Tuesday, October 26, 2010

Kata Hati

Bismillahirrahmanirrahim

Hatiku ingin menyatakan sesuatu. Tangan mencapai 'laptop'. Dengan lafaz bismillah, aku mula menterjemahkan kata hati dalam bentuk huruf.

************************************************************************************************************************************************

Angin malam menderu laju. Titik-titik hujan mulai jatuh ke bumi. Aku membuka pintu bilikku. Terasa sapaan angin yang kuat menampar wajahku. ‘Kuatnya angin’ bisik hatiku.

‘Napa berubah?’ soalan itu masih menari-nari di mindaku. ‘Berubah?’ aku bertanya semula. ‘Siapa? Akukah?’ aku bertanya lagi pada diri sendiri.

Kebelakangan ini, suasana malam terasa semakin dingin. Bahkan, di sebelah siang pun kedinginan turut terasa. Penghujung tahun. Biasanya musim hujan, kalau di laut, musim tengkujuh gelarannya. Betul? Musim ombak bergelora kuat, ikan makin sukar diperoleh, natijahnya, harga ikan melambung tinggi. Fikiranku melayang jauh sudah nampaknya. Sampai ke tengah lautan, menyusuri kepayahan nelayan mencari sesuap rezeki dalam cuaca sebegini.

Ya.. aku memang mengalami perubahan. Aku sedar itu. Tapi aku kurang pasti perubahan apa. Aku cuba kembali ke titik asal. Mencari punca masalah, kalau ada. ‘Kau memang bermasalah. Kau sakit!’ kata-kata insan itu menerjah kotak fikiranku.

‘Siapa yang tidak ada masalah? Orang yang tidak bermasalah itu pun satu masalah’ pintasku.

‘Dah lah, cuba lembutkan hati tu sikit. Sampai bila nak begini?’ insan itu berkata lagi.

‘Hati aku terlampau keraskah?’ ‘Jangan terperangkap dengan apa yang sudah jadi. Bebaskan diri…’

Bebaskan diri..bebaskan diri…bebas yang macam mana? Aku berteka teki lagi.

Komander Emrullah, Komander Bilal, Komander Abdullah..nama-nama pejuang dalam 1511H (KOMBAT) karangan Faisal Tehrani muncul di kotak minda. Menelusuri perjuangan yang dirakamkan dalam sebuah novel, cukup membuat hati bergetar. Bebaskan diri dari belenggu ketakutan untuk tegap berdiri memegang panji kehidupan berteraskan peraturan dan ketetapanNya. Tanpa disedari, air mata menitis keluar dari takungannya tatkala diri memasuki alam perjuangan para pejuang yang dinukilkan penulis muda tersebut. Beginikah Islam pada masa depan? Fikirku…memulakannya cukup susah, apatah lagi mempertahankannya. Ditambah lagi dengan ketiadaan pemimpin agung sepanjang zaman yang telah dipanggil Sang Kekasih.

31. ‘Dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) iaitu kitab (Al-Quran) itulah yang benar, membenarkan kitab-kitab yang sebelumnya. Sungguh, Allah benar-benar Maha Mengetahui, Maha Melihat (keadaan) hamba-hambaNya.’

32. ‘Kemudian kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yang Kami pilih di antara hamba-hamba Kami, lalu di antara mereka ada yang menzalimi diri sendiri, ada yang pertengahan dan ada (pula) yang lebih dahulu berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu adalah kurnia yang besar’

38. ‘Sungguh, Allah mengetahui yang ghaib (tersembunyi) di langit dan di bumi. Sungguh, Dia Maha Mengetahui segala isi hati.’

(Surah al-Fatir)


Apa yang aku fikirkan? Aku tergolong dalam kelompok mana? Yang menzalimi diri sendiri? Yang pertengahan atau yang lebih dulu berbuat kebaikan? Berat sungguh persoalan itu..

Mulakan kebangkitan Islam itu dari dalam diri sendiri. Kita model untuk menzahirkan apa itu Islam. Bukankah manusia belajar daripada peniruan dan permodelan? Apa bezanya jika kita tidak menunjukkan perbezaannya? Islam itu tinggi, dan tidak ada yang lebih tinggi darinya, demikian sabda Nabi.

Macam mana nak buktikan andai kita sendiri meremehkan dan merendahkan Islam. Nauzubilllahminzalik.


‘Ya Allah..kembalikan diriku kepada fitrah asalku sebagai hambaMu yang diciptakan hanya untuk beribadah dan mentaatiMu..’jauh dilubuk hati, aku memanjatkan doa.

Dunia ini terlalu membingungkan. Segala yang berlaku merupakan tarbiyyahNya. Ya..didikanNya..aku mengiyakan.

Pedulikan kata mereka yang tidak mengetahui..kerana cukuplah Allah bagiku.

'Izinkan hambaMu ini ya Allah..' bisik hati kecilku..

Thursday, October 21, 2010

Kisah Karnival 2010

Bismillahirrahmanirrahiim..

Karnival sukan tak habis lagi. Setelah tiga permainan dipertandingkan (futsal, bola jaring dan bola baling) kini tibalah ke permainan yang keempat iaitu bola tampar.

Permainan yang mengundang kontroversi kerana melibatkan percampuran antara lelaki dan perempuan. Hairan juga kenapa nak campur? Lelaki tak boleh main sendirikah? Dan yang perempuan pun tak boleh main sendiri juga kah?

Siapa yang harus dipersalahkan? Penganjur? Peserta? Atau orang atasan yang jadi penasihat di sebalik perjalanan karnival ini?

Aku makhluk yang mudah lupa dan lalai. Pada mulanya, aku tidak perasan langsung akan perkara ini. Bila rakan-rakan sekelas sibuk mencari pemain import dari kelas lain kerana ketiadaan pelatih lelaki dalam kelasku, aku tidak menganggap itu sesuatu yang luar biasa, atau salah, kerana dalam pertandingan badminton pun biasanya kami mencari pemain import. Syukur Alhamdulillah, aku tidak tersenarai dalam permainan ini kerana aku awal-awal akan mengatakan, ‘its not my game..’ bila mendengar ‘bola tampar’ atau ‘bola jaring’.

Allah ingin menegurku, itulah anggapanku setelah semua berlalu hingga saat ini. Malam hari Rabu, seorang hamba Allah menghubungiku.

‘Salam..ikut main bola tampar tak khamis ni?’ lebih kurang begitulah pertanyaannya.

‘Tak, napa?’ jawabku. Dalam hati, aku sudah merasakan sesuatu.

‘Bola tampar tu libatkan percampuran lelaki dan perempuan. Apa pandangan dalam hal ni?’

Macam tulah kiranya kata-katanya (mesej sebenar dah didelete, jadi ingat inti perbualan ja).

Ketika itu, aku baru teringat dan terfikir akan perkara tersebut. lantas aku teringat kisah pertandingan bola baling dalam karnival tahun sebelum ini, yang juga melibatkan percampuran dalam pasukan. Baru aku tersedar, betapa lalainya aku dalam melihat perkara ini.

Sebelum itu, dalam pertandingan bola baling tahun sebelum ini, aku turun juga ke gelanggang pada waktu itu kerana rakan-rakan mengatakan namaku tersenarai sebagai pemain simpanan. Mujur aku tidak sempat bermain, dan hanya jadi penyokong rakan-rakan sekelas. Namun, apa yang disaksikan sememangnya perkara-perkara yang tidak sepatutnya berlaku.

Dalam permainan yang melibatkan pergerakan, halangan dekat, perebutan bola, perlanggaran pemain seperti bola baling, wajarkah pemain lelaki digabungkan bersama pemain perempuan? Pertembungan badan antara lain jantina pasti tidak dapat dielakkan, dan ia cuma membingitkan keadaan dengan sorakan ramai orang yang ‘suka’ dan’tidak suka’ dengan ‘tayangan percuma’ sedemikan?

Akhirnya, pertandingan tersebut menjadi kontroversi namun ianya senyap setelah beberapa ketika. Dan kini ia muncul kembali kerana hal yang sama. Percampuran pemain lain jantina dalam satu pasukan. Aku sendiri hairan dan tidak dapat menangkap apa rasional syarat pertandingan ditetapkan sedemikian rupa.

Kalau untuk mendapat sambutan yang menggalakkan, rasanya tiga permainan sebelum ini juga mendapat sambutan yang baik waima tidak melibatkan percampuran pemain lain jantina dalam satu pasukan.

‘Maaf ya, saya cakap ni bukan apa, cuma nak sampaikan teguran. Game tu campur lelaki perempuan. Kalau boleh, biarlah yang non muslim main. Yang muslim tak payahlah. Tak elok. Campur tu, nanti terlanggar-langgar..’ujarku pada seorang rakan sekelas. Rakan hanya tersenyum dan tersengih. Dalam hati berdebar juga nak sampaikan teguran, apatah lagi disambut dengan senyuman dan sengihan yang aku sendiri kurang pasti apa maksudnya. ‘Biarlah..yang penting tegur!’ tegas hatiku.

Entah apa lagi yang harus dilakukan. Jika pihak atasan pun kata, ‘pengarah tak cakap apa, jadi teruskan’, apa lagi yang boleh dibuat? Cara paling mudah, jangan ikut. Yang muslim tak payah ikut. Andainya semua mempunyai fikiran yang sama, tidaklah sesukar ini.

Inisiatif lain diambil. Petisyen dibentuk bagi membantah pertandingan campur ini. Sejauh mana keberkesanannya, sama-sama tunggu dan lihat. InsyaAllah, adalah membuahkan hasil.

IPG tempat membentuk modal insan, bakal pendidik, bakal guru yang akan menjadi ‘role model’ dalam segenap lapangan dan bidang bila berada di tengah masyarakat. Dalam usaha membanteras gejala sosial,di IPG pula ruang bersosial dibuka seluasnya. Apalah kredibilitinya tempat mulia, yang mendidik pembentuk modal insan jika permasalahan sosial juga dimulakan di tempat tersebut?

Aku bukan sesiapa. Seperti yang kukatakan tadi, aku makhluk yang lemah, selalu lalai, leka dan alpa, dan sering tidak tahu hendak berbuat apa lagi jika dalam situasi seperti ini. Hanya ini yang mampu kulakukan, dan harap-harap adalah sesiapa yang beroleh manfaat dari teguran lisan dan tulisanku. Terima kasih kepada saudara yang mengingatkanku tempoh hari.

Rakan sekelasku yang non muslim berkata pagi tadi mengadu kepada pensyarah PJ kami ,”Kenapa nak campur lelaki perempuan cikgu? Tidak best..Lelaki selalu spike bagi sama perempuan. Dorang spike kuat-kuat, mana kami dapat sambut.”

Memang tidak adil pun. Jantina tidak sama, tahap tenaga tidak sama, kekuatan tidak sama, kenapa nak gabung.

Sukan itu boleh. Main itu boleh. Islam tidak menghalang kita untuk melakukan sesuatu yang baik untuk diri dan baik untuk hubungan sesama kita. Tapi perlu ada batasnya. Itulah istimewanya Islam. Fleksibel dan praktikal. Menjaga tatacara kehidupan yang semakin hilang kerana pengaruh keseronokan dunia. Dan kita perlu menjaga nilai Islam itu dalam diri, semampu mungkin agar ia tidak hilang ditelan keinginan hati, tidak jatuh kerana perbuatan diri dan tidak rendah kerana pendapat sendiri.

Kepada saudara saudariku, agama tidak mengongkong, tapi memberi batas. Islam itu mudah, dan kita tidak perlu memudahkannya lagi. Jika bukan kita lagi yang menjaga dan meninggikan agama kita, siapa lagi? Kita minoriti dalam lingkungan mereka, tapi jangan biarkan mereka menguasai kita. Fikir-fikirkanlah.


p/s: Kepada sesiapa yang beranggapan kelasku bergaduh dengan KPLI PJ, harap anggapan itu jangan dipanjangkan dan disulitkan lagi. Seperti yang kukatakan, semua itu ‘permainan psikologi’ antara penyokong pasukan masing-masing. Cuma adakalanya, emosi akan terganggu, marah akan menguasai diri bila cara ‘bermain psiko’ keterlaluan dan menyinggung rasa individu. Aku percaya, jika anda pernah melalui kehidupan ‘remaja’ yang ingin melepaskan perasaan stress dan tekanan di padang, anda akan memahami keadaan ‘permainan psiko’ yang kelihatan seperti pergaduhan itu.Oleh itu, spelukasi pergaduhan antara kelas kami janganlah diperbesarkan lagi.

Terima kasih, Wassalam.

Tuesday, October 19, 2010

Sukan

Bismillahirrahmanirrahim..


Semua kita sedia maklum akan kepentingan sukan untuk kesihatan. Apa yang mengekang penglibatan umat Islam terutamanya wanita dalam sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa ialah kod pakaiannya yang tidak menutup aurat.

Islam menggalakkan umatnya bersukan sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w, Orang mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih kasih kepada Allah daripada mukmin yang lemah... (riwayat Muslim)

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto, HAYAT SUEET menemu bual pensyarah Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Badlihisham Mohd. Nasir bagi mengupas isu ini. Ikuti temu bual seterusnya di sini.


Minggu Karnival sukan peringkat IPG bermula semalam. Memang meriah. Padang dibanjiri dengan para pelatih yang menyertai sukan dan juga yang sekadar datang untuk menonton dan memeriahkan suasana. Macam-macam ragam. Macam-macam karenah. Macam-macam gaya. Bila dah di padang, lupa apa ada di luar padang. Begitulah manusia. Selalu lupa.

Kelasku juga tidak ketinggalan menyertai perlawanan yang dipertandingkan. Tahun ni, semua bersemangat untuk menyertai perlawanan. Setelah beberapa ketika penuh dengan konflik, akhirnya seluruh ahli kelas kembali bersatu dan berusaha untuk mengenepikan kepentingan peribadi demi kebaikan semua. Syukur alhamdulillah, banyak pengajaran daripada segala yang berlaku sebelum ini.

Semasa perlawanan berlangsung, adakalanya emosi menguasai suasana terutama ketika pasukan sendiri kelihatan tidak di adilil sebaiknya oleh para pengadil. 'Referee always right' kata pengadil. 'Oh..ba..iyalah..' kata-kata berupa kepasrahan yang tidak direlakan. Apa yang penting, semangat kerjasama dan bersatu padu itu ada untuk tetap teguh di medan juang. Begitulah medan juang hidup kita sebenarnya. Terpulang pada kita memikirkannya.

Apa pentingnya berbicara tentang sukan dan kelas? Apa sebenarnya yang ingin aku sampaikan dari entri ini? Terserah pada anda yang membaca untuk memikirkannya.

Aku suka bersukan. Rakan-rakan sekelasku juga suka bersukan. Dan aku sebenarnya ingin mengatakan, aku sayangkan rakan-rakanku...

Sukan tu sukan juga. Main pun main juga. Tapi apa yang penting, agama tu sentiasa jadi batasan untuk tiap perlakuan kita walau ketika bersukan. Jadi, best macam mana pun di padang dan gelanggang...solat jangan lupa ya kawan. Perlakuan..tingkah laku dan pergaulan..jaga-jagalah ya...:)

Pesanan buat rakan-rakan amnya dan buat diri sendiri khususnya.

Assalamualaikum.