yang tidak tertoleh.

“Hm..tapi sebenarnya bukan sebab kita main tua, tapi sebab macam-macam yang sudah kita tengok..” sambut rakanku. Aku tersenyum. Itulah maksud sebenarku. “Itulah yang tersiratnya..”balasku semula, masih dalam senyuman.

Rakan ini tertawa kecil. “Kita ni,makin hari… tengok itu ini, dengar macam-macam..lama-lama susah mo terima ilmu..”sambungnya. “Banyak dosa..”kataku, perlahan.

‘Hati sudah gelap, macam mana ilmu nak masuk..’bisik hatiku pula. Aku mengeluh dalam diam. Makin hari, terasa makin banyak dosa yang dilakukan. Yang segaja sudah tak terkira, apatah lagi yang tidak sengaja. Sedih, sayu dan kerdil rasanya kerana tidak menjalankan amanahNya sebaik mungkin. Dilahirkan sebagai manusia, yang diangkat menjadi khalifah bumiNya, namun lebih banyak melakukan kemungkaran dibumiNya. Tidak semua begitu, tapi kebanyakannya seperti itu.

Banyak perkara berlaku kebelakangan ini. Semuanya menguji diri. Membuatkanku merenung kembali, sampai ke mana sudah perjalananku selama ini. Sejauh mana sudahku berjalan dan berlari dalam pelayaran hidup di dunia ini. Apa yang sudah kulakukan sepanjang tempoh kehidupan ini.

“Walau apapun yang kita buat, jangan sampai menjadi fitnah buat diri, dan terutamanya buat agama. Kita orang agama, bawa agama. Orang tengok kita sehari-hari..” pesan itu terngiang-ngiang di kotak ingatanku. Orang agama? ‘Layakkah kau digelar orang agama?’ sinis soalan itu bertandang di sanubari, berkali-kali. Namun padaku, orang agama atau tidak, selagi beragama, memang akan membawa agama ke mana sahaja.

Mungkin aku bukan orang agama yang menepati kriteria yang ditetapkan untuk menjadi orang agama yang sebenarnya, tapi aku akui, sebagai seorang yang berpegang kepada kalimah Lailahilallah muhammadarrasulullah, agama Allah akan sentiasa kubawa walau ke mana juga aku berada dibumiNya ini. Tanpa status ‘orang agama’ itu sekalipun, aku juga sama mendapat amanah itu, membawa dan menegakkan agamaNya selagi masih bernafas.

Bila segalanya dipermudahkanNya, aku berasa malu padaNya. Malu untuk meminta-minta, kerana Dia sering memberikan apa yang kuperlu, tanpa sempat kutadahkan tangan memohon padaNya. Sungguh, Dia Maha Mengetahui segala isi hati hambaNya. Malu dan kerdil juga terasa bila diri sering melakukan tegahanNya, namun Dia masih mengurniakan kasih dan sayangNya. Nikmat yang dikurniakanNya tidak pernah berhenti , tapi diri masih kerap lalai, leka dan alpa. Berat rasanya mengenangkan semua itu.

“Banyakkan istighfar,jangan lupa doa..” pesan rakanku lagi. Aku tersentuh. Meskipun rakan ini, kalau dilihat dari luaran, mungkin orang berfikir beberapa kali sebelum menerima nasihatnya. Jangan menilai orang sebelah mata. Paling penting, jangan suka menilai orang dari luaran. Siapalah kita untuk menilai sesama manusia. Apakah diri sendiri bersih dari dosa, hingga boleh menilai orang itu layak atau tidak bercakap soal nasihat? Apakah diri sendiri sahaja yang betul dan tahu soal dosa pahala, syurga dan neraka?

Semakin hari, semakin berat rasanya perjalanan ini. Kehidupan adalah ujian. Ujian adalah kehidupan. Hanya padaNya tempat kubergantung untuk segalanya. Tanpa izinNya, tidak mungkin aku sampai ke sini hari ini.

Lafaz istighfar kuucap dalam hati. Perasaan sebak bertandang di sanubari.

‘Ampunkan hambaMu ini ya Allah, kerana tidak melaksanakan amanahMu sebaik mungkin. Janganlah Engkau biarkan setiap apa yang kulakukan menjadi fitnah buat diriku, dan agamaMu. Peliharalah agamaMu ya Allah. Pimpinlah hambaMu ini dengan petunjukMu, permudahkan segala urusanku, dan tetapkanlah diriku dalam ketaatan padaMu.

Ya Allah, hidupkan dan matikan kami dalam iman dan Islam. Hidupkan dan matikan jua kami dalam ketaatan padaMu…’

Minggu peperiksaan akhir semester sudah tiba. Peperiksaan bakal bermula Khamis ini. Isu peperiksaan, isu yang lebih besar dari tsunami, buat sesiapa yang bergelar pelajar, kata salah seorang pensyarah. Ya..memang isu yang sangat besar. Buat semua di luar sana, selamat menduduki peperiksaan. Semoga berjaya melalui peperiksaan dengan sebaiknya.