Tuesday, May 4, 2010

Cerita Tentang Tempe

Ada sebuah kampung di pedalaman Tanah Jawa. Disitu ada seorang perempuan tua yang sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat tempe dan menjualnya di pasar setiap hari. Ia merupakan satu-satunya sumber pendapatannya untuk menyara hidup. Tempe yang dijualnya merupakan tempe yang dibuatnya sendiri.

Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang bersiap-siap untuk pergi menjual tempenya, tiba- tiba dia tersedar yang tempenya yang diperbuat daripada kacang soya hari itu masih belum menjadi, separuh jadi.Kebiasaannya tempe beliau telah masak sebelum bertolak. Diperiksanya beberapa bungkusan yang lain. Ternyatalah kesemuanya belum masak lagi. Perempuan tua itu berasa amat sedih sebab tempe yang masih belum menjadi pastinya tidak akan laku dan tiadalah rezekinya pada hari itu.

Dalam suasana hatinya yang sedih, dia yang memang kuat beribadah teringat akan firman Allah yang menyatakan bahawa Allah dapat melakukan perkara-perkara ajaib,bahawa bagiNya tiada yang mustahil. Lalu diapun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa , “Ya Allah , aku memohon kepadaMu agar kacang soya ini menjadi tempe . Amin” Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh hatinya. Dia sangat yakin bahawa Allah pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan bakal tempe dengan hujung jarinya dan dia pun membuka sikit bungkusan itu untuk menyaksikan keajaiban kacang soya itu menjadi tempe . Namun, dia termenung seketika sebab kacang tu masih tetap kacang soya. Namun dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir mungkin doanya kurang jelas didengar oleh Allah. Maka dia pun mengangkat kedua tangannya semula dan berdoa lagi. “Ya Allah, aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagiMu. Bantu lah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe kerana inilah mata pencarianku. Aku mohon agar jadikanlah kacang soyaku ini kepada tempe , Amin”.

Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit bungkusan tu. Apakah yang terjadi? Dia termangu dan hairan apabila tempenya masih tetap begitu!! Sementara itu hari pun semakin meninggi sudah tentu pasar sudah mula didatangi ramai orang. Dia tetap tidak kecewa atas doanya yang belum terkabul. Walaubagaimanapun kerana keyakinannya yg sangat tinggi dia bercadang untuk tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu. Perempuan tua itu pun berserah pada Tuhan dan meneruskan pemergian ke pasar sambil berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar kesemua tempenya akan masak. Dia berfikir mungkin keajaiban Allah akan terjadi semasa perjalanannya ke pasar. Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya untuk berdoa. “Ya Allah, aku percaya, Engkau akan mengabulkan doaku. Sementara aku berjalan menuju ke pasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini buatku, jadikanlah tempe ini. Amin”. Lalu dia pun berangkat Di sepanjang perjalanan dia tetap tidak lupa membaca doa di dalam hatinya. Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan barang-barangnya. Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah menjadi. Dengan hati yg berdebar-debar dia pun membuka bakulnya dan menekan-nekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada. Perlahan-lahan dia membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat isinya. Apa yang terjadi? Tempenya masih belum menjadi!! Dia pun kaget seketika lalu menarik nafas dalam-dalam. Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit kecewa dan putus asa kepada Allah kerana doanya tidak dikabulkan. Dia berasakan Tuhan tidak adil. Tuhan tidak kasihan padanya, inilah satu-satunya punca rezekinya, hasil jualan tempe . Dia akhirnya cuma duduk sahaja tanpa mempamerkan barang jualannya sebab dia berasakan bahawa tiada orang yang akan membeli tempe yang baru separuh menjadi.

Sementara itu hari pun semakin petang dan pasar sudah mulai sepi, para pembeli sudah mula kurang. Dia meninjau-ninjau kawan-kawan sesama penjual tempe , tempe mereka sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa hari ini tiada hasil jualan yang boleh dibawa pulang. Namun jauh di sudut hatinya masih menaruh harapan terakhir kepada Allah, pasti Allah akan menolongnya. Walaupun dia tahu bahawa pada hari itu dia tidak akan dapat pendapatan langsung, namun dia tetap berdoa buat kali terakhir, “Ya Allah,berikanlah penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang belum menjadi ini.”

Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita. “Maaf ya, saya ingin bertanya, Makcik ada tak menjual tempe yang belum menjadi? Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencarinya tapi masih belum berjumpa lagi.” Dia termenung dan terpinga-pinga seketika. Hatinya terkejut sebab sejak berpuluh tahun menjual tempe , tidak pernah seorang pun pelanggannya mencari tempe yang belum menjadi. Sebelum dia menjawab sapaan wanita di depannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya”Ya Allah, saat ini aku tidak mahu tempe ini menjadi lagi. Biarlah tempe ini seperti semula, Amin”. Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka sedikit daun penutup tempenya. Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar tempenya masih belum menjadi! Dia pun rasa gembira dalam hatinya dan bersyukur pada Allah. Wanita itu pun memborong habis kesemua tempenya yang belum menjadi itu. Sebelum wanita tu pergi, dia sempat bertanya wanita itu, “Mengapa hendak membeli tempe yang belum jadi?” Wanita itu menerangkan bahawa anaknya yang kini berada di England teringin makan tempe dari desa. Memandangkan tempe itu akan dikirimkan ke England ,si ibu tadi kenalah membeli tempe yang belum jadi lagi supaya apabila sampai di England nanti akan menjadi tempe yang sempurna. Kalau dikirimkan tempe yang sudah menjadi, nanti di sana tempe itu sudah tidak elok lagi dan rasanya pun kurang sedap. Perempuan tua itu pun kehairanan dan berfikir rupa-rupanya doanya sudah pun dimakbulkan oleh Tuhan…

Moral:

Pertama: Kita sering memaksakan kehendak kita kepada Tuhan sewaktu
berdoa, padahal sebenarnya Tuhan lebih mengetahui apa yang kita
perlukan dan apa yang terbaik untuk diri kita.

Kedua: Sentiasalah berdoa dalam menjalani kehidupan seharian kita
sebagai hambaNya yang lemah. Jangan sekali-kali berputus asa
terhadap apa yang dipinta. Percayalah bahawa Tuhan akan mengabulkan doa kita sesuai dengan rancanganNya
yang mungkin di luar jangkaan kita.

Ketiga : Tiada yang mustahil bagi Tuhan

Keempat : Kita sering ingin Allah memenuhi hak kita sedang kita tidak
pernah mahu memenuhi hak Allah seperti menjaga SEMBAHYANG 5 WAKTU ,menyegerakan solat, berkata-kata perkara yang berfaedah dan berpesan ke arah kebaikan…oleh itu, hantarlah kepada sahabat yang lain agar
kebaikan boleh sama dikongsi. Mudah-mudahan Allah suka dengan apa
yang kita buat( “,)..

http://jejakpejuang1001.blogspot.com/

Monday, May 3, 2010

Satu persinggahan

Bismillahirrahmanirrahim..

Masa berlalu. Hari demi hari berganti. Tidak terasa semuanya berlaku dengan begitu cepat sekali. Kadang-kadang peristiwa bertahun dahulu seperti baru berlaku semalam. Baru-baru ini, ketika balik ke kampung semasa cuti hujung minggu, kakakku mengkhabarkan bahawa ketiga-tiga adik kami yang masih bersekolah menyertai perkhemahan unit beruniform, termasuklah adik bongsuku. Aku sedikit terkejut. " Ade? Ade ikut perkhemahan?" berkali-kali aku mengajukan soalan itu. Seakan tidak percaya. Besar sudah rupanya adik bongsuku. Sudah boleh berpisah dengan keluarga dan tinggal bersama rakan-rakan baru semasa perkhemahan. Aku masih membayangkan Ade seorang kanak-kanak yang dahulunya akan ku hantar dan jemput dari prasekolah, yang dahulunya perlu dipakaikan baju sekolah, disediakan beg sekolah dan perlu disediakan segalanya. Kini, dia sudah pandai membancuh air untukku. Sudah tahu mengajarku cara memasang 'anduh' kepada 'mangsa'. Dan dia marah apabila ubat giginya digunakan tanpa pengetahuannya. Semuanya terasa baru. Tidak seperti dulu..

Itulah percaturan hidup. Perjalanan hidup. Pelayaran hidup. Tidak akan kekal di satu takuk yang sama untuk selamanya. Itu sifat hamba. Sifat makhluk. Tidak kekal. Tidak akan kekal. Sifat kekal itu hanya milik Pencipta. Tidak akan sama apa yang dicipta dengan Sang Pencipta.

Sedar atau tidak, dalam meniti kehidupan ini, kita seringkali terlupa, masa semakin singkat. Singkat untuk berada di alam persinggahan ini untuk meneruskan perjalanan ke destinasi berikutnya. Kenapa kita selalu terlupa? Adakah sebab kita yakin amal sudah cukup banyak, lalu tak perlu susahkan hati fikirkan apa akan jadi seterusnya? Atau kita menganggap dunia ini kita yang punya, hidup ini kita yang tentukan? Atau kita merasa cukup hebat kerana berjaya mencapai itu ini lalu menganggap semua yang bakal berlaku akan mudah dilalui?

Rakan-rakan mengkhabarkan padaku, pada awal Jumaat lalu, mereka tidak dapat tidur kerana ketakutan akan cuaca pada waktu tersebut. Petir dan guruh saling beradu kekuatan dan hujan lebat mencurah ke bumi. Aku tidak merasa apa-apa kerana aku lena di alam buana. Semasa sesi halaqah, ustazah membangkitkan semula perkara itu. Beliau berkata, " Terasa macam nak kiamat.." Ketika itu, hatiku seakan disentap sesuatu. Terasa rugi pula kerana tidak terjaga bersama rakan-rakan lain. Pengajaran yang amat besar daripada peristiwa itu. Sesi pengajaran langsung dariNya untuk menunjukkan Dia berkuasa melakukan apa jua yang dikehendakiNya. Andai itu hari terakhir kita, siapakah yang dapat menjangkanya? Sentuhan, teguran dan peringatan yang cukup bermakna. Hanya dari satu perkara kecil, cuaca. Hebatnya manusia, bila telinga disentuh dengan dentuman guruh sahaja pun sudah menggigil ketakutan. Ketika itulah terasa diri amat kerdil dan tidak mempunyai apa-apa kekuatan.

Itu kisah di awal pagi. Sebelah petangnya, ketika dalam perjalanan balik ke kampung, bas yang ku naiki melalui jalan kampung (bukan jalan utama seperti kebiasaannya). Agak jauh dan sunyi kurasakan perjalanan kali itu kerana hari sudah beransur gelap. Setelah beberapa ketika melalui jalan itu, barulah ternampak sebuah bas lain dihadapan. Oleh kerana pandangan mata yang terhad, ditambah dengan suasana yang agak gelap dan kesamaran penglihatan, aku tidak nampak sangat label di belakang bas tersebut. Setelah berjaya mengekori bas tersebut, barulah aku dapat membaca label tersebut. 'Kereta Jenazah'.. Tersirap darahku. Gementar rasa hati. " Kenapa pula ada kereta jenazah di sini?" ajuku pada kakakku yang duduk di sebelahku. Kakakku hanya menggeleng, tidak memberikan sebarang komen.

Aku terfikir, adakah aku semakin leka hingga pada hari Jumaat itu, aku diingatkanNya tentang saat yang pasti berlaku itu berkali-kali. Aku hanya mampu beristighfar di dalam hati mengenangkan kealpaan yang melingkari diri saban waktu...

Sungguh, saat itu pasti akan tiba. Pasti akan tiba mengunjungi setiap yang bernyawa. Bezanya cuma bila, di mana dan bagaimana..Kadangkala, dan biasanya kita akan terlupa semua itu apabila asyik dengan nikmat dunia yang tak seberapa ini. Seringkali kita terlupa padaNya bila kita asyik teringatkan makhlukNya. Seringkali kita terlupa pada janjiNya apabila termakan hasutan, pujuk dan rayuan iblis durjana. Bila dunia menguasai hati, diri mudah dikuasai, dan akhirat akan dilupai. Lupa akan hakikat kehidupan sebagai persinggahan. Persinggahan yang seketika cuma.

Hari ini sebelah malamnya pula, perbualan dengan adik junior berkenaan pengalamannya menusuk jauh ke dalam hatiku. Hanya berbicara soal mimpi dan peristiwa yang dilaluinya. Cukup simple. Namun sudah cukup menggetarkan hati. Aku terfikir lagi, adakah aku sempat menjadi orang yang lebih baik? Adakah aku akan sempat memperbaiki keadaan keluargaku? Apa akan jadi andainya aku tidak sempat melakukan apa-apa? Andai aku ditanya berkenaan masa hidupku, apa yang harus aku jawab? Membandingkan nikmat yang dikurniakanNya dengan segala usaha menegakkan agamaNya dalam diri sendiri sekalipun tidak mampu untukku lakukan. Cukup jauh, bagai langit dengan bumi....

Benarlah..kasih sayangNya melebihi kemurkaanNya..Pernahkah kita terfikir, sejauh mana pun kita melanggar perintahNya, Dia masih memberi peluang bernafas, memberi nikmat kesihatan, nikmat akal untuk berfikir dan sebagainya lagi, namun kita masih lagi megah di'dunia' sendiri?

Sayangnya Allah pada kita hingga memberikan kita peluang untuk hidup didunia bagi mengumpul bekal untuk bertemu denganNya kelak.

Sayangnya Allah pada kita hingga tidak meminta sedikit pun balasan atas segala kurniaanNya..Cukuplah sekadar kita mengingatiNya, bersyukur padaNya dan mentaati perintahNya.

Sayangnya Allah pada kita hingga memberikan kita batas untuk setiap perlakuan, kerana Dia tahu kita akan binasa dan rosak andai menurut hawa nafsu tanpa batasan.

Sayangnya Allah pada kita hingga Dia memberikan kita pelbagai pilihan dengan disertakan akal dan hati untuk mentafsir agar kita bebas membuat pilihan sejajar dengan pertimbangan akal dan hati..

Sayangnya Allah pada kita hingga menjadikan kita ummat kekasihNya yang agung...satu kelebihan yang tidak dimiliki oleh ummat-ummat nabi yang terdahulu..

Sayangnya Allah pada kita hingga sejauh mana pun kita melupakanNya, tidak sesaat pun Dia melupakan kita..

Bagaimana agaknya jika kita mengetahui sejak awal bilakah hari terakhir kita? Akan ada lagikah ruang untuk bergelak tawa, akan adakah lagi keinginan terhadap dunia? Akan bermaknakah segala yang kita miliki?

Andai hari ini hari terakhir kita, renungkan apa yang telah kita lakukan sebelum ini...
Andai esok bukan hari kita, renungkan bagaimana nasib kita di perhentian seterusnya..

Kata-kata seorang guru yang amat kuhormati, " Takut mati tak? Kalau takut, buatlah amal sekarang..." Antara lain katanya, " Jangan takut menghadapi kematian, ia pasti datang. Persiapkan diri untuk menghadapinya.."


Sama-sama kita perbaiki diri untuk menjadi mukmin sejati yang akan tersenyum apabila mengingati mati, kerana itulah satu-satunya cara untuk bertemu denganNya, pemilik cinta yang agung...

Akan tergolongkah kita dalam kalangan insan yang bertuah, berpeluang bertemuNya dengan penuh keredhaan, dan melihat wajahNya serta merasai keindahan, kedamaian dan ketenangan syurgaNya?



Kata-kata tentang Ilmu

Mungkinkah anda rasa malas dan bosan belajar kerana anda tidak punya ilmu tentang kepentingan ilmu itu sendiri? atau anda sendiri tidak punya matlamat hidup yang jelas?
Siapa yang menjalani satu jalan memperoleh ilmu, nanti Allah akan memudahkan baginya memperoleh syurga.
(hadis riwayat Muslim)

Wahai anaku!
Carilah Ilmu
Kerana apabila kamu menjadi fakir
maka ilmu itulah hartamu,
dan
bila kamu kaya, ilmu menjadi perhiasan dirimu
(Lukmanul Hakim)

Beriman dan Beramal Sumbernya ialah Ilmu
Ilmu Diperoleh Dengan Belajar
Tidak Ada Iman kalau Tidak Ada Amal
Dan Tidak Ada Pula Amal kalau Tidak Ikhlas
Jika Sekiranya Ada Orang Beribadah Seperti Malaikat
Tapi
Tanpa Ilmu,
Orang Itu Termasuk Golongan Yang Rugi Hanya Lelah Payah
Sedangkan Pahalanya Hampa.
Kerana itu, Bersungguhlah Kamu Dalam Menuntut Ilmu
Jauhi Kemalasan dan Kebosanan,
Jika Tidak Kamu Akan Berada Dalam Bahaya Kesesatan
(Imam Al-Ghazali)




http://matangpaku.blogspot.com/2009/02/ungkapan-motivasi.html



"Tuntutlah ilmu selagi kita bernafas...carilah hakikat diri anda dalam setiap ilmu yang dipelajari.."