Monday, April 12, 2010

di sebalik tirai KBS Fasa 1

Bismillahirrahmanirrahiim..

Alhamdulillah..berlalu satu minggu yang cukup meletihkan dan merundumkan jiwa seperti yang telah ku nyatakan pada entri sebelum ini. Fikiranku lekat di rumah...aku sering teringatkan adikku, dalam keadaan yang penuh konflik dan tidak berpeluang balik ke rumah, aku cuba menghilangkan semua perasaan yang berserabut dengan pelbagai perkara ..Hujung minggu lalu, pada hari Sabtu, hatiku terubat dengan karenah kanak-kanak yang sangat mencuit hati apabila berpeluang menyertai program KBS(Kem Bestari Solat Fasa I di Sk Pekan Tambunan).

Pada perjumpaan terakhir khusus untuk program tersebut, hati dan perasaanku sangat berat. Bukan kerana tidak ingin menyertai program tersebut, bahkan aku tidak sabar menanti hari bertemu kanak-kanak Tambunan..tapi kerana bebanan dunia yang menyesakkan fikiran ... Kata-kata seorang akhi pada malam itu menusuk jauh ke dalam hatiku dan secara tidak langsung menguatkanku untuk mengenepikan semua itu sementara waktu.

Pda pagi hari Sabtu, kami bertolak awal. Dlm perancangan, kami ingin bertolak seawal 6.15 pagi, tetapi disebabkan beberapa kesulitan, masa tersebut teranjak beberapa ketika. Aku agak gementar kerana buat pertama kalinya, aku memandu dalam jarak yang agak jauh dan membawa 4 penumpang lain yang juga merupakan fasilitator jemputan dalam program tersebut.
Aku tidak cukup yakin sebenarnya untuk memandu dalam keadaan diri masih dalam kategori pemandu dalam pemerhatian...namun sokongan, kata-kata semangat dan keyakinan fasi yang lain terutamanya Yati ( fasi KBS Sk Pekan Keningau )..menjadikan aku sedikit berani..tawakal saja..

Perjalanan bermula setelah semua fasi berkumpul dan bersedia untuk bergerak. Kumpulan fasi muslimat bergerak dihadapan sementara fasi muslimin mengekori kami di belakang dengan kereta yang dipandu oleh akhi Amir. Alhamdulillah, walaupun melalui perjalanan yang sangat mendebarkan, akhirnya kami berjaya sampai ke destinasi dengan selamat.

Mendengar suara adik-adik sudah cukup membuatkanku teruja untuk bertemu dengan bakal ahli kumpulanku. Dalam hati, aku membayangkan apa akan terjadi sekiranya ahli kumpulanku adalah pria muda seperti dalam KBS di Sk Patikang Laut tahun lalu. Dan bayanganku menjadi realiti apabila aku mendapat adik-adik tahun 4 yang mana semuanya para pria muda yang aktif. Kali prtama mereka bertemu denganku dipintu dewan setelah pembahagian kumpulan, adik Ali (Sazali ) sudah mula bercerita tentang kisahnya dibelanja oleh salah seorang fasi muslimin yang juga bersama kami. Melayani adik lelaki bukan mudah, namun pengalaman membesar bersama 3 orang adik lelaki di rumah, apatah lagi adik bongsuku juga lebih kurang sebaya dengan mereka, ia memberi sedikit kemudahan bagiku.

Mereka semua iaitu Ismat Aqil (Aqil), Md. Aidih (nama manjanya lucu sikit..dia akan malu bila aku memanggilnya dengan nama tersebut ), Md Khairul Anuar (Abang ), Md Sazali ( Ali ), AK Khairi Shah (Shah ), Mohd Ahjizul ( Ajizul ) dan Mohd Khairul Nizam (Nizam ) membuatkanku habis modal untuk bercakap..Walaupun semuanya aktif dan petah, aku senang bersama mereka kerana tingkah mereka tak ubah seperti adikku juga...

Keinginan mereka untuk belajar sememangnya sangat tinggi. Meskipun modul disediakan, aku tidak dapat melaksanakan sepenuhnya modul tersebut. Bukan sahaja kerana kekangan masa, tetapi juga disebabkan mereka ingin mempelajari benda lain. Apabila melihat modul tersebut yang terkandung slot azan dan iqamah ( untuk tahun 5 ) mereka tidak henti-henti bertanya bilakah slot itu dimulakan. Justeru aku cuba untuk melaksanakan sebaik mungkin modul yang diberikan dan dalam masa yang sama, turut berusaha untuk tidak mengecewakan mereka.

Namun begitu, sejujurnya, padaku, apa yang telah aku usahakan tidak mencapai pun apa yang aku sendiri harapkan. Dalam masa yang cukup singkat, aku merasakan aku tidak mengajar apa pun pada mereka kerana rata-rata sudah mengetahui perkara asas yang hendak difokuskan dalam KBS tersebut. Ini adalah disebabkan sebahagian ahli kumpulanku merupakan murid sekolah agama Tambunan (SUI Tambunan). Namun disebalik semua itu, jika dilihat dari sudut ukhwah, ia sememangnya berjaya, pada pandanganku..Dan segala masalah hilang apabila bercerita dengan mereka meskipun topik yang dibicarakan kadang2 tidak logik...


Kata-kata mereka, cerita mereka dan tingkah mereka membuatkanku lupa seketika segala masalah yang bersarang di minda.

" Kak, saya mau belajar sampai Mesir.."

" Kak, saya suka belajar agama.."

" Kak..saya suka matematik. Matematik bidang saya.."

" Kak, lepas ni kita belajar azan ah.."

" Kak, saya pandai azan..."

" Kak, bila mau belajar doa qunut?"

" Kak..saya belum dapat hafal tahiyat awal.."

" Kak..baligh tu apa?"

Itu sebahagian soalan dan pernyataan yang mereka utarakan sehinggakan aku tidak mampu menjawab semua soalan dan merespon kata-kata mereka.

Semasa permainan treasure hunt, rakan-rakan fasi memberitahu mereka mencariku di check point mana satu aku bertugas. Apabila tiba di check point 4, iaitu tempat ku ditugaskan, mereka tersenyum girang.

" Kak..kami tinggal dua stesen lagi..Disini mau buat apa?" Sazali bertanya penuh semangat. Apabila aku memberitahu mereka perlu melakukan perlakuan solat jemaah, dia dan Aidih berebut menawarkan diri menjadi imam. Semangat mereka menguatkan semangatku. Aku rasa amat bertuah mendapat mereka sebagai adik kumpulanku. Padaku, antara semua program seperti ini, merekalah kumpulan terbaikku..

Pendek kata, aku tidak puas untuk bersama mereka dalam tempoh lebih kurang setengah hari sahaja. Selesai majlis perasmian, mereka berjumpa denganku. " Kak, kakak mau balik sudah?" Tanya Sazali. " Belum lagi..kamu mau balik sudahkah?"
" Belum..kakak jangan balik dulu ah..nanti lepas makan, kita jumpa ah.." katanya.

Betul-betul mengingatkanku pada adiku di kampung. Apabila aku berkata akan balik ke asrama lebih awal, dia akan membuat wajah protes. Apabila aku tidak menaip balasan salam dalam mesej yang dihantarnya, dia akan menegurku kerana tidak menjawab salamnya, padahal aku sudah menjawab salamnya di dalam hati..hehe..Antara mesejnya yang kuingati, " Aku di masjid. Jangan kacau..". Aku lantas tertawa. Aku terlupa hari itu hari jumaat..

Berbalik kepada KBS, semasa makan tengahari, sebelum berangkat pulang ke ip, mereka bertiga (Sazali, Aidih dan Aqil) menemaniku makan dengan celoteh mereka yang tidak henti-henti...

Andai hendak diceritakan satu persatu, tidak akan habis meskipun tangan keletihan menaip bait-bait ayat yang laju terbit dari minda.

Justeru, dikesempatan ini, secara peribadinya aku ingin mengucapkan jutaan penghargaan dan terima kasih kepada mereka yang memberiku peluang untuk menyertai program ini.. Semoga Allah meredhai kalian dan semoga usaha-usaha untuk membentuk peribadi muslim dalam diri kanak-kanak istimewa ini akan diredhai olehNya dan membuahkan hasil yang diharapkan....insyaAllah...

Untuk adik-adik kumpulanku dalam KBS Fasa I ini, kakak pasti merindui kamu semua dan insyaAllah..jika diizinkanNya..kita akan bertemu lagi di suatu masa akan datang...



Friday, April 9, 2010

Di sebalik lagu kehidupan

Bismillahirrahmanirrahiim...


Kudatang mencarimu

Yang berselindung dalam bayangan

Ternyatalah kealpaan

Menjadi duri dalam jiwaku

Semakin jauh menyusur matahari

Semakin aku hilang arah tujuku

Tidak ku sangka yang terang akan suram

Meskipun intan bayangnya jua tak bwajah

Biarpun gelap malam

Mata terpejam hati ku tenang

Kekusutan ansur pulang

Bersama bayang siang semalam

Baru ku tahu ertinya

Sakit yang mencengkam dada

Malam yang sesepi itu

Pembuka jalan selebar dunia


Lagu di atas sebagai set induksi hari ini. Walaupun penyanyi lagu tersebut tergolong dalam kategroi penyanyi rock..namun lagu yang dibawakannya ini, padaku tidak ada unsur rock pun. Lagu ini kupilih untuk menjadi set induksi kali ini kerana ia membawa mesej yang sangat dalam.....Tambahan pula, ia mengingatkanku pada zaman sekolah dahulu, kerana masa itu lagu ini agak terkenal dan abangku juga menyukainya dan sering menyanyikannya di rumah.

Alhamdulillah, setelah melalui minggu yang sangat sukar, akhirnya aku berjaya menapak keluar meskipun 'cedera parah' disepanjang perjalanan. Hanya untuk satu minggu. Perjalanan yang sangat sukar. Kebetulan tajuk halaqah minggu ni, "Hikmah di sebalik ujian Allah"...tajuk yang sangat menyentuh hingga ke lubuk hati.

Sebenarnya, aku ingin meneruskan kisah 'Pelayaran' dan menyambung pula entri 'Muhasabah diri dan Kehidupan'..Tapi aku membatalkan hasrat tersebut. InsyaAllah..keduanya akan bersambung dalam masa terdekat. Oleh kerana aku agak pendiam dan kurang bercakap, aku gemar menulis untuk menyampaikan sesuatu. Bukan ingin menafikan nikmat Allah memberi mulut untuk berkata-kata, cuma padaku, andai kita thu kata-kata yang dikeluarkan secara spontan dari mulut itu bleh mengundang perasaan sakit hati atau marah, tak puas hati, unsur umpatan dan fitnah serta macam-macam lagi, lebih baik kita gunakan mulut untuk mengaji al-Quran, menjawab soalan guru di kelas dan membuat pertanyaan yang memberi manfaat. Aku lebih selesa menulis kerana boleh berfikir sebelum menterjemah isi fikiran kepada lambang-lambang bahasa.

Aku kerap merenung perjalanan hidup yang telah kulalui selama ini. Sejujurnya, aku rindu pada adikku di kampung. Baru minggu lalu aku balik, dan hatiku meronta ingin balik namun aku kuatkan hati kerana aku mempunyai tugas untuk hari esok. Apabila balik ke rumah, dialah menemaniku membuat kerja di dapur, teman menonton muvie, teman pergi ke perigi (bekalan air paip bermasalah), dia juga teman bermain game (biasanya dia lebih terrer) dan dialah temanku untuk bersolat. Ada ketikanya, dia menantiku siap solat isyak hingga tertidur di belakangku. Dia juga temanku menarik sapi untuk dihantar ke sawah. Tempoh hari, dia demam berhari-hari dan emak memintaku membawanya ke hospital. Suhu badannya sangat tinggi dan aku diminta membawanya untuk mengambil sampel darah lalu ditahan seketika dibahagian kecemasan sehingga suhu bdannya turun.

Aku sedikit terkilan dengn cara doktor yang bertugas melayani pesakit. Seolah-olah diperlakukan orang naif dan tidak pernah keluar dari rumah melihat dunia luar rasanya apabla mereka tertawa setelah aku membawa surat pegawai perubatan sebelumnya yang meminta agar adikku berehat seketika di bahagian kecemasan tersebut. Aku membawa kisah ini agar kita semua sedar dengan cara kita berbahasa kepada orang lain. Adakalanya kita merasa kita sudah hebat apabila belajar tinggi-tinggi sehingga merendahkan orang lain.Apa sudah jadi dengan dunia sekarang.... Apabila bergelar datuk, orang yang mengadu masalah di pejabat dianggap pengemis, orang yang mencari duit dengan mengumpul tin di pusat pembuangan sampah atau di lorong-lorong di anggap pengotor, dan orang kampung yang belajar tinggi dikata 'kampungan'. Jangan...jangan sesekali beranggapan sedemkian..Aku cukup terasa apabila ada sebilangan guru pelatih yang meremehkan dan menjawab 'jaga/ guard' yang menegur mereka balik lewat atau berpakaian kurang sopan apabila keluar pekan.

Namun itulah kehidupan. Penuh dengan irama, melodi, tempo, meter, dinamik dan ekspresi yang tersendiri hingga menghasilkan lagu-lagu yang berbeza-beza rentaknya. Andai berpluang mempelajari muzik, kita akan dapat melihat suatu lagu itu bertmbah menarik jika diletakkan unsur-unsur staccato (henti) , tekanan dan sebagainya. Demikian juga hidup ini, pasti lebih menarik dan berharga andai penuh dengan ujian yang menjadikan kita turun naik. Seorang naqib berkata lebih kurng seperti ini, " Dri ujian tu, Allah nak tapis..siapa sebenarnya mukmin sebenarnya.."

Sebenarnya, aku bukanlah sekuat mana. Aku cukup lemah menghadapi ujian dunia ini. Hanya dengan rahmatNya sahaja aku masih bertahan..Aku sering mendengar apabila ujian makin kuat dan hebat, tandanya Allah sayang dan rindu untuk mendengar suara kita merintih padaNya...Kata-kata itu melegakanku, namun persoalannya, sejauh mana usaha yang dilakukan untuk menghadapi ujian itu dengan sebaik mungkin?


Allah...ya Allah...lapangkan dada hambaMu ini, permudah segala urusanku dunia akhirat..dan kuatkan hambaMu ini untuk terus istiqamah dijalanMu..........


"Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan, Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.."

( surah al- Insyirah : 5-6)

Monday, April 5, 2010

Pelayaran (Part I)

Kehidupan ini penuh dengan kejutan. Penuh dengan jangkaan. Penuh dengan andaian. Penuh dengan khayalan dan bayangan. Kehidupan memerlukan pengorbanan, kesakitan dan kepayahan kerana tanpa itu semua, ia bukanlah suatu ‘kehidupan’ sebenar yang perlu dilalui di dunia ini.

Aku menghela nafas panjang, seraya menghembusnya perlahan seiring dengan keluhan kecil. Jauh di hatiku mengucap takbir, cuba mencari titik ketenangan dalam keresahan yang kian menjengah lubuk hati.

Tanganku berhenti menaip untuk seketika. Ilhamku untuk menulis mula lenyap dari bayangan minda. Aku berusaha untuk menghabiskan penulisanku selagi ada waktu yang tersisa. Mengimbas jadual waktu seharian yang padat dengan kuliah, aktiviti luar, kerja kursus, gerakan kokurikulum, dan bermacam lagi yang tidak mampu untuk diungkapkan, aku tidak tahu apakah aku akan berjaya menyiapkan penulisanku ini tepat pada waktunya.

Rakan-rakan menggelarku ‘the silent writer’ atau ‘penulis senyap’ kerana aku sememangnya tidak gemar berbicara banyak seperti kebanyakan daripada mereka. Wadah bicaraku lebih jelas dalam setiap hasil penulisanku yang akanku bukukan sendiri atau kumasukkan dalam webku. Apabila bertemu dengan sesiapa jua, aku hanya gemar berbicara tentang sesuatu yang akan menambahkan input pengetahuan, memberikan kesedaran atau mencetuskan idea pemikiran. Aku kurang gemar bergelak ketawa hanya kerana memperkatakan suatu perkara yang remeh atau kecil atau dalam istilah yang lebih tepat, perkara ‘lagho’.

Angin malam menerobos masuk ke dalam bilikku melalui celah tingkap yang terbuka sedikit. Terasa kedamaian meresap jauh ke dalam diri apabila hati mengungkapkan rasa syukur tatkala berpeluang merasa nikmatNya ketika ramai insan yang lain tidak memiliki peluang yang sama. Aku memandang dinding langit. Gelap gelita. Hanya cahaya rembulan dan gugusan bintang yang bertebaran menghiasinya, membuatkan aku terpesona dengan keagungan kuasa Tuhan menciptakan itu semua.

Rasa kantuk mula menguasai diri. Aku memandang jam pada telefon bimbitku. Jam sebelas setengah malam. Masih awal, dan aku tahu di luar sana, ramai belia yang beranggapan waktu ini adalah permulaan hari mereka kerana pada waktu sebeginilah mereka akan keluar ke bandar, melepak bersama kawan-kawan dan mengelilingi pusat bandar tanpa tujuan yang jelas. Hanya ingin berseronok. Seringkali terlupa keseronokan itu boleh ditarik pada bila-bila masa. Aku ingin merehatkan diri, agar minda aku juga mempunyai ruang waktu untuk ‘tidur’ supaya pada esok hari, ia lebih cerdas dan mampu membantuku untuk berfikir dengan baik bagi menghadapi hari yang baru. Dalam masa yang sama, aku mampu membawa tubuhku untuk bangun di penghujung malam untuk sujud kepadaNya.

Lantas kumatikan komputer ribaku. Rasa kantuk semakin mendorongku untuk merebahkan tubuh saat itu juga. Kugagahkan kaki, menapak ke arah bilik air untuk membersihkan diri dan mengambil wudhuk.

“ Eh, tak tidur lagi?” Teman sebilikku, Izah menegur dalam keadaan yang masih terpisat-pisat. Dia keletihan setelah pulang dari kampungnya petang tadi. Perjalanan yang sangat jauh dan memenatkan sememangnya menuntut tenaga yang banyak. Usai solat isyak, dia sudah terlena.

“ Nak tidurlah ni. Sorry, nanti kumatikan lampu.” Ujarku. Terbit rasa bersalah kerana tidak mematikan lampu lebih awal. “Hmm..” sahutnya lalu kembali meneruskan pengembaraannya di alam buana.

Aku menguak daun pintu perlahan-lahan. Tiupan bayu malam menyapa wajahku serta merta. 'Sejuknya..' bisik hatiku. Andai diturut kata hati, pasti aku terus merebahkan tubuh saat ini juga namun kugagahkan hatiku yang mulai diselabungi kemalasan untuk melangkah...