Monday, July 5, 2010

Uzlahkan hati kita

Sejarah adalah satu senjata dalam menguatkan hati para pejuang, begitu kata-kata Al-Junaid.

Ramai umat manusia zaman sekarang leka untuk mengambil iktibar daripada kisah-kisah terdahulu. Contoh terdekat dan paling mudah adalah umat Islam; kita sendiri.

Tidak seharusnya kita selaku ummat kebanggaan Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa aalihi wasallam, membiarkan diri dalam kelalaian tatkala menghadam pengajaran daripada lembaran sirah para anbiya', khulafa' dan auliya' yang dimuliakan Allah.

Sayugia setiap sirah yang ditekuni menjadi suntikan berpengaruh ke dalam dirinya agar denyut perjuangan seseorang yang telah mewakafkan diri ke jalan Allah itu akan kekal sehingga ke akhir hayat.

Janganlah sekali-kali kita melupakan junjungan mulia yang kita sangat-sangat kasih dan sayangi. Rasulullah adalah tokoh tarbiah ruhiyyah terhebat yang patut dicontohi. Suatu kerugian besar bagi mereka yang tidak mengendahkan kesempurnaan pada diri Rasulullah, dan beranggapan dirinya sudah cukup bagus dan begitu thiqah pada pandangan manusia.

Hakikatnya, seluruh penghuni langit mencemuh dan meludah perilaku hamba Allah yang merasakan dirinya sudah soleh. Celakalah bagi diri yang tersemai 'ujub secara berterusan, terutama kepada para pemimpin yang ditaklifkan pelbagai amanah.

Semoga kita saling bermuhasabah dalam setiap saat helaan nafas. Manfaatkan waktu terluang, meskipun hanya lima minit, untuk kita 'uzlah'kan hati supaya nafsu yang kerap kali menggugat sentiasa dipagari dengan santunnya iman.


p/s : dipetik dari salah satu catatan seorang saudara (http://mohaz.blogspot.com/), antara penulis berbakat yang berpotensi dalam medan dakwah melalui pena. Untuk membaca catatannya yang seterusnya, ( klik sini )

Lakaran sejarah dan pengajaran dalam sebuah filem : Ip Man

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah, hari ini, aku berkesempatan lagi mencoret perkongsian di ruangan yang tak seberapa namun sangat bermakna buatku ini.

Kali ini, aku ingin berkongsi mengenai sebuah filem. Aku tidak ingin mengehadkan perkongsian dan pemikiran hanya dalam sempadan suatu topik tertentu, sebaliknya aku ingin mengajak anda semua berfikir dalam ruang konteks yang lebih luas. Dan rasanya tidak ada salahnya berkongsi info mengenai sebuah filem.

Tapi sebelum itu, ingin kunyatakan, aku bukanlah kaki wayang, dan menonton 'muvie' hanyalah hobi yang jarang kulakukan kecuali dalam masa tertentu. Pernah aku bertanya pada seorang rakan, sama ada beliau mempunyai 'muvie' terbaru, dan beliau bertanya, " Ko suka muvie yang ganas kan?"..Aku terkedu. Sejak bila aku menyatakan yang aku suka 'muvie' ganas? Mungkin ada sedikit salah faham. Istilah 'ganas' yang dikatakannya mungkin kerana aku tidak menggemari 'muvie' bertemakan cinta anak muda masa kini.

Tidak kunafikan, filem bercorak islamik sangat kurang dihasilkan dalam negara kita. Adapun filem seperti 'Mualaf' padaku belum dapat mencapai tahap yang memuaskan, namun baik untuk diketengahkan bagi memperlihatkan keadaan masyarakat Islam hari ini. Cuma, apabila meneliti pandangan beberapa pihak, aku setuju filem 'Mualaf' kurang sesuai untuk golongan yang tidak gemar berfikiran jauh dan mendalam. Beberapa babak dalam filem ini juga menjadi kontroversi, dan ia menjawab mengapa filem ini ditapis dan dibuang banyak babak selain tidak dibenarkan untuk ditayangkan kepada umum. Sukar untuk menangkap mesej disebalik filem ini, dan dengan menontonnya, mungkin cuma akan mencetuskan kontroversi peribadi dalam diri penonton.

Berbalik kepada filem yang ingin kukongsikan, filem ini merupakan filem aksi yang dihasilkan bagi memperingati seorang tokoh seni bela diri 'Wing Chun' yang bernama Yip Man. Filem ini bertajuk 'Ip Man'. Sudah lama filem ini ditayangkan, dan dalam masa terdekat, sebuah filem baru bertajuk 'The Legend is Born : Ip Man' yang juga merupakan kesinambungan filem 'Ip Man 1 & 2' akan ditayangkan.

Antara semua filem aksi yang pernah kusaksikan, filem ini adalah yang terbaik. Dengan penceritaan yang sederhana, dan latar masyarakat era Perang China-Jepun kedua dan penjajahan British membuktikan filem ini dihasilkan melalui kajian sejarah yang cukup baik. Melihat watak utama yang dimainkan, iaitu 'Yip Man' selaku tokoh seni bela diri yang cukup rendah hati dan tidak suka menunjuk-nunjuk menjadikannya cukup disenangi masyarakat tempatan meskipun beliau merupakan orang berada. Kesabarannya dalam menangani cabaran kehidupan semasa perang China -Jepun dan sikapnya dalam berhadapan dengan masyarakat membuatkan hatiku berbisik, ' Beginilah sepatutnya sikap orang Islam'.

Antara faktor lain yang menarik hatiku ialah semua aksi bela diri, yakni seni 'Wing Chun' yang ditonjolkan adalah seni yang sememangnya wujud. Ia merupakan asas kepada seni bela diri masyarakat China di Kota Foshan. Wushu tradisional inilah yang memperkenalkan 'Bruce Lee' ke era seni pertahanan diri suatu ketika dahulu dan jika menurut sejarah, Bruce Lee adalah salah seorang murid kepada Yip Man. Berbanding dengan filem lain yang lebih banyak aksi tak logik seperti terbang di angkasa, aksi dalam filem ini lebih logik dan boleh diterima akal.

Banyak pengajaran yang boleh kita ambil dari filem ini. Ia cukup sesuai untuk semua, hanya terpulang pada kita bagaimana untuk menginterpretasikan filem ini mengikut pandangan peribadi. Jika kita menontonnya untuk mendapat sesuatu yang positif, insyaAllah positiflah yang anda akan dapat. Jika sebaliknya, anda akan dapat menurut apa yang anda harapkan.


Kesimpulannya, banyak ruang dan cara untuk kita menimba ilmu, pengajaran dan pengalaman dalam hidup ini. Ia tidak terbatas dalam suatu ruang lingkup sahaja, sebaliknya, setiap yang ada disekeliling kita adalah medan yang baik untuk mengajar kita. Bukakan minda dan hati untuk belajar, kerana Islam tidak menghalang kita meraikan fitrah untuk berhibur, asalkan sentiasa dalam batas yang ditetapkan, dan itupun bertujuan untuk menjaga fitrah itu sendiri.

Semoga ada manfaatnya...assalamualaikum..

Sunday, July 4, 2010

Kal Ho Na Ho

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah, setelah beberapa ketika terulit dengan kesibukan dunia yang tak seberapa, aku akhirnya berpeluang menaip bait-bait kata yang tersimpan sejak tempoh hari. 'Kal Ho Na Ho' tajuk entri kali ini sedikit unik. Aku memilih tajuk ini bukan kerana tayangan filem ini, tetapi kerana maksud disebalik tajuk itu sendiri.

Beberapa hari lalu, aku memasuki perpustakaan institut yang telah kutinggalkan sejak cuti semester. Aku berjalan melewati beberapa rak. Apabila tiba di suatu rak, hatiku tertarik pada sebuah buku yang agak lama namun tajuknya begitu menarik padaku. “Lambaian Wajah-wajah Kematian dan Amalan-amalan Bekalan Akhirat : Ekspedisi ke alam Ghaib” yang ditulis oleh Ustaz Jaafar Salleh. Meski hati sedikit gementar untuk menelaah isi kandungannya, namun tanganku terus mencapai buku tersebut.

Kematian itu adalah pasti bagi setiap yang bernyawa. Bukanlah bererti dengan mengingati mati, kita hanya tertumpu kepada ibadah khusus semata, dan melupakan bahagian hidup di dunia. Apabila seseorang asyik dengan usaha mengingati kematian sehingga melupakan urusan kehidupan, dia seperti melupakan firman Allah dalam surah al-Qasas (28:77),

“ Dan carilah (pahala) negeri akhirat dengan apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu, tetapi janganlah kamu lupakan bahagianmu di dunia dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan dibumi. Sungguh, Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan”

Dunia ini ladang akhirat. Di dunia ini tempat untuk bercucuk tanam, sehingga tiba waktunya, hasilnya akan dituai untuk kegunaan di dunia satu lagi. Jika tanaman kita baik, baiklah hasilnya dan demikianlah juga sebaliknya. Sebagaimana sukar untuk bercucuk tanam dan mendapat hasil yang baik di dunia ini, begitu juga sukarnya untuk tetap istiqamah dalam kebaikan dan ketaatan padaNya agar perjalanan kita mudah di dunia satu lagi.

Mudah untuk mengatakan, tetapi sukar untuk melaksanakan. Kerana itu, sering dikatakan, orang yang banyak bercakap itulah yang paling rugi. kita boleh menyuruh orang berbuat baik, dan bersiap sedia untuk menghadapi kematian, namun adakah kita turut sama bekerja untuk menghadapi hari tersebut? Kebanyakan antara kita takut untuk memikirkan perkara tersebut walau untuk sesaat, kerana tahu mati itu sakit, sangat sakit sekali, tapi hairannya ramai juga yang tidak ingin mengambil pengajaran darinya.

Rasulullah SAW bersabda, “Secerdik-cerdik manusia adalah yang paling banyak ingatnya kepada kematian serta banyak bersiap untuk kematian. Mereka itulah orang yang benar-benar cerdik dan mereka pergi ke alam baqa dengan membawa kemuliaan dunia serta kemuliaan akhirat” (Ibnu Majah dab Ibnu Abiddunya)

Umpamanya seseorang yang ingin bermusafir. Pastinya orang tersebut bersiap sedia dengan bekalannya sepanjang perjalanan menuju destinasi. Orang ini sudah menjangka apa bakal berlaku jika dia berkelakuan seperti ini dan ini, dan bagaimana untuk menempuh perjalanan dengan selamat. Tentunya dia banyak mengkaji dan berfikir untuk hidupnya di masa akan datang. Demikianlah kita yang hidup di dunia ini, seperti musafir dalam perjalanan ke suatu destinasi yang jauh. Bekal yang cukup perlu disediakan agar tidak membawa kemudaratan di masa depan.

Justeru itu bersama-samalah kita berusaha dan berdoa agar Allah memudahkan segalanya untuk kita dan mengakhiri segalanya dengan baik juga untuk kita. Kerana musuh utama kita tidak akan pernah berhenti untuk menyesatkan Bani Adam, walau sehingga saat sakaratulmaut sekalipun, dan disitulah rahmat Allah akan mengatasi segalanya, samaada kita akan termasuk dalam kalangan orang Islam atau sebaliknya. Ini kerana amal seribu tahun belum tentu dapat menjamin kita dapat melepasi ujian getir saat itu, melainkan dengan izin dan rahmatNya. Tapi itu bukan alasan untuk tidak beramal langsung. Teruslah berusaha selagi boleh. Entah esok masih ada untuk kita atau tidak.

“ Ya Allah, akhirilah umur kami dengan kesudahan yang baik dan janganlah kiranya Engkau akhiri umur kami dengan kesudahan yang tidak baik. ”

“ Ya Allah ya Tuhan kami, janglah Engkau pesongkan hati kami setelah Engkau kurniakan petunjuk kepada kami. Anugerahkan kami rahmatMu, sesungguhnya Engkaulah Maha Pengurnia”

“ Ya Allah, ringankanlah bagi kami akan sakaratulmaut. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang..”

Semoga kita semua berjaya melepasi ujian di dunia ini sebaiknya, agar kita tergolong dalam kalangan hamba-hambaNya yang beruntung di akhirat sana. InsyaAllah.