Wednesday, July 14, 2010

Sakitkan 'mereka'

Bismillahirrahmanirrahiim..

Alhamdulillah, akhirnya aku berkesempatan lagi menjengah seketika ruangan mayaku ini sambil mencoretkan perkongsian sanubari. Nak kata sibuk sangat, tak juga, tapi nak kata lapang sangat pun tak juga. Begitulah saban hari. Banyak yang ingin dikongsikan namun kesempatan untuk mencoretkannya sentiasa terbatas dek masa dan topik yang terlalu pelbagai. InsyaAllah , setiap topik yang ingin diketengahkan akan kukupas secara bergilir.

Baru-baru ini, aku terbaca suatu artikel dalam majalah Solusi (isu21) yang bertajuk ‘Tiada hari tanpa demonstrasi’. Dan baru seketika tadi, selepas isyak, forum sempena israk mikraj diadakan dengan tajuknya ‘Keganasan zionis di bumi Palestine’ (kalau silap tolong betulkan). Tajuk yang sangat menarik padaku.

Isu Palestine tidak pernah padam sejak berpuluh tahun dahulu. Sejak penubuhan Negara Israel pda tahun 1948, sejarah baru terlakar buat rakyat Palestine. Sejarah yang menjadi igauan ngeri. Semuanya bertitik tolak dari kejatuhan system khalifah Islam yang terakhir di Turki, iaitu kerajaan Uthmaniyyah angkara dalang Yahudi bertopengkan pemimpin tempatan yang menjadi didikannya.

Sedar atau tidak, sejak sekian lama, masyarakat hari ini, terperangkap dengan cara hidup menurut fahaman kapitalis, sosialis mahupun liberalis. Dan semua itu dicetuskan oleh mereka yang kita anggap seteru kita, selaku ummat Islam, yakni Yahudi. Di seluruh pelosok dunia, ribuan manusia berhimpun, melakukan demonstrasi, namun semakin kuat jugalah mereka memijak masyarakat Islam hari ini.

Tidak mustahil mereka hanya tersenyum sinis, malah tertawa melihat demonstrasi yang berlangsung, kerana mereka tidak terkesan dengan tindakan tersebut. Hantarlah seberapa banyak memorandum atau usul kepada PBB, yang berlaku selepas itu hanyalah retorik untuk menenangkan masyarakat dunia, sekadar menunjukkan mereka menjalankan peranan sebagai orang tengah untuk mengekalkan keamanan sejagat, walhal sebaliknya sokongan padu tetap berpihak kepada pihak penindas.

Menurut kajian, 80% ummat Islam tidak solat. Dalam jumlah sebesar itu, apa kekuatan yang ada jika asas kepada kekuatan itu sendiri tidak diamalkan? Ditinggalkan tanpa sedikit pun rasa bersalah? Sebaliknya, musuh ini akan mendabik dada melihat ramai ummat Islam semakin lalai dan leka. Berdemonstrasilah berjam-jam lamanya, ia tidak membawa apa-apa erti kerana mereka tahu ummat Islam yang tidak solat itu lemah dan penuh penyakit duniawi. Hidup ummat Islam ini bergantung pada musuh yang ditentang itu sendiri.

Demonstrasi itu tidak salah. Ia juga satu ikhtiar. Supaya seluruh masyarakat dunia, baik yang muslim atau tidak membuka mata bahawa isu Palestin bukan isu agama semata-mata, tetapi isu kemanusiaan sejagat. Mangsa peluru Zionis bukan setakat yang muslim, tetapi juga yang non muslim di tanah penuh berkah itu.

Zionis perlu ditentang dengan cara yang menyakitkan hati mereka. Mereka sakit hati jika ummat Islam bersatu, berpegang dengan Al-Quran dan Sunnah serta memenuhi surau dan masjid untuk solat berjemaah pada seetiap solat fardhu. Mereka tidak senang duduk melihat rumah Allah makmur dengan saf-saf para perajurit, khasnya perajurit muda belia. Apatah lagi apabila melihat masjid di subuh hari penuh seumpama solat Jumaat. Barisan saf yang teratur sudah cukup menggentarkan hati keras mereka.

Kerana itulah perang psikologi mereka terhadap negara-negara Islam masa kini, termasuklah Malaysia adalah melalui hiburan. Mereka tidak boleh membuang al-Quran secara terus dari hidup seorang muslim, justeru itu, pelbagai usaha dan taktik dilakukan agar secara perlahan-lahan ummat Islam akan jauh dari pegangan utamanya.

Jihad dan ibadat bukan suatu perkara yang terpisah. Ia perlu seiring dan sejalan. Untuk berjihad, ibadat tidak boleh ditinggalkan. Dan jihad juga bukan sekadar mengangkat senjata, kerana pengertiannya jauh lebih luas dari konteks perang senjata.

Justeru, persiapkan diri anda. Jika ingin ‘berperang’ dengan mereka, berusahalah menjadi muslim sejati. Ramai pemimpin Islam hari ini yang sempurna fizikalnya dan secara lahiriahnya menentang rejim Zionis, namun rejim kejam ini tidak memandang sebelah mata pun pada mereka. Sebaliknya, pemimpin seperti Syeikh Ahmad Yassin yang lumpuh dan hanya duduk di kerusi roda namun amat digeruni Zionis. Begitu juga dengan Presiden Republik Iran, Ahmadinejad yang hidup secara sederhana, tidak seperti kebanyakan pemimpin lain, tetapi menjadi antara musuh utama rejim ini.

Bilakah isu ini akan menemui penghujungnya? Hanya Allah yang mengetahuinya. Selagi kita masih mengagungkan segala sogokan ‘mereka’, selagi itulah ummat Islam akan terus tertindas. Selagi kita tidak kembali berpegang kepada tali yang kukuh, selagi itu kita akan jatuh. Selagi kita tidak mendapatkan ubat paling mujarab, yakni al-Quran, selagi itu kita akan diserang dengan penyakit dunia. Selagi kita tidak kembali kepada fitrah sebagai hamba Allah, selagi itulah masyarakt Islam akan menjadi hamba Zionis secara langsung atau tidak. Nauzubillahminzalik..

Umat Islam, walau di mana juga bertebaran di muka bumi ini, mereka adalah saudara kita. Bantulah segenap daya upaya untuk menguatkan ikatan kita dan membela mereka. Khasnya kepada bakal-bakal guru yang bakal menerajui masyarakat hadapan, isilah diri, minda dan peribadi dengan nilai-nilai Islam agar masyarakat yang bakal kita bentuk nanti bukan sekadar sihat jasmani tetapi rohaninya parah. Tuntutlah ilmu kerana itulah yang bakal menundukkan mereka andai ilmu itu disusul dengan tindakan yang benar.

Bersama-sama kita berdoa agar diberi kekuatan oleh Allah dalam memperkuatkan diri masing-masing supaya mampu memacu generasi Islam cemerlang dimasa hadapan. InsyaAllah.

Semoga bermanfaat. Assalamualaikum.

Tuesday, July 6, 2010

Pelayaran

Angin malam yang dingin menyapa lembut wajahku. Rasa sebak mula menjengah lubuk hati. Nadhira masih lagi asyik melagukan kalam Allah di sudut tepi ruangan muslimah. Aku menapak keluar ke koridor masjid. Untuk seketika, aku khayal dengan keindahan alam ciptaanNya.

“Hm..termenung jauh nampak..” suara lembut menyapa di cuping telingaku. Aku berpaling ke belakang. Nadhira tersenyum. Mempamerkan lesung pipitnya yang tajam menyucuk pipi. Sungguh, Nadhira sangat cantik pada pandanganku. Cukup lengkap dengan pakej sebagai seorang muslimah. Dan aku berasa sangat bertuah dapat mengenalinya. Aku juga berbangga menjadi sahabatnya.

“ Aku selalu terfikir satu perkara, dan aku risaukannya “ kataku lalu membuang pandangan ke dada langit yang indah dihiasi gugusan bintang berkerlipan. Nadhira memeluk bahuku. “ Risau pasal apa?” tanyanya lembut. Aku tersenyum. Kami senyap untuk seketika. Sejurus itu, aku tertawa.

“ Kenapa?” tanyanya. Aku menggeleng. “ Luculah. Kau rasa kalau orang nampak kita macam ni, orang tak takut? Dahlah dua-dua bertelekung, main peluk-peluk pula..”.

Lantas Nadhira memukul lenganku. Dia turut tertawa sama. “Dah..jangan nak mengarut. Risau pasal apa tadi?”.

Aku menarik nafas panjang lalu menghembuskannya perlahan-lahan. Aku memandangnya seketika seraya menggeleng sekali lagi. Suasana senyap kembali menguasai. “Aku takut kalau-kalau apa yang aku ada sekarang berubah..” ujarku perlahan. Nadhira memeluk bahuku semula. “Kadang-kadang perubahan itu sesuatu yang perlu. Kadang-kadang perubahan tu baik untuk kita..”

“Em..tapi perubahan yang macam mana juga tu?” dia menyambung semula kata-katanya dengan soalan.

“Aku selalu terbayang satu hari nanti kita tak macam ni lagi. Aku terbayang bila tiba satu masa, kita terpisah, aku pasti tak kuat berseorangan..”

Suasana kembali sunyi. Masing-masing tenggelam dalam perasaan hati sendiri. “ Tiap pertemuan pasti ada perpisahan. Aku bukan siapa-siapa Dania. Tapi kalau kita bersahabat kerana Allah, berpisah jauh mana pun kita, hati takkan gelisah. InsyaAllah..” Nadhira bersuara lembut sambil menggosok belakangku. Eh, bermadah pula dia, hatiku berbisik. Aku tersengih sendiri.

“Jangan buat babak sedih camni. InsyaAllah, ada masa cuti nanti, aku balik sini juga.” Aku hanya membatu. Bukan ingin melakonkan babak sedih seperti dalam filem, cuma aku tidak tahu hendak berkata apa. Kata-kata seniorku satu ketika dulu terngiang-ngiang di telingaku. “ Kita mesti tahu hidup atas kaki sendiri. Kalau ke mana pun asyik nak berkepit dengan rakan, sampai bila boleh berdikari? Nanti masuk kubur pun bukan boleh ajak kawan masuk sama. Tidur sendiri juga dalam lubang kubur. Kena belajar untuk berdikari. Bumi Allah ni luas dik”

“Kau terlalu baik Nadhira..” ujarku dalam nada perlahan. Tapi cukup kuat untuk didengari. “Tapi ada lebih ramai lagi yang lebih baik dari aku. Kau akan jumpa dengan mereka. InsyaAllah..” Pintas Nadhira. Aku tersenyum. Nadhira turut tersenyum. Dia mendakapku. Dakapan seorang sahabat yang telah membawaku ke sebuah daerah baru, yang sering ingin kutuju sebelum ini namun kandas apabila tersekat oleh ujian kehidupan.

“Dania..Dania..” Aku tersentak. Serentak dengan itu, kacamataku terlepas dari tangan. Aku menoleh ke sisi. Alia berdiri sambil bercekak pinggang. Dia memandangku tajam. Nurul muncul dihadapanku lalu mengutip kacamataku yang terjatuh.

“Asyik berkhayal. Kalau ada pertandingan ratu khayal, memang sah kau juara.” Tukas Alia dalam nada menyindir. Aku hanya tersenyum. Telingaku sudah lali dengan gelaran tersebut. Nurul menggelengkan kepalanya.

“ Prof Ismail pesan, nanti jumpa dia selepas Zohor. Bawa sekali kajian kau. Jangan asyik mengelamun. Nanti cepat tua..” Alia berlalu setelah menyampaikan pesanan. Aku terpana seketika. Cepat tua kalau asyik mengelamun? Nurul merapatiku.

“ Dania, apa yang asyik kau fikir? Tentang perkara yang sama?” Aku hanya mengangguk, dalam senyuman yang bersisa. Suasana sunyi seketika.

“ Mesti Nadhira sangat istimewa, kan? “

“Sangat istimewa. Kalau tak jumpa dia, aku tak macam ni sekarang. Jum pergi makan..” aku cuba mengalihkan topik dan menapak keluar dari bilik kuliah. “Em..selain dia, kau tak da sahabat lelakikah?” soalan Nurul belum berakhir. Aku tersenyum lagi. Sahabat lelaki? Fikiranku ligat memutar kotak rakaman di minda. ‘ Ada..Ryan, yang juga tidak kutemui bertahun-tahun lamanya..’ jawab hatiku. Nurul menanti jawapan disebalik senyumanku. Dan aku terus tersenyum, meninggalkan teka teki buatnya.

Monday, July 5, 2010

Uzlahkan hati kita

Sejarah adalah satu senjata dalam menguatkan hati para pejuang, begitu kata-kata Al-Junaid.

Ramai umat manusia zaman sekarang leka untuk mengambil iktibar daripada kisah-kisah terdahulu. Contoh terdekat dan paling mudah adalah umat Islam; kita sendiri.

Tidak seharusnya kita selaku ummat kebanggaan Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa aalihi wasallam, membiarkan diri dalam kelalaian tatkala menghadam pengajaran daripada lembaran sirah para anbiya', khulafa' dan auliya' yang dimuliakan Allah.

Sayugia setiap sirah yang ditekuni menjadi suntikan berpengaruh ke dalam dirinya agar denyut perjuangan seseorang yang telah mewakafkan diri ke jalan Allah itu akan kekal sehingga ke akhir hayat.

Janganlah sekali-kali kita melupakan junjungan mulia yang kita sangat-sangat kasih dan sayangi. Rasulullah adalah tokoh tarbiah ruhiyyah terhebat yang patut dicontohi. Suatu kerugian besar bagi mereka yang tidak mengendahkan kesempurnaan pada diri Rasulullah, dan beranggapan dirinya sudah cukup bagus dan begitu thiqah pada pandangan manusia.

Hakikatnya, seluruh penghuni langit mencemuh dan meludah perilaku hamba Allah yang merasakan dirinya sudah soleh. Celakalah bagi diri yang tersemai 'ujub secara berterusan, terutama kepada para pemimpin yang ditaklifkan pelbagai amanah.

Semoga kita saling bermuhasabah dalam setiap saat helaan nafas. Manfaatkan waktu terluang, meskipun hanya lima minit, untuk kita 'uzlah'kan hati supaya nafsu yang kerap kali menggugat sentiasa dipagari dengan santunnya iman.


p/s : dipetik dari salah satu catatan seorang saudara (http://mohaz.blogspot.com/), antara penulis berbakat yang berpotensi dalam medan dakwah melalui pena. Untuk membaca catatannya yang seterusnya, ( klik sini )