Saturday, December 17, 2016

Terima Kasih

Alkisah beberapa tahun yang lalu....

'Tok..tok..'

Aku yang masih membaringkan diri hanya melihat daun pintu dengan selamba. Bahang exam sangat terasa. Aku melihat roomateku juga masih diselubungi nota-notanya. Awal pagi begini, suasana asrama masih sunyi, kerana setiap pelatih masih dalam dunia lena atau dunia buku.

'Tok..tok..' ketukan itu berbunyi lagi.

'Assalamualaikum..nut..' daun pintu dikuak. Aku berpaling sejenak ke muka pintu. Kelihatan Siti (rakan sekelasku) berdiri lalu terus masuk dan duduk di hujung kakiku. Aku menjawab salamnya perlahan dan meneruskan aktiviti ulangkajiku. Siti menggoncang lenganku. "Nut..sorry..." ucapnya. (Aku digelar dengan banyak nama panggilan di dalam kelas, dan salah satunya..anut). "Kenapa?" tanyaku namun mata masih melekat di helaian nota.

"Sorry ya pasal semalam..betul-betul minta maaf.." ucapnya. Pasal semalam? Aku berfikir sendiri. Oh..baru ku teringat. Dia meminjam keretaku dan lewat balik dan pada masa yang sama, aku juga bergegas ingin keluar kerana ada urusan. "Oh..tak pa bah tu..yang penting selesai juga " ujarku pula, mahu menenangkan hati dua belah pihak. " Yalah..tapi sy tak senang hati juga..mo study malam tadi pun nda sedap hati..pagi tadi bangun terus teringat pasal tu lagi.." jelasnya. Aku hampir tertawa. Tanpa dipinta, dia menjelaskan semuanya. " Sorry ah.." dia mencari-cari tanganku. "Kenapa ni?" tanyaku, kehairanan. Aku bangkit duduk di sebelahnya.

" Mau salam..mari peluk saya.." katanya lagi. Aku mengerutkan dahi. Betul-betul macam prasekolahlah, bisik hatiku. Aku rasa geli hati, tapi aku tahu dia serius dan memang begitulah sikapnya.

"Saya takut ba.."sambungnya lagi.. "Eh..takut apa pula?" aku menanya semula.

" Yala..sy takut..bila sy mula rapat dengan ko..mesti sy ada buat salah..sebab tulah sy takut mo rapat ngn ko.." Aku terkedu. Hilang bicara. Tidak pernah pula Siti berkata begitu sebelum ini. Aku tersenyum. Nota-nota kuletakkan di sisi.

"Yung, tiada orang yang nda pernah buat salah, aku pun selalu juga buat salah.."
"Tidak..ko tida pernah buat salah sama sy" laju dia memotong kata-kataku. Penuh ekspresi wajahnya.
"Hahahah..jangan cakap begitu.." aku terketawa, aku pegang tangannya. Siti ikut tertawa lalu memelukku. "Sorry ah nut" ucapnya lagi.
"Ish ko ni..ok saja bah" ujarku, lebih tegas. Siti (panggilan manjanya Ayung, memang cepat emosi sikit, mudah saja nampak perubahan emosi dari ekspresi mukanya) senyum tersipu-sipu.

Hari ini, Ayung sudah menjadi wanita dewasa. (Hihihi)..Isteri kepada Delver Yunus Ivan Abdullah (Gibo) dan ibu kepada dua budak comel, Dhiya Sofea (Yaya) dan Delona Suraya (baby Yona)..Tapi kalau ketemuan, sama juga perangai macam dulu-dulu cumanya lebih keibuan. Weehaaa..

Kami dipostingkan di tempat yang sama (Pulau Banggi) tapi berlainan sekolah. Disebabkan Tenom agak jauh, aku selalu menumpang kasih di rumahnya jika keluar pulau dan tidak balik ke Tenom. Rumahnya adalah rumahku. "Rumah ko juga ini Ani..tuuna bilik ko sudah itu" bilang mamy dan diiyakan oleh Siti. Terima kasih mamy..terima kasih Siti Payungku sayang.

Masa berlalu, aku sudah punya rumah sewa sendiri di Kudat bersama housemate2ku di pulau, dan aku makin jarang ada kesempatan untuk menyinggah di rumah Siti, melawat mamy. Kali terakhir aku melawat mamy selepas beliau operation mata dan masih kabur2 pandangannya. namun masih saja mamy dapat mengecam aku, walaupun pandangannya terhad. Sempat lagi aku masakkan mamy sarapan dan kami brekpes bersama. Masa ni, Siti tiada di rumah. Aku kurang ingat sama ada Siti tidak keluar pulau ataupun balik ke kampung Gibo.

"Lama sia tunggu ko datang sini Ani..lama betul ko tida pigi sini.." bilang mamy. Aku terkedu seketika. 
"Siou mi..bukan tida mo pigi sini..tapi jarang suda gia sa keluar pigi kk, paling pun pigi Kudat saja. Ada suda gia rumah sewa kami sana.." jawabku. Rasa bersalah merajai hati. Sejak sakit mata dan operation, mamy tidak sudah meneleponku seperti dulu. Kalau awal-awal masuk pulau dulu, mamy selalu telefon, lebih-lebih lagi kalau mamy tidak dapat kontek Siti.

Kini, semakin jarang berhubung dengan mamy. Cuma mengetahui perkembangan kesihatan mamy dari Siti bila kami berjumpa dalam mesyuarat di luar pulau. Moga mamy sihat-sihat saja. Moga Allah melindungi mamy selalu.

Untuk kesekian kalinya, terima kasih Siti dan Mamy yang banyak membantuku, dan memberi ruang menumpang kasih sayang bersama kalian saat berjauhan dengan keluarga. Mohon maaf untuk sebarang kesalahan sepanjang menjadi anak angkat dalam keluarga mamy, menjadi adik-adik Siti yang semakin jarang pulang ke sana menjenguk mamy. Terima kasih untuk curahan kasih sayang pada diri ini. Moga silaturahim kita tetap utuh sampai ke akhirnya.

Salam Sayang Selalu.


Saturday, March 12, 2016

Keluhan?



Bismillahirrahmanirrahiim.

Ada seorang sahabatku dulu selalu berkata, jangan suka mengeluh. Keluhan itu memendekkan usia. Berkali-kali sahabat itu mengulangi ayat yang sama hinggakan tiba suatu saat, terasa lucu pula. Akhirnya mengundang tawa.

Adakah manusia yang tidak pernah mengeluh? Walaupun sekali? Sekan menjadi lumrah, manusia dan keluhan sepertinya tidak boleh berpisah. 

Adakalanya, keluhan itu memenatkan, meletihkan dan tambah menekan perasaan. Aku selalu merasa penat untuk mengeluh. Sebab itu aku tidak suka utarakan keluhan, walaupun jauh di sudut hati, ingin sekali aku mengeluh panjang dan kuat bagi membuang jauh segala perasaan yang membungkam jiwa. 

Allah tidak membebani kita dengan apa yang kita tidak mampu hadapi. Itu janjiNya. Allah Maha Benar, demikian janjiNya benar belaka. Tinggal sahaja kita yang perlu belajar mengubah persepsi diri,  yang menganggap kita tidak mampu. 

Penat dan letih rasanya untuk menangisi nasib diri sedangkan sudah mengetahui semua yang berlaku adalah tanda kasih sayang dariNya. Penat juga melayan karenah-karenah mereka yang tidak memahami bicara hati, yang sentiasa mahu memenangi setiap situasi. Kosong, tawar, hambar, segalanya bercampur baur. Sedikit masa lagi, benci pula akan lahir dalam hati. Tidak dipinta seperti itu tapi kita bukan nabi, aku bukan nabi. Nabi itu mulia dan terjaga hatinya. Berbeza dengan manusia biasa seperti aku..umpama langit dan bumi. Allah…pelihara hati ini. Sekalipun tidak menyetujui, tidak merelai, jangan sesekali hati dikuasai amarah, dendam dan benci. Biarlah semuanya berlalu seperti kehendakMu, rencanaMu yang maha indah. Tapi kuatkanlah hati ini untuk tetap teguh di taliMu.

Murah sekali air mata apabila berbicara dengan maha Pemilik sekalian isi hati, isi langit dan bumi..dan apa yang ada di antara keduanya. Benarlah..sesukar manapun keadaan kita, sekalipun tiada bahu untuk kita bersandar..ingatkan diri bahawa bumi ni amat luas dan sentiasa ada untuk kita bersujud. Merendahkan hati dan diri menghadap yang Maha Kaya dan Maha Kuat. Agar diberi kekuatan menghadapi rencam kehidupan yang menyakitkan. Ok..jangan mengeluh. Tarik nafas panjang-panjang dan hembus perlahan-lahan. Allah ada..Allah Maha Tahu.

Sampai ke mana sudah perjalanan kita? Sejauh mana sudah kita melangkah dalam hidup di dunia fana ini? Sampai ke mana pencapaian kita sebagai hambaNya? Moga Allah kuatkan kita. Moga Allah pandu jalan hidup kita dengan petunjukNya, dengan rahmat dan kasih sayangNya yang Maha Luas.

Syurga itu mahal harganya, tinggi nilainya. Justeru bukan yang calang-calang menjadi taruhannya. Jaga hati saudara saudari. Moga bertemu di sana nanti dengan wajah yang berseri-seri.

Sunday, March 6, 2016

Hikmah


Assalamualaikum..
Adakah ini entri pertamaku pada tahun ini? Alhamdulillah..dikuatkan Allah untuk berkongsi cerita kehidupan, yang mana kuharapkan meninggalkan sedikit rasa dalam hati insan yang membacanya.
Bukan mudah untuk membawa hati dan diri menaip bait kata-kata yang terbit dari hati. Bukan senang memaksa minda bekerja mencari ayat-ayat termudah bagi menyampaikan maksud cerita. Bukan mudah untuk menyampaikan mesej cerita agar ia memberi manfaat buat semua pembaca.

Apapun, moga semuanya baik-baik belaka. Moga semua pembaca sihat-sihat sahaja. Moga Allah melindungi dan menaungi kita dengan rahmat dn redhaNya..sentiasa. InsyaAllah…aminnn.

Setiap kejadian yang Allah tetapkan, pasti ada hikmahnya. Sedangkan malam ada siangnya, matahari ada bulannya, bumi ada langitnya, pasang ada surutnya, lapar ada kenyangnya, miskin ada kayanya, sempit ada lapangnya, jantan ada betinanya,kesusahan pasti ada kesenangan, dan kesedihan pasti ada kegembiraan. Yakin dengan Allah. Tiada kejadian yang sia-sia. Kalau kita tidak melihat hikmah terindah itu pada masa sekarang, mungkin pada masa akan datang. Moga Allah menguatkan kita untuk menantikan saat itu.

Alhamdulillah..kami tujuh beradik dapat berkumpul bersama pada cuti tahun baru cina yang lepas. Satu keadaan yang jarang-jarang berlaku, atas alasan bertebaran di bumi Allah mencari rezekiNya. Seketika kurasakan, begitu cepat masa berlalu. Seperti baru semalam aku menghantar adik bongsuku ke prasekolah, hari ini dia sudah besar panjang, remaja 17 tahun yang pastinya lebih tinggi dariku. Abang kakakku yang dulunya rakan bermain berlari, panjat memanjat, masak memasak kini punya anak masing-masing. Dan ibuku yang dahulunya gagah membawa diri naik turun sawah dan keluar masuk kebun getah, kini makin dimamah usia. Begitu cepat masa berlalu. Singkatnya masa itu. 

Seketika fikiranku terarah kepada satu-satunya adik perempuanku yang menginjak ke usia 20 tahun tahun ini. Banyak yang kami lalui bersama selama setahun dia menemani suka duka kehidupanku di Pulau Banggi. Tinggal berjauhan dari keluarga, membuatkan jiwa lebih kental, fikiran lebih matang..insyaAllah. itu pesanku pada adik-adikku. Kerana itu, aku mengajaknya ke pulau, merasai kehidupan di tempat orang. Ruang dan peluang itu membuatkan kami lebih saling mengenali, dan jujur aku katakan, memori kami di pulau tidak ternilai harganya. Membuatkanku mengenal dan merasa erti tanggungjawab apabila ada orang lain yang perlu dijaga…juga membuatkanku merasa secebis kepayahan ibu bapa menjaga anak yang meningkat dewasa.

Allah yang memiliki kesihatan, Allah yang berkuasa menariknya, Allah jua yang berkuasa menyembuhkannya. Tidak dapat dipastikan apakah puncanya, kebelakangan ini adikku seringkali sakit dada dan sesak nafas. Ianya bermula sejak hujung tahun lepas, dan kelihatannya bertambah teruk sejak akhir-akhir ini. Namun begitu, selera makannya tetap bertambah, terlewat makan pasti gastriknya datang mendadak. Keluar masuk hospital dan berjumpa pakar, disahkan sihat walafiat. Namun keadaanya merunsingkan. Aku tidak mahu mempamerkan kerisauanku, tapi rasa itu tetap ada merajai jiwa. Aku berpesan bermacam perkara pada adikku, ubah jadual harian sekarang termasuk waktu makan, mandi, tidur dan bangun tidur, dan paling penting solat kena jaga. Katanya, dia cuba solat tapi tidak dapat sebab dadanya sakit. Aku minta dia paksa diri,tidak dapat solat berdiri, solat secara duduk. Solat adalah ubat bagi kebanyakan penyakit, pesanku.

‘Penyakit’ tersebut nyata memberi kesan kepada adikku. Ditambah lagi dengan sikapnya yang suka bersendiri, semakin membuatkan ibuku buntu apabila sakit itu datang secara tiba-tiba. Beberapa kali aku mengambil cuti kecemasan untuk melawatnya dan membawanya bertemu orang tertentu sebagai ikhtiar perubatan. Walaupun keadaan tidak jauh berbeza, adikku kini sudah mampu melawan sakitnya untuk tetap menunaikan solat. Seakan menjadi kelainan dan perkara baru apabila pertanyaan ‘Sudah solat?’ menjadi kelaziman untuknya. Alhamdulillah, Allah jualah yang memiliki segala kekuatan di bumi dan langit dan apa yang ada di antara keduanya.

Ada hikmah di sebaliknya. Tiada kesakitan yang sia-sia. Di sebalik kesukaran dan kepayahan berpunca dari sakit adikku ini, ia turut menjadi asbab kepada pengukuhan hubungan antara kami 7 beradik. Sekian lama tidak melihat adik beradik lelakiku solat berjemaah, akhirnya dengan  wujudnya kesukaran akibat sakit itu, mereka berdiri dalam satu saf untuk solat berjemaah. Hanya Allah yang Maha tahu perasaanku ketika itu. Gembira, sebak, semuanya bersatu dalam rasa syukur yang menggunung atas kurnia itu.





..........................