Tuesday, December 7, 2010

Cuti ini

Bismillahirrahmnirrahiim

Alhamdulillah..masih berpeluang menghirup udara segar pada 1 Muharam 1432H ini. Hari ini beralih lagi ke tahun baru. Ertinya semakin dekat dengan 'perkara yang pasti' itu.

Cuti masih berlangsung. Namun ia juga semakin menghampiri penghujungnya. Sepanjang cuti bermula, baru hari ini aku dapat memperbaharui entriku,meski banyak yang ingin dikongsi, terlalu banyak kekangan untukku memaparkannya di sini.

Keputusan peperiksaan akhir semester 4 juga sudah keluar. Perasaan tidak sedap hatiku sejak kebelakangan ini akhirnya terjawab apabila rakan mengkhabarkan perkara itu. Ramai sekali yang menghubungiku berkenaan keputusan peperiksaan, tanpa dipinta sekalipun mereka mengumumkannya padaku. Belum sempat melihat sendiri, mereka sudah memberitahu apa keputusanku. Perasaan tatkala menerima khabar itu...hnya Allah yang tahu. Walaupun tidak jauh beza dari semster lepas, tidak dapat kunafi, aku agak kecewa namun aku tahu memang itulah keputusan yang terbaik untukku. Refleksi....semester ini agak sukar. Subjek tidak sesukar mana namun terlalu banyak perkara berlaku semster ini, dan aku sedar peruntukan waktu untuk belajar sangat kurang berbanding semester lepas.

Pengajaran dari perkara itu :

1. Kadangkala kita tidak sedar niat mungkin tersasar dari yang sepatutnya
2. Bila kita mulai sibuk dengan urusan dunia, tidak mustahil Dia akan menegur dengan menarik sedikit nikmat dalam hidup yang sebelum ini kita kecapi, supaya kita beringat semula dan kembali menyeimbangkan keduanya
3. Bila Allah beri kita sesuatu yang kita tidak suka atau mungkin menyedihkan, ia adalah kerana kesilapan dan dosa kita sendiri dan pasti ada hikmah di sebaliknya.
4. Sesuatu kesakitanyang diuji kepada kita itu pasti hadir bersama dengan penawarnya sekali. Bersama kesusahan ada kesenangan dan bersama kesedihan pasti ada kegembiraan.
5. Apapun ketentuan yang Allah sudah tetapkan untuk kita, perlu kita mensyukurinya kerana Dia hanya akan mengurniakan yang terbaik untuk tiap hambaNya.

Demikian antara pengajaran yang dapat kukongsikan. Banyak lagi sebenarnya, tetapi kuserahkan pada anda semua untuk memikirkannya sendiri.

InsyaAllah, di lain kesempatan ,kita bertemu lagi. Salam Maal Hijrah 1432H..Moga tahun ini menjadi lebih baik dari tahun sebelumnya..

Wasalam..

Sunday, November 14, 2010

Hati dan Diri

Hujan renyai-renyai yang turun sedari tadi semakin lebat membasahi bumi. Deruan angin sesekali menyapa keras gegendang telinga. Panahan petir sabung menyabung menyentap hatinya yang terasa kerdil dengan segala kejadian alam. Sang makhluk makin mengganas, menuruti perintah Sang Pencipta untuk menjentik hati para hamba bergelar manusia yang semakin tenggelam dan parah dengan penyakit wahan.

Segalanya merupakan tarbiyyah. Dia mengiyakan. Itu kata-kata orang yang jauh lebih baik, jauh lebih tahu darinya.

Seringkali hati terlalai, dan teguranNya sampai tanpa bertangguh. Jiwa bergelodak. Antara tuntutan hati dan fitrah yang berkelahi.

‘Rasanya, makin hari, kau makin baik atau makin jahat?’ hatinya bertanya pada diri. Dia mencongak-congak fikirannya. Cuba mencari jawapan. ‘Entahlah..’jawab diri.

“Buat apa?” tanya sang rakan ketika bertemu di bilik air tadi. Memang menjadi kebiasaan, bila bertemu, akan bertanya soalan yang kadangkala remeh. Sekadar berbasa basi. Dia tersenyum. “Ambil wudhuk” jawabnya jujur.

‘Kau tak takut riak ka jawab macam tu?’ tanya hatinya lagi. ‘Takut juga. Tapi riak tu akan hilang kalau apa yang kita buat tu memang amalan kita. Riak akan hilang kalau istiqamah itu ada’ jawab diri lagi.

“Oh…Nak solatkah?” tanya sang rakan lagi. Solat? Dia merasakan detik masa seakan berhenti seketika. “Taklah..” jawabnya lagi. Juga jujur. Memang dia tidak memasang niat untuk solat, meski hati penuh kuat menegaskan dirinya supaya menyucikan diri sebentar tadi. Soalan itu mengingatkannya pada sesuatu. Usai mengambil wudhuk, kaki diatur menuju ke bilik. Dia diam seketika di hujung katil. Solat. Perkataan itu berlegar di mindanya. Teringat suatu ketika dulu akan kebiasaannya. Sebelum tidur, akan menghadap Sang Pencipta terlebih dahulu. Walau hanya untuk seketika. Agar lenanya lebih damai dan tenang. Agar bangunnya esok pagi lebih segar dan bahagia. Apa sudah jadi? Sibukkah aku? Dia bertanya pada sang hati. Sang hati tidak menjawab.

“ Lewat hari ni. Puasa?” Dia tersentak dengan soalan itu. Lantas kepala digeleng dalam senyuman. Memang dia agak lewat hari itu untuk membeli makanan malamnya. Tidak seperti selalu. Duit bertukar tangan. Teguran berbentuk soalan dari sang penjaga kaunter itu juga bermain di mindanya. Dia menghitung hari. Tersedar bahawa sudah agak lama dirinya tidak mengikat nafsu perut itu. Tidak seperti dahulu. Beratkah pekerjaanku kebelakangan ini? Diri bertanya lagi. Hatinya kembali merindui detik-detik ketenangan ketika menjamah juadah berbuka yang tidak seberapa suatu ketika dulu. Sayup-sayup azan berkumandang, dia akan segera menikmati rezeki yang ada.

Dia tersedar dari lamunnya. Wajah yang masih basah diraup perlahan. ‘Allah..’ hatinya sayu tiba-tiba. Apakah aku makin jauh dariMu? Hatinya dirundung kekesalan. Sejadah yang terhampar di atas katil diperhatikan. Sibukkah aku?Diri bertanya lagi. Sang hati masih tidak mahu menjawab.

“Wah..pandai sudah kau cakap begitu. Siapa pengaruh kau ni?” usik rakan-rakan saat bicaranya terlepas. Tersasar dari landasan yang selama ini diikutinya. Mereka tertawa. Dia juga turut tertawa, namun jauh di lubuk hati, sesuatu sedang berlaku. Kecamuk. Rasa bersalah. Seakan runtuh tembok kendirinya. Tidak sepatutnya itu berlaku. Apa sudah berlaku? ‘Ya Allah..ampunkan hambaMu ini. Janganlah biarkan segala yang telah kulakukan menjadi satu fitnah buatku atau agamaMu. Peliharalah agamaMu dari pandangan serong mereka, peliharalah hatiku…’ Sesak dadanya. Sesak dengan keterlanjuran katanya sebentar tadi.

Dia termenung lagi. Segalanya perlu dijaga. Dari pandangan, pendengaran, pertuturan dan perbuatan. Benarlah, jika hubungan dengan Allah terjaga, hubungan dengan manusia akan turut terjaga.

“Amalan sunat tu akan menampung kekurangan amalan wajib. Umpamanya, yang wajib tu rumah. Hanya rumah, dan yang sunat itu, boleh diibaratkan perabot, cat rumah, hiasan-hiasan lain yang akan memperindahkan lagi rumah kita yang kosong sebelum ini.” kata-kata itu kembali di ingatannya.

‘Kalau yang wajib pun tak cukup sempurna, yang sunat pula makin jauh, macam mana nak berkesan pada diri?’ Sang hati bersuara tiba-tiba. Dia terdiam.

Teguran dariNya datang tanpa cara yang diduga. Hatinya semakin sayu. ‘Allah tegur sebab rindu nak dengar rintihan dari kita. Dia nak selamatkan kita dari kelalaian. Mungkin hari ni, mungkin sekarang, kita makin mengabaikan tuntutan sunatnya, satu hari nanti, dapatkah kita jamin kita tidak mengabaikan tuntutan wajibnya pula? Dapatkah kita menjaga hidayahNya tanpa rahmat dariNya? Allah sayangkan kita, sebab itu Dia tegur kita awal-awal.’ Hatinya berbicara kepada diri.

Ramai yang beranggapan, bila yang wajib dah selesai, sudahlah. Kalau ada masa, barulah buat yang sunat. Kalau ada masa? Walhal masa itu kepunyaanNya. Dapatkah kita menjamin dalam 24 jam yang diberikan, semua yang dilakukan adalah ibadah padaNya? ‘Allah..’ ucap hatinya, lirih.

Betapa manusia itu sombong dengan nikmat Allah. Betapa manusia itu terlalu mengagungkan sang makhluk sampai tak nampak pada Sang Pencipta. Betapa selama ini, manusia mengagungkan cinta dan sayang sesama makhluk, sampai tak nampak kasih, cinta dan sayang Yang Maha Penyayang, Maha Pengasih. Bila ditegur olehNya, buat-buat tak nampak, buat-buat tak tahu. Sungguh banyak pengajaran yang diperlihatkanNya, kerana ingin menegur hambaNya yang semakin lalai, agar kembali kepadaNya, sentiasa dalam ketaatan padaNya, namun hamba bergelar manusia masih membelakangkanNya. Nauzubillahminzalik. Jangan sampai kita tergolong dalam golongan itu…jangan..aku tidak rela, pinta hatinya. Apapun yang jadi, biar kita sentiasa dalam usaha untuk mentaatiNya, sedaya mungkin..pinta hatinya lagi.

‘Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku, kuserahkan hanya kepada Allah, Rabb sekalian alam’

Friday, November 12, 2010

Penjelasan

Assalamualaikum

Dalam entri sebelum ini (Buka Mata), beberapa orang saudara memberikan respon masing-masing dan berikutan itu, tidak mustahil ada yang tertanya-tanya mengapa ia berbaur kemarahan? Siapa yang sebenarnya aku maksudkan dalam entri itu. Bagi mengelakkan sebarang kekeliruan mahupun spekulasi negatif, dengan hati yang terbuka inginku jelaskan semuanya semudah mungkin.


Entri tersebut bersifat umum. Aku tidak menujukan kepada individu tertentu, tetapi untuk sebilangan besar orang yang berada di sekelilingku yang mana semakin hilang panduan dalam berbicara menggunakan bahasa yang baik. Dan benteng kesabaranku mudah rapuh bila suasana itu melingkari persekitaranku, khasnya orang yang rapat denganku. Aku terkilan kerana ramai antara kita semakin kehilangan adab dan agama dalam diri, sehingga tidak ada batasnya dalam setiap perlakuan dan pertuturan. Harap ianya dapat difahami, dan pintaku pada semua ‘hentikanlah berprasangka buruk pada orang lain’.

Banyak lagi sebenarnya yang ingin kukongsi ketika ini, namun aku merasakan masanya belum sesuai dan aku masih memerlukan ruang untuk berfikir tentang bagaimana untuk menyampaikan apa yang ingin dikongsikan.

Memandangkan cuti akhir semester bakal menjelma, banyak perkara yang perlu dirancang untuk memastikan cuti tidak berlalu dengan sia-sia. Justeru, selamat merancang kepada semua di luar sana.

InsyaAllah, dalam entri seterusnya, akan kukongsi secebis pengalaman sepanjang semester ini yang amat mencabar namun bermakna bagiku. Harapanku, ia dapat menjadi pengajaran kepada kita semua.