Monday, August 30, 2010

10 Akhir ramadan

Bismillahirrahmanirrahimm.

Alhamdulillah..masih dipanjangkan umur untuk melalui hari ke 20 pada bulan mulia ini. Berlalu sudah 19 hari, tidak terasa masa begitu cepat berlalu. Jika difikir-fikirkan, entah adakah lagi peluang yang sama untuk ramadan akan datang.

Sabtu dan Ahad lepas, aku berpeluang mengikuti kemK2R (Kami Raikan Ramadan) di SK Pekan Tambunan. Ya...Tambunan mari...3 minggu berturut-turut (pada hujung minggu) berkampung di Tambunan untuk program bersama kanak-kanak di sana. Antara slot yang terkandung dalam program ini ialah Bijak Solat, Kami peduli, Games dan Kuiz, tadarus, qiam, bacaan yasin bersama ibu bapa, solat hajat, terawih dan sahur serta berbuka bersama. Nampak ringkas dan santai tapi besar pengertiannya.

Setiap prgram ada kelebihan dan kekurangannya. Apa yang penting, kita melihat semua itu dari sudut yang positif agar ia memberi manfaat dan nilai tambah buat kita. Dalam program ini, aku bertemu lagi dengan adik-adik 'KBS' ku iaitu Sazali, Aidih dan Ismat. Sebaik turun dari bas, Sazali menjadi yang pertama menyambutku. Terasa dihargai pula...Sewaktu bertemu dengan Aidih pula, dia berkata, "Saya fikir kakak tidak ingat saya lagi.." Hehe..InsyaAllah, kalian semua akan kak ingati selagi Allah masih mengizinkan. Meskipun kali ini, aku tidak sekumpulan dengan mereka, namun ia tidak mengubah perasaanku pada mereka. Jiwang pula...

Dalam program K2R, aku menjadi fasilitator kepada sekumpulan puteri yang comel, lincah, dan aktif (tidak jauh beza dengan kumpulan Sazali). Semuanya baik-baik belaka, petah, dan gemar mengikutiku kemana juga. Nampaknya, kali ini juga aku sangat beruntung kerana mendapat kumpulan kanak-kanak yang baik-baik dan tidak banyak songeh. Namun, apapun, aku paling terkesan dengan adik Wafa, yang sangat sopan dan lembut dan halus bicaranya.
"Kak, saya minta halal semua ilmu yang kakak bagi kami..saya sayang kakak.." ucapnya semasa slot terakhir 'amanat akhir ramadan' sambil memelukku erat. Bila seorang kanak-kanak yang suci bersih fitrahnya dari sebarang dosa berkata-kata, kata-kata itu adalah bicara hati mereka yang tulus lahir dari dalam hati. Bila mendengar kata-katanya, hatiku sebak. Bukan kerana apa, cuma merasa diri sangat bertuah. Walau sejujurnya , aku merasa tidak memberi apa-apa tapi terlalu banyak yang aku perolehi...

Terima kasih pada semua yang memberikanku peluang menyertai program ini dan program-program selainnya. Terima kasih juga kepada rakan-rakan pelatih yang sudi menyumbangkan masa menyertai program ini meskipun terikat dengan kesibukan masing-masing. Ingatlah segala pesanan yang telah diberikan oleh mereka yang berpengalaman selama berprogram dan ambillah iktibar dari apa yang telah diperolehi..

Hari ini, PBS fasa 4 bermula. Aku tidak tahu samaada kami yang berPBS di SK Biah beruntung atau sebaliknya kerana tidak ke sekolah hari ini (sekolah cuti sehingga esok). Namun apa yang pasti, pastinya tugasan PBS semakin sukar dilaksanakan dalam tempoh pemerhatian selama 3 hari bermula Rabu ini. Ini adalah sesi PBS yang terakhir sebelum mula berpraktikum semester hdapan. Bahang cabaran semakin terasa. Berbaur perasaan di hati bila terbayang saat praktikum. Semoga semuanya dipermudahkan..insyaAllah..

Hujung minggu ini, cuti raya akan bermula. Cuma tinggal beberapa hari sahaja untuk merasa saat berpuasa bersama bersama keluarga. Sepanjang tempoh ramadan ini, baru sekali aku berbuka dan bersahur bersama keluarga meskipun jarak antara rumah dan ip tidaklah sejauh mana. Apa yang pasti, aku tidak boleh lewat-lewat balik seperti selalu, kerana adikku berpesan dalam smsnya, " Jangan pulang lewat, ingat belikan baju raya warna hijau..." peringatan berbaur permintaan dan arahan kepada si kakak yang jarang balik ke rumah. Ya..insyaAllah..akan cuba balik seawal mungkin setelah semuanya selesai di sini...

Selamat berPBS kepada rakan-rakan pelatih ambilan Januari 2009 dan 2010..

Selamat meniti 10 akhir ramadan kepada saudara saudari semuslim...

Salam aidilfitri buat semua...mohon maaf atas keterlanjuran kata, kekasaran bahasa, dan halalkan segalanya di dunia dan akhirat kelak..

Assalamualaikum...

Monday, August 23, 2010

13 Ramadan

Bismillahirrahmanirrahim..

Cetusan peringatan untuk kita yang mudah alpa dan leka (khasnya diriku)...

"Dalam menjalani ibadah puasa ini, suatu formula tercipta tentang betapa nilai berpuasa ini dan ibadah di bulan ini sangat tinggi untuk kita 'cari dan gali'...

Sabar + Syukur + Ikhlas +Jujur + Istiqomah + Besederhana = Intipati Ramadhan

Sememangnya terlalu banyak hikmah Ramadhan andai kita benar-benar melakukan beserta dengan amalan-amalan sunat lain. Kita semua tahu tentang kelebihan amalan di bulan mulia ini. Justeru, mengapa tinggal-tinggalkan? Betapa ruginya andai puasa itu hanya menjadi kunci lapar dan dahaga semata.

Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa berpuasa Ramadhan dengan sepenuh iman dan kesungguhan, maka akan diampuni dosa-dosa yang pernah dilakukan.” (HR. Bukhari, Muslim, dan Abu Dawud)

Selama kita berpuasa, jangan lupa berdoa sebanyak-banyaknya. Doa orang berpuasa adalah doa yang mustajab. Rasulullah SAW bersabda, “Ada tiga kelompok manusia yang doanya tidak ditolak oleh Allah. Yang pertama ialah doa orang-orang yang berpuasa sehingga mereka berbuka.” (HR. Ahmad dan Tirmidzi)

Nah...ini baru sedikit ganjarannya. Betapa Allah sayangkan kita dengan memberikan pelbagai ganjaran di bulan ini. Disamping itu, pintu ampunan Allah terbuka seluas-luasnya di bulan keberkatan ini. Justeru itu, hidupkanlah malam.. Perbanyakkanlah taubat..kembalilah pada fitrah kita sebagai hamba yang berTuhan. Ambillah masa sebanyak-banyaknya bersama kekasih terAgung kita di bulan Ruhiyah penuh barokah ini..."
(http://hanzsensei.blogspot.com/)

"Ya Allah tolong sampaikan hajatku untuk berpanjangan, nafasku hingga pengakhiran.." (Rindu Ramadhan-AbdHalim Devotees)

Pernah terbit perasaan di hati yang merasakan ramadan hanya bulan yang biasa seperti bulan-bulan lain?

Pernah merasa kelebihan ramadan berbanding bulan-bulan yang lain?

Pernah merasa sangat letih dan penat di bulan puasa namun tidak ada penambahbaikan dalam diri?

Pernah merasa sayu melepaskan pemergian ramadan?

Saban hari, titik-titik noda dan dosa semakin mengelabui hati, menjadikan hati yang jernih menjadi keruh dan akhirnya gelap hingga kedasarnya. Sedar atau tidak, kita sentiasa berpotensi untuk ke arah itu. Hati sentiasa berbolak balik dalam setiap keadaan kerana gelojak nafsu sentiasa menekan iman yang senipis kulit bawang, ringan seperti debuan pasir meski di bulan para syaitan durjana dibelenggu.

Susah...susah sekali untuk istiqamah andai hati tidak cekal..Moga Allah menguatkan hati-hati kita dan mempermudahkan semuanya untuk kita..

" Wahai Tuhan yang membolak balikkan hati. Tetapkan hati-hati kami pada agamaMU dan ketaatan padaMU..."

di kesempatan ini, ku ingin memohon kemaafan andai pena dan tutur kata ada berbicara sumbang kepada sesiapa jua..kerana diri ini juga insan biasa..tidak memiliki kesempurnaan dalam diri...punya khilaf dan punya salah..sesungguhnya yang terbaik dan yang sempurna itu adalah hak milik kekal Allah Yang Maha Esa.

Friday, August 20, 2010

Pen dan pena

Bismillahirahmanirrahim.

Alhamdulillah, hari ini kita sudah menjangkau ke hari yang ke 10 dalam bulan penuh kemuliaan ini. Berakhirnya puasa hari ini, kita akan beralih kepada peringkat kedua dalam bulan ini yakni, fasa keampunan. Sama-sama kita manfaat segala kelebihan dalam bulan ini untuk terus memperbaiki diri dan membersihkan hati.

Aku tergerak untuk meneruskan perkongsian berikutan pertanyaan dan permintaan yang diaju tentang penghasilan blog dan kandungannya. Bila ditanya, bagaimana menghasilkan blog yang menarik, menghasilkan penulisan yang baik, aku sebenarnya tidak tahu apa jawapan yang sesuai kerana aku bukanlah seorang blogger yang pakar mahupun penulis professional. Aku tidak tahu pada sudut pandang yang mana rakan-rakan dapat menilai penulisanku berada pada tahap yang baik.

Untuk menjawab persoalan itu, aku tidak mempunyai sokongan dari pendapat mana-mana sarjana seperti menjawab soalan ‘assignment’. Justeru, aku ingin memohon maaf untuk itu. Jika ada yang ingin mempelajari cara atau tips menghasilkan karangan yang baik, mungkin boleh meminta pandangan daripada pakar bahasa yang dapat membantu anda dari segi tatabahasa, laras bahasa, semantik, linguistik dan sebagainya. Apa yang pasti, aku tidak dapat membantu dari segi itu, kerana ia bukan bidangku. Minta maaf sekali lagi.

Namun, ingin kukongsikan sesuatu yang mungkin dapat membantu mencetuskan idea atau ilham kepada anda tentang bagaimana sebenarnya sesuatu ilham itu dapat diterjemahkan dalam bentuk lambang-lambang bahasa.

Mungkin ada yang sudah maklum, aku minat menulis. Tabiat ini muncul sejak di bangku sekolah rendah. Dan aku juga gemar membaca. Juga sejak di bangkusekolah rendah. Dahulu, aku sering dimarah abang dan kakakku kerana mencuri baca buku teks mereka dan acapkali mereka berkata, “Satu hari nanti kau dapat buku yang sama juga”. Namun aku tetap degil dan terus mencuri baca buku mereka. Semasa si tahun enam, guru bahasa Melayuku, Cikgu Roslan, akan mempamerkan setiap karangan yang kami hasilkan. Kesempatan itu aku ambil dengan menulis banyak cerita-cerita pendek dan aku merasa senang melihat ia dipamerkan dan di baca oleh rakan-rakan lain. Ia seakan memberi suatu kepuasan padaku dan rakan lain yang turut sama menulis sepertiku. pada mulanya, ia sekadar untuk latihan bagi menghadapi UPSR, namun lama kelamaan, ia menjadi habit dan hobi.

Sehingga kini, aku sangat teruja dengan buku. Sejujurnya, aku lebih teruja pada buku berbanding pakaian ataupun makanan. Dan aku merasa sangat ‘bahagia’ tatkala memasuki kedai buku (hehe..). Kadang kala, melihat tajuk sebuah buku yang belum kubaca sekalipun, akan tercetus pelbagai idea untuk menulis. Jadi, tips yang pertama adalah kita suka dengan apa yang kita buat. Jika kita tidak gemar menulis, perasaan itu akan lahir melalui tulisan anda. Aku masih ingat kata-kata seorang pensyarah bahasa berkenaan siapakah anda melalui tulisan anda. Beliau berkata, melalui buku atau penulisan mereka, kita sudah dapat mengecam siapakah mereka, bagaimana sikap mereka, fikiran mereka dan di mana tahap pemikiran mereka. Dulu, aku tidak memahami mengapa beliau berkata demikian, dan kini, barulah aku dapat menangkap serba sedikit apa yang beliau maksudkan. Pendek kata, jika kita menulis dengan hati yang lapang, ditambah dengan minat yang mendalam, pasti kita dapat menghasilkan sesuatu yang datangnya dari ‘hati’ untuk disampaikan ke dalam ‘hati’ orang lain. InsyaAllah.

Seterusnya, kita tahu apa tujuan kita menulis. Ramai yang menulis sekadar untuk suka-suka atau melepaskan perasaan di hati yang terbuku dan tidak dapat diluahkan. Ramai juga yang ingin membawa pembaca berfikir dan merasai apa yang dirasainya. Dan ada juga yang menulis untuk berkongsi pengalaman dan ilmu. Pokoknya, kita jelas akan tujuan kita menulis. Sebaiknya, kita tetapkan niat untuk menulis bagi memberi suatu nilai tambah dan pengajaran dalam hati setiap pembaca, agar apa yang kita kongsikan dapat mencetuskan sesuatu dalam hati mereka. Sesuatu yang boleh menjadi pemangkin untuk perubahan yang baik.

Aku menulis mengikut pengalaman dan pemerhatian. Kehidupan yang serba mencabar sejak dulu hingga kini, banyak mendewasakan pemikiranku biarpun aku belumlah dapat mencapai tahap dewasa yang sebenarnya. Jika pemikiran kita masih kebudak-budakan, maka hasil tulisan kita akan nampak kebudak-budakkan. Bagaimana untuk menjadikannya nampak matang? Kita kena belajar membuka hati dan minda untuk mempelajari apa jua yang kita lihat, dengar dan buat. Kita tidak sedar, adakalanya melihat orang tua melintas jalan sudah cukup memberi pengajaran yang besar buat kita. Melihat sampah yang bertaburan, melihat orang bergelak ketawa, mendengar rakan-rakan berbual, mendengar kuliah yang disampaikan, malah menonton wayang dan bersukan juga ada pengajarannya tersendiri. Kesimpulannya, setiap perkara ada hikmah dan pengajaran di sebaliknya jika kita memang ingin mempelajarinya. Meskipun ia nampak remeh di mata kasar kita.

InsyaAllah..bakal bersambung.

Assalamualaikum.