Sunday, October 16, 2011

Cerita tentang malam

Suasana malam di kampung dan di asrama memang ada bezanya. Aku suka keluar di beranda rumah sambil memerhatikan gugusan bintang yang berkelipan menghiasi dada malam. Kalau tidak pun, aku keluar dan berdiri di halaman rumah, huga memerhatikan perkara yang sama. Terasa suatu kelapangan, kedamaian dan kesyahduan melanda lubuk hati. Aku tidak tahu mengapa. Tapi aku sukakan perasaan itu. Bila sudah terlalu banyak perkara yang harus difikirkan bersarang di minda, berehat sebentar melihat keindahan ciptaan Allah merupakan antara terapi buatku. Justeru, kadangkala aku akan pergi ke mana-mana pada hujung minggu yang tertentu untuk melihat indahnya saat matahari terbenam.

Saat ini fikiranku bungkam. Bungkam memikirkan terlalu banyak perkara yang datang menyesak fikiran sekian lama.

"Wah..lawa buku ni..kau punya sendiri?" tanya Bell (Isabella) sewaktu datang bertandang di bilikku di asrama. Dia memegang sebuah buku. Aku memandangnya sekilas lalu mengangguk dalam senyuman. Dia kembali membelek-belek buku itu. Habis buku-buku di atas mejaku dibeleknya.

"Kau beli sendiri?" tanyanya lagi. "A'ah.." rngkas jawapanku. Wajahnya berubah tatkala membaca tajuk buku tersebut. 'Indahnya Kematian'. Bell seperti ingin tertawa, namun perasaan hairannya lebih menonjol pada wajahnya.

Aku hanya tersngih. "Bikin takut juga buku kau ni..." Aku tertawa kecil.
"Kau selalu ingat pasal mati sajakah?" Aku diam dalam senyuman. Aku sudah lama tidak membuka buku itu. Sememangnya tajuknya agak menakutkan, tapi itulah yang mnarik minatku untuk membelinya. Bukan kerana selalu ingat mati aku membeli buku itu, tapi sekurang-kurangnya ia menjadi sesuatu yang akan mengingatkanku pada kematian.

Sesudah puas membelek, akhirnya dia memilih bku 'AKU, ISABELLA DAN TOK KENALI' yang merupakan catatan penghijrahan Bob Lokman dari medan seni ke medan dakwahnya. Aku berasa lucu mengenangkan dia memilih buku itu kerana ada namanya tertera sebagai sebahagian dari tajuk buku itu. Sesaat aku juga hairan dengannya yang tiba-tiba suka membaca. Namun, aku juga sukakan perubahannya yang ketara itu, hinggakan menjadi peminjam buku di perpustakaan besar daerah Keningau.

Ingatkan mati. Kata Cikgu Isa (Pensyarah IP Kampus Islam)..tak perlu takut mati, tapi kena bersedia menghadapinya. Masalahnya ramai yang tak bersedia dan tak mahu menyediakan diri ke arah itu. Tapi takut pula untuk mati dan terlalu risau untuk meninggalkan dunia.

Aku menghela nafas. Memikirkan..sejauh manakah sudah persediaan untuk menghadapi saat itu. Saat yang pasti bagi setiap insan, bezanya cuma pada waktu dan tempat serta cara.

Sinaran sang bulan semakin kelam. Cahaya purnamanya semakin malap. Semalap hatiku. Perjalanan hidup ini semakin berat, aku tidak tahu ke mana sudah arahku berjalan dan berlari. Nafas ku hela sekali lagi. Dengan sisa hidup semakin singkat..hatiku berkata..'Memang dunia ini penuh dengan kepalsuan..aku tidak sabar bertemu dengan hakikat yang penuh kebenaran..tapi aku tidak tahu sama ada aku sudah cukup bersedia atau tidak..'

Apapun, diri perlu bangkit untuk menghadapi hari esok. Mungkin esok masih ada untuk kita..dan nyata hidup ini penuh dengan harapan baru. InsyaAllah..

Wednesday, September 7, 2011

Cerita Rayaku

Bismillahirrahmanirrahim..

Raya..bila tiba hari raya, macam-macam versi cerita yang boleh kita dengar. Ada yang gembira, ada yang sedih, ada yang meriah dan ada juga yang suram.

Ini pula cerita raya versiku.

Perasaanku bercampur baur. Teruja, sebak, sayu dan segala macam rasa bersarang di hati. Ramadhan bakal berlalu. Terlalu singkat rasanya ramadhan kali ini. Dengan sesi praktikum, dan setiap hujung minggu balik ke rumah, tidak terasa ianya berlalu begitu pantas. Risau, bimbang andainya tidak berpeluang berada dalam ramadhan yang seterusnya.

Ada sesuatu yang istimewa tentang ramadhan. Berlalunya ramdhan, maksudnya berlalu sudah keistimewaan itu. Sayang sungguh semua masa yang berlalu begitu saja tanpa terisi dengan perkara yang bermanfaat. Terasa kerdil sungguh diri. Seringkali alpa degan nikmat yang ada. Aku menghitung ramadhan yang tersisa sambil berdoa agar diberi kesempatan untuk merayakan ramadhan seterusnya bersama insan-insan yang ku sayang.

Dua hari sebelum raya, pakcikku dari Labuan sekeluarga tiba. Kakakku pula berangkat pulang ke kampung suaminya di Limbang, Sarawak.

Sebelum tiba syawal lagi biasanya kemeriahan akan terasa. Tapi secara peribadinya, aku tidak merasakan syawal kali ini bertambah indah atau ceria, walaupun agak meriah suasana di rumah. Adikku yang berada di Utara Semenanjung tidak balik, atas alasan kewangan dan juga cuti cuma seminggu. Katanya, tidak apa sebab hujung bulan September juga dia akan balik ke tanah Sabah. Kakakku juga kali ini beraya pertama kali dengan keluarga suaminya. Kurang sudah 2 orang ahli dalam keluarga. Walaupun ramai orang di rumah, namun kekurangan tetap ada terasa. Pada syawal yang lepas, aku masih ingat, adik lelaki sulungku adalah yang terakhir sampai di rumah (semua di perantauan) pada hari terakhir puasa. Malam raya begitu ceria rasanya walaupun cuma kami-kami saja di rumah (keluarga pakcik tidak balik tahun lepas). Kakakku juga ketika itu belum bergelar isteri dan dialah yang lazimnya sibuk membuat persiapan untuk juadah syawal. Dengan kehadiran sepupu-sepupu, sedikit sebanyak suasana sunyi tenggelam dek kemeriahan yang ada. Syawal kali ini juga berbeza dengan kehadiran kakak ipar(isteri abang) dan buah hati mereka (Abd Muizz).

“Solat raya besok?” tanya pakcikku. “InsyaAllah..” jawabku dalam senyuman. “ Kita sekalilah..satu kereta..”pelawanya. “Boleh..insyaAllah..”balasku semula. Dalam fikiranku menerawang..naik kereta baru. Mitsubishi Pajero Sport..bila lagi mau merasa kereta Labuan. Aku tertawa dalam hati. Salah niat. Aku menggeleng sendiri.

Raya pertama, awal pagi lagi sudah bising di rumah. Semua bergegas bersiap untuk solat sunat hari raya. Bilik mandi cuma satu, penggunanya melebihi sepuluh orang. Sepupuku dari pekan juga tiba awal di rumah untuk solat sunat di kampung. Lazimnya, para sepupuku yang menetap di bandar dan jarang balik kampung, akan ikut sama solat sunat di kampung walaupun masjid pekan lebih dekat. Itulah meriahnya raya di rumah. Tumpuan para sepupu sepapat.

Biasanya, raya pertama adalah hari untuk kaum kerabat. Untuk raya pertama, usai solat sunat dan menziarah kubur, pakcik mengajak untuk beraya di Keningau. Tunggu punya tunggu, akhirnya kami berkonvoi dengan para sepupu sepapat yang lain. Sebelum ke Keningau, kami singgah dulu di Kg Mandalom dan Kg Kalang (adik beradik bapa dan pakcikku). Tidak juga ramai, dalam lima kenderaan sahaja. Aku tetap setia dengan Viva, tetapi bukan Vivaku..Viva putihku kuserahkan pada abang dan aku beralih kepada viva sepupuku..


Bakal bersambung..insyaAllah...

Wednesday, August 3, 2011

Ceritaku

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum...

Apa khabar anda semua di luar sana? Terasa begitu lama sekali tidak menjengah dan mengemaskini laman mayaku ini. Mungkin sedikit dikekang masa. Ya..mungkin.

Masuk hari ini, sudah minggu kelima aku menjalani latihan praktikum untuk fasa kedua. Ada lebih kurang 3 minggu sahaja lagi. Kali ini, aku ditempatkan di Sk Menawo, Keningau. Satu suasana yang baru namun aku senang di sekolah ini. Syukur Alhamdulillah. Setakat ini, segalanya dipermudahkanNya. Walau ada saja perkara baru yang timbul, aku bersyukur, Allah masih melapangkan dadaku untuk menghadapinya.

Setiap hari, ada saja perkara baru yang menuntutku untuk lebih terbuka dalam menterjemah erti hidup ini. Kehidupan yang pernuh tanda tanya dan penuh misteri. Kita tidak pernah tahu apa masa depan kita, tapi ia akan tercorak dari sikap dan cara kita hari ini.

“Kita bukan saja jadi mengajar, tapi kita kena ingat kita sebagai orang Islam, kita ada fikrah..” itu pesan pensyarah pembimbingku acap kali bertemu dengannya. Syukur sekali lagi, kali ini aku mendapat pensyarah pembimbing yang sama seperti semester lepas. Semakin banyak teguran, nasihat dan kata-kata motivasi yang beliau sampaikan, membuatkan selalu terfikir, apakah selama ini, aku berjaya menjadi seorang pelajar yang berfikrah itu.

“Ada masalahkah?” tanya beberapa orang saudara. Namun dalam masa yang sama, ada yang berkata, “Saya nampak kau ni macam tak da masalah ja..rilek ja..apa rahsia?” Penilaian setiap orang berbeza kerana kita menilai dari sudut yang berbeza. Kata naqibku, kita hanya mampu menilai secara zahir. Hati manusia kita takkan tahu kerana hanya Allah sahaja yang dapat menilai hati kita. (Kebelakangan ini, aku sering ponteng kelas bahasa Arab beliau, dan aku rasa bersalah untuk itu. Terlalu banyak kekangan yang menghimpit sejak akhir-akhir ini, dan aku masih lagi dalam proses untuk belajar menghadapi semua itu..Untuk itu, minta maaf kepada semua yang berkenaan terutama kepada beliau..)

Iman kita ada pasang surutnya. Memang benar. Dan,kadangkala kita tidak sedar, di saat kita merasakan iman kita di tahap tinggi itulah sebenarnya ia berada pada paras terendah dan begitulah sebaliknya.

Bila ada yang bertanya padaku, macamana untuk menjadi orang yang tidak terlalu enjoi dengan segalanya di dunia ini, jawapanku mudah saja, “Muhasabah diri selalu..” Kena rajin merefleksi diri agar kita tidak lupa siapa kita yang tidak punya apa-apa ini.

Baiklah, setakat ini dulu. InsyaAllah, lain masa jika berkesempatan, kita berkongsi cerita lain pula.

Selamat menjalani ibadah puasa kepada semua..

Wassalam..