Sunday, March 21, 2010

Kuasa Allah tiada batasnya

Bismillahirrahmanirrahiim..

Allahuakbar..Cuti lebih kurang seminggu yang ku lalui agak berbeza dengan cuti lain sebelum ini. Bermula dengan hati yang tawar untuk balik ke kampung menghabiskan cuti penggal, suasana kelam untuk beberapa ketika di rumah, hinggalah ke saat berbelah hati untuk kembali semula ke asrama. Pelbagai cerita ku dengar sepanjang berada di rumah, perubahan suasana kehidupan masa kini, dan bermacam-macam lagi kadangkala membuatkanku hilang arah dalam meniti arus kehidupan.

Terlalu banyak yang ingin ku kongsi, namun aku tidak tahu hendak bermula dengan kisah yang mana satu. Jika difikirkan secara logiknya, aku seharusnya meluangkan lebih masa untuk menyiapkan assignment yang bakal dihantar bermula pada minggu hadapan. Tapi, hatiku berkeras untuk menulis perkongsian ini dengan semua yang berkesempatan singgah di ruanganku.

Pernah anda mendengar tentang ‘pengait’? mungkin ada diantara kalian yang tahu mengenainya dan mungkin juga ada yang tidak tahu. Namun, nama tersebut sememangnya dikenali oleh hampir semua masyarakat kampung di Sabah dan juga Sarawak (bagi sesetengah bahagian). Aku tidak pasti jika di Semenanjung juga mengenali istilah ini. Selain ‘pengait’, ia juga disebut ‘penanggal’. Sebut sahaaj nama tersebut, kanak-kanak akan lari masuk ke dalam rumah kerana sasaran utama adalah kanak-kanak, dan orang tua akan berjaga bagi melindungi keluarganya. Dan biasanya, ia bermusim khususnya apabila terdapat pembinaan suatu bangunan atau loji ataupun empangan besar-besaran sedang giat dijalankan.

Pernah satu ketika, ketika musimnya tiba, pakcik-pakcikku dari jauh balik ke kampung. Semuanya balik dengan keluarga masing-masing dan tentunya ramai kanak-kanak riang yang menggamatkan suasana sepanjang hari. Aku tidak ingat berapa umurku ketika itu. Justeru cerita ‘pengait’ tiba sangat ‘panas’ ketika itu, pakcikku tidak dapat dan tidak sanggup melelapkan mata. Dua orang pakcikku ini duduk berhadapan di pintu ruang tamu dan bahagian dapur (ruang tamu dan dapur rumahku terpisah oleh penghubung yang kami gelar ‘jambatan rumah’. Bagi sesiapa yang pernah berkunjung ke rumahku, mungkin boleh membayangkan keadaan ini.) Mereka berjaga hingga pagi sambil memegang senjata. (senjata berat padaku)

Sesudah itu, selang beberapa ketika, terdengar pula cerita kampung sebelah yang mana rumah penduduknya dinaiki ‘pengait’. Jika musimnya tiba, tidak hairanlah kedengaran bunyi das-das tembakan seperti zaman perang. Dan jika melalui mana-mana kampung, kebanyakan orang akan mengetahui tandanya jika ada ‘pengait’ yang tertangkap atau terbunuh. Akan ada simbol yang diisyaratkan oleh penduduk kampung kepada penduduk kampung lain. Kedengarannya menakutkan tapi itulah hakikatnya kehidupan masyarakat pedalaman Sabah khususnya di daerah Tenom. Membesar dengan perkara-perkara yang mungkin tidak dapat diterima oleh masyarakat moden di bandar besar.

Aku tidak mengatakan aku percaya kepada semua ini, tapi aku juga tidak ingin menyatakan aku tidak percaya kerana lumrah dunia, manusia boleh bertindak kejam, lebih kejam daripada binatang apabila terdesak. Bukanlah sesuatu yang mudah untuk bertindak rasional apabila perasaan takut itu menguasai diri. Baru-baru ini, musim itu kembali lagi di daerahku, malah di kampungku. Kerisauan semakin menebal tatkala adik bongsuku memberitahu baru-baru ini ada orang tak dikenali menawarkan diri untuk menghantar ke rumah sewaktu dalam perjalanan balik dari sekolah. Bertahun dulu, aku memarahi adik lelaki sulungku kerana tidak menjemput adik bongsuku dari sekolah, kerana waktu itu dia baru darjah 1 (jika aku tak tersilap) dan dia berlari dari pertengahan jalan hingga ke rumah kerana ada orang asing yang tak dikenali memerhatikannya dari jauh. Sememangnya jarak antara sekolah rendah dan rumahku tidaklah sejauh mana, dan kami adik beradik semuanya melalui jalan yang sama untuk ke sekolah rendah yang sama. Tapi, memandangkan adik bongsuku masih di awal persekolahan, dan ketika itu pula heboh tentang penculikan kanak-kanak, aku sangat risau dengannya hinggakan aku berkali-kali memesan kepada emak supaya tidak membiarkan adik pergi dan balik dari sekolah sendirian. Adikku berlari hingga terjatuh dan koyak seluarnya di bahagian lutut dan lututnya cedera sedikit. aku cukup bersyukur dia selamat tiba di rumah walau dalam keadaan demikian.

Jika dibandingkan suasana dahulu dan sekarang, nyata jauh bezanya. Meskipun kami semua membesar dengan cerita yang sama, namun ia masih dibatasi rasa percaya atau tidak dengan kisah tersebut. Justeru, kami (khasnya aku) masih berani berjalan sendiri sekitar kampung. Namun, senarionya semakin meruncing apabila kes penculikan dan perdagangan kanak-kanak semakin hebat diperkatakan media. Dan padaku, ia tidak lagi dibatasi rasa percaya atau tidak kerana ia adalah fakta yang jelas dan memang berlaku di persekitaran, cuma bezanya ia berlaku secara senyap dan mungkin tidak disedari langsung. Ia membuka dimensi baru dalam mentafsir apa erti bebas, selamat dan berani bergerak di luar zon selamat. Jadi, apabila semakin terdedah dengan perkara ini, hatiku sangat bimbang memikirkan adik-adikku khususnya adik bongsuku yang masih naïf dengan dunia luar. Apa yang mampu kulakukan hanya memesan kepadanya agar jangan jalan berseorangan pergi balik sekolah, jangan layan orang yang tak dikenali dan memberitahunya kisah semasa. Selebihnya aku berserah pada Allah kerana Dialah Sebaik-baik Pelindung, dan atas izinNya jua sesuatu perkara itu berlaku.

Beberapa hari ini, ia kecoh semula. Pakcikku yang memang tinggal bersama kami di rumah tidak henti-henti mengingatkan untuk mengunci pintu sebelum tidur, dan apa yang berlaku suatu malam ketika aku, kakakku dan kakak iparku turun dari tingkat atas untuk ke bilik air (bilik air di luar rumah ), ketika aku membasuh tangan di tangki air, dengar bunyi benda jatuh di jalan raya berhampiran rumah. Mereka berdua memintaku cepat sedikit. ketika itu mereka berada berhampiran tangga menuju tingkat atas. Aku tahu mereka tidak sedap hati, dan aku juga merasakan yang sama. Apabila aku bergerak ke pintu tingkat bawah, mereka bertanya, “ ke mana lagi?” Lalu aku menjawab, “ Jap, ambil laptop dulu”. Laptopku memang ku tinggalkan di tingkat bawah selama ini. Bila aku bergerak selangkah, mereka berdua lari menaiki tangga, meninggalkan aku seorang di luar rumah. Pantas aku masuk dan mengunci pintu. Pada masa itu, abangku juga di tingkat bawah, sedang asyik bermain game tanpa menyedari apa-apa.

Semua yang ku ceritakan ini adalah kisah yang ku alami sendiri. Kisah yang berlaku di alam realiti. Sehinggakan tiba satu saat untuk merasa tidak selamat biarpun dalam rumah sendiri. Walhal kita memang sentiasa berada dalam keadaan tidak selamat (belum tentu selamat menghadapi hari akhirat) kerana syaitan dan iblis sentiasa menghasut untuk mengingkari Allah.

Aku berkongsi semua ini untuk membuka mata hati kalian semua bahawa manusia semakin hari semakin kejam. Dunia semakin tua, dan kebanyakan antara kita semakin jauh dari Allah..nauzubillah. Jika dahulu kita disajikan dengan cerita kehilangan budak kerana ditangakp ‘pengait’, plotnya berkembang dengan kes perdagangan manusia yang semakin meluas dan kini, merata-rata kita melihat bayi-bayi yang masih merah dibunuh tanpa perikemanusiaan. Ada yang dihumban ke dalam tong sampah, ada yang terapung di loji malah ada yang dibakar. Kalau dahulu kita merasa takut dengan ancaman orang luar, kini kita semakin tidak takut dengan ancaman Allah. Aku takut membicarakan hal ini, kerana aku tahu betapa lemahnya aku dalam menjalankan kewajipan sebagai seorang hamba yang miskin segalanya, teruatamanya dari segi ilmu dan amal. Tapi aku berharap bicaraku ini mampu memberi sesuatu dalam hati sesiapa juga.

Aku mengatakan kepada kakak iparku, bahawa kisah ‘pengait’ ini adalah kisah orang dahulu kala, dan memang ia berlaku, tapi ia berlaku hanya dalam etnik tertentu yang bertujuan menunjukkan keberanian dan keperwiraan bagi mengalahkan musuh selain mempertahankan diri, bukan seperti yang didakwa oleh ramai orang, ‘pengait’ menangkap orang terutamanya kanak-kanak untuk menanamnya di tapak pembinaan bagi menguatkan bangunan atau empangan. Jika itu berlaku, ia boleh termasuk dalam perkara khurafat, malah syirik. Nauzubillah.. Lazimnya tatkala musim ini tiba masa kini, ramai yang kehilangan wang, ternakan dan barang berharga lain, bukannya ‘hilang kepala’ seperti yang diwar-warkan.

Memang tidak dinafikan, suasana masa kini tidak boleh dijangka. Namun, apa yang boleh kukatakan, inilah dunia. Kita perlu membuka minda untuk berfikir dan memandang lebih jauh agar lebih bersedia menghadapi hari hadapan. Ingin kutegaskan, betapa canggih pun sistem pertahanan kita, dan betapa rapinya kita menjaga diri, jika Allah mengkehendaki kita menghadapi sesuatu itu, pasti segala pertahanan akan rapuh. Dan jika Dia mengkehendaki kita untuk selamat dari semua bahaya tersebut, berjalan sendirian dalam kalangan manusia bertopengkan binatang pun kita akan selamat. Itulah buktinya manusia hanyalah ciptaanNya yang tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk menentukan takdir dirinya tanpa izinNya. Kita hanya dilebihkan dengan akal bagi membolehkan kita berfikir tentang apa yang patut dilakukan, dan kenapa perlu bergantung dan berserah padaNya setelah berusaha sebaiknya. Sesungguhnya, tidak ada kuasa lain yang dapat membatasi kuasa Allah.

Itu sahaja perkongsianku kali ini. Moga ianya bermanfaat untuk semua. Pesanku kepada yang mempunyai adik yang masih kecil, berhati-hatilah kerana ramai manusia yang ‘bukan manusia’ di luar sana mencari peluang untuk meraih kesenangan atas penderitaan orang lain. Sesungguhnya, Allah jua yang Maha Mengetahui semuanya.

Assalamualaikum.

Saturday, March 13, 2010

Ikatan suci

Bismillahirrahmanirrahiim...



Alhamdulillah...

Hari ini merupakan hari terindah dan penuh bermakna buat seseorang yang ku anggap seperti kakakku sendiri, yang banyak memberikanku sokongan, nasihat, teguran dan motivasi diri sepanjang perkenalan kami. Hari ini beliau akan sah menjadi suri hidup seorang adam yang juga merupakan bekas pelatih Ipg Keningau sebelum ini.

Sanimah binti Tali & Hamidan bin Alia
Masjid Kg Kilugus, Kuala Penyu
11.30 pagi

Baru sebentar tadi, aku dikhabarkan oleh seorang sahabat bahawa pernikahan seniorku itu selamat berlangsung dengan lancarnya. Meskipun secara jasadiah, aku tidak dapat menghadirinya, namun aku turut menghadirkan hatiku dalam majlis penuh bermakna itu.
Doaku untuknya, selamat berbahagia dan semoga tabah menjalani kehidupan berumahtangga dan semoga Allah sentiasa meredhai kalian dan mengurniakan kalian dengan zuriat yang soleh dan solehah...insyaAllah...


Kepada para sahabat yang berada di majlis tersebut, sabar-sabarlah menanti giliran anda..(maksudnya kita semua..heee)..insyaAllah, jika Allah mengizinkan, pasti waktu kita tiba juga...

Saturday, March 6, 2010

Nilai ikhlas di hati

Bismillahirrahmanirrahim..

Hri ini, aku berpeluang lagi untuk mengemaskini blog ni memandangkan diri tidak terikat dengan assignment dalam masa terdekat ini. Kejohanan merentas desa IPG baru sahaja selesai berlangsung pagi tadi, dan aku tidak melepaskan peluang untuk menyertainya walaupun boleh dikatakan masih dalam proses 'recovery'. Tak menang pun tak pa, yang penting berjaya menempuh laluan yang telah ditetapkan hingga ke garisan penamat. Bukan selalu, setahun sekali ja. Dalam konteks kehdupan pun begitu juga, biar sukar macamana pun perjalanan kita, kena habiskan sampai ke penghujungnya dengan sebaik mungkin..

Tempoh hari, seorang sahabat telah bertanya padaku, " Apa itu ikhlas? Macamana kita nak tahu kita ikhlas atau tidak buat sesuatu tu kerana Allah?" Soalannya nampak mudah untuk dijawab, namun hakikatnya adalah sebaliknya. Mencari idea bagaimana untuk menyusun ayat yang semudahnya boleh difahami dan diterima bukan satu perkara yang senang, apatah lagi, aku bukanlah orang yang pandai bermadah bicara apabila berdepan dengan orang.

" Kalau kita buat sesuatu tu ikhlas kerana Allah, kita akan dapat rasa sesuatu yang tenang, dan damai jauh di sudut hati.." Jawabku. " Kalau kita tak rasa camtu, ertinya kita tak ikhlas?" Aku terkedu. Terfikir mungkin ayatku semakin menyulitkan keadaan. Sebelum itu, aku ingin meminta maaf pada sahabat ini kerana tidak dapat memberi jawapan yang cukup baik hari itu. Maklumlah, aku juga hamba yang lemah, baru saja belajar tentang hal-hal keagamaan ni. Masih banyak ruang dan lopak yang perlu ditutup. Justeru, ingin ku bangkitkan persoalan itu pada hari ini dengan harapan ia dapat menjawab soalan tersebut sekaligus memberi sesuatu kepada yang lain di luar sana.

Persoalan ikhlaskah tidak hati kita dalam melakukan sesuatu itu terpulang pada diri masing-masing bagaimana mentafsirkan nilai ikhlas itu sendiri. Aku mengatakan begini kerana ada yang senang-senang mengatakan,
" Aku ikhlas ba ni " atau..
"Aku ikhlas ba nak kawan dengan kau"..atau...
"Aku tolong dia, ikhlas..tapi ucapan terima kasih pun tak da"..atau..
"Penat-penat aku buat semua tu, orang nampak macam tak da ja.."..atau..
"Dulu berabis ku tolong dia, sekarang nak minta tolong sikit pun tak boleh..

Andai kita mengatakan kita ikhlas dengan bersandarkan ucapan terima kasih, balasan pertolongan, pemberian hadiah atau perhatian daripada orang lain sebagai timbal balik, lebih baik kita cuba selidiki semula tafsiran ikhlas tersebut..

Ikhlas atau tidak, hanya Allah yang dapat menilainya dan kita mungkin dapat merasainya, tetapi orang lain tidak akan dapat menilainya. Kerana ianya umpama seekor semut hitam, diatas batu yang hitam, ditengah hutan pada malam yang sangat gelap.

Bila kita melakukan sesuatu dengan sandaran, " Allah yang suruh..Allah yang perintah kita buat baik, tolong orang.." insyaAllah, kita sudah setapak menuju erti keikhlasan yang sebenar. Kalau orang tanya, " Kenapa kau tolong dia lagi? Dia kan banyak bagi masalah kat kau? Selalu buat cerita pasal kau? Selalu cakap buruk pasal kau?" Dan kita menjawab dalam hati, " Sebab Allah tak pernah suruh hambaNya balas kejahatan dengan kejahatan. Allah suruh tolong semua orang yang kita termampu, jadi tak kisah pa yang dia buat kat kita. Yang penting, aku buat apa yang Allah suruh.." InsyaAllah, itu satu usaha kita untuk membentuk hati yang benar-benar ikhlas keranaNya.

Bagaimana kita tahu kita ikhlas? Persoalan yang sangat subjektif. Lalu ingin ku bertanya semula, " Bagaimana kita tahu kita mencintai seseorang?" Persoalan itu anda jawablah sendiri. Apa yang dapat ku katakan, untuk ikhlas, kita perlu istiqamah. Ada yang pernah bertnya, " Bagaimana kita nak istiqamah ke masjid?" Seperti kita hendak menanam padi, atau lulus dalam exam..kita perlu berusaha dari langkah pertama, membersihkan sawah, menyemai anak benih, menjaga benih dengan baik, membuang rumputnya, kemudian memindahkannya ke swah dan menjaganya hingga berbuah dan sampai ketikanya untuk dituai, demikian juga untuk lulus exam. Perlu belajar, buat soalan, ulangkaji, tanya guru, bangun awal pagi, semuanya membawa kita kepada arena keletihan sampai kadangkala malas menguasai diri. Namun, sebab nak lulus, malas pun di lawan. Begitu juga untuk belajar istiqamah, kena paksa diri sedikit demi sedikit.. Sememangnya penat dan letih dan kadang-kadang, tertekan. Untuk istiqamah dalam apa jua pun, kena belajar paksa diri. Sehingga timbul kerelaan dalam paksaan.

Ramai yang berkata, " Punyalah malas aku buat kerja ni. Kalau bukan sebab ada markah untuk exam, sorry lah aku nak buat. " Ada antara kita yang hanya belajar sekadar untuk lulus dalam exam. Kalaulah takda exam, entah tergerakkah hati kita untuk belajar. Walhal andai kita renungkan dalam-dalam, Allah memang tuntut kita untuk belajar, menimba ilmu, supaya kita tak dikatakan jahil, supaya kita kenal Dia, tahu siapa kita sebenarnya, tahu mana baik mana buruk.

Walauapapun, kita masing-masing dikurniakan akal dan hati serta perasaan. Jadi, gunakanlah segala kurniaan Allah itu untuk berfikir dan membuat pertimbangan dalam setiap yang kita lakukan.

Sebelum menutup bicara kali ini, ingin ku selitkan kata-kata seorang hamba Allah yang baik untuk kita fikirkan bersama," Kalau kita hendak menasihati orang tanya hati kita dahulu.Tujuan kita hendak beri nasihat atau hendak memberi malu pada orang.Apabila kita hendak menyampaikan ilmu kepada orang.Apakah tujuan kita? Hendak berkongsi ilmu atau hendak menunjuk yang kita lebih tahu.Kalau kita hendak bercakap tentang sesuatu, kita tentu tahu niat kita, hendak menunjuk kita pandai atau rasa berkewajiban menyampaikan ilmu.Ingatlah pahala sesuatu amal ditentukan oleh keikhlasan kita.Kalau tujuan bukan kerana Allah, amalan itu akan menjadi macam debu.Bukan pahala kita dapat tapi bala. "

Maafkan aku andai menyinggung rasa, betulkan aku andai tersilap kata. Bersama-sama kita perbaiki hati dalam usaha untuk memperbaiki diri masing-masing yang serba kekurangan.

Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua.

Assalamualaikum..