Wednesday, July 21, 2010

Ungkapan Hati

Oh Tuhanku
Tiada indah di malam yang hening
melainkan dengan bermunajat kepada-Mu
Tiada indah suatu hari yang aku lalui
kecuali dengan patuh kepada-Mu

Oh Tuhanku

Tiada indah hidup di dunia
melainkan berzikir dan menyebut nama-Mu
Tiada indah tiba di akhirat yang abadi
kecuali dengan keampunan-Mu

Ya Allah Tuhanku

yang merubah kalbu
Tetapkanlah hatiku
Moga sentiasa dalam agama-Mu
Jua taat akan perintah-Mu

Tuhan

Usah bebankan kami
dengan bebanan yang berat
seperti yang pernah kau berikan kepada umat yang terdahulu...
dari kami

Tuhan

Jangan pikulkan kami
Yang tidak kami terdaya
Maafkan salah kesilapan
Ampunkanlah dosa-dosa
Rahmatilah kami...

Suram. Sakit. Kosong. Aku memandang langit penuh kebiruan dengan pandangan hambar. Tidak ada kata-kata yang mampu kuungkapkan untuk menterjemahkan perasaan hati yang berkecamuk. Allah…semakin hari hati semakin gelap dek titik-titik dosa dan noda yang singgah di pelabuhan sanubari. Ampunkan hambaMu ini Ya Allah…

Al-Fatihah buat Ustaz Haji Nahar Mentamin (mantan Imam Besar Negeri Sabah). Sesungguhnya pemergian allahyarham minggu lalu menjadi kehilangan besar buat sinar Islam di bumi Sabah. Semoga roh allahyarham dirahmati olehNya dan ditempatkanNya dalam kalangan hamba-hambaNya yang beriman dan beramal soleh. Semoga Allah akan mengurniakan kita lebih ramai penggerak Islam seperti allahyarham..insyaAllah..

Monday, July 19, 2010

Pengalaman vs Pengajaran Perkhemahan UBF (II)

Bismillahirrahmanirrahiim..

Cabaran tidak berhenti setakat disitu saja. Pada hari pertama perkhemahan, hujun turun dengan lebatnya ketika hari merangkak malam ,dan ketika itu, kami, peserta yang muslim sedang duduk dalam halaqah mendengar kuliah maghrib yang disampaikan oleh salah seorang pensyarah yang terlibat. Mujurlah beliau ada kerana pada waktu itu semua pensyarah lain belum tiba untuk aktiviti sebelah malam. Kata-kata beliau yang masih kuingati, “Saya paling takut kalau masa berkhemah, orang tak solat. Jangan main-main, solat tu kena jaga. “ Pada masa itu juga, hanya hanya dalam lingkungan 10 orang peserta yang ada untuk solat berjemaah dan mendengar kuliah ringkas tersebut. Biar ringkas, tapi padat dan penuh pengisian yang merawat hati.

Pada masa itu juga, aku tidak menyedari khemah kami dimasuki air dan akibatnya, semua pakaianku didalam beg habis basah! Dan kesabaran sekali lagi teruji apabila khemah kami roboh kerana penahan khemah tersebut patah. Malam itu aku terpaksa menyertai kuliah dengan pakaian basah sehinggalah ia kering sendiri di tubuh. Justeru malam itu sangat dingin, aku terpaksa meminjam dari rakan yang mempunyai pakaian yang kering dan Alhamdulillah, ‘setelah tamat kuliah, barulah aku bertukar pakaian’.

Dengan alasan khemah yang roboh dek angin dan hujan yang lebat, kami (aku dan camp-mateku) terpaksa menumpang bermalam di bilik urusetia pada jam 2 pagi kerana kami terpaksa menyiapkan gajet sekawan terlebih dahulu sebelum itu. Syukur Alhamdulillah, meski berendam dengan pakaian basah, kesihatanku tidak terjejas dan Allah mengizinkanku menyertai setiap aktivti seterusnya pada hari berikutnya.

Semasa malam budaya, dugaan semakin besar apabila banyak aksi yang tidak elok untuk perkembangan ‘anak muda’ dipertontonkan. Sebagai golongan minoriti yang hanya mempunyai iman senipis kulit bawang, aku hanya mampu menggelengkan kepala, duduk mendiamkan diri dan memohon ampun daripadaNya kerana membiarkan diri terlibat dengan semua itu. Ketika itu, kusedar, betapa berharganya suasana jemaah yang mempunyai pendirian dan tunjang yang sama seperti kita. Semua itu juga menyedarkanku betapa lemahnya diri yang mengaku hamba Allah tetapi masih berada dalam keadaan yang menimbulkan murkaNya.

Tidak ada insan yang sempurna. Itu yang kutanam diminda selama ini. Oleh itu, aku cuba mempositifkan diri menghadapi semuanya sepanjang perkhemahan berjalan. Sememangnya, banyak perkara yang membuatku bermuhasabah semula semasa menyertai perkhemahan ini. Menyesalkah? Aku memang kesal dengan semua perkara yang menyakitkan mata, hati, dan telinga, tapi aku tidak menyesal mengikuti perkhemahan ini kerana ia mengajarku mengenali siapa diri sendiri yang sebenarnya. Dan aku pasti, bagi sesiapa yang tidak mengambil pengajaran daripada perkhemahan ini, amat rugilah dirinya.

Dalam meniti hari-hari yang semakin menghampiri titik perhentian ini, adakalanya kita semakin leka dan alpa. Hidayah dan kesedaran yang Allah suntik ke dalam sanubari, kita perlekehkan sehingga apabila Allah menarik balik semua itu, terkapai-kapailah kita hilang akan arah tuju hidup. Janganlah kita termasuk ke dalam golongan itu. Fikirlah dan hitunglah masa kita, apakah kita bersedia menghadapi saat penghakiman dihadapanNya?

Semoga Allah memelihara hati-hati kita semua untuk tetap teguh dan istiqamah di jalanNya. Moga perkongsian ini dapat menyuntik sesuatu di dasar hati anda, untuk kita merenungkan apa yang telah kita peroleh sepanjang hidup ini?

Assalamualaikum..

p/s: Aktiviti sepanjang perkhemahan membuatkanku terkenang kembali saat menyertai program luar, khasnya Kem NADI 2009..dan aku terfikir semula, bilakah lagi aku akan dapat menyertai program seumpama itu?

Saturday, July 17, 2010

Pengalaman vs Pengajaran Perkhemahan UBF

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah, perkhemahan unit beruniform baru sahaja selesai dan kami semua yang menyertainya berjaya menamatkan kursus unit beruniform masing-masing dengan rasminya. Meskipun kali ini, lokasi perkhemahan tidaklah sejauh mana, namun banyak perkara baru yang membuka mata hatiku semasa menyertai kursus dalam perkhemahan ini.

Dalam menyertai mana-mana perkhemahan, aku menjangkakan pasti banyak kesukaran dan cabaran yang menanti kerana apabila menyertai sesuatu program, diri kita akan terprogram secara sendiri walaupun keletihan, kemalasan dan kebosanan menguasai diri. Apatah lagi, perkhemahan ini bercorak umum dan melibatkan percampuran agama dan jantina, pasti cabarannya akan lebih besar.

Cabaran awal menanti sejak awal apabila aku menjadi satu-satunya muslimat dalam kumpulan sekawanku beserta seorang muslimin dan selebihnya adalah non muslim. Aku tidak terfikir tentang konsekuen perkara ini semasa tersenarai dalam sekawan ini semester lalu. Dalam perkhemahan sebelum ini juga, aku bernasib baik kerana kami tidak dibahagikan mengikut sekawan, berbeza dengan perkhemahan kali ini. Meskipun majoriti ahli sekawan adalah rakan yang aku kenali dan agak biasa berhubung dengan mereka, ia tetap memberi kelainan apabila menghabiskan masa bersama mereka dalam setiap aktiviti kerana pada masa yang sama, aku percaya, mereka akan memerhatikanku bukan sahaja sebagai ahli sekawan, tetapi sebagai seorang muslim.

Cabaran kedua timbul tatkala pembahagian tapak khemah dilakukan. Oleh kerana tapak bagi pasukan kami dibahagikan mengikut sekawan, sekali lagi aku merasa janggal apabila terpaksa memasang khemah dengan diapit dua khemah kaum adam. Aku semakin berasa tidak sedap hati apabila sekawanku mendapat tapak yang menjadi sempadan khemah kaum adam bagi pasukan unit beruniform yang lain. Seorang rakan berpesan, hati-hati dan jangan buka khemah sesuka hati kerana kedudukan khemahku yang sangat ‘istimewa’ itu.

Mujurlah, banyak aktiviti dijalankan di tapak astaka. Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa tidak meminta ditukarkan tapak khemah? Aku pasti persoalan itu akan terbit dalam kalangan anda. Sejujurnya, aku percaya semua yang berlaku ada hikmahnya. Mengapa aku ditakdirkan termasuk dalam sekawan itu, dan mengapa tapak khemah kami di situ, pasti ada sesuatu disebaliknya. Justeru, aku lebih gemar mempositifkan diri untuk mempelajari dan mengetahui apakah hikmah itu daripada membuat kontroversi yang mungkin mencetuskan rasa tidak puast hati sesetengah pihak yang akan juga mungkin akan mengatakan aku pentingkan diri dan berfikiran sempit. Selain itu, perkhemahan ini juga sentiasa dipantau oleh para fasilitator yang terdiri daripada pensyarah atau pemimpin setiap unit. Oleh itu, aku percaya selagi aku menjaga batas, Allah pasti menjagaku.

Cabaran seterusnya pula ialah apabila tiba masa untuk solat. Memandangkan dalam sekawan, hanya aku dan seorang adam yang muslim, kami perlu tahu mencari masa agar dapat menunaikan solat. Ada satu masa, saat hari mula merangkak senja, jam hampir menunjukkan ke angka enam, kami masih dengan aktivti kumpulan dan belum menunaikan solat asar. Akhirnya, aku terpaksa meminta maaf dengan mereka dan bergegas menunaikan solat sebelum habis waktu.

Akan bersambung..insyaAllah..