Thursday, August 2, 2012

Cerita kami

Diam-diam aku tenung dalam kekalutan manusia yang mungkin tidak punya masa memikirkan tentang sesuatu secara mendalam. Aku mencari di mana posisi diri. Hanya tiga langkah ke hadapan, entah kenapa tiba-tiba terasa sesat.

 Ada dua cahaya di hadapan, satu malap, satu lagi terang benderang. Aku mahukan yang terang itu tetapi diri tersedar,  jalan yang  samar-samar kemalapan itu sudah awal-awal lagi aku tempah.  Dahulunya, yang malap itu bersinar-sinar. Pernah aku berjanji pada diri bahawa pasti itu yang akan aku pegang dan teguhkan dalam jiwa. Tapi tidak terlintas pula di sukuan jalan, sinar itu kian menghilang.

Dari dulunya aku mampu berlari, terpaksa aku berjalan dan kini merangkak. Kontra dengan anak kecil yang mulanya belajar merangkak, berjalan dan girang berlari. Bukannya aku jadi begitu kerana dimamah usia tapi kerana semakin hilangnya sudah cahaya. Jelas, aku semakin kepenatan bergerak mengikut kata hati.

Aku sangkakan mudah sahaja untuk aku menuju ke destinasi nan satu itu namun semakin samar dan kelam. Semakin sukar untuk aku ramal apa yang ada di depan dan sepanjang jalan kelam itu.

Sudah beratus-ratus perutusan jiwa aku hantar pada angin. Beribu-ribu doa aku kirimkan pada Tuhan. Berjuta-juta kali aku memerli diri sendiri tentang apa yang terbentang luas didepan mata.

Ironinya, aku nampak, tetapi aku lakukan yang sebaliknya. Jangan beri aku terlalu banyak pilihan, kelak tak mampu aku klasifikasikan dengan baik. Aku cuba kira berapa banyak kemalangan perasaan yang aku lakukan pada diri sendiri. Entah kenapa aku selalu menghukum diri. Mungkin bodoh tetapi ada yang menganggap ia menarik.

Seharusnya aku ambil satu atau dua langkah sahaja lagi untuk ke destinasi itu, cuma.....

Entahlah.

Haruskah aku berpatah  ke belakang dan pilih jalan yang satu lagi itu?

Ya, itu soalan untuk diri sendiri. Kalaulah ada hospital merawat jiwa, kalaulah ada tempat membuang kesakitan. Aku agak tumor dalam jiwa semakin parah. Tapi di peringkat mana itu belum aku pastikan.

Namun yang jelas, sudah ada satu hirisan besar sedang berlaku di situ. Hanya menanti masa ia akan terawat sendiri.

"Anggap sahaja aku mimpi-mimpi yang tak pernah dan tak mungkin jadi realiti. Indah, seronok, bahagia,  tapi tiada pernah berlaku senyatanya. Yang semalam hanya sekali. Takkan ada lagi..."

Aku tenung dalam-dalam maksud ini pula.

Risau.

Aku tak mahu keliru lagi!

~Fizzle~
by Fza Ibrahim ( Vol1: I FALL I RISE : THE CHRONOLOGIES)




Hidup adalah suatu perjalanan, pengembaraan, pengalaman....

Hidup juga adalah pilihan..kita perlu sentiasa memilih untuk mendapatkan yang terbaik....

Andai terjatuh, berusahalah untuk bangkit sendiri terlebih dahulu sebelum mengharapkan ada insan lain yang menghulurkan tangan membantu kita untuk berdiri semula..

Kesamaran itu adakalanya baik kerana cahaya yang terang benderang akan menyilaukan mata hingga membuatkan kita tak mampu melihat sama sekali..

Bulatkan hati dalam membuat pilihan, yakin akan ketentuanNya..berbaik sangka kepadaNya..

~Aku juga sepertimu, tapi aku masih ada Dia sebagai tempat pergantunganku..~
by..myself

Friday, June 29, 2012

Beginilah..

Takkan terdaya..mengungkapkan rasa..
Satu antara resah yang berjuta..
Hadirnya gerhana ketika terpancar pelangi yang indah…

Kehidupan ini ada suka dukanya. Iman itu ada pasang surutnya. Semangat itu ada turun naiknya. Demikianlah setiap sesuatu itu pasti ada pasangannya yang tersendiri. Atas dan bawah, depan dan belakang, sedih dan gembira, hidup dan mati, lelaki dan perempuan, ingat dan lupa, lambat dan perlahan…dan sebagainya..

Aku ingin berehat. Berehat? Selagi namanya masih hidup, istilah rehat tidak bermakna dalam ertinya yang tersirat. Berkali-kali aku memikirkannya. Fikiranku adakalanya menjadi sesak dengan perkara yang  tidak  mampu aku fahami. Aku cuba mengkoreksi semula, refleksi semula, muhasabah semula berkali-kali. Justeru, aku semakin jarang mengunjungi  dan melahirkan cetusan hati dan mindaku di ruangan mayaku. Aku juga semakin keliru dan tidak tahu hujung pangkal ceritaku. Bila berada di hadapan skrin, tanganku kaku dan fikiranku buntu, walhal banyak perkara boleh dikongsikan.

Pertemuan dan perbualan bersama seorang saudara sebelum aidil adha lepas membuatkanku berfikir semula. Juga berkali-kali. Terasa banyak sekali khilafku sebagai seorang manusia yang lemah dari segala aspek. 

Pertemuan dan perbualan itu juga mengundang memori  lain yang sering berputar dalam mindaku.
“Kau dah macam kurang ikut program luar. Ada apa-apa kah?” tanya seorang sahabat suatu ketika.  Aku memandangnya sekilas. “You spy on me?” tanyaku semula, dalam nada gurauan. Dia tersenyum, menggeleng seketika. “I’m just curious. Di mana sudah Ani yang aku kenal dulu..” katanya, masih dalam senyuman. Matanya lekat dihelaian buku yang diselak satu persatu. 

“Salahkah kalau aku tak ikut program-program luar?” tanyaku lagi. Pertanyaan yang ku kira kurang enak didengar.  Ia meluncur  begitu sahaja dari  peti suaraku. Sang sahabat diam. Masih menyelak helaian demi helaian buku. Kemudian, dia memandangku. “Setiap perkara berlaku ada sebabnya. Kau buat begitu pun mesti ada sebabnya kan?” Aku pula tersenyum. Tidak mengiya atau menafikannya. Aku membuang pandangan jauh ke hadapan. Sebelum ini, selalukah aku menyertai program luar? Hatiku bertanya sendiri.
“Ani..” dia menepuk lembut belakangku. “Banyak yang berlaku..” ayatku tersekat dikerongkong. Tidak dapat kuluahkan. Aku menghela nafas panjang lalu melepaskannya perlahan-lahan.  “Setiap yang berlaku ada sebabnya..pasti ada hikmahnya. Kadang-kadang kita tak nampak hikmah tu dengan mata kasar kita, pandangan kita terbatas..” Aku tak nafikan kata-katanya. Itu hakikat setiap kejadian. Cumanya sebagai manusia biasa, adakalanya kita terlepas pandang akan perkara itu. 

“Bila kita rasa perjalanan hidup kita cukup sukar, percayalah, ada yang lebih sukar..jauh lebih sukar dari apa yang dapat kita bayangkan..” sambungnya lagi. Aku tetap diam membisu. “Hati aku..aku tidak tahu..” bicaraku putus. Sang sahabat tersenyum. “Hati kita..milik Allah. Mohonlah pada Allah untuk menjaga hati kita. InsyaAllah..semua baik-baik aja.” Bicaranya menusuk lubuk hatiku. Hati kita milik Allah…aku pernah berkata begitu kepada seorang rakan yang lain suatu ketika dulu. Rakanku itu tidak puas hati kerana sering dipandang serong oleh saudaranya yang lain. Serta merta, terbit kerinduan pada saat itu. Bicara bersama rakan itu, walaupun sering saja diselangi dengan pergaduhan dan gelak tawa, pasti ada saja pengajarannya yang menyentuh hatiku. “Macamana kita boleh rapat?” tanya rakan itu dulu. Sememangnya personaliti interpersonal dan intrapersonal  yang sangat jauh berbeza, agak mustahil boleh seiringan berjalan. Aku menggeleng tidak tahu, namun padaku semua itu ketentuan Allah, kerana tidak ada yang mustahil bagiNya, dan pastinya ada hikmah dan pengajaran yang besar dari ketentuanNya itu. “Sebab kita selalu bergaduh kan?” jawabnya sendiri sambil ketawa lagi. Aku hanya tertawa kecil , sambil menggeleng lagi. 

Aku tersenyum. Begitu cantik perjalanan hidup kita walaupun laluannya ada kesukarannya yang tersendiri, bergantung kepada tahap dan kemampuan kita. Tapi kalau dinilai dari sudut positif, pasti semua yang kita nampak baik-baik belaka.

“Allah sentiasa ada untuk kita..yakinlah. Jaga agamaNya, hidupkan agamaNya dalam diri kita, insyaAllah..” Sang sahabat senyum lagi.

“Terima kasih..” ucapku perlahan. “Berterima kasih dengan manusia..jangan lupa bersyukur dengan Allah..” balasnya, seakan memetik kata-kata yang sering aku tuturkan suatu ketika dulu. Dia masih tersenyum. Senyuman itu satu sedekah. Senyuman yang ikhlas akan membuahkan suatu rasa yang berbeza dalam hati. Rasa dihargai. Rasa dihargai dalam hidup ini merupakan suatu fitrah sebagai seorang manusia. Bohonglah kiranya ada yang tidak mahu dihargai barang sedikitpun dalam hidup ini. Rasa menghargai dan dihargai itulah yang membuahkan kasih sayang antara sesama manusia sebenarnya.  Namun, pokok pangkalnya, kenapa perlu menghargai orang lain? Atas dasar apa kita menghargai orang lain? Tepuk dada, tanya diri masing-masing. 

Beginilah hidup....apapun, tetaplah berdoa moga Allah sentiasa memelihara hati-hati kita semua. Teringat suatu kata-kata,……jangan renung dan menyusahkan diri, tetapi renung dan muhasabahlah diri…

Sunday, May 20, 2012

Lagu hati

 KepadaMu Kekasih
Aku berserah
Kerana ku tahu Kau lebih mengerti
Apa yang terlukis di cermin wajahku ini
Apa yang tersirat di hati
Bersama amali

KepadaMu Kekasih
Aku bertanya
Apakah Kau akan menerimaku kembali
Atau harus menghitung lagi
Segala jasa dan bakti
Atau harus mencampakku ke sisi
Tanpa harga diri

Hanya padaMu Kekasih
Aku tinggalkan
Jawapan yang belum ku temukan
Yang bakal aku nantikan
Bila malam menjemputku lena beradu

KepadaMu Kekasih
Aku serahkan
Jiwa dan raga
Jua segalanya
Apakah Kau akan menerima penyerahan ini
Apakah Kau akan menerimaku
Dalam keadaan begini

Semalam..aku berkesempatan mendengar semula lagu ni yang dibawa oleh Hazama..aku bukanlah penonton setia tv, tapi sebab berada di rumah..ikut samalah tengok2 dengan family. Aku lebih tertarik dengan lirik lagu ni..harap2 yang menyanyi dan yang mendengar hayati dalam2 maksud lirik lagu ni..

Kertas periksaku tinggal satu(padahal ada dua saja sem ni..huhu)..dan aku semakin berdebar menanti hari exam itu (Khamis, 24 Mei)..Subjek untuk kertas terakhir ini sangat mencabar..moga2 Allah permudahkan..

Semester hadapan adalah semester terakhirku...Allah...cepat betul masa berlalu..5 tahun setengah macam sekelip mata ja berlalu...banyak perkara dalam perancanganku..moga2 Allah permudahkan..namun, jauh di sudut hati..perasaanku bercampur baur..sedih..gembira...teruja..sayang..

Sepanjang tempoh masa 5 tahun ini, apa yang sudah ku pelajari di ip? Berapa banyak ilmu dunia akhirat yang berjaya aku raih dan amal? Berapa banyak usaha sudah ku lakukan untuk memperbaiki diri supaya menjadi lebih baik dan baik? Berapa dalam sudah ku pelajari agamaku? Kerana hakikatnya..aku belajar mendalami agama setelah menjejakkan kaki d Bukit Langsat..

Persoalan demi persoalan tidak akan pernah habis..malah semakin bertambah...apapun..pokok pangkalnya..hargailah dan syukuri masa dan peluang yang ada sekarang...selepas ini, mungkin kita tidak bertemu secara zahir..tapi insyaAllah..doa sentiasa menjadi penghubung..

Semoga berjaya buat semua dalam menghadapi ujian dan peperiksaan d dunia dan akhirat...

p/s....teringat suatu soalan...'sejauh mana amalan peperiksaan menjamin penguasaan ilmu?' fikir-fikirkan...